Total Pageviews

Pemerhati, Pembaca dan Penulis


Salam.
Tengahari tadi saya melakukan satu perkara yang sudah agak lama saya tidak lakukan - menaiki LRT. Bukan kerana saya terlalu selesa memandu sendiri tetapi kerana sejak kebelakangan ini saya amat jarang memasuki ibukota maka laluan saya sebelum ini tiada kemudahan LRT. Sambil membawa sebuah buku dan sebatang pen, seluar lusuh dan T-Shirt saya membeli tiket dan menanti. Tiba - tiba sahabat baik saya iaitu Tok Ijal menghantar SMS memberitahu yang dia sedang bersedia memasuki satu mesyuarat penting di Putrajaya. Maka saya membalas dan mengucap selamat kepadanya sambil memberitahunya yang saya menaiki LRT hari ini. 

Dia membalas dengan mengatakan pastinya ada sesuatu bakal terhasil dan tercatat dalam blog ini apabila saya menaiki LRT - maklumlah semangat kewartawanan katanya. Sejujurnya ketika itu saya masih belum ada apa - apa ilham kerana lebih bertindak sebagai PEMERHATI - melihat dan menilai pelbagai gelagat dan ragam manusia; pelajar bersama taulan bergerak ke sekolah, yang bekerja dan sebagainya. 




Kemudian beliau membalas sms dengan ayat berikut 
"PENULIS yang tulen itu ialah mereka yang merakam dan bercerita akan degup jantung rentak hidup masyarakat sekelilingnya. Hasil tulisannya kelak bakal ditafsir oleh mereka yang MEMBACA dan mengerti apa yang disampaikan PENULIS itu."

Wow..sungguh dalam sms beliau ini. Membuatkan saya rasa kerdil dan kecil dalam dunia penulisan ini. Ya..saya tidak pernah mendapat didikan formal dalam teknik dan gaya tulisan kewartawanan selain belajar di sekolah dan universiti dahulu. Lantas membuatkan saya berasa perlu lebih menghayati setiap apa yang saya PERHATI kan kerana nikmat melihat yang Allah SWT kurniakan kepada kita ini terlalu besar rahmatnya.

Beliau menyambung
"Lebih besar daripada itu, Sang pemerintah akan terusik akan tulisannya itu dan berusaha membaiki arus hidup marhaen yang dipimpinnya..itulah tugas besar penulis..."

Saya mengangguk sendirian kerana bersetuju dengan pandangannya itu. Pemerintah yang beliau maksudkan mungkin bukan saja dari kalangan politikus tetapi penjawat awam saya rasa. Ini kuat kebenarannya kerana kebelakangan ini saya perhatikan maklum balas di dinding Facebook saya sangat aktif. Rakan - rakan mahupun mereka yang kurang saya kenali rajin memberi pandangan, kritikan dan cadangan. Kadang - kadang rasa seperti satu forum pula.

Berbalik kepada tajuk di atas, pada hemat saya bukan mudah menjadi seorang PEMERHATI yang baik kerana ia apa saja yang diperhatikan perlu ada ilmu di dalamnya. Begitu juga sebagai PEMBACA, kita perlu memiliki ilmu untuk menguasai apa yang dibaca, untuk dianalisa, di debat dan sebagainya. Tidak kurang juga pentingnya ilmu untuk kita menjadi PENULIS kerana menulis perlu digilap dan dilatih supaya dapat memberi kesan kepada pembacanya. 

Tok Ijal mengakhiri smsnya dengan memetik kata - kata Pak Samad 
"Senja sunyi, lorong sepi, saya sendiri"..dalam maknanya tu..

Maka..janganlah kita mengambil mudah apa saja yang kita perhatikan disekeliling. Kuatkan semangat untuk membaca dan cubalah menulis kerana kata Saidina Ali, Ilmu yang tidak ditulis itu adalah sia - sia.

Mohsen Amdan berkata : Tok Ijal atau Mohd Rizal Mohd Rosli merupakan Pegawai Tadbir dan Diplomatik di sebuah Kementerian. Merupakan bekas eksekutif pemasaran syarikat penerbitan buku prolifik negara iaitu PTS Publication.

1 comment:

Unknown said...

Saya bangga dengan Rizal Rosli, sebagai rakan seperjuangan di UIA, sebagai junior dalam perkhidmatan tadbir dan diplomatik, seperti yang menjadi asas kepada perkhidmatan PTD iaitu "loyal to the government of the day". PTD juga perlu mendekati rakyat daripada pelbagai fahaman politik bagi menggubal dasar-dasar yang terbaik untuk rakyat. PTD should be the best brain, and let the best brain steer the nation.