Salam.
Saya telah diundang oleh LPPKN untuk menyertai forum mengenai Draf Dasar Keluarga Negara yang bertempat di Dewan besar LPPKN. Pada awalnya saya diundang atas tiket Persatuan Belia Gemilang Bukit Bintang, tetapi saya juga dalam masa yang sama diundang atas tiket MAPIM. Untuk pengetahuan semua, setakat ini negara kita masih belum mempunyai Dasar Keluarga dan ini merupakan usaha kesekian kali untuk mengadakan DKN ini kerana usaha sebelum ini menemui jalan buntu. Menurut Dr. Anjli, Timbalan Pengarah Dasar LPPKN. usaha sebelum ini terbantut kerana masalah - masalah yang sukar diluahkan (bersifat dalaman) kerana apabila draf disediakan, ianya akan ditolak atas pelbagai alasan. Namun, pujian harus diberikan kepada LPPKN yang terus memperjuangkan dasar ini.
Slide ini memang menarik minat saya
Setiba saya di sana, ramai yang telah pun sampai walaupun hujan lebat mula membasahi Kuala Lumpur. Diperhatikan dari senarai jemputan, pelbagai NGO dipanggil tetapi sesuatu yang menarik perhatian saya ialah, orang muda yang mewakili generasi X dan Y tidak ramai dan boleh saya katakan hampir 70 - 80 peratus terdirI dari Baby Boomers. Walhal dari surat jemputan, forum ini meletakkan fokus Draf DKN dari kacamata generasi X dan Y. hmm....
Wakil LPPKN memberi penerangan di kawasan pameran
LPPKN turut menyediakan pelbagai pameran berkaitan pembangunan keluarga dan saya juga berpeluang ketemu dengan bekas peserta kursus saya dan syukur mereka masih mesra dengan saya. Cuma mereka keliru kehadiran saya disitu adakah sebagai jemputan atau sebagai wartawan kerana saya sengaja berpakaian kasual
Dari kiri: Datuk Dr. Zaleha, Dr. Farah Nini, En. Benny
Menjelang jam 3 petang, sesi forum dimulakan dengan majlis perasmian dari Pengerusi LPPKN Dato' Dr. Alex Matthews yang berkongsi beberapa pengalaman beliau ketika berkhidmat diluar negara dan membandingkan dengan senario kekeluargaan di Malaysia hari ini. Usai ucapan beliau, forum dimulakan dengan pembentangan dari Dr. Anjli mengenai Draf DKN. Forum ini dipengerusikan oleh Prof Datuk Dr. Zaleha Kamarudin dari UIAM. Turut sama ialah Dr. Farah Nini Dusuki dari Universiti Malaya dan En. Benny Kong dari NGO yang menggelarkan diri mereka Focus On The Family.
Dato Alex Matthew
Sepanjang pembentangan ahli panel, saya menjadi agak keliru dengan tujuan forum ini sebenarnya. Adakah forum ini bertujuan membahaskan DKN atau seminar mengenai apa itu Generasi X dan Y dan apakah cabaran mereka? Ini kerana apabila selesai Dr. Anjli membentangkan draf DKN, Dr. Farah Nini menyambungnya dengan perkara berkaitan isu semasa bersangkutan dengan keluarga. Memburukkan keadaan lagi ialah, beliau memulakan ucapan dengan "Saya pun tak tahu kenapa saya dijemput ke forum ini" Berdasarkan pengalaman saya sebagai penceramah..ayat seperti ini merupakan ayat - ayat yang perlu dielakkan. Saya faham kenapa beliau secara spontan melafazkan ayat sebegini kerana sejujurnya pada pendapat saya, beliau tidak berkaitan secara langsung dengan forum ini kecuali beliau memberi pandangan sebagai generasi X itu sendiri.
Ruangan cadangan turut disediakan
Benny Kong berjaya mencuri tumpuan dengan penyampaiannya yang bersahaja. Namun, ia lebih memberi kefahaman apa itu generasi X sahaja. Masih tidak memenuhi keperluan forum ini. Apabila keadaaan sebegini berlaku, maka sesi soal jawab pastinya tidak memiliki titik fokus yang jelas.
Sebagaimana saya nyatakan sedari awal hanya segelintir jemputan terdiri dari generasi X dan Y, maka sesi soal jawab didominasi oleh Baby Boomers. Pelbagai perkara yang dilontarkan tidak menepati matlamat forum ini sebaliknya menjadi sesi meluah rasa dan menunjuk pandai. Saya juga mengambil peluang menanyakan tentang sejauh mana DKN ini nanti mampu mempengaruhi perlaksanaan agensi kerajaan yang lain contohnya 'sensorship' dalam kandungan media yang sangat berkesan mempengaruhi generasi X dan Y ini.
Antara Baby Boomers yang bertanyakan soalan
Kesimpulan yang boleh saya buat ialah, sememangnya proses pembuatan dasar dan polisi bukanlah satu perkara mudah; apatah lagi melaksanakannya. Ia memerlukan kesungguhan mereka yang berada disekelilingnya dan perlu mengambil kira pelbagai aspek terutamanya apa dasar itu akan memberi kesan kepada generasi akan datang
Mohsen Amdan berkata: Ada yang mencadangkan diadakan kursus Kedatukkan dan kenenekkan
No comments:
Post a Comment