Total Pageviews

Layout baru 2011





Format gambar 570x300


Lakukan sesuatu bagi mencapai kecemerlangan..bukan untuk mencapai kejayaan, Kerana kejayaan akan tiba dalam kecemerlangan

Penghujung 2010...

Salam
Disember 2010 semakin ke penghujungnya, Malaysia di kurniakan cuti umum sempena kemenangan Piala AFF Suzuki. Hebat!!! Tahniah pada semua yang terlibat secara langsung atau tidak..sekurang - kurangnya tercatat juga sejarah manis sebagai penutup tahun 2010 ini.

Saya sendiri melalui pelbagai perkara di tahun 2010 ini. Terlalu banyak yang saya pelajari dan tempuhi. Malah disiplin menulis di blog ini juga agak menurun, mungkin kerana www.bolarotan.com lebih banyak mengambil masa saya.


Sebagaimana biasa, kebanyakan kita dengan azam baru. Tercapai atau tidak azam 2010 perlu diukur sebagai melihat perkembangan dan pencapaian kita sebagai manusia.

2010 menyaksikan saya mempelajari beberapa perkara yang sangat mempengaruhi hidup saya.
1. Perubahan dan prosesnya - Saya ditakdirkan Allah bertemu dengan beberapa insan yang mengalami perubahan drastik dalam hidupnya. Dan ianya melibatkan kedua - dua arah; dari negatif ke positif dan juga sebaliknya. Maka memetik kata - kata Abdullah Gymnistiar ; Perubahan itu harus melalui 3M

M1 - Mulai dari diri sendiri dahulu. Kerana lebih mudah merubah diri sendiri dari diri orang lain
M2 - Mulai dari perkara yang kecil - kecil dahulu. Kerana perkara besar kalau mahu diubah lebih rumit
M3 - Mulai sekarang - maksudnya bersegera dalam melakukan perubahan agar momentum keinginan untuk berubah itu tidak luput.

2. Media sosial sebagai kuasa baru - Bukan hanya facebook, malah pelbagai lagi dan yang terkini saya gunapakai ialah What'sApp. Selain membantu memudahkan proses komunikasi, ia melebarkan jaringan dengan sangat berkesan

3. Linux - Saya sangat berterimakasih kepada Asri Al - Baker kerana banyak memberi pendedahan kepada saya mengenai kepenggunaan Linux. Ia mengurangkan banyak masalah yang saya hadapi ketika bersama Windows

Banyak lagi perkara lain yang tidak kurang hebatnya berlaku buat saya. Pahit dan manis bersulam. Namun sebagai manusia biasa, saya pasrah dan redha dengan ketentuan Ilahi dan atas rezki serta dugaan yang diberikan buat saya.

Edu-Picnic ; Pendekatan baru dalam pembelajaran anak - anak


Salam
Saya dan isteri sedang merancang satu program yang mengambil pendekatan Edu-Picnic. Konsep santai dalam pembelajaran anak - anak yang mana ibu - bapa sendiri menjadi fasilitator dan dibuat dalam suasana berkelah - picnic. 

Program yang berlangsung pada hari cuti dan mengambil tempat di lokasi istirehat seperti taman tasik, pantai, sungai dan sebagainya ini bertujuan mewujudkan satu bentuk pembelajaran baru kepada anak - anak di mana mereka belajar secara langsung atau tidak dengan seisi keluarga turut bersama mereka. Sama ada sebagai fasilitator atau sebagai peserta. 

Bayangkan begini, anda dan beberapa teman sekerja / belajar / saudara mara yang memiliki anak yang hampir sebaya berkelah bersama. Kemudian ibu bapa yang hadir ini bergilir memainkan peranan sebagai fasilitator atau moderator. Aktiviti berkumpulan dijalankan dengan pelbagai input bagi meransang anak - anak belajar. Malah ibu bapa juga dapat berkumpul dengan teman - teman untuk tujuan yang bermanfaat secaar langsung mengukuhkan ukhwah keluarga dan teman - teman. Anak - anak mendapat kenalan baru dan bebas bermain sesudah input diberikan. Menarik bukan?

Saya dan isteri ingin melaksanakan program pertama ini di Taman Tasik Permaisuri Bandar Tun Razak. Kami menjangkakan Januari 2011 ini sebagai permulaannya. Makanan dan peralatan di bawa sendiri ..atau boleh saja dibuat kutipan bagi membeli makanan dan peralatan.

Anda ingin menyertainya? Emailkan respon anda kepada mohsenamdan@gmail.com

CEO baru FELCRA Berhad - Keluarga Pegawai Khas kepada Rosmah Mansur?

Salam,
Maklumat terkini yang saya perolehi berkaitan CEO kepada FELCRA Berhad yang kini masih di isi oleh pemangku sedia agak memeranjatkan. Notis yang dikeluarkan pada hari Jumaat lalu bakal berkuatkuasa esok (6 Disember 2010) di mana susuk individu dari luar lingkungan FELCRA bakal menyandang jawatan ini. 

Desas desus mengatakan bahawa susuk yang bakal menduduki kerusi CEO ini merupakan adik beradik kepada salah seorang pegawai khas isteri Perdana Menteri iaitu DATIN SERI ROSMAH MANSOR. 

Sekiranya perkara ini benar - benar berlaku, maka saya ingin mengucapkan tahniah kepada beliau kerana berjaya mengenepikan calon - calon CEO dari FELCRA sendiri yang sebelum ini terbayangkan kerusi panas ini.

FELCRA merupakan salah satu agensi kerajaan penting dalam membantu pengurusan tanah terbiar serta membantu bumiputera dalam pelbagai aspek. Meskipun terdapat kes - kes peserta FELCRA keluar dari rancangan FELCRA, tetapi FELCRA kadangkala masih melibatkan mereka secara langsung atau tidak dalam program - program tajaan mereka.

Berbalik kepada perkara di atas, sekiranya perkara ini menjadi kenyataan, maka penguasaan proksi isteri PM ke atas unit penting kerajaan seolah - olah bukan kisah kedai kopi lagi.

Apa pandangan anda? Adakah ia bakal menjadi nyata?

Korupsi dan penindasan dalam pengurusan air

Disalin dari tukartiub.blogspot.com


PENSWASTAAN AIR : MENGFARAIDKAN HARTA ORANG RAMAI

Sebelum dasar penswastaan diperkenalkan oleh Mahathir Muhamad bekalan air untuk warga diseluruh negara dikendali dan diuruskan oleh PWD - Public Works Department atau Jabatan Kerja Raya – JKR.

PWD/JKR ini bukan syarikat kroni dan tidak pernah berniat untuk mencari untung. Tidak ada individu atau Pun Seri yang memiliki saham dalam lembaga JKR. Saham JKR dimiliki oleh seluruh warga Malaysia kerana JKR ini adalah harta awam. Jabatan ini bertugas untuk menjaga kebajikan orang ramai. Berkhidmat untuk kebajikan semua warga negara adalah niat dan rukun iman JKR.

Semuanya berubah apabila dasar penswastaan diperkenalkan. Dasar penswastaan adalah dasar kapitalis dimana semua hak milik rakyat yang dibawah jagaan kerajaan di jualkan kepada orang ramai. Sebenarnya penswastaan ini adalah satu projek silap mata dimana harta rakyat disonglap oleh para kroni.
Caranya bagini:

Loji air dan semua yang bersangkutan dengan pembekalan air sebelum penswastaan adalah milik orang ramai. Penswastaan adalah dasar dimana harta milik orang ramai ini diambil alih dan difaraidkan kepada para kroni, cukong dan mereka yang berduit untuk membeli sham.

Cara mengfaraidkan harta orang ramai ini kepada kroni cukup senang – tak perlu silap mata. Loji dan semua yang bersangkutan dengan air yang awalnya milik orang ramai ini diubah suai untuk dijadikan sebuah syarikat. Lalu Menteri Keewangan meletakan nilai terhadap saham air syarikat ini

Kementerian keewangan mengeluarkan pink form. Tertera di pink form inilah jumlah saham yang telah difaraidkan kepada sang kroni. Sang kroni atau kawan atau kenalan Pak Menteri boleh membawa pink form ini ke bank. Bank dengan berbesar hati akan menyediakan pinjaman berlandaskan jumlah saham yang tertera di pink form. Pinjaman dari bank ini untuk membolehkan sang kroni membeli saham yang akan diapongkan.

Sebelum ini Menteri Keewangan akan meletakan harga terhadap saham air disyarikat baru ini. Biasanya akan dinilai dengan harga yang agak rendah. Ini untuk memastikan mereka yang dapat anugerah saham dan pink form akan dapat menjualkan balik dengan harga yang lebih mahal. Saham ini diapongkan – kerana dinilai murah - maka apabila diapongkan ramai pembeli sanggup membeli dengan harga yang mahal.

Maka tuan empunya pink form dan tuan empuya saham akan menjualkan saham dengan harga mahal. Inilah cara dasar penswastaan dimana kaum kerabat , kroni dan elit kawan kawan United Malays National Organisation dapat membuat – bukan mee segera tapi duit segera.

Justeru – para kroni, anak bini, kaum keluarga dan kawan kawan Pak Menteri akan jadi kaya raya melalui dasar penswastaan ini. Kerana mereka semua ini mendapat manafaat maka pastilah mereka akan menyokong dasar ini hingga ke liang lahad.

Tetapi bukankah amat jelas dasar penswastaan – memfaraidkan harta orang ramai - ini adalah kerja merompak disiang hari?

Betul. Ini satu rompakan resmi melalui penswastaan. Ini adalah dasar yang diajukan oleh United Malays National Organisation. Rompakan ini juga menggunakan parlimen untuk menghalalkan cara merembat harta orang ramai. Inilah caranya bagaimana air rakyat Selangor tetiba dimiliki oleh syarikat Syabas.
Kesah rompakan ini diteruskan lagi :
Untuk memastikan harta rompakan ini akan terus membawa keuntungan, United Malays National Organisation telah mengikat perjanjian dengan Syabas ketika menjual harta rakyat ini. Dalam perjanjian jual beli ini Untited Malays National Organisation telah memastikan setiap dua atau tiga tahun harga air wajib dinaikkan.
Kenapa kah ini berlaku? Tidak kah sesiapa nampak akan butir isi perjanjian ini?

Rompakan ini cukup licik – orang yang merompak dan orang yang membuat perjanjian adalah malaon yang sama. Ertinya Pak Menteri yang bertanggung jawab membuat perjanjian adalah juga pemegang saham dalam syarikat yang di swastakan ini. Pelik? Silap mata? Tidak!

Kalau diselidik nama menteri ini pasti tidak akan ditemui. Menteri ini bukan bangang. Pak Menteri akan menggunakan pelbagai cara – lihat bagaimana Khir Toyo menggunakan si pemandu pribadinya untuk menerima geran tanah seluas 200 ekar. Semua boleh diurus. Ini dasar Malaysia boleh !

Perlu diberitahu bahawa surat perjanjian ini tidak pernah diketahui oleh orang ramai. Perjanjian antara Syabas dan kerajaan Selangor telah menjadi rahsia dan jatuh di bawah Akta Rahsia Kerajaan. Ini lah cara si perompak merompak harta orang ramai dan menjaga hasil rompakan mereka.

Hanya apabila kerjaaan Selangor ditadbir oleh Pakatan Rakyat barulah diketahui semua isi perjanjian ini. Kerajaan Selangor telah membakul sampahkan Akta Rahsia Kerajaan. Sekarang semua maklumat kerajaan Selangor boleh ditemui tidak ada lagi yang berahsia rahsia.
Rahsia Syabas sudah kantoi !

Hari ini kerajaan Pakatan di Selangor ingin mengambil alih kembali syarikat air Syabas. Ertinya dikembalikan kepada kedudukan asal dimana air dan semua yang bersangkutan dengan air di Selangor bukan milik syarikat atau saham individu tetapi milik kerajaan. Dari syarikat swasta dikembalikan untuk menjadi hak milik orang ramai sekali lagi.
Kenapa kerajaan Pakatan Selangor berbuat demikian?

Semenjak tahun 1997 apabila air di Selangor di swastakan amat jelas ianya telah merugikan orang ramai. Syarikat air Syabas selama 10 tahun ini telah dijadikan lombong emas untuk memperkayakan para kroni dan kaum keluarga. Buktinya amat jelas. Ini bukan fitnah dan tohmah. Bukti ini muncul dari laporan audit tahunan yang diteliti oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Tahukah warga Selangor dan warga Malaysia anak semua bangsa : bahawa gaji CEO Syabas, Tan Sri Rozali Ismail ialah 5.1 juta ringgit setahun atau 425,000 ringgit sebulan. Bayangkan kalau 5 juta ringgit ini duit lima sen sudah tenggelam seluruh tasik air di Hulu Langat.

Perlu juga diberitahu dari laporan audit ini , syarikat Syabas ini telah memberikan 72% kontrek bernilai 600 juta ringgit kepada syarikat kroni melalui rundingan sap sap sui. Juga dari laporan yang sama telah diketahui bagaiman 325 juta ringgit ‘tenggelam lesap’ entah kemana.

Melihatkan ini maka kerajaan Selangor sedang bertempur kuat untuk mengambil alih kembali kawalan terhadap syarikat Syabas. Sekarang ini warga Selangor telah mendapat 20 kubik meter air percuma. Air percuma ini diberi ketika Syabas masih lagi syarikat swasta. Bayangkan jika Syabas ini milik orang ramai. Berapa banyak keuntungan yang dapat kita sama sama rasa. Bukan hanya Tan Sri Ghazali sahaja yang dapat minum champagne Dom Perignon – malah seluruh warga Selangor dapat berenang dengan duit yang telah diselamatkan dari dirompak.

Apa yang sedang dilakukan oleh kerjaan Pakatan Rakyat di Selangor ini adalah permulaan untuk mengembalikan hak rakyat. Mengembalikan harta rakyat yang telah difaraidkan oleh Mahathir Muhamad dan konco-konconya. Perjuangan untuk mengembalikan hak rakyat masih jauh lagi. Api, lebuh raya, hospital, klinik – adalah diantara harta rakyat yang telah dirompak melalui dasar penswastaan.

Orang ramai – anak semua bangsa – tidak ada pilihan melainkan menolak dasar penswastaan. Amat jelas dasar ini adalah dasar yang tidak membawa kebajikan untuk orang ramai. Dasar ini hanya imembawa laba, untung, kekayaan dan kebajikan untuk pemilik saham.

Justru marilah kita turun sama berjuang di jalan raya pada 5 Disember ini. Pada hari Ahad yang akan datang ini warga Selangor akan berkumpul di Masjid Negara. Warga Selangor akan bersama Menteri Besar dan pimpinan Pakatan Rakyat untuk berarak menyampaikan memo kepada Yang Dipertuan Agong. Memo menuntut hak air mereka dipulangkan kembali.

Anak semua bangsa mari kita bersetikawan dan bersolidariti dengan warga Selangor yang berjuang untuk mendapatkan hak air mereka Hari ini air Selangor - esok api leterik dan hopital yang perlu kita sama-sama perjuangkan.
( TT )
nota:
tulisan ini telah difaraidkan
untuk kebaikkan orang ramai

Harga minyak naik lagi - hoorahhh!!!!





Yey yey..harga minyak naik lagi..
Yey yey..berjaya naikkan harga minyak lagi..
yey yey..kita makin kaya untuk bayar harga minyak ..
yey yey pendapatan dan gaji kita meningkat lagi..
yey yey rakyat makin banyak duit..
yey yey harga barang makin murah..

Ulang tahun ke 32 - 27 November 1978 - 2010


Salam

Genap 32 tahun usia saya hari ini.. 27 November 1978 bertempat di Hospital Besar Kuala Lumpur jam 9.38 malam saya di lahirkan. Ditakdirkan menjadi anak bongsu dari 9 adik beradik yang mana kini hanya tinggal bertujuh. Malah ayah juga sudah tiada menemani saya dan keluarga.

Pada usia begini saya sudah dikurniakan seorang isteri yang sangat baik dan mulia, 2 orang anak perempuan yang comel dan bijak serta seorang anak lelaki yang masih di dalam kandungan. Pelbagai pengalaman hidup yang dilalui, susah dan senang..perit dan seronok..sedih dan gembira..pahit dan manis. 

Masih banyak perkara yang saya masih belum saya capai dalam hidup - sama ada dari aspek material mahupun spiritiual. Laluan dan cabaran hidup makin mencabar dan komitmen tinggi sangat diperlukan. Dalam usia begini juga saya merasakan agak sedikit berumur apabila menyedari kemampuan fizikal mula merosot terutama dalam aktiviti lasak.

Pada usia ini juga saya memohon kehadrat Allah Taala agar dipanjangkan usia saya, diluaskan ilmu, diberi kekuatan untuk beribadah dan dimurahkan rezeki. Moga atas segala kurniaan ini saya akan dapat menyumbang lebih banyak kebaikan pada mereka yang berada di sekeliling saya. Insya Allah

Harga hartanah bakal melambung - bagaimana generasi akan datang?



Salam
Beberapa bulan terdahulu saya sering memikirkan perkara ini dan kerap juga saya berkongsi pandangan dengan teman - teman rapat iaitu isu berkaitan harga hartanah atau lebih khususnya rumah. Kebetulan pula baru - baru ini di Buletin Utama isu ini disebut dan beberapa hari sebelumnya di The Edge juga mengulas perkara yang hampir sama. 

Sebagaimana diketahui umum, Real Estates atau urusniaga hartanah ini merupakan salah satu dari 3 jenis 'Wealth Creation Methods' atau kaedah pembinaan kekayaan. Dan uniknya penanda aras bagi harga dan nilai hartanah ini banyak bersifat spekulatif; kiranya ada sekalipun kaedah pengiraan harganya sudah pasti orang umum tidak mengetahuinya.

Bayangkan keadaan ini, sebuah projek perumahan 2 tingkat 20 x 70 berharga RM300000 ketika ianya belum dilancarkan. Melonjak ke RM325000 ketika pelancaran dan RM349000 ketika hampir siap. Bolehkah anda menjual makanan sebegini? Sebelum buka kedai Nasi lemak berharga RM1.00. Apabila kunci kedai dibuka RM1.25 dan ketika nasi sedang dimasak RM1.49? Bagaimana kalau hidangan sudah siap?



Alasan yang selalu digunakan apabila ditanya - permintaan tinggi. Pastinya tinggi kerana ia bukan sahaja tempat berlindung tetapi sebagai SUMBER KEUNTUNGAN. Yang berduit terus berduit kerana mereka sahaja yang mampu membayar deposit. Selebihnya pembeli kedua atau ketiga yang tanggung. Hebat bukan kuasa PELABURAN?

Baik kembali kepada tajuk di atas... bayangkan nasib generasi akan datang. Sejarah menunjukkan kenaikan gaji di Malaysia ini tidaklah begitu tinggi. Maka dengan kenaikan harga rumah yang sebegini, bagaimana anak - anak kita akan membeli rumah? RM200000 adalah harga murah bagi sebuah apartment kini. Dengan gaji di atas RM3000 sebulan maka berpeluanglah seseorang memiliki rumah...ingat ya..berpeluang sahaja..belum tentu dapat. Lihat sekeliling kita, kerja yang bagaimana menghasilkan gaji RM3000? Maka apa penyelesaiannya?

Apa yang mampu kerajaan lakukan untuk menghalang atau membaiki keadaan ini? Menurunkan harga rumah? Bagaimana? Berapa peratus sahaja projek perumahan di negara ini yang dibiaya kerajaan? Sedangkan kakitangan DBKL yang layak menerima kuarters pun tidak menerima yang sepatutnya atas alasan harga rumah..maka bagaimana pula nasib kita yang tidak berkhidmat dengan kerajaan ini terbela?

Anda ada jawabnya? Sila kongsikan bersama

Chick Corea Elektric Band - Spain - Live At Montreux 2004

Sebuah supergroup yang hebat bersama front man yang cukup kreatif - Chick Corea merupakan seorang pemuzik yang sangat halus penciptaannya.
Namun begitu, ramai juga yang mengkritik dan tidak menggemari beliau atas alasan bentuk fusion jazz yang dibawanya merosakkan jazz itu sendiri.
Satu perkara yang pasti di sini ialah, tidak semua orang mudah menerima perubahan dan tidak semuanya yang bagus di mata kita baik juga di mata orang lain.

Saya mengalami perkara sama ini ketika cuba membawa arus berbeza dalam persembahan seni dan muzik di UIAM satu ketika dahulu. Dikritik, dipulaukan, dibenci dan dimusuhi adalah perkara yang saya terima satu ketika dulu. Tetapi kelompok kecil yang percaya kepada perubahan tetap setia bersama. Sehingga kini, kumpulan muzik yang saya dan Zul tubuhkan satu ketika dahulu masih dipersada seni kecil negara ini. Saya sudah tidak bersama mereka lagi tetapi kini bersama Kuintet Teranchang - jauh berbeza genrenya berbanding apa yang saya lakukan dahulu.

Saya menggemari persembahan seperti Chick Corea ini di mana setiap satu alatan dieksploitasi semaksimum mungkin. Ini memberikan ruang kepada alatan dan muzik itu sendiri bergerak menerobos ruang seni. Malah, ia membantu kepada kelainan bagi setiap persembahan yang dihidangkan. Tontonlah video ini dan anda akan mengerti...



Program TOT & Pembanguan Modul DBKL 2

Salam
26 - 28 Oktober 2010
Bandar Wawasan

Saya diamanahkan sekali lagi mengendalikan sesi untuk DBKL oleh HPI Consultants.  Sesi kali ini dihadiri oleh 25 orang pegawai DBKL dan hampir kesemuanya terlibat dalam kerja - kerja pengendalian sesi latihan dan taklimat. Saya memang gemar bertemu kelompok sebegini. Maka walaupun tajuk kursus ini sama seperti yang lalu, pendekatan saya agak berbeza kali ni.

Simulasi Coaching, Mentoring dan Facilitating

Saya kurang memberi penumpuan kepada aspek yang tidak berkaitan kepada mereka - bajet, analisis TNA dan sebagainya. Sebaliknya tumpuan kepada penambah baikan kepada diri sendiri selaku Trainer DBKL.


Perbincangan kumpulan

Peserta diuji denagn pelbagai pendekatan - antaranya melepaskan mereka bertemu dengan orang awam dan menjelaskan kepada orang awam perkhidmatan yang ditawarkan oleh DBKL berdasarkan brosur dan pamplet yang disediakan. Dapat diperhatikan perbezaan mereka yang berpengalaman mendekati orang ramai dengan mereka yang kurang bergaul.

Kalau dah minat sepaktakraw tu..simulasi pun guna bola takraw juga

Dengan jumlah melebihi 12 ribu kakitangan, saya merasakan DBKL memerlukan mekanisme pengurusan latihan kakitang yang lebih baik. Sama ada dengan penggunaan sistem maklumat yang lebih baik sehinggalah kaedah Training Needs Analysis yang lebih berkesan. 

Analisis masalah berkaitan sistem latihan DBKL

Tugas lapangan di sekitar Medan Tuanku

Mencari 'mangsa' di banguan SME Bank

Beri penerangan mengenai DBKL kepada pemandu teksi...Macam ni pun boleh ke? 

Dan pastinya saya tidak akan melupakan program kali ni kerana pada hari kedua, sedang kami rancak menjalani program, latihan kebakaran diadakan. Maka terpaksa kami menangguhkan program kami dan berjemur di bawah sianr mentari sehingga sesi itu selesai. Sabar aje la..
Berkumpul ditempat selamat

Pegawai Keselamatan dan Kesihatan mengawal keadaan

Wakil Bomba memberi taklimat keselamatan


Program TOT dan Pembangunan Modul - DBKL

Salam

Kali pertama saya mengendalikan sesi latihan di Perpustakaan Kuala Lumpur adalah kira -  kira 3 atau 4 tahun lalu bersama pelajar Mahallah Hafsa UIAM. Saat itu saya terpinga - pinga kerana baru menyedari kewujudan perpustakaan yang terletak di belakang Dataran Merdeka. Kali ini melalui HPI Consultant saya diundang ke lokasi sama bagi mengendalikan program bertajuk di atas dengan pesertanya terdiri dari kakitangan DBKL. Seramai hampir 20 orang terlibat kali ini dengan penumpuan diberikan kepada pemahaman konsep pembelajaran sepanjang hayat , Analisis Keperluan latihan dan pembikinan modul latihan.


Sesi World Cafe

Antara lain yang disentuh ialah mengenai keperluan kepelbagaian bentuk pembangunan modal insan yang mana menjadi kelaziman bagi kebanyakan agensi kerajaan bergantung kepada PROGRAM dan KURSUS. Walhal pendekatan Coaching, Mentoring mahupun Facilitating boleh digunapakai dan mampu memjimatkan kos serta memberi kesan yang baik.

Simulasi "Knowledge Transfer Process"

Syukur yang amat sangat sesi ini berjalan lancar meskipun ada beberapa peserta yang terpaksa keluar masuk atas urusan yang tidak dapat dielakkan - masalah apabila lokasi kursus berdekatan dengan pejabat. Peserta juga teruja ingin mengaplikasikan pengetahuan yang diperolehi dikeadaan yang sebenar! Semoga Berjaya

Kursus Psikologi - Coaching dan Mentoring - Peningkatan Produktiviti

Salam
Untuk melepasi angka 200 ini nampaknya saya terpaksa mengambil masa yang agak lama. Bukan kerana ketiadaan bahan untuk dikongsikan tetapi kerana jadual hidup yang agak padat kebelakangan ini. Syukur pada Allah yang mengurniakan ruang dan rezki buat saya dengan kesibukan ini. Saya mulakan dengan previu program Kursus Psikologi - Coaching dan Mentoring - Peningkatan Produktiviti. Program ini merupakan Public Program anjuran HPI Consultant Sdn Bhd dan ianya berlangsung di Shah Alam. Program ini dihadiri 16 orang dari pelbagai agensi kerajaan seperti Akademi Koreksional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, DBKL dan beberapa lagi yang lain.


Simulasi menggunakan kompang

Simulasi menggunakan Marwas dan Ukulele

Matlamat program ini ialah bagi berkongsi pandangan dan input mengenai kaaedah Coaching dan Mentoring bagi meningkatkan produktiviti. Pendekatan ini telah digunapakai sejak sekian lama oleh pelbagai negara maju dan begitu juga negara kita. Cuma sering sekali saya berhadapan dengan mereka yang keliru di antara keduanya dari segi ilmu mahupun dari segi perlaksanaannya. 

Coaching yang seringkali dikaitkan dengan industri sukan lebih mudah difahami umum namun dari sudut perlaksanaannya ia tidak begitu mudah - kerana perkara asas yang perlu diselesaikan ialah siap yang layak menjadi Coach?

Mentoring juga mengalami perkara yang hampir sama - namun kekeliruan dek kerana perlaksanaan kaedah mentoring yang dilalui oleh kebanyakan kita sejak di bangku sekolah lagi. Ia bukan hanya memasangkan mentor dan mentee semata - mata. Menambah kekeliruan sedia ada, rancangan tv terbitan TV3 - Mentor yang menggunakan tagline - Tunjuk Ajar Ku Sifu menyebabkan ramai yang beranggapan mentor ialah orang yang juga SIFU.

Entri ke 200

Salam
Akhirnya saya berjaya juga mencecah entri ke 200!!
Walaupun kebelakangan ini saya jarang mengemaskini blog ini berbanding www.bolarotan.com bukanlah bererti saya mengabaikan laman ini. Cuma kebetulan banyak kandungan yang perlu dimuatkan di laman sepaktakraw saya itu.

Saya memulakan entri ini dengan mengecam Berita Minggu keluaran 10 Oktober 2010. Ini kerana mereka mempamerkan 2 gambar yang tidak sepatutnya iaitu aksi pelakon wanita tempatan terkenal - Nora Danish yang menunjukkan bahagian badan yang tidak sepatutnya. Sama ada Nora Danish sedar atau tidak shot sebegitu dirakamkian saya tidak pasti namun pada saya ini membawa ke zaman Yellow Journalism yang mana gambar sensasi dan erotik menarik minat pembeli. Begitu juga gambar kedua iaitu bintang lucah antarabangsa yang mana gambarnya mendedahkan bahagian dadanya. Mengapa tidak editor mengaburkan bahagian tersebut? Terlepas pandang?? Mustahil bagi saya kerana imejnya besar.

Kedua mengenai isu Persidangan Wanita Pertama. Sama ada anda suka atau tidak, ia akan berlangsung. Besar atau kecil isu yang bakal dibincangkan, kesan dan tindakan lanjut dari persidangan ini Allah sahaja yang tahu. Namun sebagai rakyat negara inisaya berhak mengeluarkan soalan ini - Mengapa perlu ada, peruntukan dari agensi mana diguna pakai dan siapa yang perlu bekerja bagi tujuan ini? 


Mohsen Amdan berkata : Jualan Carlsberg di Wilayah Barat China kini melebihi dari jualan mereka di seluruh USA.

Singapura - Pembangunan, Sosial dan Politik Bahagian 1

Bahagian 1
Salam
Ketika saya menulis entri ini, berita mengenai kematian isteri bekas pemimpin utama Singapura - Lee Kuan Yew telah meninggal dunia kerana angin ahmar yang ditanggungnya sejak 2008. Melihat di Google, pelbagai respon terhadap berita ini - ada yang sedih, ada yang gembira malah ada yang marah kerana mereka mengharap Lee Kuan Yew yang sepatutnya mati. Ada hikmah disebalik setiap sesuatu yang berlaku bukan?

Ironinya juga, seteru kuat Lee Kuan Yew iaitu bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Mahathir juga kini terlantar di hospital bandar Melbourne Australia, tatkala beliau dijadualkan memberi ceramah atas jemputan Kelab UMNO di sana.

Tetapi kali ni , saya lebih berminat menulis mengenai negara jiran yang mana pelbagai tanggapa diberikan kepada mereka oleh pelbagai pihak, ada yang benci kepada negara ini kerana sikap Ultra Kiasu. Ada yang suka kerana pembangunan dan sistem mereka yang cekap. Tak kurang juga ramai yang berterimakasih kepada negara ini yang menyediakan peluang pekerjaan dan pendapatan lumayan atas dasar nilai perkapita yang lebih tinggi serta tukaran wang yang mencecah 2.3 kali ganda dari Ringgit Malaysia.

Baru - baru ini saya ke sana; untuk pertama kali dalam hayat saya berhari raya di sana. Juga selepas 2 tahun tatkala persembahan saya bersama Dewangga Sakti untuk majlis persandingan pemain bolasepak negara itu dan selebritinya - Baihaki dan Nurfasari. Kebetulannya juga saya ke sana setelah genap 11 tahun saya tidak kesana bertemu keluarga dan 11 tahun saya mula menyanyi dikhalayak ramai. Bagi yang tidak mengenali saya, ibu dan adik beradik saya lahir di kota ini. Malahan ibu saya mengambil langkah menukar kerakyatan apabila menurut arwah ayah saya yang memiliki kewarganegaraan Malaysia.

Saya ke sana kali ini dengan memandu yang mana 11 tahun lalu saya melakukannya juga. Tetapi kali ni sistemnya jauh sekali berbeza. Auto Pass, ERP muncul selepas 11 tahun saya tidak kesana. Pabila tiba di gerbang kota ini, saya seolah  - olah tidak pernah menjejak kaki ke nagara ini. Segalanya tampak berbeza, sehinggakan saya berulang kali bertanyakan soalan melalui walkie talkie antara saya dan suami sepupu iaitu Abang Kamal.

Apartment / Kondo yang menempatkan rumah sepupu saya

Setiba saya di rumah sepupu saya, saya mendapati transformasi (izinkan saya guna perkataan ini kerana PM kita suka dengannya) yang berlaku amat mengesankan. Dari sebuah kawasan yang kelihatan perumahan biasa, menjadi begitu eksklusif walaupun rakyat yang hanya berstatus kebanyakan yang tinggal disini. Nilainya juga amat tinggi dengan lokasinya strategik.




Pencakar langit yang rancak dibina dan ditambah baik

Pembangunannya bukan sahaja rancak tetapi teratur dan bersepadu. Ini yang membuatkan negara kita agak ketinggalan kerana aspek bersepadu ini yang selalunya gagal kita hayati dengan baik. Negara yang sumbernya sangat terhad ini melakukan apa saja yang diinginkan bagi kesejahteraan semua dan sebagai timbal baliknya, rakyat perlu membayar lebih atas perkhidmatan yang diberikan. Namun rata - rata rakyat mereka tiada masalah untuk membayar lebih kerana mutu perkhidmatan yang diterima amat berbaloi. Bayangkan kiranya motorsikal anda rosak ditengah jalan, anda tidak perlu mengusung ke bengkel berdekatan. Kerajaan menyediakan perkhidmatan mengangkut dan anda hanya perlu menelefon nombor yang sepatutnya sahaja.



Anak - anak bergembira di Marina Barage - kawasan riadah yang menjadi tarikan terkini


Kes Sosilawati - Ahmad Kamil Abdul Karim

Muka depan Mingguan Malaysia 12 September 2010

Salam
Saya dihubungi oleh sahabat saya Azeli di satu malam akhir Ramadhan dan bertanya "Sen..Ahmad Kamil Abdul Karim tu kawan kita kat UIA tu la kan?" 
Azeli menyambung perbualan dengan menceritakan mengenai siaran media mengenai kes Sosilawati yang hilang secara misteri..rupa - rupanya peguam yang turut hilang itu merupakan rakan saya sewaktu di UIAM - Ahmad Kamil Abdul Karim..Subhanallah..lemah lutut saya pabila mendengar perkhabaran kehilangan mereka. 

Tengah malam kelmarin, saya menerima panggilan dari Perth, sahabat saya Mr. Q memberitahu yang 4 mayat dibakar di Morib - sekali lagi saya lemah lutut kerana berita - berita begini bukanlah sesuatu yang diharapkan tambahan melibatkan kenalan kita.

Saya dan Ahmad Kamil agak kamcing sewaktu di pusat matirkulasi UIAM di Lembah Pantai. Dormnya hanya bersebelahan dorm kami dan dorm A601 iaitu dorm saya merupakan pusat melepak ketika itu. Ahmad Kamil yang memiliki Suzuki RG Sport bernombor NAP XXXX sememangnya dikenali ramai kerana beliau tidak lokek meminjamkan motorsikalnya kepada teman - teman rapat selain motornya juga agak ranggi. Malahan, kerana motor itu juga kami pernah bergaduh dengan pelajar dari negeri Kelantan; mana mungkin saya lupa saat saya dan Mohd Faiz Sabli mengumpul rakan - rakan dan menggegar bilik senior kami ketika itu.

Beliau seorang yang kelakar, selamba tetapi bijak dan berjiwa niaga. Sejak tamat pengajian pada tahun 2002, saya tidak pernah ketemu beliau namun melalui teman - teman yang ada berjumpanya, menyatakan rasa kagum dengan pencapaian kerjaya beliau yang amat cemerlang. Isterinya juga merupakan teman sepengajian kami.

Saya amat sedih dengan berita kematian dan jenayah yang dilakukan terhadap beliau. Rasa simpati yang teramat terhadap keluarganya kerana yang dicari mungkin Sosila, namun tidak semena - mena orang yang tidak berkaitan pula yang menjadi mangsa.

Andai benar beliau telah terbunuh, maka marilah kita mendoakan roh beliau kembali ke sisi Allah dengan segala kebaikan. Allah lebih menyayangi mereka. Buat keluarga beliau, saya amat bersimpati dengan apa yang berlaku dan bersabarlah walaupun ia tidak mudah berlaku dalam keadaan sebegini. Namun setiap sesuatu yang berlaku adalah di atas ketentuan Allah dan hanya Allah yang lebih mengetahui segalanya. Saya juga mendoakan agar si pelaku jenayah ini dihukum sewajarnya dunia dan juga akhirat.

Al - Fatihah

Salam Aidilfitri

Salam. Maka detik yang dinantI oleh ramai orang akhirnya tiba: 1 Syawal menjelma dengan pelbagai gaya, perasaan, cara dan tingkahlaku. Ada yang bergembira dengan pakaian baru, kereta motor baru, rumah baru mahupun gaya fesyen terbaru. Begitu juga yang bersedih kerana kematian insan tersayang, kemalangan, kebakaran atau apa saja malapetaka yang menimpa. Apa jua cara dan rasa, putaran roda kehidupan sentiasa membuat kita menghadapi asam garam hidup dan samada ia gembira atau nestapa - ia datang dari yang Maha Esa dan kita harus sabar dan bersyukur atas segalanya. Selamat Aidilfitri dan saya memohon ampun dan maaf zahir batin andai sepanjang perkenalan anda dan saya menerusi ruang ini ada kesilapan yang telah  saya lakukan. Minal Aidil Wal Faizin

Pelbagai cara mempengaruhi manusia

Salam
Saya percaya kebanyakan pembaca pernah mendapat email yang mengatakan anda terpilih memenangi duit berjumlah sekian banyak kerana email anda telah terpilih. Atau ada juga yang mengatakan yang mereka memerlukan bantuan anda bagi menunaikan wang yang ditinggalkan oleh si polan yang telah mati.


Yang terbaru, saya menerima email seperti di bawah. Perhatikan pengirim menggunakan petikan terjemahan ayat AL - Quran bagi mempengaruhi pembaca.


Assalamu Alaikum:Mohsen Amdan

Your e-mail address came up in a random draw conducted by United    Kingdom Islamic charity Organization which picked by a little girl.
This directed to my chamber to inform you,Barrister Robert Clerk,    Chambers in London. (Attorney General of United Kingdom Islamic   Charity Organization)

are hereby giving this charity work to you outside  United Kingdom,   with your good effort and trust ,the Holy Qur'an,  Chapter 39, Verse.38.
United Kingdom Islamic Charity Organization,Donated this fund    (GBP10,040.000.00) which is Ten Million and Forty Thousand Pounds    only, should be donated to any a random draw winner  came up with his    or her name,outside UK {Overseas.}
We have made a random draw and your name and e-mail address was picked    as the hard working trustee to this, for the charity work, which   your  choose by the faith we have in Allah.

Trust is known as as-Salihin in Islam and the following Quranic verses    emphasis its importance: Do not devour one anther's wealth by false    and illegal means" Surah Al-Baqarah verse 188 "Allah does command  you   to render back your trusts to those to whom they are due Verily,  how   excellent is the teaching which He (Allah) gives you. For Allah  is He   who hears and sees all things." Surah Al-Nisa verse 58 A trust  is a   legal obligation that comes into existence when an individual  or other   legal entity (known as the settlor) transfers the legal  fund to work   of his assets to another person or persons (known as  the trustees)  to  hold not for their benefit but for the benefit of  the disabled,motherless,deaf and dumb etc around the world,  beneficiaries  who  cannot be here by their self  individuals. The  trustees become  the  legal worker of the trust assets once the assets  are transferred  to  you, hereby the beneficiaries, charity and  disabled people, become  the  beneficial member of the trust assets.  Simply put a trust and  prove  your hard working, held by one party  for the benefit of another.

I urge you to contact us for further details bearing it in mind that    you, allowed to put a claim to this fund to start work, takes effect    immediately according to terms and conditions in the trust deed.You    decide on the terms of the distribution and these are not subject to    personal fund.
There is no limit as to the amount you can place in a trust and your    charity work can be anyone, Muslim or non Muslim alike.
As we are governed by the Trustee Act 1949 and the terms of the Trust    deed.We will manage and administer the trust assets independently  and   in accordance with the law.

The trust fund will be utilized only for intended purposes and    beneficiaries.Your assets and monies will be professionally managed.    At as-Salihin we offer Trustee services which are truly Islamic and    comprehensive in the following areas: Education ... Maintenance  ...    Charitable.
Wa Rahmatullahi wa Barakatuh,in the Name of Allah, Most Gracious, Most    Merciful. All praise and thanks are due to Allah, and peace and    blessings be upon you His Messenger.
Find Attached Your Winning Ticket Below.

Regards,
Barrister,Robert Clerk Esq.
barr.robertclerk@gmail.com

Majlis Berbuka Puasa bersama Anak - anak yatim

Salam
4 September 2010
Rumah Siti Khadijah Batu 9 Gombak


Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Selangor di bawah pimpinan Datin Seri Ismalina telah menganjurkan program Sentuhan Ramadhan di mana satu majlis ramah mesra dan berbuka puasa bersama anak - anak yatim Rumah Siti Khadijah yang terletak di Gombak Batu 9. Saya selaku ahli MAPIM Selangor turut serta dalam program ini bersama isteri dan anak - anak.

Sebahagian dari penghuni rumah ini

Rumah ini terletak di kawasan yang dikelilingi oleh kejiranan Melayu yang sudah agak lama tinggal di daerah ini. Dengan hampir 45 orang penghuni berusia seawal 2 tahun sehingga 18 tahun, rumah ini menyediakan perlindungan sewajarnya kepada mereka yang kurang bernasib baik ini. Namun pada hemat saya, andainya ada pihak yang bermurah hati ingin membantu menambah baik rumah ini dari aspek fizikal, saya rasa ia amatlah membantu keselesaan mereka.

Saya diminta oleh YDP untuk mengendalikan sesi ringkas bersama anak - anak berusia 13 ke atas dan pada mulanya saya menjangkakan mereka semuanya masih bersekolah namun meleset sama sekali - hanya separuh dari mereka sahaja yang masih dibangku sekolah. Selebihnya dikatakan tidak berminat untuk belajar. Setibanya saya di sana, mereka menanti diruang belajar dan solat dan apabila saya menyapa dengan lafaz Assalamualaikum mereka menjawab "Waalaikumsalam Ayah!!!"...
Saya terkedu, ya mungkin mereka telah di latih sedemikian rupa namun persoalan yang bermain dibenak saya ialah - Adakah saya ini kelihatan tua??(tak sedar diri..hehe) atau mereka mengulang perkara yang sama seperti yang diajar atas dasar keseragaman.

Sesi perkongsian bersama penghuni

Saya mula bertaaruf dan kejutan bertambah bila ada dikalangan mereka yang datang dari Pahang, Perak dan Melaka. Tidaklah saya bertanya mengapa mereka di sana namun saya cuba menyelami rasa mereka dan meneliti bentuk pemikiran mereka. Ada dikalangan mereka yang adik - beradik dan ada juga sebatang kara. 

Dalam masa yang sama, YDP bersama ahli MAPIM yang lain sedang mengendalikan kanak - kanak bawah 12 tahun dengan sesi bercerita. Mereka turut mengadakan majlis sambutan ulang tahun dan keceriaan jelas tergambar apabila masing - masing mendapat peluang meniup lilin dan beg hadiah - termasuklah anak - anak saya.

Kami berhenti untuk berbuka puasa dan cukup dengan sedikit kuih dan air, anak - anak ini  terus berwuduk dan menunaikan solat Maghrib berimamkan saya sendiri. Isteri saya pula berjamaah dengan anak - anak yatim perempuan di ruangan belakang. Selesai solat anak - anak ini meneruskan berbuka puasa dan hujan rintik mengiringi kami ketika itu menambah nostalgik majlis ini.

Beberapa orang anak - anak lelaki rumah ini mula mengambil tempat dan alat muzik masing - masing. Lengkap dengan drum, gitar, gitar bass dan amplifire, mereka menghiburkan semua yang hadir dengan beberapa buah lagu. Saya yang ketika itu rancak berbual dengan tetap memasang telinga meneliti mutu permainan mereka - boleh tahan juga mereka ni.

Seterusnya, anak - anak ini mula berbaris dan pastinya saat yang paling dinanti kebanyakan mereka - penyampaian duit raya. Wakil dari Walton Group turut sama bermurah hati menyampaikan duit raya kepada anak - anak ini.


Saya dan keluarga berasa gembira kerana dapat sekurang - kurangnya meluang masa bersama mereka ini. Tetapi kami bukan sahaja pulang dengan rasa gembira malah dengan pelbagai pertanyaan sama ada dari benak kami sendiri atau dari anak saya - Batrisya. 

Basyira dan Batrisya turut seronok memperoleh 'Goodie Bag'

Antara persoalan besar di benak saya ialah, sedangkan mereka yang mempunyai ayah dan ibu pun malas untuk belajar atau berusaha keras, bagaimana pula nasib anak - anak yatim yang tidak punyai keduanya dan tiada siapa pula akan mendesak mereka berusaha keras selain diri mereka sendiri. Justeru, bagaimana harus kita memainkan peranan sebagai masyarakat bagi membantu hal ini?

Anda ada jawabnya? Sila kongsikan bersama saya diruangan komen

Tazkrah Ramadhan - Lailatul Qadar

Salam
Sedang kita meniti fasa terakhir Ramadhan Mubarak ini, ingin saya kongsikan sedikit pandangan dan ilmu yang dikutip menerusi pembacaan, kuliah dan tazkirah yang saya lalui mengenai malam yang hebat ini - Lailatul Qadar


Ada banyak perkara yang boleh dikupas mengenai malam yang sungguh luar biasa ini. Dari sudut sejarah, Asbab Nuzulnya, dan juga hujah - hujah dari ulama - ulama tersohor. Berikut ialah terjemahannya


1 - Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,



2 - Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?



3 - Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.



4 - Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);


5 - Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!


Beberapa perkara yang boleh kita perhatikan di sini ialah antaranya nisbah yang digunakan sebagai perbandingan di antara Malam dan 1000 bulan. Biasanya, manusia biasa akan membandingkan sesuatu mengikut nisbahnya contohnya membandingkan pagi ini dengan pagi itu, malam ini dengan malam itu. Atau kirnya objek, kereta ini dengan kereta itu. Jarang kita membandingkan kereta dengan kapal misalannya. Maka, dalam ketinggian bahasa Al - Quran ini, Allah memilih membandingkan malam dengan 1000 bulan. Apakah yang dapat kita faham dari perkara ini?

Banyak pendapat mengatakan ia merupakan satu perbandingan di mana umat Muhammad SAW diberikan kelebihan dalam amal ibadat kerana usia umatnya yang pendek. Maka bagi meransang umat Muhammad SAW maka ditunjukkan nisbah agar wujud rasa keinginan melakukan ibadat ini kerana hasilnya yang berlipat ganda.

Persoalan lain ialah, mengapa 1000? Adakah 1000 itu nilainya 1000 atau melebihi 1000? 1000 bulan bersamaan 83 tahun 3 atau 4 bulan. Mengapa ia menjadi ukuran, hanya Allah yang mengetahuinya. Tetapi kebanyakan ulama tafsir melihat sebagai nialain ribu itu merupakan nilaian besar ketika zaman Rasullullah ini kerana di zaman itu nilai juta, billion atau trilion masih belum wujud.

Pada ayat ke 4, disebutkan malaikat akan turun dan secara spesifik Jibrail disebutkan juga turun. Harus kita ingat bahawa Jibrail adalah penghulu Malaikat dan tugasnya menyampaikan wahyu. Apabila wafatnya Rasullullah, maka wahyu secara spesifk kepada rasul tidak lagi diutus kerana Muhammad SAW ialah Rasul terakhir. Maka, hanya kerana Lailatul Qadar Jibrail turun ke bumi, bayangkanlah betapa pentingnya malam Qadar ini sehingga Jibrail turun. Sebagai analogi, andailah Sultan ingin melawat surau kampung kita, sudah pastinya jalan akan berturap, surau dihias indah - malah kalau tiada air - cond juga mungkin dipasangnya; hanya kerana Sultan mahu menziarah surau. Inikan pula penguhulu malaikat, pastinya 'Pakej' yang dibawa teramat besar. Oleh itu sia - sialah kepada siapa yang tidak memburu malam Qadar ini.



Ayat yang ke 5 pula dinyatakan Salamun - Salam bermaksud sejahtera. Bukan Salam 1 Malaysia ya!
Salam atau Sejahtera ini bersifat umum. Kalau kita perhatikan, walaupun pelbagai keinginan dan kehendak manusia kepada material seperti kereta , rumah dan kekayaan, kesejahteraan adalah perkara yang paling diingini manusia. Samada sejahtera tanpa penyakit kronik, sejahtera bersama keluarga atau sejahtera dengan harta yang ada. Sejahtera adalah keinginan maksimum manusia dalam segenap aspek kehidupan. Dan dalam ayat ke 5 ini, Allah menyatakan Sejahteralah sehingga terbit fajar..bermaksud, mereka yang menempuhi malam Qadar ini akan melalui keadaan atau suasana sejahtera itu hingga terbit fajar. Apa yang Allah cuba sampaikan disini? Adakah bermaksud sepanjang malam ini langit terbentang luas dan memberikan kesejahteraan kepada mereka yang beribadat? Seandainya sebegitu..tidakkah rugi andai kita melepaskan peluang ini?

Ayuh...marilah kita sama berusaha mencari malam Qadar ini. Moga kita ketemu dan dikurniakan kesejahteraan dalam kehidupan di dunia dan akhirat InsyaAllah