Total Pageviews

PROGRAM PENINGKATAN PRODUKTIVITI MELALUI PEMENTORAN



Program anjuran Bahagian Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman ini telah diadakan pada 28 – 29 Januari 2013 bertempat di Hotel Quality, Shah Alam. Ia dihadiri oleh 18 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Pejabat SUK Kedah dan telah berlangsung dengan jayanya.

Pejabat SUK Negeri Kedah melaksanakan program mentoring yang melibatkan pegawai dan kakitangan yang terpilih sebagai salah satu keperluan yang diarahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia dalam memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan awam di negeri Kedah. Disamping itu, program mentoring ini juga dijadikan wadah penyampaian dan perkongsian maklumat dan ilmu pengetahuan berkaitan kerja/tugas di antara pegawai dan kakitangan di agensi tersebut.

MAC Sdn Bhd telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan program sepanjang dua hari  ini. Banyak maklumat dan ilmu telah berjaya dikongsi bersama para peserta seperti perbezaan di antara mentoring, coaching, facilitating dan counselling,memahami perbezaan karakteristik antara generasi Baby boomers, Generasi-X dan Generasi-Y serta jenis-jenis Mentoring. Peserta juga melaksanakan proses Time-line, didedahkan dengan ilmu Semiotic berkaitan tandatangan seseorang, analisis SWOT dan Mapping. Keseluruhan program dijalankan secara tidak formal, santai dan penuh ceria.

Berikut dipaparkan beberapa foto sepanjang program berlangsung.

Sesi Timeline

  
Kaedah Pemetaan 4M



Kaedah mengendalikan Sindrom Elephant In The Living Room

Bertemu kembali dalam sambungan artikel Memahami Masalah di Dalam Keluarga - Elephant In The Living Room. Kali ini saya akan kongsikan mengenai kaedah mengendalikan sindrom ini. Kepada yang terlepas isu ini atau kurang faham mengenai isu ini sila klik di sini

Untuk mengendalikan masalah di dalam keluarga, terdapat beberapa langakh yang boleh dipraktikkan. Berdasarkan pembacaan, pembelajaran dan pengalaman hidup saya sendiri, langkah pertama dalam mendepani perkara ini ialah BERDEPAN DENGAN KEGELISAHAN ITU!


Apabila suasana Elephant In The Living Room ini terjadi, GELISAH ialah perkara awal yang akan tercetus. Semua orang yang tahu mengenai Gajah itu akan mula jadi gelisah namun dalam masa yang sama cuba berlagak dan berlakon tenang bagai tiada apa yang berlaku. Ini sebenarnya satu senario yang hanya memburukkan keadaan. Apabila kegelisahan melanda, ia bakal menerbitkan rasa CEMAS, TAKUT, MALU dan sebagainya  Maka, langkah pertamanya ialah anda perlu berdepan dengan kegelisahan itu, Apa yang harus dilakukan bagi menedepani gelisah ini?

Pertamanya anda perlulah membuka pintu kegelisahan ini iaitu dengan berkongsi kegelisahan anda dengan seseorang. Sama ada ahli keluarga yang paling rapat dengan anda, teman baik mahupun kaunselor. Kongsikan mengenai apa yang berlaku berdasarkan kaca mata anda, apa yang anda rasa atau apa yang membuatkan kegelisahan itu makin teruk dari hari - ke hari. Memendamkan rasa gelisah sebenarnya hanya akan menekan diri anda dan membuatkan keadaan menjadi lebih buruk.

Kenapa ia mampu membantu anda pada peringkat ini? Apabila anda berkongsi masalah dengan orang lain, ia  bagaikan anda cuba membuka pintu almari yang mana almari itu sedang penuh dengan asap. Apabila pintu itu dibuka, asap yang berkepul tadi mula keluar dan sikit demi sikit keadaan akan menjadi lebih jelas untuk dilihat. Maka baru anda lebih jelas dengan apa yang berlaku.

Maka ada yang bertanya - tidakkah ia bagai membuka pekung di dada?

Saya akan menjawab.."Anda hanya berkongsikan kegelisahan itu dengan orang yang anda percaya dan rapat..menerusi perbualan..Ianya jauh lebih baik dari mencatatkan perasaan anda di dinding Facebook!"

Nantikan sambungan artikel ini

2013 - Langkah seterusnya....


Kehancuran yang dikatakan bakal berlaku pada 2012 oleh Kaum Maya yang juga sudah pupus nampaknya tidak menjadi. Kuasa Allah SWT membawa kita ke 2013 dengan meninggalkan beribu kenangan yang hadir pada 2012. Dunia menyaksikan pelbagai perkara suka dan duka, bencana dan rahmat serta pergolakan dan kejayaan yang di alami oleh setiap satu penduduk muka bumi, negara dan bangsa.

Dengan banjir di Pantai Timur menjadi penutup kepada bencana alam di negara ini untuk 2012, negara lain pula dilanda pelbagai bentuk dugaan cuaca lain. Salji tak semena - mena di Jazirah Arab dan salji tidak hadir seperti dijangkakan di beberapa tempat di Eropah menunjukkan bahawa bukan semua perkara bakal berlaku seperti direncana manusia..hanya Allah sahaja yang tahu apa yang terbaik. Namun itu bukan alasan untuk kita tidak merancang dalam tindak tanduk kita.

Bagi saya sendiri, 2013 bagai memberi satu semangat baru buat saya. 2012 berlalu dengan pelbagai pengalaman baru..melibatkan pelbagai bentuk emosi. 

Kekuatan baru bagai disuntik ke dalam diri apabila menerjah 2013 ini. Banyak perkara yang sudah berada di dalam senarai panjang perancangan saya dan takdirnya Allah menghantar beberapa tenaga baru untuk bersama saya bagi mencapai banyak perkara terutama dalam aspek membangunkan masyarakat dalam pelbagai segi.

Semoga perancangan saya untuk 2013 ini mendapat perkenan Allah dan dipermudahkan segala urusannya. Ayuh melangkah dengan semangat!

Memahami masalah dalam keluarga

Sejak kebelakangan ini semakin kerap saya mengendalikan persoalan berkaitan masalah keluarga berbanding persoalan berkaitan kerjaya seperti biasanya. Saya mula menyedari senario ini sejak Oktober lalu. Secara kebetulan satu demi satu yang menghubungi saya menerusi pelbagai cara berkongsi pelbagai permasalahan dalam keluarga.

Tiada siapa yang tidak dilanda masalah. Itu adalah satu lumrah di mana manusia itu sendiri hidup dengan melalui pelbagai masalah. Malah masalah juga sering menggerakkan kita ke arah sesuatu. Sama ada baik atau buruk, ia bakal ditentukan melalui jalan apa yang dipilih dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Untuk entri kali ini, saya ingin berkongsi mengenai satu senario yang di panggil The Elephant In The Living Room Syndrome atau dalam Bahasa Melayu disebut Sindrom Gajah Di Ruang Tamu. Apakah yang dimaksudkan dengan sindrom ini?


Bayangkan situasi ini - di ruang tamu rumah anda ada seekor gajah sedang berdiri di situ, manakala semua ahli keluarga anda melihatnya dan tahu mengenai kehadirannya tetapi tiada siapa pun mahu berbicara mengenainya. Dalam keadaan ini ..semua orang menafikannya dalam diam walaupun semua orang tahu masalah itu wujud. Keliru? Saya jelaskan dengan satu contoh.

Malam tadi ibu dan bapa bergaduh dengan begitu teruk sekali. Nenek dan adik - adik anda juga menyaksikan pergaduhan tersebut. Anda yang pulang kerumah dihujung minggu duduk semeja dengan semua ahli keluarga ketika makan malam tanpa mengetahui apa yang berlaku malam tadi. Tetapi apa yang menghairankan anda semua orang di meja makan berwajah sugul. Apabila anda bertanyakan kepada adik - adik, tiada siapa yang memberitahu perkara sebenar begitu juga dengan nenek anda - adakah anda faham dengan contoh yang saya berikan?

Dalam sindrom ini, masalah keluarga biasanya menjadi terpendam dan membusuk. Seseorang dalam keluarga melakukannya dan tiada siapa mengambil apa - apa tindakan mengenainya. Bukan sekadar tidak mengambil tindakan bahkan tidak langsung mahu membicarakannya dengan harapan ia akan selesai dengan sendirinya. Persoalannya, bolehkah ia selesai dengan sendirinya? Jawapannya ialah TIDAK.

Apakah contoh masalah keluarga yang sering terlibat dalam sindrom ini? Sila rujuk di bawah
1. Ketagihan Alkohol
2. Ketagihan dadah
3. Curang
4. Perceraian
5. Sumbang Mahram
6. Rogol
7. Salah laku korporat
8. Rasuah
9. Pelacuran
10. Curi
11. Kemiskinan
12. Hutang
13. Homoseksual
14. Aktif dengan jenayah
15. Penguguran kandungan
16. Bankrap
17. Dan pelbagai lagi

Sindrom Gajah Di Ruang Tamu ini mengakibatkan banyak keluarga menjadi tidak bahagia, kacau bilau, hidup dalam ketidakpastian, perasaan tidak selamat dan terancam dan sebagainya. Ia juga sebenarnya bukan hanya terhad kepada istitusi kekeluargaan malah begitu juga di dalam pejabat. Anda pernah menghadapi situasi sebegini? Apa yang boleh dilakukan? Nantikan sambungan siri artikel ini.

Maal Hijrah 1434



Pantas sungguh masa berlalu..kini tahun Hijrah sudah pun memasuki 1434. Dunia semakin tua atas perbandingan peristiwa Isra' Mikraj Rasulullah yang melihat insan tua bongkok tiga yang menjadi perbandingan usia dunia ini. Dalam masa yang semakin pantas berlalu ini cabaran manusia semakin besar saban hari.

Untuk Maal Hijrah 1434 ini, saya ingin kongsikan sedikit pandangan saya mengenai keadaan insan seperti saya dan anda pembaca budiman yang kadang - kadang bingung dengan apa yang dicari di dunia ini. Ini kerap terjadi apabila kita tidak memiliki matlamat ukhrawi yang jelas.

Saya pernah di datangi seseorang yang mengadu mengenai kekosongan jiwa walaupun memiliki segala bagai benda yang mampu dibeli dengan wang ringgit. Antara tuturnya yang agak memberi kesan kepada saya ialah
"Saya menetapkan matlamat dalam hidup dan saya mencapainya. Contohnya saya ingin membeli kereta mewah dengan perasaan kalau dapat memandu kereta itu pastinya hidup saya jadi lebih hebat. Tetapi setelah membeli kereta idaman itu saya rasa biasa sahaja..hanya teruja pada minggu - minggu awal pembelian itu. Sudahnya ia hanyalah perasaan biasa sahaja"

Saya sendiri pernah merasai pengalaman itu. Menetapkan matlamat dan berusaha ke arahnya. Bila sudah berjaya mencapainya saya hanya akan rasa seperti yang dirasai oleh si pengadu tadi. Maka apakah yang kita cari sebenarnya dalam hidup?

Seorang pengamal Vastu iaitu Sukhabodhananda pernah berkata - "Success has never given fulfillment". Ia dikatakan oleh  seorang yang berpengaruh dalam bidang perundingan korporat yang menggunakan pendekatan spiritual dalam ilmu pengurusan korporat. Pandangannya ini pada mulanya agak memeningkan saya. Tetapi setelah saya perhalusi saya lihat ada kebenarannya.

Menurut beliau, sebagai manusia kita terperangkap dengan perkara material yang pada pandangan kita sebagai manusia biasa mampu memberikan kita perasaan "Lebih Baik" atau "Better". Kita melihat orang kaya memandu kereta besar dan mewah maka kita mula membisikkan ke hati sendiri dialog beracun "Kalaulah aku dapat memiliki kereta itu juga pasti aku juga akan lebih hebat / baik". Persoalannya adakah benar kita akan jadi lebih baik / hebat / cool dengan memiliki kereta mewah itu?

Persepsi bahawa material bakal menjadikan hidup kita lebih baik perlu difikirkan semula. Ada orang menghantar anaknya ke sekolah terbaik di bandar, tetapi apa yang diperolehi menjadi sebaliknya. Begitu juga anak luar bandar yang hanya bersekolah kampung tetapi mampu menjadi hebat melebihi mereka yang mendapat pendidikan 'SEMPURNA'. Mana mungkin ada pendidikan sempurna kerana manusia itu sendiri tidak sempurna bukan? Bill Gates dan Mark Zuckerberg adalah antara ribuan bukti nyata untuk kita!

Berusaha ke arah yang lebih baik adalah satu tuntutan Islam. Malah dalam kalimah azan juga disebut Haiya alal Falah - Marilah menuju kejayaan. Namun ia mestilah meletakkan Ukhrawi sebagai sandarannya..bukan duniawi semata - mata. Berusaha sebaik mungkin dengan menjadikan 'Kaya' dengan sandaran dapat membantu lebih ramai orang susah adalah wajar diutamakan..bukan untuk memiliki harta sebanyak mungkin dan bermegah.

Kesedaran ini sekali lagi hadir kepada saya ketika mengendalikan satu program dengan kakitangan bergred paling rendah dalam sektor awam. Dengan gaji mereka yang kecil , saya dapati beberapa orang dari mereka menjalani kehidupan yang sangat bermakna berbanding sesetengah orang yang kaya raya yang sentiasa akan menceritakan kepada anda masalah itu dan ini.

Moga tahun baru Hijrah ini membuka lembaran baru buat kita semua. Selamat menyambut Maal Hijrah 1413. Tetapkan matlamat tahun baru ini dengan sandaran Ukhrawi dan bukan hanya duniawi. Letakkan matlamat yang jelas dan spesifik - Ingin mula solat Dhuha 3 kali seminggu sebagai contoh, Bukannya "Ingin menjadi Mukmin sejati"..kerana ia kurang jelas. 

Ya Allah..ampunilah segala kesilapan dan dosa kami yang telah kami lakukan pada 1433 Hijrah dan tunjukkan kami ke jalan yang benar pada tahun 1434 ini. 

Motivasi Diri - Hidup Dalam Dunia Sebenar (HDDS)

Hidup Dalam Dunia Sebenar atau HDDS adalah konsep yang ingin saya bawakan dalam entri kali ini. Tulisan saya kali ini lebih menjurus kepada mengajak pembaca menghayati kehidupan dalam konteks realiti dan bukan idealisme semata - mata.

Sering kita dinasihati, disebutkan atau diberitahu bahawa hidup yang sempurna mestilah itu dan ini; mencari pasangan perlulah memiliki ciri itu dan ini dan pelbagai lagi dengan akronim yang pelbagai. Tontonilah filem The Love Guru lakonan Mike Myers yang menyindir motivator - motivator yang kerap muncul dengan akronim yang cukup banyak di mana hakikatnya tidak ramai pun yang ingin menghafalnya.



Hidup Dalam Dunia Sebenar (HDDS) pada hemat saya memerlukan set kemahiran hidup yang banyak; mengurus diri, masa dan persekitaran dengan baik..bukan menguruS dengan sempurna. Kenapa tidak sempurna? Kerana yang sempurna itu hanya milik Allah dan manusia sememangnya bergerak atas kelemahan, masalah dan kekurangan. 

Kenapa adanya restoran? Kerana manusia sibuk, tak tahu masak dan sebagainya. Adanya restoran itu bukan kerana secara tiba - tiba anda ingin berniaga restoran tetapi kerana masalah orang lain, peluang dan pelbagai faktor lain. Sebab itu anda memilih bidang tertentu untuk diceburi atas pelbagai sebab dan alasan.

HDDS pada hemat saya juga merujuk kepada realiti sebenar kehidupan. Dalam kehidupan ini kadangkala anda berhadapan komputer rosak, pelanggan lewat hadir, bas awam lewat tiba, majikan yang tidak penyabar dan pelbagai perkara luarjangka yang berlaku setiap hari. Apa juga yang anda hadapi, terimalah hakikat bahawa ADA SESETENGAH PERKARA YANG ANDA TIDAK MAMPU UBAH.

Namun..ada penyelesaiannya iaitu ANDA MAMPU MERUBAH CARA ANDA MENGHADAPINYA

Terdapat banyak cara untuk anda menguruskan perkara ini. Di antaranya ialah meningkatkan disiplin diri, kurangkan merungut, menguruskan masa dengan baik dan juga mengendalikan tugasan anda dengan lebih berhemah.

Nantikan sambungan tulisan ini tentang cara - cara mengendalikan HDDS

Sukan sepanjang tahun bebankan sekolah, pelajar.


Usai Olimpik London 2012, negara menyambut kepulangan 2 pingat menerusi badminton dan terjun platform. Dengan skim pencen dan habuan yang diberikan oleh kerajaan kepada Dato Lee Chong Weindan Pandalela, seharusnya ia membuka mata ramai anak muda untuk menceburi dunia sukan sebagai kerjaya dan mata pencarian. Namun, anjakan paradigma  bahawa bidang sukan tidak mampu menjanjikan masa depan yang baik di Malaysia bukanlah  mudah

Pelbagai idea dilontar, wacana di kupas dan simposium serta seminar diadakan bagi memartabatkan sukan sebagai salah satu industri besar negara nampaknya masih menunjukkan jalan buntu. Kesedaran masyarakat mengenai hal ini masih amat rendah malah dilihat membebankan pula. Di bawah saya titipkan satu tulisan dari Utusan Malaysia mengenai pandangan konsep 1 Murid 1 Sukan yang dilihat lebih menyusahkan. Apa komen anda dalam hal ini?

GURU WARIS
Ke mana hala tuju pendidikan negara? Persoalan ini ada kaitan dengan kecelaruan sistem pendidikan yang sehingga kini masih dalam kajian khususnya yang melibatkan Dialog Pendidikan Nasional bagi mengumpul pandangan orang ramai bagi memantapkan sistem pendidikan negara.

Terpanggil dengan keadaan semasa yang berlaku di sekolah sekarang, sebagai guru dan waris saya ingin mengemukakan isu yang kini membelenggu pengurusan sekolah. Ia banyak berkaitan dengan dasar 1 Sukan 1 Murid dan Sukan Sepanjang Tahun khususnya di sekolah menengah seluruh negara.
Menyedari kepentingan sukan dan permainan yang menjadi minat dan kesukaan pelajar, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengorak langkah melaksanakan dasar tersebut. Ia amat baik dalam usaha penggabungan nilai JERI yang cuba diterapkan secara bersepadu dalam aktiviti ini.

Perlu diakui bukan semua murid yang berminat itu adalah murid berbakat dan berpotensi. Ada yang sekadar suka-suka dan langsung tidak serius kerana menyedari kelemahan dan ketidakmampuan mereka. Keadaan ini boleh diumpamakan dengan ungkapan, 'kita boleh membawa kuda ke pinggir air, tetapi kita tidak boleh memaksa kuda untuk minum air'.
Namun bagi merealisasikan dasar ini, sepanjang 2012 saya mendapati banyak program dan jadual sekolah terjejas. Dasar ini memberikan impak yang amat-amat mengganggu keseluruhan jadual dan perancangan pihak sekolah dan menjejaskan banyak perkara lain. Jika dahulu perancangan sukan dan aktiviti kokurikulum akan berlangsung dari awal tahun dan akan berakhir sekitar bulan April tetapi kini jadual sukan atau merentas desa adalah dari awal tahun hingga bulan Jun atau Julai.

Kesannya banyak perancangan lain tidak dapat disusun dengan teratur dan semakin menimbulkan kebosanan kerana jadual padat dan panjang bagi menghadapi acara berkenaan. Mengambil contoh beberapa kes di sekolah, terdapat pelajar yang sudah bosan menjalani latihan rumah sukan, latihan merentas desa yang berbulan-bulan. Ramai pelajar mula ponteng dan ada yang langsung tidak hadir semasa sukan tahunan. Mereka memberikan alasan tidak berminat menyertai sukan kerana masa yang panjang, panas, menjejaskan kulit dan sebagainya. Malah ada juga ibu bapa yang tidak menyokong kerana kos yang perlu dikeluarkan akibat tempoh panjang bagi sesi latihan rumah sukan.

Di kalangan pentadbir sekolah dan guru juga, ramai yang merungut dengan perubahan ini. Program ini menjejaskan fokus utama guru-guru tertentu. Sebagai contoh banyak sekolah melalui situasi sukar untuk memilih tarikh sukan tahunan dan acara merentas desa kerana kepadatan aktiviti sekitar bulan Mei, Jun dan Julai. Malah boleh dibuktikan bahawa terdapat sekolah yang mengajurkan aktiviti ini pada cuti peristiwa kerana kekangan masa. Faktor cuaca iaitu musim hujan juga turut menjejaskan aktiviti dan ini juga perlu diambil kira oleh KPM.

Apa yang dikesalkan ialah banyak acara peringkat daerah, negeri dan kebangsaan seperti pertandingan kawad kaki, perkhemahan, forum dan pertandingan lain berlangsung sekitar bulan Jun, Julai, dan selepas hari raya hingga September.