Total Pageviews

LLM: Memahami "Minda" AI Dari Perspektif Seorang Ahli Psikologi

Lusa, saya akan ke UTHM untuk berkongsi beberapa perkara dengan hampir 40 peserta kursus berkenaan tajuk seperti foto di bawah.



UTHM adalah IPT kedua selepas UNISHAMS memberikan saya ruang dan peluang berkongsi maklumat dalam tajuk sebegini.

Cara saya menyampaikan tajuk ini agak berbeza dengan pengendali lain kerana saya lihat ramai pengendali kursus fokus kepada teknik dan cara kerja.

Oleh kerana latar saya psikologi, jadi saya bawakan elemen ini dalam kursus ini nanti sebab saya mahu peserta saya faham bahawa AI mampu membantu mereka meningkatkan produktiviti dan diri mereka sekaligus, bukan hanya memendekkan masa dalam penghasilan tugasan harian dan hakiki.

Apabila orang bercakap tentang Artificial Intelligence (AI), kebanyakan perbincangan akan berkisar tentang teknologi, komputer dan algoritma. 



Namun, sebagai seseorang yang mempunyai latar belakang dalam bidang psikologi, saya lebih tertarik untuk bertanya satu soalan yang lebih asas.

Adakah AI benar-benar berfikir seperti manusia?

Jawapan kepada soalan ini akan menentukan bagaimana kita menggunakan AI, sejauh mana kita mempercayainya, dan apakah peranan manusia pada masa hadapan.

Kepintaran bahasa tidak semestinya kepintaran manusia

Hari ini, model seperti ChatGPT dibina menggunakan teknologi yang dikenali sebagai Large Language Model (LLM).

Ramai yang menganggap LLM ialah "otak digital". 

Saya kurang bersetuju dengan istilah itu.

Bagi saya, LLM lebih tepat difahami sebagai enjin bahasa berbanding minda.

Ia mampu menghasilkan ayat yang sangat meyakinkan, menjawab soalan yang kompleks, menulis laporan, menterjemah bahasa dan membantu menyelesaikan pelbagai tugasan. 

Namun semua itu tidak bermaksud ia mempunyai pengalaman hidup, emosi atau kesedaran seperti manusia.

TIADA PENGALAMAN HIDUP.... ini kata kuncinya...

Di sinilah ramai orang mula keliru.

Dalam psikologi, minda tidak terbina daripada bahasa sahaja.

Sejak dahulu lagi, psikologi melihat manusia sebagai satu sistem yang jauh lebih kompleks daripada sekadar penggunaan bahasa.

Kita mempunyai persepsi untuk memahami dunia, perhatian untuk memilih maklumat yang penting, memori untuk menyimpan pengalaman, penaakulan untuk membuat keputusan, emosi untuk memberi makna kepada pengalaman, serta motivasi yang menggerakkan tindakan.

Bahasa hanyalah salah satu daripada komponen tersebut.

LLM pula sangat hebat dalam satu perkara sahaja : BAHASA.

Ia tidak mempunyai pengalaman melihat matahari terbit, berasa lapar , tidak pernah kehilangan orang yang disayangi dan tidak pernah merasai kegagalan atau kejayaan.

Namun, ia mampu bercakap tentang semua perkara itu kerana ia telah mempelajari corak bahasa manusia dalam skala yang luar biasa besar.

LLM tidak memahami dunia. Ia memahami corak bahasa tentang dunia.

Inilah perbezaan yang paling penting.

Apabila seorang manusia berkata, 

"Saya sedih kerana kehilangan seorang sahabat," - ayat itu lahir daripada pengalaman, emosi, ingatan dan hubungan sosial.

Apabila LLM menghasilkan ayat yang sama, ia bukan kerana ia pernah mengalami kehilangan. 

Sebaliknya, ia mengenal pasti bahawa dalam berjuta-juta contoh teks yang dipelajarinya, corak bahasa tertentu biasanya muncul apabila manusia bercakap tentang kehilangan.

Dengan kata lain, ia tidak mengalami emosi tersebut.

Ia hanya mengetahui bagaimana manusia biasanya menggambarkannya.

Saya cuba berikan analogi untuk kita sama - sama faham...

Bayangkan seorang pelajar psikologi yang membaca setiap buku Sigmund Freud, Jung, Skinner, Bandura, Piaget dan ribuan jurnal akademik.

Pengetahuan pelajar itu pasti sangat luas (jika dia memahami apa yang dibaca pastinya..).

Namun, dia belum pernah bekerja sebagai kaunselor, belum pernah berkahwin, belum pernah kehilangan orang tersayang dan belum pernah melalui pelbagai ujian kehidupan.

Dia mampu bercakap dengan sangat baik tentang emosi manusia, tetapi pengetahuannya datang daripada pembacaan, bukan pengalaman.

Saya juga pernah begini, ketika masih bergelar "Junior trainer"..

Untuk mempercepatkan ini, saya banyak belajar dari pengalaman orang lain..

Berbeza dengan LLM..

LLM berada pada tahap yang jauh lebih besar.

Ia "membaca" hampir seluruh dunia bahasa manusia, tetapi tidak pernah "mengalami" dunia itu.

Kita harus faham bahawa bahasa bukan bukti kesedaran..LLM tak menyedari hal ini.

Inilah perkara yang saya fikir paling penting untuk difahami.

Kita sering menganggap seseorang itu memahami kerana dia boleh bercakap dengan baik.

Sedangkan dalam psikologi, bahasa hanyalah manifestasi luaran. 

Di sebalik bahasa masih wujud pengalaman, niat, emosi, nilai, motivasi dan kesedaran.

LLM mempunyai bahasa.

Tetapi bahasa sahaja belum cukup untuk membuktikan kewujudan minda seperti manusia.

Jadi, apakah sebenarnya LLM?

Jika saya diminta menerangkannya kepada pelajar psikologi, saya akan mengatakan begini:

LLM ialah model matematik yang mempelajari corak bahasa manusia sehingga mampu mensimulasikan banyak aspek pemikiran linguistik, tetapi tanpa memiliki pengalaman hidup, kesedaran, emosi dan motivasi sebagaimana manusia.

Itulah sebabnya AI boleh kelihatan sangat pintar.

Namun kepintarannya datang daripada keupayaan mengenal pasti corak bahasa, bukan daripada pengalaman menjadi manusia.

Saya percaya masa depan bukanlah pertandingan antara manusia dan AI.

Sebaliknya, masa depan adalah tentang memahami sempadan kedua-duanya.

AI mampu memproses bahasa pada skala yang tidak mampu dilakukan oleh manusia.

Manusia pula memiliki sesuatu yang masih belum dapat ditiru oleh mesin iaitu pengalaman hidup, nilai, kebijaksanaan, empati dan tanggungjawab moral.

Semakin kita memahami perbezaan ini, semakin bijak kita menggunakan AI sebagai alat yang memperkukuh keupayaan manusia, bukan menggantikannya.

AI mungkin mampu menghasilkan bahasa yang sangat indah.

Tetapi manusialah yang memberikan makna kepada bahasa tersebut.

Mohsen Amdan

No comments: