Total Pageviews

Kehidupan nelayan sebagai inspirasi

Semalam saya sempat singgah ke pantai Kampung Sungai Ular Cherating, bersebelahan Sanctuary Resorts yang mana merupaka salah satu lokasi yang saya suka pemandangnya. Walaupun tidak pernah menginap di resort ini, kawasan sekitarnya amat saya sukai dan menggamit rasa. Pemandangan damai tatkala bot - bot nelayan kecil keluar dan masuk, airnya yang biru kehijauan sangat membuatkan rasa hati ini tenteram.


"Nak apa lagi kalau dah begini suasananya?" Tanya saya kepada Lukman dan Hanif, yang turut bersama saya ke Cherating untuk mengendalikan satu program Teambuilding. Mereka masing - masing hanya mampu berkata "Huaaaaa!!!" apabila melihat keindahan ciptaan Allah ini.

Bot - bot nelayan yang baru pulang dari mencari rezeki

Melihat nelayan yang keluar dan masuk dari muara kecil ini, saya mula terfikir tentang cabaran yang dihadapi saban hari oleh nelayan. Berbanding dengan kebanyakan kita yang hanay perlu menunggu hujung bulan untuk meluru ke mesin ATM dan dengan sekeping kad istmewa, wang bakal terjulur keluar untuk dibelanjakan. Mereka, nelayan - nelayan ini perlu melalui proses berbeza. Menyiapkan segala kelengkapan ke laut dan setiap perjalanannya belum menjanjikan apa - apa, Mungkin hujan ditengah jalan maka pulanglah mereka dengan tangan kosong. Mungkin juga lubuk kurang menjadi maka tiada apa untuk dijadikan habuan hari itu.


Melihat kepada apa yang berlaku kepada mereka, saya berkata kepada Lukman dan Hanif - "Nampaknya saya juga tidak jauh bezanya dari nelayan - setiap hari yang mendatang belum menjanjikan apa - apa sebagai habuan". Mereka bersetuju dengan apa yang saya katakan.

Nelayan juga adalah satu bentuk keusahawanan. Segala perancangan, strategi dan peralatan boleh diatur. Namun Allah jua tempat disandarkan jumlah rezeki dan habuan yang diterima. Pergi dan balik tanpa kepastian. Namun perlu sentiasa cekal dan yakin bahawa Allah penentu segalanya.

Kundasang - Genting - Cameron

3 program saya yang terakhir berlangsung di 3 kawasan tanah tinggi yang berbeza : Kundasang Sabah, Genting Highland dan Cameron Highland. Rezeki membawa saya ke 3 lokasi ini dalam masa singkat dan saya mengalami 3 pengalaman yang berbeza.




Ketika berprogram di Kundasang bersama JPPH sebelum ini, itu merupakan kali pertama saya ke sana seumur hidup. Genting Highland juga telah agak lama saya tidak menjejakkan kaki ke lokasi perjudian popular ini. Seingat saya kali terakhir adalah ketika mengendalikan program bersama PERHILITAN kira - kira 5 tahun lalu. Manakala Cameron Highland pula saya hanya pernah 2 kali ke sana sebelum ini iaitu ketika usia saya 12 tahun usai UPSR dan kali kedua ketika bekerja di McDonalds pada tahun 1995.

3 kawasan sejuk dengan 3 senario berbeza.

Di Kundasang, anda yang dari semenanjung pastinya teruja dengan pelbagai perkara sepanjang perjalanan ke puncak mahupun ketika sudah berada di atasnya. Kehijauan di kiri kanan disulami dengan bau hutan segar serta kabus dan awan berselang seli. Sangat menyegarkan dan pemandangan kampung masyarakat tempatan tanpa banyak sentuhan moden membuatkan anda terlupa seketika hiruk pikuk bandar. Tetapi, harga sayuran dan buahan di kedai - kedai di kaki Kundasang sedikit mencacatkan perasaan apabila harga di Kundasang lebih mahal dari Kota Kinabalu.

Genting Highland yang kini sedang membaik pulih kereta kabelnya pula di hangatkan oleh pasangan bercinta tak mengira bangsa dan juga si pemakai baju batik yang ingin berjudi. Memakai batik untuk berjudi? Ya..Muslim  tidak dibenarkan masuk ke pusat perjudian kecuali dengan perkenan VVVIP. Suasana Genting juga agak suram nampaknya dengan kehadiran pelancong yang lebih menjurus kepada acara yang di anjurkan seperti pementasan dan konsert. Taman Tema Genting juga adalah usaha menarik pelancong bergembira sambil bersejuk sejukan.

Cameron Highland pula saya perhatikan semakin pasrah di tarah untuk pelbagai tanaman. Namun rasa sejuk masih menggamit pelancong. Jagung organik dan buah strawberri adalah ole - ole wajib dari kawasan bersempadan Pahang - Perak ini. Jelas juga ramai warga Indonesia bekerja di puncak ini dengan pelbagai sifat tugasan. 

Malaysia pada hemat saya sememangnya mempunyai banyak tarikan yang boleh dijual kepada pelancong. Maka ia harus di bungkus dengan baik dan menarik supaya persaingan Singapura, Thailand dan Indonesia sebagai destinasi percutian dapat di imbangi.

Kerja, Kerja Berpasukan ; Team, Teambuilding

2012 ini melihatkan saya lebih banyak terlibat dengan program atau kursus bertemakan Kerja Berpasukan atau Teambuilding. Walaupun ia bukanlah niche saya tetapi nampaknya rezeki tahun ini membawa saya bertemu dengan pelbagai agensi yang memiliki pelbagai isu dan perkara berkaitan pengukuhan kerja berpasukan.




Pasukan yang mantap akan membolehkan sesebuah agensi itu berfungsi dengan lebih berkesan. Namun perkara ini tidak hanya akan terbentuk dalam masa 3 hari 2 malam. Terkadang saya juga bingung dengan kehendak pelanggan yang mahu saya dan krew MENYELESAIKAN masalah berkaitan pasukan mereka yang bertahun - tahun lamanya dalam masa 3 hari 2 malam. 


Program Kerja Berpasukan atau Teambuilding adalah salah satu pengisian pembelajaran sepanjang hayat. Ini harus difahami. Ia bukanlah ubat ajaib yang boleh menyelesaikan masalah pasukan anda dalam masa singkat. Apa juga yang dipelajari dalam program harus dipraktikkan sebaik - baiknya di dalam urusan harian ditempat kerja. Ia memerlukan pemantauan dari pihak pengurusan sendiri. Malah, pihak pengurusan sendiri juga perlu hadir ke program bagi mengambil peluang memahami kakitangan bawahan kerana konflik atau permasalahan yang timbul sebelum ini barangkal berpunca dari sesuatu yang kita terlepas pandang. 


Program sebegini sebenarnya membantu kita memahami pasukan dengan lebih mendalam. Ini kerana anda melalui semua pengisian bersama - sama, makan bersama, tidur sebilik, menggunakan tandas yang sama serta meraikan kemenangan atau kekalahan dalam setiap permainan bersama - sama. Di sinilah sebenarnya titik puncak pembelajaran dalam kerja berpasukan. Sebab itu, dalam setiap aktiviti yang dilalui harus dibuat secara bersungguh - sungguh bagi membolehkan kita menyerap isinya secara maksimum.


Antara punca masalah dalam kerja berpasukan yang ketara ialah komunikasi. Aspek ini sering saya tekankan dalam sebarang program yang saya kendalikan. Maka di setiap program kendalian saya, Facebook program akan diwujudkan bagi meluaskan lagi saluran komunikasi.

Kepada yang pernah ke program kerja berpasukan atau Teambuilding sebelum ini, sekiranya anda ditawarkan lagi program yang sama di masa akan datang..sertailah ia. Bukan jenis permainan yang digunakan oleh Trainer menentukan ilmu apa yang anda perolehi..tetapi apa yang anda faham dari permainan itu lebih utama.

Roda kehidupan

Assalamualaikum wbt


Kali terakhir saya menulis di blog ini ialah pada 7 Mac 2012 yang lalu. Sehingga saat ini , lebih dari sebulan saya tidak mengemaskini apa - apa di sini kerana saya melalui fasa kehidupan pusingan roda di bawah. 11 Mac 2012 sepatutnya menjadi hari yang menggembirakan kami sekeluarga tetapi berakhir dengan tragedi di mana kami terlibat dalam satu kemalangan maut yang disiarkan di semua suratkhabar Malaysia dan Singapura juga di RTM dan TV3.

Dalam kejadian yang mengerikan itu, saya sehingga hari ini masih trauma dan imbasan - imbasan kejadian masih menghantui saya. Sukar digambarkan apa yang saya alami ini tetapi pastinya ia antara pengalaman buruk hidup saya.

Tidak sampai sebulan, saya sekali lagi di timpa kemalangan teruk berhampiran laluan ke Pelabuhan Kuantan di mana kereta pengurus saya, Lukman Mohd Yusop hancur apabila bertembung dengan Perodua Viva. Saya kali ini di tempat duduk penumpang hadapan mengalami kesakitan yang teruk dibahagian dada. Trauma yang pertama masih belum reda di tambah pula dengan yang baru.

Ada beberapa lagi insiden dan perkara yang membuatkan saya agak lemah semangat dalam Mac serta April ini. Kadangkala terasa seperti begitu lemah dan kecewa. Namun, saya pasrah dan redha dengan ketentuan Ilahi. Mungkin ini adalah penghapus dosa - dosa lampau saya.

Sekiranya kitaran roda kehidupan saya kini di bawah, saya berdoa agar Allah membantu saya dalam mengharungi semua ini dengan tabah. Moga roda saya akan mula bergerak ke atas dalam sedikit masa lagi..segalanya dengan keizinanNYA jua..Allah Maha Besar

Apabila hujan turun dengan lebat...



Apabila hujan turun dengan lebat...
Penunggang motorsikal mula berhenti dan berteduh
Pemandu kereta mula menggerakkan pengelap cermin
Pejalan kaki mengeluarkan payung
Peniaga mula menyelamatkan barang jualan
Nelayan mula menghitung isi kantung
Ibu - ibu menyelimutkan anak
Penceramah mula menguatkan suara
Pelanggan kedai semakin merapatkan badan
Pekebun dan petani mulai gusar
Penduduk berhampiran sungai susah hati
Pelanggan ASTRO mula mengeluh
Penonton siaran langsung bolasepak mula bersorak bengang
PGA dan RELA mula bersedia
Bomba dan Penyelamat mengeluarkan bot gentian kaca
Polis mundar mandir
Pasangan bercinta makin seronok
Aku? 


Walaupun reaksi kita berbeza..namun setiap kejadian itu memberi maknanya tersendiri..
Hanya Allah SWT sahaja yang tahu...
Kerna Dialah Maha Mengetahui

Program Rangsangan Usahawan - Membantu Gelandangan

Program Rangsangan Usahawan yang telah M.A.C jalankan dahulu kini mula memasuki fasa baru - gelandangan yang hadir ke program itu kini telah mula berniaga! Maka saya tidak lagi mahu menggunakan istilah gelandangan ke atas mereka tetapi saya akan mula memanggil mereka Usahawan Baru!

Tiada yang lebih menggembirakan hati seorang Trainer seperti saya selain melihat input yang diberikan semasa program diterjemahkan kepada output yang sebenar!






Bertempat di hadapan pejabat PUSMA WPKL di Medan Tuanku, Koperasi Ukhwah telah memberikan ruang untuk mereka berniaga atas nama vendor merangkap mentor mereka iaitu Mat Salai, Kambest dan Spring Potato.

Apa yang membuatkan saya teruja ialah tatkala kehadiran saya tanpa mereka sedari ; begitu bersemangat mereka berniaga dan dapat saya lihat wajah gembira mereka ketika melayan pelanggan. Walaupun ia bukanlah petanda bahawa program ini sudah berjaya tetapi bagi saya ia sedang berada di landasan yang betul.

Semoga mereka akan terus bersemangat dan sukses dengan perniagaan mereka. 

Program Kerja Berpasukan bersama UTHM


Telah berlangsung pada 24 - 26 Februari 2012 yang lalu di Hotel Seri Malaysia Port Dickson program Kerja Berpasukan untuk Pejabat Naib Canselor UTHM. Porgram yang melibatkan hampir 40 orang ini berlangsung hebat dan semuanya berlaku seperti yang dirancangkan.

Menulis 'update' di FB masing - masing




Pasukan Charlie muncul juara keseluruhan!

Tahniah juga kepada peserta kali ini kerana berjaya menyamai rekod Time Challenge pada cubaan terakhir! Berikut adalah antara foto yang berjaya dirakamkan

Lain macam gayanya!



Catatan masa pada pusingan terakhir yang sangat mengujakan mereka