Saya terbaca satu berita di FB mengenai sistem perbankan Paraguay yang dikatakan lumpuh akibat serangan siber.
Menarik juga berita ini. Jadi saya cuba semak apa sebenarnya yang berlaku.
Rupa-rupanya, berdasarkan laporan yang saya temui, puncanya bukanlah serangan siber seperti yang didakwa. Sekurang-kurangnya, belum ada pengesahan rasmi mengenainya.
Apa yang berlaku ialah sebuah bank digital di Paraguay, Ueno Bank, yang mempunyai hampir 3 juta pelanggan, menghadapi masalah kewangan sehingga memaksa Bank Pusat Paraguay mengambil tindakan terhadap operasinya.
Apabila tindakan ini diambil, ramai pelanggan menghadapi kesukaran untuk mengakses wang mereka.
Bayangkan kita mempunyai wang dalam akaun bank. Baki masih ada, tetapi kita tidak boleh mengeluarkan atau menggunakannya seperti biasa.
Tentulah kita akan bimbang. di Malaysia juga kita sudah ada bank digital kan?
Kebimbangan ini kemudiannya menyebabkan ramai orang cuba mendapatkan perkhidmatan bank lain.
Ada yang mahu membuka akaun baharu, ada yang mahu memindahkan wang dan sebagainya.
Apabila terlalu ramai melakukan perkara yang sama dalam tempoh yang singkat, aplikasi beberapa bank lain pula mengalami gangguan.
Maka timbullah pelbagai cerita, termasuk dakwaan bahawa sistem perbankan negara tersebut telah diserang penggodam.
Sedangkan gangguan sistem dan serangan siber adalah dua perkara yang berbeza.
Di sinilah saya melihat satu perkara yang menarik untuk kita fahami...
Sistem perbankan sebenarnya bukan hanya beroperasi berdasarkan jumlah wang, teknologi atau peraturan kewangan.
Ia juga bergantung kepada satu perkara yang tidak dapat kita lihat secara fizikal.
Kepercayaan. Ya..sejauh mana kit apercaya kepadanya..
Kita menyimpan wang di bank kerana kita percaya wang itu selamat.
Kita percaya apabila kita mahu mengeluarkannya, bank mampu memenuhi permintaan tersebut.
Tetapi bagaimana jika kepercayaan itu mula hilang?
Orang ramai tentunya akan cuba menyelamatkan wang masing-masing.
Dari sudut individu, tindakan itu munasabah.
Masalahnya, apabila terlalu ramai bertindak sedemikian secara serentak, ia boleh menghasilkan tekanan yang besar terhadap sistem perbankan itu sendiri.
Dalam ekonomi, fenomena pengeluaran wang secara besar-besaran akibat kebimbangan terhadap keselamatan simpanan ini dikenali sebagai bank run.
Dalam dunia hari ini, orang ramai tidak semestinya perlu beratur panjang di hadapan bank untuk menghasilkan tekanan sedemikian.
Dengan telefon pintar sahaja, jutaan orang boleh cuba melakukan transaksi dalam masa yang hampir serentak.
Teknologi telah mempercepatkan urusan kewangan kita. Tetapi teknologi yang sama juga boleh mempercepatkan kesan sesuatu krisis.
Saya melihat kes Paraguay ini dari satu sudut yang lebih luas.
Kadangkala, sesuatu sistem bukan hanya terganggu kerana kelemahan sistem itu sendiri, tetapi kerana perubahan tingkah laku manusia yang bergantung kepadanya.
Dan tingkah laku manusia pula banyak dipengaruhi oleh apa yang mereka tahu, apa yang mereka percaya dan bagaimana mereka memahami sesuatu keadaan.
Sebab itu dua orang yang menerima berita sama boleh memberikan reaksi yang berbeza.
Seorang mungkin menganggap masalah itu hanya melibatkan sebuah bank.
Seorang lagi mungkin percaya seluruh sistem kewangan negaranya sedang menuju kehancuran.
Maklumat yang diterima mungkin hampir sama, tetapi kefahaman yang terbentuk tidak semestinya serupa.
Apabila kefahaman berbeza, tindakan juga berbeza.
Inilah sebabnya saya selalu berpendapat bahawa untuk memahami sesuatu peristiwa, kita tidak boleh hanya melihat kepada apa yang sedang berlaku.
Kita juga perlu memahami bagaimana peristiwa itu berlaku, apa yang menyebabkannya dan bagaimana manusia bertindak balas terhadapnya.
Dalam kes Paraguay, ada sekurang-kurangnya tiga perkara yang perlu dibezakan.
Masalah kewangan sebuah institusi.
Gangguan perkhidmatan perbankan.
Dan hilangnya keyakinan masyarakat terhadap institusi kewangan.
Ketiga-tiganya boleh saling mempengaruhi, tetapi bukan perkara yang sama.
Begitu juga dengan dakwaan serangan siber tadi.
Apabila aplikasi bank tidak boleh digunakan, tidak bermakna sistem itu semestinya telah digodam.
Kita perlu mengetahui puncanya sebelum membuat kesimpulan.
Satu lagi perkara yang menarik, krisis perbankan Paraguay ini turut berkembang menjadi krisis politik.
Ini menunjukkan bahawa masalah yang bermula dalam sebuah institusi boleh memberikan kesan yang jauh lebih luas apabila ia melibatkan kepentingan dan kepercayaan masyarakat.
Bagi saya, kes Paraguay ini memberikan satu pengajaran yang cukup besar.
Kekuatan sesebuah institusi bukan hanya terletak pada keupayaannya untuk berfungsi, tetapi juga pada keyakinan masyarakat bahawa institusi itu akan terus berfungsi apabila diperlukan.
Sebab itu tadbir urus, ketelusan, akauntabiliti dan komunikasi yang baik sangat penting.
Bukan sekadar untuk memastikan sesuatu sistem berjalan dengan baik, tetapi juga untuk memastikan masyarakat memahami apa yang sedang berlaku apabila timbul masalah.
Kerana apabila masyarakat tidak mempunyai maklumat yang mencukupi, ruang tersebut mudah diisi dengan andaian dan spekulasi.
Dan apabila spekulasi mula dipercayai sebagai realiti, manusia akan mula bertindak berdasarkan kepercayaan tersebut.
Kadangkala, tindakan itulah yang akhirnya memburukkan lagi keadaan.
Jadi, apabila kita membaca berita mengenai sesuatu sistem yang dikatakan lumpuh, jangan terlalu cepat membuat kesimpulan tentang puncanya.
Cuba fahami dahulu apa sebenarnya yang berlaku.
Apa yang kita nampak sebagai masalah, tidak semestinya merupakan punca sebenar kepada masalah tersebut.
Dan saya fikir, itulah antara perkara paling penting yang boleh kita pelajari daripada kes Paraguay ini.











