Total Pageviews

Showing posts with label Kepimpinan. Show all posts
Showing posts with label Kepimpinan. Show all posts

5 ELEMEN TARIKAN SEBAGAI PEMIMPIN

           


Pemimpin perlulah menjadi orang yang menarik kumpulan yang ingin diterajuinya. Ini adalah kerana daya tarikan yang beliau miliki akan membolehkan dia menjadi berpengaruh dan memudahkan proses komunikasi di antara mereka. 5 ciri yang membuat seseorang itu sebagai pemimpin yang menarik ialah:
1. Kebijaksanaan
Kebijaksanaan tidaklah merujuk kepada tahap pendidikan formal seseorang.
Dilihat bijaksana adalah amat penting untuk mempengaruhi kumpulan sasar. Orang yang dilihat bijak mudah menjadi orang rujukan oleh ramai orang. Orang yang bijak tahu menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan, topik perbualan dan perbincangan malah mudah memberi respon yang bersesuaian. Oleh kerana kumpulan yang dikendalikan memiliki kecenderungan terhadap perkara yang berbeza – beza, maka pemimpin yang dilihat bijak tahu pelbagai disiplin ilmu dan mempunyai sudut pandang yang luas.
Sebagai contoh, Tun Mahathir disegani oleh pengikut mahupun musuhnya kerana dilhat bijak menangani isu, menjawab pelbagai persoalan dan mempunyai rancangan serta gerak kerja yang dilihat amat bijak. Proton , Putrajaya dan KLCC adalah antara perkara yang boleh dikaitkan dengan ciri kebijaksanaan ini.

2. Kemahiran
Pemimpin dengan kemahiran yang tinggi khususnya yang berkaitan dengan melibatkan kumpulan sasarnya adalah individu yang amat menarik perhatian. Kemahiran ini boleh dikaitkan dengan pelbagai perkara sama ada berkait secara langsung atau tidak. Ketua pasukan bolasepak sebagai contoh selalunya dikaitkan dengan kemahiran bermain yang tinggi. Pemimpin dengan pelbagai disiplin kemahiran sememangnya mudah membezakan diri mereka dengan individu yang lain.
Kemahiran membolehkan pemimpin menguasai gerak kerja, ruang perbincangan dan penyelesaian masalah. Hanya orang yang mahir tahu menggunakan apa saja yang ada disekelilingnya untuk melunaskan tugasan yang diberikan.
Pemimpin yang mahir dengan sesuatu perkara akan selalu menjadi pakar rujuk kumpulan yang dipimpinnya. Ini memudahkan proses mempengaruhi kumpulan sasar kerana apa yang dikatakan atau ditunjukkan olehnya akan menjadi model ikutan semua.
Sebagai contoh, ketua pasukan silat selalunya ialah orang yang paling hebat kemahiran bersilatnya.

3. Penampilan
Pemimpin yang menarik mempunyai penampilan yang istimewa dan menyebabkan orang lain mudah meletakkan pemimpinnya dalam kelompoknya yang tersendiri. Imej yang terbentuk dari penampilan amat memainkan peranan untuk menjadi daya tarikan kepada kumpulan sasar.
Pakaian, aksesori, solekan, penyesuaian tatacara berpakaian adalah antara komponen yang menjadi tarikan dari aspek penampilan ini. Penampilan yang bersesuaian dengan masa dan tempat akan memberikan kesan yang besar kepada kumpulan sasar. Sebagai contoh, pemimpin yang berpakaian seperti orang kebanyakan di tempat yang betul akan membuatkan mereka dikagumi rakyat dan ini telah dibuktikan oleh Yang Dipertuan Agong Sultan Muhammad 2.
Kereta mewah antara aksesori yang sering digunakan untuk menunjukkan kehebatan seorang pemimpin. Hal ini telah diguna dengan sangat meluas sehinggakan ramai yang telah menjadi mangsa penipuan pelbagai skim cepat kaya.

4. Jawatan
Jawatan dan gelaran adalah komponen yang menyebabkan ramai tertarik dengan seorang pemimpin. Pemimpin dilihat perlu memiliki gelaran dan jawatan yang hebat bagi menunjukkan pencapaian mereka. Ini adalah kerana sifat manusia yang suka mengaitkan diri mereka dengan orang yang berpengaruh. Jalan pintas untuk mendapatkan pengaruh ialah dengan jawatan dan gelaran yang hebat.
Pengerusi , Yang Di Pertua , Presiden , Datuk, Datin dan sebagainya meletakkan seseorang di hirarki yang mana mudah menunjukkan kemampuan seseorang pemimpin itu membuat atau mempengaruhi proses sesuatu keputusan. Jawatan juga memberikan autoriti terhadap sesuatu proses kerja. Ini akan memberikan kelebihan kepada sesiapa yang rapat dengan punca kuasa ini.
Jawatan berdasarkan profesion turut mempengaruhi proses kepimpinan. Doktor, Profesor, Chef, IGP dan sebagainya juga terbabit dalam hal ini. Ini mampu merujuk kepada tahap kemahiran seseorang dengan nama jawatannya, sekaligus membuatkan orang yang memiliki jawatan sebegini amat bernilai di mata mereka.

5. Jantina
Setiap jantina mempunyai kekuatan dan kelemahan yang unik. Ini adalah kerana setiap jantina mempunyai peranan yang spesifik. Dalam dunia kepimpinan, jantina turut memiliki tarikannya yang tersendiri.
Pemimpin lelaki dilihat dominan terhadap perkara – perkara melibatkan politik dan perniagaan. Pemimpin wanita pula dilihat menguasai pergerakan berlandaskan kepentingan kumpulan yang diwakilinya terutama berkaitan perjuangan hak, kelestarian sesuatu dan yang tidak melibatkan perebutan sumber.
Pemimpin lelaki sesuai kepada perkara yang berkaitan konflik, penetapan dasar dan polisi. Pemimpin lelaki dilihat sesuai mempengaruhi kumpulan sasar yang terdiri dari pelbagai jantina. Pemimpin wanita pula lebih mudah berada di dalam kelompok bercampur sekiranya ia berasaskan lantikan jawatan kerja.

Pemimpin lelaki lebih cekap dalam penggunaan istilah, kata – kata teknikal dan frasa yang rumit berbanding pemimpin wanita yang lebih hebat dalam menyampaikan rasa melalui mesej – mesej mereka. Mesej perasaan ini mudah meresap masuk kepada kumpulan yang meletakkan perjuangan hak, kumpulan minat dan sebagainya.

Kepimpinan - Diwarisi atau dibentuk?


Adakah pemimpin wujud kerana dilahirkan dari keluarga pemimpin atau pemimpin boleh dibentuk? Ini sering saja mengundang perdebatan. Saya mempunyai pandangan sebegini...
Banyak bentuk kepimpinan boleh dikaji melalui aktiviti sukan

Kepimpinan adalah satu set kemahiran - ia bukanlah DNA yang diwarisi seperti ciri keturunan. Kepimpinan boleh dibangunkan menerusi pelbagai kaedah. Terdapat banyak perbezaan daam ciri kepimpinan di antara seorang pemimpin dengan pemimpin yang lain.

Pemimpin wujud tanpa mengira dari mana sumbernya.
Pemimpin hadir dalam pelbagai situasi dan konteks.
Tidak semestinya dari keluarga berdarah pemimpin atau pun bukan semestinya pemimpin perlu dibentuk dengan acuan tertentu.

Pemimpin yang dilihat datang dari keturunan pemimpin boleh dibahagikan kepada 2 bentuk
1. Jawatan keturunan – mewarisi jawatan dari ahli keluarga contohnya sebagai Raja, Sultan, Ketua Masyarakat, Pemilikan syarikat , pemegang saham dan sebagainya
2. Dibangunkan potensinya sejak muda – Ibu bapanya sering membawa anaknya melihat proses berkaitan kepimpinan, ditugaskan dengan peranan kepimpinan sejak kecil , dicalonkan sejak kecil dan segala usaha pembangunan potensi diberikan kepadanya

Pemimpin juga boleh dibentuk. Calon – calon ini dilihat berpotensi apabila mereka mempunyai beberapa ciri berikut:
a.       Kebolehan berkomunikasi yang baik
b.      Keyakinan diri yang tinggi
c.       Kemampuan membuat keputusan
d.      Boleh mendengar pendapat orang lain
e.      Memiliki pandangan yang jauh dan jelas

Pemimpin boleh dibentuk dalam pelbagai keadaan. Antaranya ialah:
1. Jawatan dalam pekerjaan. Pemimpin dipilih berdasarkan tahap kelayakan yang ditetapkan oleh organisasi. Setelah tapisan dibuat, pemimpin diberikan ruang dan peluang untuk dimajukan potensinya. Pemimpin sebegini dinaikkan ke jawatan lebih tinggi bukan kerana kemampuannya memimpin tetapi kerana keberkesanan dalam perlaksanaan tugasan yang terdahulu. Contohnya, seorang pekerja dinaikkan pangkat sebagai Penyelia kerana keberkesanan kerja yang ditunjukkan semasa dia di jawatan kerani. Maka dia diangkat bukanlah kerana dia hebat sebagai penyelia tetapi sebaliknya hebat sebagai kerani.

    2. Peranan dalam pasukan – Pemimpin di dalam sesebuah pasukan mempunyai lapisan yang banyak. Setiap peringkat memerlukan pemimpinnya yang tersendiri. Pemimpin memainkan spesifik bagi mencapai objektif yang ditetapkan. Sebagai contoh, pemimpin pasukan sukan, biasanya dilantik berdasarkan ciri kebolehan beraksi dengan baik dan dilantik sebagai ketua dan seterusnya diberikan ruang untuk bereksperimen dengan tugasan itu. Maka terhasillah ketua pasukan yang hebat atau sebaliknya bergantung kepada sejauh mana dia diberikan input berkaitan dan ruang mengaplikasikannya.


Perbezaan antara kedua – duanya ialah proses pembikinan pemimpin itu sendiri. Pemimpin yang dilihat hadir dari keturunan pemimpin dibangunkan atas kapasiti fungsi yang berkaitan legasi keturunannya. Maka pencapaian pemimpinan terdahulu akan menjadi kayu pengukur untuk melihat sejauhmana pemimpin baru ini berjaya meneroka potensinya. Manakala pemimpin yanag dibangunkan pula sangat memerlukan beberapa pencapaian awal untuk dinilai potensinya sekaligus melayakkan dirinya terpilih bagi proses pembangunan oleh pihak yang berkepentingan.

Analogi - Kasut dan Ahli Politik

Pada hemat saya...

 
Ahli politik sewajarnya seperti kasut.
Kasut perlu praktikal.
Kasut perlu mempunyai tujuan spesifik dan ciri spesifik.
Kasut sepatutnya melindungi kaki, dan membawa kita ke lokasi yang sepatutnya dia sesuai digunakan.

Bila beli kasut yang mahal, kesudahannya kita yang sibuk jaga kasut walhal kasutlah yang sepatutnya melindungi kita.
Bukan semua orang tahu berapa harga kasut kita.
Ramai saja yang tak peduli kasut jenis apa kita pakai.
Kita yang rasa seronok sendiri dengan kasut yang kita beli
.
Bila kasut mahal, ia jadi memeningkan apabila ia mula rosak. Nak dibuang sayang, nak baiki rasa tak berbaloi. Sudahnya hanya simpan menyemakkan mata.
Selipar jepun dan terompah meski tidaklah cantik dan mahal, tetapi berdaya tahan. Meski tak sesuai dibawa ke majlis rasmi tetapi kebanyakan masa, ia sangat membantu.
Lagi pun, bukan sepanjang masa kita di majlis rasmi.

Jika terpijak duri, kasutlah yang harus merasainya dulu..
Jika terpijak najis, kasut jugalah yang menekannya dulu..
 
Apabila pemimpin politik seperti kasut yang praktikal, kita tak rasa susah melepaskan jawatan.
Kita tak rasa gusar menukar ganti.
Kita tidak pening menguruskan dia kerana sepatutnya, dia menguruskan kita.
Semahal mana pun kasut, ia tetap di bawah..bukan di kepala

Apa yang mendorong perubahan?

Perubahan adalah perkara yang berlaku setiap saat di dalam diri dan disekeliling kita sama ada kita sedar atau tidak. Terbaru, kerajaan negeri Selangor mengalami pertukaran Menteri Besar dengan suasana penuh kontroversi, polemik dan kekeliruan. Namun perubahan ini tetap berlaku dengan Menteri Besar terbaru yang menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim ialah YB Azmin Ali. Kalau di lihat dari dalam diri, perubahan sememangnya berlaku setidaknya pada sel - sel kita. Maka terbukti perubahan sememangnya berlaku.

Namun, satu persoalan penting yang harus ditanyakan ialah - Adakah kita hanya mengikut arus perubahan ini tanpa kita sendiri tidak mampu merubah apa - apa? Ramai yang takut untuk berubah kerana bimbang dilabel menongkah arus, tetapi jelas sekali ramai juga hanya cakap belakang apabila tidak berpuashati tentang sesuatu namun bila disuruh bertindak - masing - masing enggan mengambil peranan.

Maka, bolehkah kita menjadi agen perubahan? Jawabnya - PASTINYA BOLEH!
Oh ya..bukan sekadar omong kosong yang saya tawarkan dalam penulisan ini malah saya sendiri sudah melakukannya! Ohh..bukan untuk saya mendabik dada..tetapi sekadar berkongsi ilmu. Malah perubahan walau apapun tetap ditentukan oleh Allah SWT juga kerana atas kuasa dan kehendak Allah SWT jualah sesuatu perubahan berlaku. Jadi...apakah jalannya?

Sebelum kita mengetahui apakah jalannya melakukan perubahan itu, perlu kita tahu apakah yang memungkinkan perubahan berlaku. Berdasarkan pengalaman dan sedikit ilmu yang ada, berikut ialah perkaranya

1. Teknologi baru : Saya perhatikan ini adalah kunci besar kepada perubahan dalam dunia hari ini. Betapa syarikat gergasi dunia kebanyakkannya dikuasai oleh pemain industri teknologi. Apple, Samsung, Google, Microsoft, Facebook, Alibaba, Amazon adalah pemain besar dan mereka membina kekayaan mega tanpa menanti sehingga 100 tahun pun. Malah ramai yang mendapat manfaat dari perkara teknologi ini. Kempen politik, pengumpulan dana, berita dan sebagainya sangat mudah mempengaruhi manusia dan menggerakkan manusia kepada perubahan. Siapalah Psy satu ketika dulu tanpa Youtube? K-Pop kegilaan dunia dan mengakibatkan perubahan fesyen dan muzik dengan drastik. Wak Doyok adalah antara contoh hebat di Malaysia. 


Bagaimana saya memanfaatkan teknologi baru dalam mempengaruhi manusia kepada perubahan? Secara spesifiknya saya merujuk kepada www.bolarotan.com pastinya. Senario sepaktakraw Malaysia mengalami perubahan drastik dengan projek Bolarotan dan Facebook Masyarakat Bolarotan. Sebelum ini berita berkaitan sepaktakraw sangat terhad, video dan foto yang sangat sedikit, pendaftaran kejohanan masih manual, telefon dan faks tetapi kini ia telah berubah, Malah berani saya katakan siapa yang menggelar diri mereka pencinta sepaktakraw tetapi tidak mengenali Bolarotan.com bermaksud dia mungkin jarang akses kepada internet atau jarang bermain sepaktakraw secara serius! Sekali lagi, ini bukan pernyataan masuk bakul angkat sendiri tetapi realiti yang harus ditelan.

Dengan adanya teknologi baru, banyak proses kerja yang akan mengalami perubahan. Mesin faks sudah tidak relevan sama anda setuju atau tidak. Tidak mahir dengan telefon pintar atau komputer bermaksud anda adalah orang buta huruf di era ini. Semakin banyak sistem baru diperkenal dan ini memaksa masyarakat mengalami perubahan ini tanpa mereka sedar. Transaksi kewangan adalah antara contoh terbesar hari ini. Anda masih beli tiket kapalterbang dengan beratur ke kaunter?

2. Pendidikan : Semakin tinggi atau luas maklumat sampai kepada masyarakat melalui pendidikan sama ada secara formal atau tidak, ia menghasilkan kakitangan, pelangggan atau masyarakat yang lebih 'demanding' kerana mereka terlebih dahulu mendapat maklumat awalan mengenai sesuatu perkara. Contohnya, sebelum pergi bercuti, kita sudah pun mencari maklumat pelbagai perkara menegnai lokasi percutian. Maka natijahnya kita mengharapkan itu dan ini berdasarkan maklumat yang kita perolehi. Dan apabila apa yang dijangkakan itu tidak berlaku, maka senario pelanggan cerewet, meminta itu ini dan sebagainya terjadi. Ini adalah kerana mereka sudah pun menjangkakan itu. 

Dahulu orang tidak mudah bertanyakan pelbagai soalan kepada PM, tetapi kini pelbagai soalan, permintaan malah kritikan perlu dihadapi oleh PM kerana tahap pendidikan semakin tinggi. Adakah ia satu ancaman memiliki rakyat yang terpelajar?

Dahulunya susah untuk kita mencari orang yang dapat melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Tetapi kini ianya sudah terbalik. Semakin tinggi bentuk pendidikan yang ditawarkan, perubahan menjadi lebih cepat. Bandingkan bentuk pembelajaran 50 tahun dahulu dengan sekarang. 50 tahun dahulu menuju ke awal 90an bentuk pembelajannya tidak banyak banyak berubah, tetapi apabila teknologi semakin meningkat dan akses pendidikan menjadi lebih meluas dengan tertubuhnya berpuluh IPT, perubahan menjadi lebih pantas. Dulu untuk menggerakkan rakyat bagi satu - satu isu nasional memerlukan usaha berat manipulasi media dan menyempitkan saluran berita tetapi kini, dengan pantas masyarakat memberi respon kerana kebanyakkannya sudah terdidik untuk memproses maklumat dan berita.

3. Permintaan Pasaran : Ini tidak hanya merujuk kepada transaksi jual beli. Dalam politik sebagai contoh, pasaran kini rata - ratanya mahukan wajah baru dan segar. Maka pendekatan berbeza perlu dibawa bagi mendekati pengundi. YB Khairy Jamaluddin sebagai contoh memberikan gambaran bahawa dia tidak terlalu menekankan sentimen parti tetapi lebih kepada keterbukaan, tidak terlalu berprotokol dan mudah didekati. Ini membuatkan pasaran bergerak dan permintaan sebegini semakin banyak maka semalam muncul viral di internet wajah Selfie YB Hishamudin Hussein Onn pula menaiki kapal terbang kelas ekonomi dan ramai yang memuji. Jadi untuk mana - mana ahli politik yang sedang cuba membina laluan kerjaya ke peringkat tinggi atau cuba mempertahankan kerusi yang ada, mereka perlu memenuhi permintaan pelanggan ini - dan dalam konteks ini pelanggan ialah rakyat.


Power bank adalah antara contoh 'Market Demand' ini. dulunya pengguna tidak mempedulikan isu bateri sangat seperti sekarang, Tetapi oleh kerana penggunaan 'smartphone' semakin meluas dan kebergantungan kepada apps semakin tinggi, maka permintaan pelanggan kepada 'tenaga tambahan / sokongan' menjadi besar dan beribu jenis power bank terjual. Dan kesudahnnya, bentuk power bank mula mempengaruhi tabiat membeli kerana ia melibatkan aksesori lain seperti kable, penggulung kabel. kepala wayar pengecas, beg mengisi power bank dan sebagainya. Malah kalau dahulu perokok dengan selamba minta pinjam pemetik api atau mancis dari orang yang tidak dikenalinya, kini keadaan yang sama berlaku apabila kehabisan bateri telefon..selamba tanya orang lain ada tak power bank yang boleh dipinjam sekejap walaupun tidak mengenali mereka itu.

Ada dua lagi punca kepada perkara ini iaitu faktor PERSAINGAN dan satu lagi ialah ASPIRASI. Insya Allah kalau sempat saya tuliskan dilain masa.

Program Teambuilding Kelompok UNITEN

Dijemput oleh El - Azzhar Camp menerusi Ziqzul Corporation, saya mengendalikan program kerja berpasukan untuk wakil pelajar UNITEN pada 4 - 5 Disember lalu. Bertempat di El - Azzhar Camp, saya turut dibantu oleh Pengurus Ziqzul iaitu En. Saifuddin.

Peserta yang terdiri dari pelajar dalam dan luar negara serta berbilang kaum ini berjalan dengan baik. Peserta yang sangat sporting dan suka mencuba membolehkan sesi yang berlangsung dalam Bahasa Inggeris ini hidup dan meriah.


Peserta sebenarnya ialah pemimpin - pemimpin Kelompok - iaitu asrama atau kolej tempat tinggal mereka di UNITEN. Kebanyakan dari mereka sememangnya pelajar yang sangat aktif berpersatuan dan buktinya ada dikalangan mereka saya temui di sebuah resort di Port Dickson ketika saya mengendalikan satu program lain. Mereka ketika itu hadir sebagai peserta program untuk pemimpin persatuan anjuran UNITEN sendiri.

Edlee - kepimpinannya terserlah

7 dari mereka datangnya dari negara Timur Tengah - Jordan, Syria dan juga UAE. Ada di kalangan mereka yang masih belum dapat menyesuaikan diri dengan makanan di sini. Mujur pihak urusetia tidak keberatan ke untuk ke bandar Banting bagi membeli makanan yang bersesuaian dengan mereka.


Pelbagai aktiviti dijalankan termasuk Explorace dan mengisa ikan. Sayangnya kamera saya rosak ketika itu. Hanya gambar - gambar yang ada ini saja dapat saya lampirkan.