Semasa kejadian ini berlaku, saya mendapat satu kiriman sms yang memberitahu ada perkara besar sedang berlaku melibatkan SPRM. Saya disarankan untuk ke lokasi kejadian untuk mengetahui apa yang berlaku tetapi kerana sedang sibuk dengan tugasan saya tidak dapat ke Jalan Cochrane walaupun jaraknya dengan rumah saya tidak jauh.
Saya cuba melihat di blog - blog utama mengenai perkara tersebut tetapi tidak muncul juga. Semakin tertanya - tanya dan saya terpandang satu update di facebook mengenai kejadian ini. Saya yang kebetulan berada di Jalan Tun Razak ketika itu mengambil peluang melalui Jalan Cochrane bagi melihat sendiri apa yang berlaku. Dalam hati saya - "Adakah ini berlaku seperti apa yang berlaku dengan Teoh Beng Hock"?
Berita - berita mula menyiarkan perkara ini. Saya mula mengutip setiap satu dan mula melakukan analisa - kali ini dengan bantuan 3 pelajar praktikal dalam bidang psikologi yang sedang berkhidmat dengan saya. Saya juga cuba mendapatkan maklumat dalaman dan mula membandingkannya.
Apabila mendapat fakta yang mangsa adalah lelaki Melayu yang sudah hampir pencen dan menjawat jawatan yang agak selesa, kami mula ragu dengan pernyataan yang kemungkinan mangsa membunuh diri. Ini adalah bersandarkan statistik kejadian bunuh diri melibatkan lelaki pada usia sebegini adalah rendah di negara kita. Malah, status penjawat awam dan lelaki Muslim pula, menyukarkan kami menelan bahawa mangsa membunuh diri dengan terjun dari tingkat 3. Andainya benar beliau bersalah, kami percaya bahawa nilai tuduhan yang dipikulnya membolehkan beliau berfikir panjang dengan laluan kehakiman negara ini.
Tidak cukup dengan itu, kejadian ini adalah seakan ulangan kes Teoh Beng Hock. Bezanya Teoh adalah saksi, dalam kes ini mangsa di katakan sebagai tertuduh.
Menurut maklumat yang diperolehi, mangsa telah memberi keterangan pada hari sebelumnya. Pada hari kejadian, mangsa datang ke bangunan SPRM ini dengan rela hati tanpa dipanggil oleh SPRM. Tujuan mangsa ke sana adalah untuk menarik balik atau mengubah keterangan yang telah pun diberikan. Kesilapan besar dalam kejadian ini ialah, mangsa tidak sepatutnya di bawa ke tingkat 3 kerana siasatan dikatakan hanya berjalan di tingkat bawah.
Melihat pula dari saiz tingkap, adalah mustahil mangsa membunuh diri dengan cara terjun kerana tidak konsisten dengan kaedah bunuh diri melalui tempat tinggi yang sering digunakan. Biasanya mereka yang membunuh diri dari tempat tinggi memerlukan masa untuk menenangkan diri, meratapi apa yang berlaku dan membuat keputusan.
Adakah mangsa dianiaya seperti yang dikatakan? Adakah mangsa mempunyai banyak maklumat mengenai kes berprofil tinggi dan dibunuh kerana untuk menutup rahsia besar yang melibatkan mereka yang berprofil tinggi?
Pada hemat kami, kejadian ini mungkin salah satu dari agenda menjatuhkan imej SPRM dan kredibilitinya. Apabila badan sebegini rosak kredibilitinya, pastinya banyak kes berprofil tinggi terlepas.
Adakah ini hasil perlaksanaan pembunuh upahan? Khabarnya ada CCTV..dapatkah sebarang bentuk rakaman untuk dinilai?
Saya cuma berharap Pakatan Rakyat tidak menjadikan perkara ini sebagai modal politik kerana ia melibatkan skop yang besar. Pada mereka yang cuba mengaitkan hal ini dengan sentimen perkauman, saya sarankan berhentilah kerana ia tidak akan kemana - mana.
No comments:
Post a Comment