Total Pageviews

Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

Anugerah Sukan Untuk Semua WPKL - Kategori Pemimpin Lelaki 2015




Assalamualaikum wbt

Pertamanya saya panjatkan sepenuh keyukuran ke hadrat Allah SWT atas segala nikmat yang diberikan kepada saya sama ada kecil atau besar atas kerana Allah SWT Maha Pemurah dan Maha Pengasihani.
Dicalonkan sebagai penerima Anugerah Sukan Untuk Semua (ASUS) 2015 bagi Kategori Pemimpin Lelaki dan Kelab Terbaik bukanlah satu perkara mudah. Tahun 2014 saya dan Kelab Masyarakat Bolarotan (MBR) di minta menghantar pencalonan namun saya membuat keputusan untuk menolak kerana berasakan masanya masih belum tiba. Ini adalah kerana pencapaian sehingga 2014 bagi saya secara peribadi tidaklah begitu mengkagumkan. Maka, saya menolak dengan baik.

Bersama Pengulas Rasmi MBR Rizal Ramly dan AJK MBR Mohd Zaidi Basir

Tahun ini ketika saya memutuskan untuk menerima pencalonan bukanlah bermaksud pencapaian sudah hebat! Tetapi atas rasa penuh kerendahan hati betapa pihak lain melihat sisi baik yang telah kami buat dan bagi mereka itu sudah melayakkan untuk dicalonkan maka saya membuat keputusan untuk menerima pencalonan tersebut.
Ketika majlis penyampaian anugerah berlangsung, saya dan keluarga tiba lewat kerana baru selesai penganjuran Kejohanan Sepakraga Tuju 2015 yang kali pertama dijalankan di Bukit Kiara. Maka AJK MBR iaitu Mohd Zaidi Basir sudah pun ke atas pentas menerima hadiah bagi pihak saya. Sambil menyusup dari tepi pentas, saya di arahkan bertukar tempat dengan Zaidi dan kesannya, Pengarah JBSKL yang menyampaikan hadiah terkejut bila melihat orang lain pula di pentas!



Sejujurnya, saya terima anugerah ini dengan penuh kerendahan hati. Saya percaya lebih ramai pemimpin hebat di luar sana berbanding saya terutama berkaitan dengan sukan. Mungkin rezeki saya kali ini adalah ingatan buat diri yang lemah ini untuk terus memperbaiki kelemahan yang ada. Saya percaya, anugerah ini bukanlah mengenai kelebihan atau kehebatan saya sebagai pemimpin tapi sebaliknya, Allah menutupi aib dan kelemahan saya dari dilihat orang. Pastinya jika aib dan kelemahan saya terdedah, maka tiada apalah saya di mata manusia yang lain.

Saya juga berharap dengan anugerah yang saya terima ini, akan menjadi inspirasi kepada lebih ramai orang diluar sana untuk berusaha dengan lebih gigih. Suatu ketika dulu ketika MBR ditubuhkan, ramai saja yang memperlekeh dan mempersoal kewujudan usaha kecil dalam memartabatkan sukan sepaktakraw ini. Bukan niat untuk membuktikan tanggapan mereka salah tetapi untuk menunjukkan bahawa tiada yang mustahil dalam dunia ini apabila ianya mendapat keizinan dari Allah SWT.


Terimakasih buat isteri saya Wan Fatahhiyah Remli atas segala pengorbanan yang beliau berikan untuk saya berada ditahap sekarang. Saya sangat bersyukur kerana Allah mengurniakan saya isteri sehebat beliau.

Terimakasih juga buat semua ahli MBR yang tak putus - putus berusaha memartabatkan sukan sepaktakraw khususnya. Tanpa usaha anda semua, MBR tidak akan dihormati sebegini rupa.

Terimakasih juga buat Kementerian Belia dan Sukan serta Pejabat Belia dan Sukan WPKL atas pengiktirafan ini. Insya Allah, saya akan berusaha dengan lebih gigih kerana pastinya, anugerah tidak akan hadir tanpa tanggungjawab.

Alhamdulillah!

Sejarah terus tercipta!

Secara sinikal, saya sering di sindir mengenai tulisan saya berkaitan sepaktakraw di Bolarotan.com. Kebanyakannya mempertikaikan apa lah yang boleh blog kecil saya tu sumbangkan. Siapalah yang nak baca sangat? Atau tulis macam - macam mengenai kelemahan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) ni mereka bukan ambil peduli pun!

Bersama Rizal Hashim Loose Cannon

Namun, saya keras kan hati. Fokus pada perjuangan serta mengenepikan agenda peribadi. Saya percaya dengan dunia media baru ini seperti Facebook dan blog, maklumat boleh disebar luas dengan lebih baik. Kini jumlah bacaan Bolarotan.com mencecah 80000 kali. Jumlah ini bermula setahun yang lalu. Tidak lah begitu membanggakan berbanding blog hiburan atau politik. Tetapi kesannya, saya diundang ke salah satu rancangan bual bicara mengenai sukan yang berpengaruh di tanah air - Kafe Sukan Astro Arena. 

Bersama blogger sukan yang lebih dahulu menempa nama - Rizal Hashim, saya juga di iringi oleh Abdul Hafiz Ahmad wartawan sukan Utusan yang sangat kasih pada sukan ini walaupun beliau sendiri tidak cekap bermain sepaktakraw.

Isu yang dibincangkan mengenai pencapaian skuad negara di Kejohanan ISTAF Piala Dunia baru - baru ini, butir bicara saya banyak bersandarkan luahan rasa dan pendapat peminat sukan ini di Facebook Masyarakat Bolarotan. Kenapa saya katakan sejarah terus tercipta, kerana akhirnya tulisan - tulisan di dinding Facebook dan blog kini boleh mendapat tempat di media berarus besar. Selama ini pandangan yang hanya berakhir di internet, kini tersiar di TV. 

Hampir 2 tahun berusaha, Allah semakin memudahkan laluan. Saya berharap semakin ramai orang yang sedar bahawa usaha - usaha kecil yang dilakukan secara Istiqamah, pasti akan menemui kejayaan.

Berita kenaikan harga minyak di Utusan 8 Jun 2011

Sewaktu saya sedang membelek - belek suratkhabar pelbagai tajuk di kedai suratkhabar / majalah milik warga Indonesia berhampiran rumah saya, ekor mata ini terpandang satu tajuk pelik di Utusan Malaysia - Belarus naikkan harga minyak. Bagi yang masih belum mengetahui tentang berita ini boleh baca di sini 

Saya belum membaca isi tulisan berita itu tetapi saya menjangkakan ia satu berita penting kerana ia berada di muka depan Utusan. Sebelum saya mencapai naskah itu saya mula terfikir, agaknya berapa ramai rakyat negara kita tahu tentang Belarus?

Soalan seterusnya ialah apakah motif berita ini diletak di hadapan? Adakah untuk memberi perasaan lega kepada rakyat kerana sekurang - kurangnya ada negara yang menaikkan harga lebih teruk dari Malaysia?

Jauh di lubuk hati ini saya berharap Utusan bangkit menjadi media yang bermaruah, mempunyai kredibiliti dan mampu bersaing. Ini adalah kerana Utusan menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada ramai orang. Malah beberapa rakan baik saya sendiri menjawat jawatan penting di dalamnya. Saya sendiri sedang membantu Utusan menjayakan Kejohanan Sepaktakraw mereka.

Di tuduh / di gelar media pro UMNO, berita mengenai kenaikan harga minyak di Belarus ini bukan saja disensasikan di muka depan malah cerita lanjutnya dihurai panjang lebar di dalamnya. Beberapa hari lalu Utusan sibuk dengan melobi Ustaz Nasha ketika pemilihan PAS dan apabila Mat Sabu menang, Utusan pula menjadi tukang bantai mengenai PAS. 

Oh ya, Utusan kini sudah boleh mula bersaing dengan Motor Trader atau On The Road, kerana rupa iklan jualan kereta mereka saling tidak tumpah dengan 2 majalah itu!

Allahyarham Afrizal Ramlan - Hilang yang tidak terganti

Saya memiliki ramai rakan pelbagai peringkat usia, namun saya suka menyukat pencapaian diri ini dengan mereka yang hampir seusia saya. Salah seorang yang sering menjadi kayu pengukur saya ialah Allahyarham Afrizal Ramlan. Beliau baru saja menghembuskan nafas terakhir kira - kira 3 jam yang lalu (berdasarkan masa saya menulis entri ini).

Arwah bersama saya di Kolej Komuniti Selayang baru - baru ini. Inilah kali terakhir saya bertemu beliau. Facebook adalah medium terakhir saya berkomunikasi bersamanya

Beliau merupakan teman sebilik saya di UIAM sejak tahun pertama lagi kami di Gombak. Walaupun beliau mengambil jurusan Komunikasi dan saya Psikologi, namun kami sering memilih kelas yang sama sekiranya berpeluang terutama bagi subjek dalam Kulliyah yang sama iaitu Sains Kemanusiaan. Di pusat matrikulasi Lembah Pantai kami tidak rapat barangkali kerana latar berbeza. Beliau lebih elit berbanding saya yang hanya penghantar makanan Mc Donalds dan penggunting rambut saja. Malah beliau lebih menonjol kerana berada di antara pelajar yang mengenakan tali leher untuk ke kelas walaupun ianya bukan pakaian seragam kami ketika itu!

Mahallat Ali  - 5A G1 adalah nombor bilik kami. Selain saya dan Afrizal, Naeman Bestow adalah penghuni tetap bilik kami. Norman Ismail, Mohd Iqbar Othman dan Rudy Irwan ialah penghuni yang bertukar ganti di bilik kami ini. Terlalu banyak perkara suka duka yang terlintas di kepala saya ketika ini membabitkan kami semua. Dari kisah Liga Mulut Emas sehinggalah ke giliran beli lauk setiap hari, kenangan bersama arwah tidak dapat saya lupakan.

Pencapaian akademik beliau hebat, pencapaian kerjaya nya juga cemerlang sekali. Pada usia 33 tahun beliau telah pun mengecapi tangga kerjaya hebat di sektor kerajaan. Melanjutkan pengajiannya di UKM, dalam bidang sains politik, kajiannya menjurus kepada senario semasa politik Malaysia iaitu Isu Lompat Parti.

Saya dan beliau selain dari sebilik, kami juga bermain gamelan di UIAM. Beliau akhirnya dilantik sebagai Presiden Kelab Gamelan dan saya sering bertelagah dengannya mengenai halatuju gamelan sehingga tertubuhnya Dewangga Sakti! Ahhh mana mungkin saya melupakan semua itu. Perbalahan kami yang teruk sebenarnya telah mengukuhkan lagi ikatan persahabatan kami. 

Pemikirannya kritis dan mendalam terhadap sesuatu perkara membuatkan buah fikirannya sering menjadi  perbualan. Suka mencari bukti hujahan, malah rajin membaca mengukuhkan lagi buah fikirannya. Tidak salah rasanya pilihan Datuk Shaziman Abu Mansur melantik beliau sebagai SUSK nya dahulu. 

Saya sering berkata padanya "Zal - aku sangat yakin salah seorang dari kawan - kawan aku yang bakal mendapat pangkat Datuk atas pencapaian hebat ialah kau!" Malangnya...hajat saya tidak kesampaian. 

Arwah membawa rakan - rakan Gilera nya untuk meraikan program saya di Berjaya Times Square satu ketika dahulu

Saya tidak tahu susunan tulisan saya kali ini. Saya hanya menulis mengikut hati yang sedih. Saya sangat sedih di atas pemergian sahabat baik saya ini. Dia sering menasihatkan saya dahulu supaya berhati - hati mengunggang motorsikal. Manakan tidak. Setiap kali kami duduk dengan orang lain, pastinya dia akan ceritakan pengalamannya membonceng bersama saya. Saya melakukan aksi 'corner baring' di Bulatan Pahang bersama dia dan dia akan berulang - ulang menceritakan pengalaman seramnya itu. Namun kali ni, motorsikal juga menjadi punca pemergiannya. Saya pasrah dengan ketentuan Allah, Allah lebih menyayanginya. 

Kepada rakan - rakan yang mengenalinya, mahupun peserta program Kerjaya yang pernah mengikuti ceramah beliau, 16hb Mei 2011 jenazahnya akan disemadikan di kampungnya  - Sesapan Kelubi Beranang lebih kurang pada jam 11 pagi. 

Beliau adalah seorang yang sangat berdisiplin, dedikasi pada tugasan bersemangat tinggi. Saya membayangkan beliau bakal memegang jawatan tinggi di negara ini berdasarkan kemampuannya. Namun, Allah lebih mengetahui....

Afrizal Ramlan - kaulah sahabat, kaulah teman, kaulah kawan...Semoga roh mu dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang terpilih 

Pelajar perempuan lebih menonjol sebagai pemimpin?

Mohsen Amdan Consultancy Sdn. Bhd. (M.A.C) adalah syarikat saya yang terkini dan ditubuhkan atas perkembangan operasi Lilcent Total Solutions yang sudah pun menjangkau usia 6 tahun. M.A.C pada awal operasinya telah dipertanggungjawabkan mengendali 3 program diperingkat sekolah menengah, satu Kolej Komuniti dan satu Politeknik Premier. Apa yang mengejutkan saya dalam hal ini ialah di semua lokasi program berkenaan, pelajar perempuan / wanita dilihat lebih menonjol dalam aspek kepimpinan.

Pelajar perempuan berbangsa India yang bersama dengan saya ini ialah seorang Penolong Ketua Pengawas, tetapi dia lebih berperanan dan berpengaruh berbanding Ketua Pengawasnya yang merupakan seorang pelajar Melayu lelaki. Pelajar India di sekolah ini merupakan golongan minoriti. Tetapi itu tidak menghalang pelajar ini menonjolkan kelebihan dirinya

Dari 3 buah sekolah menengah, 2 dari nya menyaksikan Ketua Pelajar mereka ialah seorang pelajar perempuan. Satu senario yang tidak pernah saya saksikan sebelum ini. Pada zaman persekolahan saya, lazimnya Ketua Pelajar mestilah pelajar lelaki. Malah saya sendiri pernah menjawat jawatan itu pada 1990.

Kedua - dua pelajar yang saya ceritakan di atas menunjukkan ciri kepimpinan yang sangat baik, malah seolah - olah kematangan mereka bukan seperti pelajar sekolah. Berani berbicara dengan terbuka, menegur kesalahan tepat pada waktunya, boleh memberi arahan dengan jelas malah mampu membuat keputusan dengan baik tanpa arahan dari guru.

Sebaliknya, saya perhatikan pelajar - pelajar lelaki pula yang seperti kurang tegas pendirian, lemah dalam komunikasi, sambil lewa dan tidak menonjol ciri - ciri kepimpinannya.

Begitu juga di Kolej Komuniti dan Politeknik Premier itu. Pelajar perempuan memainkan peranan cukup besar dalam kelangsungan program. Selain dari menguruskan makan minum, mereka turut menguruskan perjalanan program dan menjadi pengerusi majlis. Sangat sedikit sumbangan pelajar lelaki saya perhatikan.

Apakah yang sedang berlaku hari ini? Kenapa senario sebegini boleh berlaku? Saya faham sekiranya kemampuan pelajar perempuan meningkat tetapi tidak seharusnya pencapaian dan kemampuan pelajar lelaki pula merosot. 

Apa pandangan anda?

Kes Kematian Pegawai Kastam di Bangunan SPRM

Semasa kejadian ini berlaku, saya mendapat satu kiriman sms yang memberitahu ada perkara besar sedang berlaku melibatkan SPRM. Saya disarankan untuk ke lokasi kejadian untuk mengetahui apa yang berlaku tetapi kerana sedang sibuk dengan tugasan saya tidak dapat ke Jalan Cochrane walaupun jaraknya dengan rumah saya tidak jauh.

Saya cuba melihat di blog - blog utama mengenai perkara tersebut tetapi tidak muncul juga. Semakin tertanya - tanya dan saya terpandang satu update di facebook mengenai kejadian ini. Saya yang kebetulan berada di Jalan Tun Razak ketika itu mengambil peluang melalui Jalan Cochrane bagi melihat sendiri apa yang berlaku. Dalam hati saya - "Adakah ini berlaku seperti apa yang berlaku dengan Teoh Beng Hock"?

Berita - berita mula menyiarkan perkara ini. Saya mula mengutip setiap satu dan mula melakukan analisa - kali ini dengan bantuan 3 pelajar praktikal dalam bidang psikologi yang sedang berkhidmat dengan saya. Saya juga cuba mendapatkan maklumat dalaman dan mula membandingkannya.

Apabila mendapat fakta yang mangsa adalah lelaki Melayu yang sudah hampir pencen dan menjawat jawatan yang agak selesa, kami mula ragu dengan pernyataan yang kemungkinan mangsa membunuh diri. Ini adalah bersandarkan statistik kejadian bunuh diri melibatkan lelaki pada usia sebegini adalah rendah di negara kita. Malah, status penjawat awam dan lelaki Muslim pula, menyukarkan kami menelan bahawa mangsa membunuh diri dengan terjun dari tingkat 3. Andainya benar beliau bersalah, kami percaya bahawa nilai tuduhan yang dipikulnya membolehkan beliau berfikir panjang dengan laluan kehakiman negara ini.

Tidak cukup dengan itu, kejadian ini adalah seakan ulangan kes Teoh Beng Hock. Bezanya Teoh adalah saksi, dalam kes ini mangsa di katakan sebagai tertuduh.

Menurut maklumat yang diperolehi, mangsa telah memberi keterangan pada hari sebelumnya. Pada hari kejadian, mangsa datang ke bangunan SPRM ini dengan rela hati tanpa dipanggil oleh SPRM. Tujuan mangsa ke sana adalah untuk menarik balik atau mengubah keterangan yang telah pun diberikan. Kesilapan besar dalam kejadian ini ialah, mangsa tidak sepatutnya di bawa ke tingkat 3 kerana siasatan dikatakan hanya berjalan di tingkat bawah.

Melihat pula dari saiz tingkap, adalah mustahil mangsa membunuh diri dengan cara terjun kerana tidak konsisten dengan kaedah bunuh diri melalui tempat tinggi yang sering digunakan. Biasanya mereka yang membunuh diri dari tempat tinggi memerlukan masa untuk menenangkan diri, meratapi apa yang berlaku dan membuat keputusan.

Adakah mangsa dianiaya seperti yang dikatakan? Adakah mangsa mempunyai banyak maklumat mengenai kes berprofil tinggi dan dibunuh kerana untuk menutup rahsia besar yang melibatkan mereka yang berprofil tinggi?

Pada hemat kami, kejadian ini mungkin salah satu dari agenda menjatuhkan imej SPRM dan kredibilitinya. Apabila badan sebegini rosak kredibilitinya, pastinya banyak kes berprofil tinggi terlepas.

Adakah ini hasil perlaksanaan pembunuh upahan? Khabarnya ada CCTV..dapatkah sebarang bentuk rakaman untuk dinilai?

Saya cuma berharap Pakatan Rakyat tidak menjadikan perkara ini sebagai modal politik kerana ia melibatkan skop yang besar. Pada mereka yang cuba mengaitkan hal ini dengan sentimen perkauman, saya sarankan berhentilah kerana ia tidak akan kemana - mana.

Tsunami di Jepun - Kesan kepada Malaysia dan dunia

Ketika saya masih aktif dalam dunia muzik Underground satu ketika dulu, band saya iaitu Silent Majority pernah sepentas dengan sebuah band Grindcore yang agak terkenal dari Jepun - Damage Digital. Kumpulan ini sering mengadakan persembahan di gig - gig serata Asia dan mereka memiliki ramai peminat. Sepentas dengan mereka sangat mengujakan pada ketika itu kerana jumlah penonton yang ramai bersesak di bawah Dataran Merdeka. Itu merupakan bentuk perhubungan pertama saya dengan rakyat Jepun selain menggunakan pelbagai produk buatan Jepun ; Toyota, Honda, Nissan dan sebagainya.


Damage Digital


Ketika di universiti saya juga ada seorang kenalan warga Jepun ; Usman Takuro Kobayashi kalau betul tulisan saya mengenainya. Lucu orangnya dan sering menjadi rujukan kami kiranya bercerita mengenai Jepun.

Kini, Jepun menghadapi bencana yang amat dasyat dan diluar persediaan mereka menghadapi bencana. Seringkali kita menonton persediaan pasukan penyelamat Jepun melakukan latihan menghadapi gempa bumi dan taufan. Malah mereka juga mempunyai sistem amaran, perlindungan dan segala macam lagi yang membolehkan mereka meminimumkan kesan bencana. Namun Allah SWT lebih berkuasa.

Selepas perang dunia kedua, Jepun merupakan pelabur terbesar di Malaysia sehingga hari ini. Walaupun saban tahun kita disajikan dengan pelbagai filem mengenai 'Kejayaan' menghalau tentera Jepun, kita sebenarnya masih sangat bergantung kepada mereka. Buktinya, Proton baru sahaja menandatangani perjanjian dengan Nissan. Maka, apakah natijah bencana ini kepada Malaysia yang sangat bergantung kepada Jepun?

Bank Negara Jepun sudah pun mengumumkan bahawa mereka akan menyuntik sejumlah wang yang sangat besar dalam sejarahnya - 15 trilion Yen bagi membantu ekonomi, pemulihan selepas bencana dan pembinaan semula negara itu. 

Selain Malaysia, negara - negara lain turut menerima tempiasnya. Mujur banyak kilang - kilang milik Jepun yang membekalkan pelbagai benda berada di negara lain seperti Thailand, Vietnam, Laos dan sebagainya. Namun, kejatuhan lebih 5 mata pasaran saham Jepun memerlukan kekuatan besar bagi mengimbangi senario global.

Saya tidak mahu menyentuh isu Fizz Fairuz atau Zoy yang melukis karikatur mengenai bencana yang menimpa ini. Saya tahu bukan Fizz Fairuz seorang sahaja yang menyebut mengenai Ultraman tidak membantu Jepun tetapi, ini adalah kesan apabila kita kurang sensitif dengan apa yang berlaku. Sekiranya rakyat sedar yang kita sangat bergantung pada Jepun sebenarnya, saya rasa kita tak mungkin tergamak mengeluarkan apa - apa pernyataan sedemkian.

Reaktor nuklear yang meletup pula memburukkan keadaan. Negara maju dan sangat berdisplin dalam perkara berkaitan penyelenggaraan pun menghadapi kesan nuklear, inikan pula Malaysia yang sangat terkenal dengan kelemahan penyelenggaraannya. Sedangkan tandas pun kita gagal selenggara, inikan pula loji nuklear?

Konsert Mohsen Di Batalkan

Muka depan Utusan Malaysia hari ini

Sewaktu menanti akauntan saya di restoran NZ di Wangsa Maju, saya memasuki kedai serbagunanya untuk mencari suratkhabar. Pantas mata saya terlihat MOHSEN - ya..namanya tidak ramai sangat penggunanya di Malaysia. Ini kerana kebanyakan nama yang berbunyi sebegini di eja Mukhsin , Muhsin dan juga Mohsin.

Saya mula - mula membaca nama Mohsen Namjoo ini di laman Dr. Faisal Tehrani - baca disini. Kemudian rentetan itu bersambung dengan YB Zulkifli Noordin yang membuat laporan polis. Boleh baca di sini.

Saya juga bersyukur akhirnya kerajaan kita mengambil langkah membatalkan konsert ini selaras dengan sensitiviti masyarakat Muslim di sini.

Selain Mohsen Namjoo. Iran juga memiliki ramai Mohsen - antara yang ternama ialah Mohsen Makmalbaf; seorang pengarah filem yang terkenal. Juga agak kontroversial sifatnya.

Mohsen Namjoo

Suatu perkara yang menarik dapat diperhatikan disini ialah, pengaruh media baru seperti blog nampaknya sekali lagi memberi kesan. Hasil tulisan Dr. Faisal Tehrani telah membuatkan ramai blogger berkongsi tulisan itu dan membangkitkan kesedaran. Malah, kerajaan juga bertindak selaras dengan keperluan itu. Ini merupakan satu penanda yang baik bahawa sebenarnya sesiapa juga boleh menyumbang kepada kebaikan negara. Walaupun saya rasa Dr. Faisal tidak mungkin dianugerahkan pingat Datuk untuk tulisannya, tetapi ia adalah perkara yang besar sumbangannya juga.

Isu besar yang tidak boleh kita terlepas pandang ialah - siapa penganjurnya dan siapa yang ingin membawa masuk Mohsen Namjoo ini? Adakah tujuannya semata muzik atau....?

Saya juga berharap kerajaan akan mengambil tindakan tegas juga kepada artis - artis Melayu Islam khususnya yang berkelakuan tidak senonoh, mabuk dan tidak berakhlak. Ini kerana mereka juga penyumbang kepada keruntuhan akhlak.

Mohsen Amdan Berkata : Ada teman berseloroh dengan sms kepada saya yang berbunyi "Sen..apsal hang batalkan konsert?"

Kes Sosilawati - Ahmad Kamil Abdul Karim

Muka depan Mingguan Malaysia 12 September 2010

Salam
Saya dihubungi oleh sahabat saya Azeli di satu malam akhir Ramadhan dan bertanya "Sen..Ahmad Kamil Abdul Karim tu kawan kita kat UIA tu la kan?" 
Azeli menyambung perbualan dengan menceritakan mengenai siaran media mengenai kes Sosilawati yang hilang secara misteri..rupa - rupanya peguam yang turut hilang itu merupakan rakan saya sewaktu di UIAM - Ahmad Kamil Abdul Karim..Subhanallah..lemah lutut saya pabila mendengar perkhabaran kehilangan mereka. 

Tengah malam kelmarin, saya menerima panggilan dari Perth, sahabat saya Mr. Q memberitahu yang 4 mayat dibakar di Morib - sekali lagi saya lemah lutut kerana berita - berita begini bukanlah sesuatu yang diharapkan tambahan melibatkan kenalan kita.

Saya dan Ahmad Kamil agak kamcing sewaktu di pusat matirkulasi UIAM di Lembah Pantai. Dormnya hanya bersebelahan dorm kami dan dorm A601 iaitu dorm saya merupakan pusat melepak ketika itu. Ahmad Kamil yang memiliki Suzuki RG Sport bernombor NAP XXXX sememangnya dikenali ramai kerana beliau tidak lokek meminjamkan motorsikalnya kepada teman - teman rapat selain motornya juga agak ranggi. Malahan, kerana motor itu juga kami pernah bergaduh dengan pelajar dari negeri Kelantan; mana mungkin saya lupa saat saya dan Mohd Faiz Sabli mengumpul rakan - rakan dan menggegar bilik senior kami ketika itu.

Beliau seorang yang kelakar, selamba tetapi bijak dan berjiwa niaga. Sejak tamat pengajian pada tahun 2002, saya tidak pernah ketemu beliau namun melalui teman - teman yang ada berjumpanya, menyatakan rasa kagum dengan pencapaian kerjaya beliau yang amat cemerlang. Isterinya juga merupakan teman sepengajian kami.

Saya amat sedih dengan berita kematian dan jenayah yang dilakukan terhadap beliau. Rasa simpati yang teramat terhadap keluarganya kerana yang dicari mungkin Sosila, namun tidak semena - mena orang yang tidak berkaitan pula yang menjadi mangsa.

Andai benar beliau telah terbunuh, maka marilah kita mendoakan roh beliau kembali ke sisi Allah dengan segala kebaikan. Allah lebih menyayangi mereka. Buat keluarga beliau, saya amat bersimpati dengan apa yang berlaku dan bersabarlah walaupun ia tidak mudah berlaku dalam keadaan sebegini. Namun setiap sesuatu yang berlaku adalah di atas ketentuan Allah dan hanya Allah yang lebih mengetahui segalanya. Saya juga mendoakan agar si pelaku jenayah ini dihukum sewajarnya dunia dan juga akhirat.

Al - Fatihah