Total Pageviews

Allahyarham Afrizal Ramlan - Hilang yang tidak terganti

Saya memiliki ramai rakan pelbagai peringkat usia, namun saya suka menyukat pencapaian diri ini dengan mereka yang hampir seusia saya. Salah seorang yang sering menjadi kayu pengukur saya ialah Allahyarham Afrizal Ramlan. Beliau baru saja menghembuskan nafas terakhir kira - kira 3 jam yang lalu (berdasarkan masa saya menulis entri ini).

Arwah bersama saya di Kolej Komuniti Selayang baru - baru ini. Inilah kali terakhir saya bertemu beliau. Facebook adalah medium terakhir saya berkomunikasi bersamanya

Beliau merupakan teman sebilik saya di UIAM sejak tahun pertama lagi kami di Gombak. Walaupun beliau mengambil jurusan Komunikasi dan saya Psikologi, namun kami sering memilih kelas yang sama sekiranya berpeluang terutama bagi subjek dalam Kulliyah yang sama iaitu Sains Kemanusiaan. Di pusat matrikulasi Lembah Pantai kami tidak rapat barangkali kerana latar berbeza. Beliau lebih elit berbanding saya yang hanya penghantar makanan Mc Donalds dan penggunting rambut saja. Malah beliau lebih menonjol kerana berada di antara pelajar yang mengenakan tali leher untuk ke kelas walaupun ianya bukan pakaian seragam kami ketika itu!

Mahallat Ali  - 5A G1 adalah nombor bilik kami. Selain saya dan Afrizal, Naeman Bestow adalah penghuni tetap bilik kami. Norman Ismail, Mohd Iqbar Othman dan Rudy Irwan ialah penghuni yang bertukar ganti di bilik kami ini. Terlalu banyak perkara suka duka yang terlintas di kepala saya ketika ini membabitkan kami semua. Dari kisah Liga Mulut Emas sehinggalah ke giliran beli lauk setiap hari, kenangan bersama arwah tidak dapat saya lupakan.

Pencapaian akademik beliau hebat, pencapaian kerjaya nya juga cemerlang sekali. Pada usia 33 tahun beliau telah pun mengecapi tangga kerjaya hebat di sektor kerajaan. Melanjutkan pengajiannya di UKM, dalam bidang sains politik, kajiannya menjurus kepada senario semasa politik Malaysia iaitu Isu Lompat Parti.

Saya dan beliau selain dari sebilik, kami juga bermain gamelan di UIAM. Beliau akhirnya dilantik sebagai Presiden Kelab Gamelan dan saya sering bertelagah dengannya mengenai halatuju gamelan sehingga tertubuhnya Dewangga Sakti! Ahhh mana mungkin saya melupakan semua itu. Perbalahan kami yang teruk sebenarnya telah mengukuhkan lagi ikatan persahabatan kami. 

Pemikirannya kritis dan mendalam terhadap sesuatu perkara membuatkan buah fikirannya sering menjadi  perbualan. Suka mencari bukti hujahan, malah rajin membaca mengukuhkan lagi buah fikirannya. Tidak salah rasanya pilihan Datuk Shaziman Abu Mansur melantik beliau sebagai SUSK nya dahulu. 

Saya sering berkata padanya "Zal - aku sangat yakin salah seorang dari kawan - kawan aku yang bakal mendapat pangkat Datuk atas pencapaian hebat ialah kau!" Malangnya...hajat saya tidak kesampaian. 

Arwah membawa rakan - rakan Gilera nya untuk meraikan program saya di Berjaya Times Square satu ketika dahulu

Saya tidak tahu susunan tulisan saya kali ini. Saya hanya menulis mengikut hati yang sedih. Saya sangat sedih di atas pemergian sahabat baik saya ini. Dia sering menasihatkan saya dahulu supaya berhati - hati mengunggang motorsikal. Manakan tidak. Setiap kali kami duduk dengan orang lain, pastinya dia akan ceritakan pengalamannya membonceng bersama saya. Saya melakukan aksi 'corner baring' di Bulatan Pahang bersama dia dan dia akan berulang - ulang menceritakan pengalaman seramnya itu. Namun kali ni, motorsikal juga menjadi punca pemergiannya. Saya pasrah dengan ketentuan Allah, Allah lebih menyayanginya. 

Kepada rakan - rakan yang mengenalinya, mahupun peserta program Kerjaya yang pernah mengikuti ceramah beliau, 16hb Mei 2011 jenazahnya akan disemadikan di kampungnya  - Sesapan Kelubi Beranang lebih kurang pada jam 11 pagi. 

Beliau adalah seorang yang sangat berdisiplin, dedikasi pada tugasan bersemangat tinggi. Saya membayangkan beliau bakal memegang jawatan tinggi di negara ini berdasarkan kemampuannya. Namun, Allah lebih mengetahui....

Afrizal Ramlan - kaulah sahabat, kaulah teman, kaulah kawan...Semoga roh mu dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang terpilih 

13 comments:

ezwin said...

Al-fatihah. Arwah memang seorang yang amat baik. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Erry said...

Askm. Sesungguhnya setiap deskripsi saudara berkenaan Arwah adalah 200% benar. Saya amat sedih kerana tidak dapat bersama hadir ke penyempurnaan jenazah Arwah nnt kerana jauh di perantuan. Semoga Allah pelihara roh Arwah dan ditempatkan di kalangan ahli jannah. Al-fatihah.

SHAR said...
This comment has been removed by the author.
Hazlinda said...

al-fatihah, may his soul rest in peace, amin...

nostradamus1378 said...

Sememangnya Allahyarham seorang yang kreatif dan inovatif dan juga seorang pemikir. Allahyarham dan saya pernah menjadi rakan sebilik di Kolej Uthman dan 'Ali buat seketika. Al-Fatihah....Semoga ruhnya bersemadi bersama org2 soleh dan beriman. Ameen...

adie said...

apabila mohsen menceritakan serba sedikit tentang sahabat yang satu ini... satu persatu mengenai sahabat ini turut bermain di pinggir ingatan aku... semoga rohnya dicucuri rahmat

Jack Dozer said...

Salam Mohsen
Terima kasih di atas entri ini. Sekurang2nya aku dpt imbau kenangan geng tali leher masa matrik. Takziah.

Dozer

Cik Misstree said...

Saya turut melawat jenazah allayarham Afrizal Ramlan sekitar 9.30 - 10 pagi di Kampung Sesapan Kelubi, Beranang. Al-fatihah.

Mohsen Amdan said...

Syukur ramai yang datang memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham. Segalanya berjalan lancar walaupun masing - masing sangat sedih dengan apa yang berlaku. Moga kita yang masih hidup ini mengambil iktibar atas apa saja yang berlaku. Terimakasih dari pihak keluarga kepada sesiapa yang hadir tadi.

Norziati Mohd Rosman said...

Sungguhpun tidak mengenali beliau, tulisan ini membuat hati sebak.

al-Fatihah

Anonymous said...

aL-FATIHAH pada teman lama Afrizal Ramlan. terkedu sebentar tadi apabila aku dimaklumkan oleh Ezuwan sewaktu meeting LID 2011yang arwah telah kembali kerahmatulah. dah lama tak dengar khabar berita tup-tup beliau telah kembali kerahmatullah. pandangan Mohsen ttg arwah tepat sebagai bekas teman sekelas daripada matriks hingga ke main campus. dia adalah seorang yg cukup genius jika berdebat. kenangan bersama beliau akan terus menjadi memoir kenangan terindah zaman Campus - to MOHSEN/SUKRI/IQBAL/BESTOW DLL . yg pergi tetap akan pergi semoga yg masih tinggal hubungan ini tidak akan terputus. Salam Takziah (Azam Ismail)

goh said...

Al-Fathihah, its a shock, Kami belajar kelas yang sama di SMK Cochrane, fantastic guy, what a sad news to class of 95! Its the second brother of ours who have left us :(

Hafeez @ Gasket said...

My best buddy ever...miss.him so much