Ramai yang layan moreh.. tapi tak tahu pun moreh tu apa kan?
Kalau masa saya budak - budak, ada rokok jenama MORE.. ada pula rancangan MORE Jutaria..
Bila ke masjid di bulan Ramadhan, tiba - tiba ada Moreh.. keliru juga masa tu..
Dalam konteks masyarakat Melayu Islam, moreh merujuk kepada jamuan ringan yang diadakan selepas solat tarawih sepanjang bulan Ramadan.
Ia bukanlah istilah syarak, tetapi istilah budaya yang lahir daripada amalan sosial umat Islam di Alam Melayu.
Secara linguistik, perkataan moreh dipercayai berkembang daripada istilah Melayu lama seperti murih atau mureh yang merujuk kepada makan tambahan atau makan lewat malam.
Seiring masa, ia menjadi istilah khusus dalam konteks Ramadhan.
Dari sudut sosiologi agama, moreh berfungsi sebagai ruang interaksi komuniti selepas ibadah berjemaah.
Moreh juga merupakan mekanisme pengukuhan solidariti sosial dan sebagai medium perkongsian rezeki dan budaya memberi
Tradisi seumpama moreh turut ada di negara serantau.
Walaupun istilah “moreh” sangat sinonim dengan Malaysia, amalan makan bersama selepas ibadah malam Ramadhan turut wujud di negara Islam terutaman di Asia Tenggara dengan variasi budaya masing-masing:
Di Singapura, Masjid-masjid menyediakan jamuan ringan selepas tarawih sebagai usaha memperkukuh jaringan komuniti Muslim yang kini menjadi minoriti.
Di Brunei pula tradisi makan ringan selepas ibadah malam Ramadan menjadi sebahagian daripada budaya keagamaan yang disokong oleh institusi masjid.
Manakala di Indonesia .. beberapa wilayah, wujud amalan makan lewat malam selepas aktiviti ibadah atau sosial Ramadan, walaupun istilah yang digunakan berbeza setahu saya. Jagongan, Begadang dan Nginang antara istilah yang hampir sama dengan moreh.
Di Selatan Thailand pula, (Patani, Yala, Narathiwat) komuniti Melayu Muslim mengekalkan tradisi makan bersama selepas tarawih yang hampir sama dengan budaya moreh di Malaysia.
Kesemua ini menunjukkan bahawa moreh bukan sekadar amalan makan, tetapi manifestasi budaya Islam Nusantara yang menekankan ukhuwwah, kebersamaan dan keseimbangan antara ibadah ritual dan hubungan sosial.
Menu di Malaysia untuk moreh juga nampaknya semakin mengalami evolusi. Tempat anda, apa menu popular untuk moreh?

No comments:
Post a Comment