Total Pageviews

Showing posts with label Inspirasi. Show all posts
Showing posts with label Inspirasi. Show all posts

Ciri - ciri orang yang bertawakkal - Refleksi diri dengan misteri MH370


Dengan kejadian misteri membabitkan kehilangan pesawat MH370, ramai yang memberikan respon pelbagai di media sosial sama ada dalam bentuk baik, sinikal mahupun mengeji. Namun syukur sekali ramai yang bertindak positif dan ini turut dituruti oleh media arus perdana seperti radio yang kerap mengulangi mesej positif serta doa yang tidak putus - putus.

Segala usaha sedang dikerah oleh pihak berkuasa dengan penglibatan banyak agensi lain yang turut melibatkan usaha negara jiran. 
Seruan berdoa dan tawakkal sering sekali diberikan oleh ramai orang dipelbagai medium bagi meredakan perasaan mereka yang terlibat seara langsung atau tidak mahupun sebagai rakyat, kita mahukan yang penyelesaian terbaik dari insiden ini.
Menyebut mengenai Tawakkal, saya teringat pesan salah seorang guru saya iaitu Kiyai Abdullah Gymnastiar mengenai tatacara bertawakkal. Menurutnya, ada 5 ciri orang yang benar - benar bertawakkal dan huraian ini adalah dari perspektif saya;

1. Hati harus tulus - Hati yang tulus dan ikhlas membantu kita melakukan sesuatu tanpa balasan dari makhluk tetapi hanya dari Allah sahaja. Maka buat mereka yang terlibat dalam semua usaha mencari MH370 ini perlulah meletakkan Hati Yang Tulus dalam usaha ini. Ingatan ini juga diberikan buat 'orang - orang' besar yang muncul di sidang media. Tuluskan hati anda..jangan mengambil peluang hadir ke sidang media untuk mendapatkan habuan publisiti walhal apa yang anda sebutkan tidak langsung membawa makna. Begitu juga dengan media dan penulis di laman sosial. Niatkan laporan anda adalah semata - mata untuk membantu menyampaikan berita dan bukannya menaikkan 'rating' atau melariskan media anda mahupun menarik trafik online kepada page / blog / wall anda dengan berita kurang sahih.

2. Ibadah mestilah bagus - Amal ibadat insan yang benar bertawakkal kepada Allah ini terjaga, tertib dan menuju kepada sempurna dalam amalannya. Bukan cincai - cincai. Maka lihatlah diri kita bagaimana. Layakkah kita berserah kepada Allah andai kita sambil lewa dalam ibadat kepada Allah. Analoginya ialah kita tidak menyiapkan kerja rumah atau 'assignment' yang ditugaskan kepada kita dengan baik, cincai boncai dan hentam keromo, maka layakkah kita bertawakkal untuk mendapatkan markah maksimum? Maka ayuhlah kita perbanyakkan Solat Hajat di serata negara bagi mendoakan petunjuk Allah agar MH370 dapat ditemui.

3. Hidup harus lurus - Menjalani kehidupan dengan lurus mengikut lunas Islam. Tidak ingkar, tidak menyimpang dan sesuai dengan anjuran Al-Quran dan Sunnah. Jika kita menjalani hidup sebegini, maka layaklah kita berserah kepada Allah kerana kita sebagai hamba mencuba sebaik mungkin patuh kepada Pemilik kita. Sukar untuk bertawakkal andai gaya hidup yang diamalkan songsang dan ingkar serta melanggari arahan Allah SWT. 

4. Ikhtiar mestilah serius - Usaha yang dibuat perlu secara serius - bukan ala kadar dan main - main. Ia bermula dengan perancangan yang teliti, pelaksanaan mengikut perancangan dan barulah boleh bertawakkal. Barulah mudah untuk bertawakkal kerana apa yang kita rancang itu mengambil kira semua faktor yang membawa kepada kejayaan dan perlaksanaan pula mengikut perancangan. Analogi mudah ialah dengan mengambil contoh memasak. Sekiranya perancangan untuk memasak itu lengkap, resipinya lengkap, bahannya lengkap dan peralatannya lengkap. Maka kita akan memasak dengan hati tenang dan mudah dijangka hasilnya seperti yang dirancang.

5. Taubat mestilah terus menerus - Taubat mestilah dilakukan secara konsisten meskipun dengan hanya beristigfar. Ini membantu kita merendahkan hati kepada Allah dan membuatkan kita sedar bahwa kita ini hanyalah hamba Allah SWT dan Dia jugalah yang menentukan segalanya. Dengan berusaha melakukan taubat, kita akan sentiasa cuba melihat usaha kita dan bermuhasabah atas setiap apa yang dilakukan. Maka apabila berbuat dosa walau sekecil apapun, berusahalah untuk taubat kerana ia membawa jalan ke arah Taqwa.

Wallahu A'lam.

Sekiranya saya seorang pemuzik sepenuh masa...

Semua orang pastinya memiliki impian untuk menjadi seseorang yang lain; sama ada mencapai kejayaan yang pernah dikecapi oleh seseorang tokoh itu, memiliki keazaman dan semangat seperti orang itu dan juga sebagainya. Sebagai muslim pastinya junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W menjadi rujukan, idola, contoh terbaik dan model terhebat yang paling kita cintai.

Saya ingin berkongsi rasa mengenai andainya saya menjadi pemuzik sepenuh masa, saya mahu jadi seperti siapa ya? Ada 2 nama yang sejak dahulu melekat dihati - Eddie Vedder dari Pearl Jam dan Chris Cornell dari Soundgarden. Kenapa ya?

Masing - masing memiliki citarasa sendiri dalam muzik. Saya sendiri semasa terlalu fokus dengan muzik Underground menolak tepi hampir semua genre kerana proses sosialisasi. Cukup saya benci ketika itu ialah dangdut. Malangnya - saya dan Zoy (Dewangga Sakti) pernah menulis satu lagu dangdut ketika kami di Taiwan dan pernah mempersembahkannya di UIAM satu ketika dahulu.

Berbalik kepada dua tokoh ini. Kedua - dua mereka datang dari Seattle, yang mana pada usia muda saya Seattle Sound merupakan satu cap dagang muzik COOL ketika itu. Walaupun persaingan dari dunia Metal juga hebat ketika itu tetapi wabak ALTERNATIVE ketika itu cukup kuat. Dan walaupun tumpuan ketika itu lebih terarah kepda Kurt Cobain dan Nirvana - terutamanya setelah dia mati, saya lebih tertarik dengan dua susuk ini.

Eddie Vedder memiliki lontaran vokal yang cukup jujur pada hemat saya. Suaranya yang asli dan tidak dibuat - buat. Cukup terasa kesan vokalnya terutama lagu - lagu mellow dengan diiringi lirik tulisannya sendiri yang cukup halus. Malah, ketika Allahyarham kakak saya meninggal, bait - bait lagu tulisan Eddie Vedder bermain difikiran selain bacaan ayat suci Al - quran pastinya.

Eddie Vedder dengan mandolinnya

Chris Cornell juga memiliki ciri yang hampir sama dengan Eddie pada hemat saya. Dari segi vokal, Chris Cornell memiliki tone yang lunak dalam nada rendah dan apabila dia mula menjerit atau menggunakan tone yang lebih tinggi, ia cukup mengesankan bagi saya. Chris Cornell juga dianugerahkan dengan kebolehan menulis lirik yang baik. Berbeza dengan Eddie, Chris lebih bersifat metaforik dan berkias.

Chris Cornell - saya ada sebuah gitar yang rupanya hampir sama seperti di atas.

Kenapa saya ingin menjadi seperti mereka? Pertama kebolehan menulis lagu yang mengesankan jiwa seta penulisan lirik yang indah dan mendalam. Saya suka perkara - perkara ini malah pernah mencuba pun. Malangnya saya belum mampu menjadi seperti mereka...