Total Pageviews

Showing posts with label Sains Sosial. Show all posts
Showing posts with label Sains Sosial. Show all posts

5 ELEMEN TARIKAN SEBAGAI PEMIMPIN

           


Pemimpin perlulah menjadi orang yang menarik kumpulan yang ingin diterajuinya. Ini adalah kerana daya tarikan yang beliau miliki akan membolehkan dia menjadi berpengaruh dan memudahkan proses komunikasi di antara mereka. 5 ciri yang membuat seseorang itu sebagai pemimpin yang menarik ialah:
1. Kebijaksanaan
Kebijaksanaan tidaklah merujuk kepada tahap pendidikan formal seseorang.
Dilihat bijaksana adalah amat penting untuk mempengaruhi kumpulan sasar. Orang yang dilihat bijak mudah menjadi orang rujukan oleh ramai orang. Orang yang bijak tahu menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan, topik perbualan dan perbincangan malah mudah memberi respon yang bersesuaian. Oleh kerana kumpulan yang dikendalikan memiliki kecenderungan terhadap perkara yang berbeza – beza, maka pemimpin yang dilihat bijak tahu pelbagai disiplin ilmu dan mempunyai sudut pandang yang luas.
Sebagai contoh, Tun Mahathir disegani oleh pengikut mahupun musuhnya kerana dilhat bijak menangani isu, menjawab pelbagai persoalan dan mempunyai rancangan serta gerak kerja yang dilihat amat bijak. Proton , Putrajaya dan KLCC adalah antara perkara yang boleh dikaitkan dengan ciri kebijaksanaan ini.

2. Kemahiran
Pemimpin dengan kemahiran yang tinggi khususnya yang berkaitan dengan melibatkan kumpulan sasarnya adalah individu yang amat menarik perhatian. Kemahiran ini boleh dikaitkan dengan pelbagai perkara sama ada berkait secara langsung atau tidak. Ketua pasukan bolasepak sebagai contoh selalunya dikaitkan dengan kemahiran bermain yang tinggi. Pemimpin dengan pelbagai disiplin kemahiran sememangnya mudah membezakan diri mereka dengan individu yang lain.
Kemahiran membolehkan pemimpin menguasai gerak kerja, ruang perbincangan dan penyelesaian masalah. Hanya orang yang mahir tahu menggunakan apa saja yang ada disekelilingnya untuk melunaskan tugasan yang diberikan.
Pemimpin yang mahir dengan sesuatu perkara akan selalu menjadi pakar rujuk kumpulan yang dipimpinnya. Ini memudahkan proses mempengaruhi kumpulan sasar kerana apa yang dikatakan atau ditunjukkan olehnya akan menjadi model ikutan semua.
Sebagai contoh, ketua pasukan silat selalunya ialah orang yang paling hebat kemahiran bersilatnya.

3. Penampilan
Pemimpin yang menarik mempunyai penampilan yang istimewa dan menyebabkan orang lain mudah meletakkan pemimpinnya dalam kelompoknya yang tersendiri. Imej yang terbentuk dari penampilan amat memainkan peranan untuk menjadi daya tarikan kepada kumpulan sasar.
Pakaian, aksesori, solekan, penyesuaian tatacara berpakaian adalah antara komponen yang menjadi tarikan dari aspek penampilan ini. Penampilan yang bersesuaian dengan masa dan tempat akan memberikan kesan yang besar kepada kumpulan sasar. Sebagai contoh, pemimpin yang berpakaian seperti orang kebanyakan di tempat yang betul akan membuatkan mereka dikagumi rakyat dan ini telah dibuktikan oleh Yang Dipertuan Agong Sultan Muhammad 2.
Kereta mewah antara aksesori yang sering digunakan untuk menunjukkan kehebatan seorang pemimpin. Hal ini telah diguna dengan sangat meluas sehinggakan ramai yang telah menjadi mangsa penipuan pelbagai skim cepat kaya.

4. Jawatan
Jawatan dan gelaran adalah komponen yang menyebabkan ramai tertarik dengan seorang pemimpin. Pemimpin dilihat perlu memiliki gelaran dan jawatan yang hebat bagi menunjukkan pencapaian mereka. Ini adalah kerana sifat manusia yang suka mengaitkan diri mereka dengan orang yang berpengaruh. Jalan pintas untuk mendapatkan pengaruh ialah dengan jawatan dan gelaran yang hebat.
Pengerusi , Yang Di Pertua , Presiden , Datuk, Datin dan sebagainya meletakkan seseorang di hirarki yang mana mudah menunjukkan kemampuan seseorang pemimpin itu membuat atau mempengaruhi proses sesuatu keputusan. Jawatan juga memberikan autoriti terhadap sesuatu proses kerja. Ini akan memberikan kelebihan kepada sesiapa yang rapat dengan punca kuasa ini.
Jawatan berdasarkan profesion turut mempengaruhi proses kepimpinan. Doktor, Profesor, Chef, IGP dan sebagainya juga terbabit dalam hal ini. Ini mampu merujuk kepada tahap kemahiran seseorang dengan nama jawatannya, sekaligus membuatkan orang yang memiliki jawatan sebegini amat bernilai di mata mereka.

5. Jantina
Setiap jantina mempunyai kekuatan dan kelemahan yang unik. Ini adalah kerana setiap jantina mempunyai peranan yang spesifik. Dalam dunia kepimpinan, jantina turut memiliki tarikannya yang tersendiri.
Pemimpin lelaki dilihat dominan terhadap perkara – perkara melibatkan politik dan perniagaan. Pemimpin wanita pula dilihat menguasai pergerakan berlandaskan kepentingan kumpulan yang diwakilinya terutama berkaitan perjuangan hak, kelestarian sesuatu dan yang tidak melibatkan perebutan sumber.
Pemimpin lelaki sesuai kepada perkara yang berkaitan konflik, penetapan dasar dan polisi. Pemimpin lelaki dilihat sesuai mempengaruhi kumpulan sasar yang terdiri dari pelbagai jantina. Pemimpin wanita pula lebih mudah berada di dalam kelompok bercampur sekiranya ia berasaskan lantikan jawatan kerja.

Pemimpin lelaki lebih cekap dalam penggunaan istilah, kata – kata teknikal dan frasa yang rumit berbanding pemimpin wanita yang lebih hebat dalam menyampaikan rasa melalui mesej – mesej mereka. Mesej perasaan ini mudah meresap masuk kepada kumpulan yang meletakkan perjuangan hak, kumpulan minat dan sebagainya.

Bila bersedeqah juga menjadi kesalahan...



Pengumuman Tengku Adnan baru - baru ini mengenai satu pendekatan baru akan diambil bagi memastikan kesejahteraan Wilayah Persekutuan ialah dengan mengawal pengemis dan pemberi sedeqah dengan mengenakan tindakan undang - undang serta denda kepada kedua - duanya. Respon awam terutamanya media sosial dilihat sangat menghentam tindakan ini dan dilihat kejam, tidak toleran dan zalim. Malah Tengku Adnan sendiri dalam responnya terhadap hal ini turut mengakui dia bakal menerima kecaman dan dia rela.

Persoalannya - adakah tindakan ini tidak wajar?

Sentiasa ada 2 bahagian dalam setiap sesuatu - ada baik..ada  buruknya. Mendahulukan apa yang baik pada pandangan kita belum tentu baik di mata orang lain. Seperti konduktor sebuah orkerstra, dia perlu membelakangkan penonton bagi menghibur mereka bukan? Adakah saya bersetuju dengan tindakan Tengku Adnan ini?

Saya rasa masalah utama dalam isu ini ialah PEMAHAMAN ORANG AWAM

1. Istilah Tindakan Undang - undang kepada PEMBERI SEDEKAH sangat mudah disalah erti. Sebagaimana maklum, Sedekah /Sadaqah adalah istilah yang lebih kuat menjurus kepada nilai Islam malah istilah itu merujuk kepada pemberian atas tujuan kebaikan yang digunakan oleh Islam sahaja. Agama lain tidak menggunakan istilah Sedekah malah kalau ada sekalipun ia adalah istilah yang dipinjamkan. Maka sebagaimana biasa tahap sensitiviti umat Islam di Malaysia ini amatlah tinggi dan apabila di umumkan sedemikian rupa pada Ramadhan Al - Mubarak yang mana amalan Sadaqah amatlah digalakkan, maka pastinya ia bagai mencurah petrol ke dalam bara. Malah tindakan mengarahkan Soup Kitchen berpindah juga dilihat amatlah zalim. 

2. Pemahaman orang awam tentang penerima sedekah , pengemis dan gelandangan amatlah terhad. Penerima sedekah ini cukup luas malah bayangkan kalau kita bertindak lebih ekstrim dengan mengambil tafisran secara literal bahawa Senyum adalah sedekah, adakah orang yang senyum kepada orang lain juga akan didakwa? Pastinya ia tidak se ekstrim itu tetapi jika budaya 'troll' diambil kira, maka Tengku Adnan perlu bersedia melayani kutukan seperti itu. 

3. Definisi Pemberi Sedekah dan penerima perlu diperjelas. Andai ia merujuk kepada orang yang memberi kepada pengemis kaki lima, pengemis berlakon buta di gerai makan maka saya juga sokong kerana ini adalah sebahagian besar sindiket yang meraih keuntungan atas rasa kasih rakyat Malaysia yang sangat gemar membantu orang susah dan bersimpati kepada orang lain. Sindiket sebegini meraih beribu ringgit dan mengakibatkan suasana bandaraya jadi selekeh, hilang keselesaan ketika makan di gerai dan menyebabkan orang luar melihat Malaysia sebagai negara yang sangat teruk (Persepsi buruk turut diterima India dan Indonesia dengan jumlah pengemis yang ramai)

4. Tindakan kepada NGO - Ini juga perlu diperhalusi. Persatuan Bulan Sabit Merah diberi amanah memasak untuk gelandangan yang menginap di Anjung Singgah yang terletak ditengah - tengah bandaraya Kuala Lumpur?. Adakah mereka ini juga akan tersabit dengan undang - undang itu? 

Persoalan utama untuk dihadamkan dalam hal ini sebelum kita menjatuhkan hukum:

1. Kenapa wujudnya kelompok pengemis / penerima sedekah / gelandangan ini di bandaraya?
2. Siapa mereka dan dari mana datangnya?
3. Kenapa NGO lebih suka tertumpu ke bandaraya untuk berbakti?
4. Apa usaha kerajaan membantu orang miskin dari hidup melarat?
5. Kenapa semakin ramai orang miskin?

Saat ini 10 tahun yang lalu...

Saat ini 10 tahun yang lalu di Masjid Taman Selasih Kulim...
Saya sedang menunaikan solat Asar dalam keadaan hati berdetap ..jantung berdegap degup...
Seusai solat Asar saya mula mengambil tempta di satu sudut masjid..sambil memerhati orang yang hadir. Terlihat di satu sudut lain seorang gadis dengan berpakaian serba keemasan dikelilingi keluarga dan sahabat handainya.

Saya dipanggil untuk duduk di atas kusyen mengadap seorang lelaki yang sudah sangat berusia. Beliau ialah Imam Besar Masjid Taman Selasih yang juga merupakan rakan sekelas Yang Di Pertuan Agong sekarang.

"Nak tanya buleh ka ni?" tanya pak imam kepada saya.
"Ehh..Buleh..dia pandai cakap!" Sambut bakal pak mertua saya dan diikuti dengan saya menelan air liur
"Baguih la tu..."
"Ok..bagi 10 sebab pasai apa hang nak menikah?" tanya pak imam kepada saya
Tangan memegang mikrofon mula berpeluh..seluruh masjid akan mendengar suara saya. 10 sebab kenapa hendak bernikah setahu say atidak di ajar di dalam kursus kahwin walau di mana sekali pun.


"Err..pertama ..."
Saya pun mula menjawab satu persatu..entah betul entah tidak jawapan saya itu pun saya sendiri tidak pasti..semuanya kerana gugup!

Sampai sahaja sebab ke enam, Pak imam mencelah..
"Haaa..cukup lah tu..baguih la hang dah tau pasai apa nak menikah!" hadirin yang hadir turut tertawa..

Kemudiannya saya dinikahkah oleh Allahyarham ayah mertua saya. Dengan sekali lafaz, kami pun selamat diijabkabulkan.


Kini..10 tahun berlalu..saya menjadi suami yang sah kepada isteri saya yang tersayang Wan Fatahhiyah Remli. Setakat sejarah ini ditulis, kami dikurniakan 3 cahaya mata Nur Batrisya Wafa, Nur Basyira Wafa dan Muhammad Evan Miqael. Isteri saya juga sedang mengandung anak ke 4kami yang kini sudah pun masuk minggu ke 33. 


Semoga jodoh kami berkekalan sehingga ke akhir nyawa.

Kepada isteri saya Wan Fatahhiyah Remli, kanda amat menyayangi dan mencintaimu sepenuh jiwa raga, Moga kita menjadi pasangan bahagia dan menjadi contoh yang baik kepada orang lain. Semoga kita berjaya membesarkan anak - anak dan keluarga dengan penuh kasih sayang dan atas landasan Islam dengan baik!

SELAMAT ULANG TAHUN PERKAHWINAN KITA YANG KE 10!

Provokasi Semasa Berkempen - Perlukah?

Sepanjang tempoh berkempen ini, saya perhatikan begitu banyak perubahan yang berlaku di sekeliling saya. Topik perbualan pelbagai lapisan masyarakat mula menjurus kepada calon, gosip politik, ceramah politik dan termasuk elaun pasang bendera serta kain rentang. Pengguna Facebook, Twitter dan blog pula semakin sibuk dengan urusan kemaskini dan membalas komen malah tidak kurang juga yang terlebih emosi menyebabkan pertelingkahan, pergeseran dan pergaduhan. Ini mengakibatkan emosi tidak stabil walaupun hanya dengan membaca status atau komen yang mengakibatkan lebih banyak masa diluangkan melayani perasaan sebegitu.

Pemain bolasepak yang baik seperti Zinadene Zidane juga menjadi mangsa PROVOKASI


Muncul di status Facebook atau Twitter yang berbunyi begini - "Tidak bolehkah berkempen secara profesional? Tidak perlu buruk - burukkan orang lain?" atau "Come on lah..perlu ke provoke - provoke ni?"

Maka persoalannya - PERLUKAH PROVOKASI DALAM BERKEMPEN?

Jawapannya - YA! PERLU!

Kenapa perlu? - Kerana PROVOKASI ADALAH BERTUJUAN MEMPENGARUHI

Pembaca budiman, membawa satu perubahan besar dalam apa juga usaha memerlukan daya penarik atau penolak yang besar. Motivasinya perlu besar, objektifnya perlu besar dan proses mempengaruhi pemahaman semua ini memerlukan usaha besar. Dengan masa yang singkat untuk berkempen, maka PROVOKASI adalah jalan pintas. Tidak mengira mana parti sekalipun, PROVOKASI adalah jalan pintasnya. Analoginya begini;

Anda sudah biasa menjamu selera di sebuah restoran kegemaran anda. Kebetulan ada satu restoran baru dibuka berhampiran. Apa yang membuatkan anda bakal beralih selera? Restoran baru itu perlu mempromosi menu, perkhidmatan, harga dan sebagainya dan ia belum tentu menggerakkan anda ke restoran baru itu. Maka apa jalan pintas yang ada? Harga bukan sekadar dipromosi malah provokasi perbandingan harga antara kedai yang anda biasa pergi dengan kedai baru ini berlaku. McDonalds dan KFC kedua - duanya memiliki menu sarapan, bagaimana mereka bersaing? Harga di banding - banding akan menggerakkan anda ke restoran mereka. Bagaimana mereka membandingkan harga? Iklan digunakan dan harga murah mereka diulang - ulang. Itu juga adalah salah satu bentuk provokasi. Namun ia tidak terlalu ekstrem. 

Dunia perniagaan TELCO lebih ekstrem provokasinya. Ingat semula iklan Digi, Maxis dan Celcom bersaing. Begitu juga P1 dengan tagline POTONG!

Parti - parti politik menggunakan pelbagai gimik, fakta, data, analisis dan membanding - bandingkan manifesto sebagai provokasi bagi mengerakkan pengundi. Keadaan menjadi lebih ekstrem apabila sentimen agama, bangsa, fahaman dan keturunan mula dicanang sebagai langkah provokasi. Akhirnya, pembaca atau audien yang menerima maklumat sebegini akan terpengaruh di sudut - sudut berbeza berdasarkan fahaman masing - masing. 

Agen Provokasi perhimpunan sebegini selalunya terdiri dari Special Branch PDRM atau FRU sendiri

Inilah yang dikatakan PENGURUSAN PERUBAHAN atau CHANGE MANAGEMENT. Dalam melakukan apa juga perubahan, perkara pertama yang perlu ada dalam mempengaruhi audien kepada proses ini ialah KONFLIK. Konflik perlu hadir dalam menggerakkan kumpulan sasar kepada perubahan. Sebagai contoh mudah, kenapa perlu berpindah rumah? Oh..kerana kawasan ini selalu dilanda banjir. Kenapa perlu ditukar langsir ini? Bukankah ia masih baik? Jawapannya kerana sudah 3 kali hari raya kita guna langsir sama jawab isterinya.

Konflik perlu hadir dalam situasi ini. Malah, sekiranya tiada konflik sekali pun, ia perlu direka, dicipta atau di ada - adakan. Sekiranya tiada punca atau penyebab, maka perubahan sukar untuk berlaku. Dan justifikasi kepada perubahan ini perlu dilakukan dengan penyebaran maklumat semasa berkempen. Disinilah datangnya keperluan PROVOKASI! Ia berguna sebagai pencetus kepada kesedaran mengenai KONFLIK sedia ada. Sebagai contoh, Selangor di tekan dengan isu air, bekalan selalu terputus. Konflik diwujudkan bagi menampakkan kerajaan Selangor tidak cekap mengurus air walhal, ia sebenarnya berpunca dari SYABAS. 

Maka, isu air dijadikan bahan kempen dan provokasi isu air berlaku di merata tempat.

Oleh yang demikian, pembaca semua, dalam menangani provokasi ini, kita perlulah bijak menilai berita dan maklumat yang sampai ke telinga atau mata kita. Carilah maklumat secukupnya agar kalian tidak terjebak kepada silap membuat keputusan dan mempengaruhi undian anda pada PRU 13 ini..INI KALILAH!


Memahami masalah dalam keluarga

Sejak kebelakangan ini semakin kerap saya mengendalikan persoalan berkaitan masalah keluarga berbanding persoalan berkaitan kerjaya seperti biasanya. Saya mula menyedari senario ini sejak Oktober lalu. Secara kebetulan satu demi satu yang menghubungi saya menerusi pelbagai cara berkongsi pelbagai permasalahan dalam keluarga.

Tiada siapa yang tidak dilanda masalah. Itu adalah satu lumrah di mana manusia itu sendiri hidup dengan melalui pelbagai masalah. Malah masalah juga sering menggerakkan kita ke arah sesuatu. Sama ada baik atau buruk, ia bakal ditentukan melalui jalan apa yang dipilih dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Untuk entri kali ini, saya ingin berkongsi mengenai satu senario yang di panggil The Elephant In The Living Room Syndrome atau dalam Bahasa Melayu disebut Sindrom Gajah Di Ruang Tamu. Apakah yang dimaksudkan dengan sindrom ini?


Bayangkan situasi ini - di ruang tamu rumah anda ada seekor gajah sedang berdiri di situ, manakala semua ahli keluarga anda melihatnya dan tahu mengenai kehadirannya tetapi tiada siapa pun mahu berbicara mengenainya. Dalam keadaan ini ..semua orang menafikannya dalam diam walaupun semua orang tahu masalah itu wujud. Keliru? Saya jelaskan dengan satu contoh.

Malam tadi ibu dan bapa bergaduh dengan begitu teruk sekali. Nenek dan adik - adik anda juga menyaksikan pergaduhan tersebut. Anda yang pulang kerumah dihujung minggu duduk semeja dengan semua ahli keluarga ketika makan malam tanpa mengetahui apa yang berlaku malam tadi. Tetapi apa yang menghairankan anda semua orang di meja makan berwajah sugul. Apabila anda bertanyakan kepada adik - adik, tiada siapa yang memberitahu perkara sebenar begitu juga dengan nenek anda - adakah anda faham dengan contoh yang saya berikan?

Dalam sindrom ini, masalah keluarga biasanya menjadi terpendam dan membusuk. Seseorang dalam keluarga melakukannya dan tiada siapa mengambil apa - apa tindakan mengenainya. Bukan sekadar tidak mengambil tindakan bahkan tidak langsung mahu membicarakannya dengan harapan ia akan selesai dengan sendirinya. Persoalannya, bolehkah ia selesai dengan sendirinya? Jawapannya ialah TIDAK.

Apakah contoh masalah keluarga yang sering terlibat dalam sindrom ini? Sila rujuk di bawah
1. Ketagihan Alkohol
2. Ketagihan dadah
3. Curang
4. Perceraian
5. Sumbang Mahram
6. Rogol
7. Salah laku korporat
8. Rasuah
9. Pelacuran
10. Curi
11. Kemiskinan
12. Hutang
13. Homoseksual
14. Aktif dengan jenayah
15. Penguguran kandungan
16. Bankrap
17. Dan pelbagai lagi

Sindrom Gajah Di Ruang Tamu ini mengakibatkan banyak keluarga menjadi tidak bahagia, kacau bilau, hidup dalam ketidakpastian, perasaan tidak selamat dan terancam dan sebagainya. Ia juga sebenarnya bukan hanya terhad kepada istitusi kekeluargaan malah begitu juga di dalam pejabat. Anda pernah menghadapi situasi sebegini? Apa yang boleh dilakukan? Nantikan sambungan siri artikel ini.

Pelajar perempuan lebih menonjol sebagai pemimpin?

Mohsen Amdan Consultancy Sdn. Bhd. (M.A.C) adalah syarikat saya yang terkini dan ditubuhkan atas perkembangan operasi Lilcent Total Solutions yang sudah pun menjangkau usia 6 tahun. M.A.C pada awal operasinya telah dipertanggungjawabkan mengendali 3 program diperingkat sekolah menengah, satu Kolej Komuniti dan satu Politeknik Premier. Apa yang mengejutkan saya dalam hal ini ialah di semua lokasi program berkenaan, pelajar perempuan / wanita dilihat lebih menonjol dalam aspek kepimpinan.

Pelajar perempuan berbangsa India yang bersama dengan saya ini ialah seorang Penolong Ketua Pengawas, tetapi dia lebih berperanan dan berpengaruh berbanding Ketua Pengawasnya yang merupakan seorang pelajar Melayu lelaki. Pelajar India di sekolah ini merupakan golongan minoriti. Tetapi itu tidak menghalang pelajar ini menonjolkan kelebihan dirinya

Dari 3 buah sekolah menengah, 2 dari nya menyaksikan Ketua Pelajar mereka ialah seorang pelajar perempuan. Satu senario yang tidak pernah saya saksikan sebelum ini. Pada zaman persekolahan saya, lazimnya Ketua Pelajar mestilah pelajar lelaki. Malah saya sendiri pernah menjawat jawatan itu pada 1990.

Kedua - dua pelajar yang saya ceritakan di atas menunjukkan ciri kepimpinan yang sangat baik, malah seolah - olah kematangan mereka bukan seperti pelajar sekolah. Berani berbicara dengan terbuka, menegur kesalahan tepat pada waktunya, boleh memberi arahan dengan jelas malah mampu membuat keputusan dengan baik tanpa arahan dari guru.

Sebaliknya, saya perhatikan pelajar - pelajar lelaki pula yang seperti kurang tegas pendirian, lemah dalam komunikasi, sambil lewa dan tidak menonjol ciri - ciri kepimpinannya.

Begitu juga di Kolej Komuniti dan Politeknik Premier itu. Pelajar perempuan memainkan peranan cukup besar dalam kelangsungan program. Selain dari menguruskan makan minum, mereka turut menguruskan perjalanan program dan menjadi pengerusi majlis. Sangat sedikit sumbangan pelajar lelaki saya perhatikan.

Apakah yang sedang berlaku hari ini? Kenapa senario sebegini boleh berlaku? Saya faham sekiranya kemampuan pelajar perempuan meningkat tetapi tidak seharusnya pencapaian dan kemampuan pelajar lelaki pula merosot. 

Apa pandangan anda?

Singapura - Pembangunan, Sosial dan Politik Bahagian 1

Bahagian 1
Salam
Ketika saya menulis entri ini, berita mengenai kematian isteri bekas pemimpin utama Singapura - Lee Kuan Yew telah meninggal dunia kerana angin ahmar yang ditanggungnya sejak 2008. Melihat di Google, pelbagai respon terhadap berita ini - ada yang sedih, ada yang gembira malah ada yang marah kerana mereka mengharap Lee Kuan Yew yang sepatutnya mati. Ada hikmah disebalik setiap sesuatu yang berlaku bukan?

Ironinya juga, seteru kuat Lee Kuan Yew iaitu bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Mahathir juga kini terlantar di hospital bandar Melbourne Australia, tatkala beliau dijadualkan memberi ceramah atas jemputan Kelab UMNO di sana.

Tetapi kali ni , saya lebih berminat menulis mengenai negara jiran yang mana pelbagai tanggapa diberikan kepada mereka oleh pelbagai pihak, ada yang benci kepada negara ini kerana sikap Ultra Kiasu. Ada yang suka kerana pembangunan dan sistem mereka yang cekap. Tak kurang juga ramai yang berterimakasih kepada negara ini yang menyediakan peluang pekerjaan dan pendapatan lumayan atas dasar nilai perkapita yang lebih tinggi serta tukaran wang yang mencecah 2.3 kali ganda dari Ringgit Malaysia.

Baru - baru ini saya ke sana; untuk pertama kali dalam hayat saya berhari raya di sana. Juga selepas 2 tahun tatkala persembahan saya bersama Dewangga Sakti untuk majlis persandingan pemain bolasepak negara itu dan selebritinya - Baihaki dan Nurfasari. Kebetulannya juga saya ke sana setelah genap 11 tahun saya tidak kesana bertemu keluarga dan 11 tahun saya mula menyanyi dikhalayak ramai. Bagi yang tidak mengenali saya, ibu dan adik beradik saya lahir di kota ini. Malahan ibu saya mengambil langkah menukar kerakyatan apabila menurut arwah ayah saya yang memiliki kewarganegaraan Malaysia.

Saya ke sana kali ini dengan memandu yang mana 11 tahun lalu saya melakukannya juga. Tetapi kali ni sistemnya jauh sekali berbeza. Auto Pass, ERP muncul selepas 11 tahun saya tidak kesana. Pabila tiba di gerbang kota ini, saya seolah  - olah tidak pernah menjejak kaki ke nagara ini. Segalanya tampak berbeza, sehinggakan saya berulang kali bertanyakan soalan melalui walkie talkie antara saya dan suami sepupu iaitu Abang Kamal.

Apartment / Kondo yang menempatkan rumah sepupu saya

Setiba saya di rumah sepupu saya, saya mendapati transformasi (izinkan saya guna perkataan ini kerana PM kita suka dengannya) yang berlaku amat mengesankan. Dari sebuah kawasan yang kelihatan perumahan biasa, menjadi begitu eksklusif walaupun rakyat yang hanya berstatus kebanyakan yang tinggal disini. Nilainya juga amat tinggi dengan lokasinya strategik.




Pencakar langit yang rancak dibina dan ditambah baik

Pembangunannya bukan sahaja rancak tetapi teratur dan bersepadu. Ini yang membuatkan negara kita agak ketinggalan kerana aspek bersepadu ini yang selalunya gagal kita hayati dengan baik. Negara yang sumbernya sangat terhad ini melakukan apa saja yang diinginkan bagi kesejahteraan semua dan sebagai timbal baliknya, rakyat perlu membayar lebih atas perkhidmatan yang diberikan. Namun rata - rata rakyat mereka tiada masalah untuk membayar lebih kerana mutu perkhidmatan yang diterima amat berbaloi. Bayangkan kiranya motorsikal anda rosak ditengah jalan, anda tidak perlu mengusung ke bengkel berdekatan. Kerajaan menyediakan perkhidmatan mengangkut dan anda hanya perlu menelefon nombor yang sepatutnya sahaja.



Anak - anak bergembira di Marina Barage - kawasan riadah yang menjadi tarikan terkini


Muhasabah dan Pengukuhan Jatidiri

Salam
Sewaktu saya tiba di Cyberview Lodge Resort untuk pertunjukan Gamelan bersama Gema Simfoni sempena majlis berbuka puasa oleh Hewlett Packard, saya ditemukan oleh penganjur dengan pengacara majlis - seorang gadis berbangsa Cina. DIa menyapa - "So you are the teacher?" 
Saya mengangguk sambil menambah " I'm also one of the performer". Dia terbeliak..
Saya menarik kerusi dan duduk untuk berbincang mengenai aturcara majlis
Dia bertanya lagi
"Why are you playing Gamelan?"
Saya menjawab dengan soalan..
"If I'm not playing this..then who will?"
Dia terdiam..

Saya terus membuka bicara mengenai majlis itu. Sambil fikiran saya berputar ligat mengenai jawapan saya tadi. Adakah saya mengguris hatinya sehingga dia terdiam atau dia diam tanda setuju atau terfikir mengenai jawapan saya itu.

Itulah realiti dalam pembentukan jatidiri dunia hari ini. Budaya baru lebih mudah meresap dari budaya sedia ada. Proses sosialisasi yang sangat terbuka pada hari ini ditambah elemen 'Cool' yang perlu ada dalam segenap perkara, menyebabkan orang muda lebih seronok dengan perkara terkini dari luar berbanding meneroka apa yang ada di dalam.

Gambar dari asiancorrespondent.com

Dalam kita bersedia menyambut kemerdekaan yang ke 53, orang muda kebanyakkan masih keliru mengenai jatidiri dan kepentingannya. Ya, bermain gamelan tidak menjadikan saya sangat patriotik, malahan gamelan juga bukan berasal dari semenanjung ini. Namun, sekurang - kurangnya ia sangat hampir dengan budaya bangsa kita. Perhatikan sahaja pencapai Rythm In Bronze, sebuah kumpulan gamelan yang hanya terdiri dari beberapa orang Melayu dan selebihnya berbangsa lain.

Baru - baru ini ketika membuat pertunjukan sepakraga di Hilton KL, sebuah kumpulan gamelan mengiringi pertunjukan kami. Mereka yang terdiri dari penjawat awam dan swasta, masih berusaha mencari ruang dan peluang untuk dekat dengan sentuhan budaya bangsa - dan hebatnya mereka mengeluarkan duit poket sendiri untuk membeli peralatan gamelan yang harganya tidak kurang dari RM20,000.

Berbalik kepada persoalan pokok, kenapa ramai anak muda yang dilabelkan tidak atau kurang mempunyai jatidiri? Saya sendiri tiada jawapan tepat untuk itu. Tetapi saya ada satu persoalan yang mungkin boleh dibincangkan iaitu kita mencapai kemerdekaan ini mengenai apa dan siapa sebenarnya?


Ditulis dalam buku - buku sejarah yang kita mendapat kemerdekaan dari British. Tetapi kenapakah di layar perak hanya ditunjuk perjuangan kita menentang komunis dan tentera Jepun? Tidak pula ditayangkan bagaimana kita berjuang menentang British (sekiranya kita menentang) atau bagaimana kemerdekaan itu dilalui prosesnya? Orang muda hanya sekadar membayangkan merdeka itu ialah laungan Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka dan kepayahan di gasak oleh tentera Jepun dan perjuangan melawan komunisme,

Inilah masalahnya apabila sejarah ditulis sekerat - sekerat dan mengakibatkan sukar bagi mereka yang tidak melalui zaman itu menelan dan menghadamkannya. Maka memburukkan keadaan, penjelasan dari orang yang lebih berumur seolah - olah memperlekehkan anak - anak muda ini. Dialog - dialog seperti "Korang tak rasa zaman susah ni" atau "Korang untung la..celik - celik dah macam ni..Pak cik dulu..bla..bla..bla.."

Apa yang cuba disembunyikan sebenarnya? Apa yang perlu dikaji semula oleh orang muda? Adakah sejarah yang di ajar di sekolah mampu membentuk jatidiri generasi kini? Tahukah orang muda bahawa Tunku Abdul Rahman ada kena mengena dengan keturunan Siam?

Orang muda..bangkitlah..Mulakan dengan membaca seperti wahyu pertama yang turun kepada junjungan kita..Muhammad SAW. Tanyakan diri kita - merdeka kah kita?

WaallahuA'lam

Politik bermula dari pendidikan pra sekolah?

Pengacara majlis ini memerlukan lebih banyak pendedahan
Salam.
25hb Julai 2010
Stadium Mini Bandar Tasik Permaisuri

Mungkinkah kanak - kanak yang membawa tulisan ini faham apa maksud Peace No War?

Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) merupakan antara pusat pendidikan awal yang terkenal di negara kita. Terkenal atas 2 perkara - penekanan ilmu Islami dan Parti Islam SeMalaysia. Anak sulung saya didaftarkan di PASTI Al - Kauthar yang terletak berhampiran rumah saya dan tarikh di atas merupak hari sukan mereka yang juga berlangsung di lokasi yang saya tuliskan di atas.

Apa kaitan dengan tajuk entri ini?

Perhatikan perkara ini - Barisan Nasional atau UMNO secara tepatnya memiliki Tadika KEMAS dan PAS memiliki PASTI. Bagaimana dengan PKR? atau PR sendiri mahu mewujudkan pusat pendidikan awal jenama mereka sendiri?


Adakah jumlah pelajar dan ibu bapa yang hadir boleh menjadi 
perbandingan kepada jumlah penyokong PAS?

Saya tidak cuba mengaitkan politik partisan cuba di tanam sejak pra sekolah...jangan salah sangka. Cuma pemerhatian saya ialah, platform ini sememangnya sangat sesuai untuk mana - mana parti politik mengukuhkan pengaruh kerana ia bukan sahaja melibatkan anak - anak kecil...tetapi apabila sebarang acara dilangsungkan, ibu dan bapa muda hari ini sangat terdorong untuk turut serta - tidak seperti ibu bapa zaman dahulu. Ketika inilah wajah - wajah politik boleh mengambil kesempatan memperkenalkan diri dan menunjukkan karisma, kebolehan, keramahan dan kecekapan dalam pengendalian acara dan majlis.

Pengalaman saya dengan KEMAS dan PASTI ini membolehkan saya membuat sedikit perbandingan - mungkin tidak tepat tetapi inilah pandangan saya.

1. KEMAS kelihatan sangat tersusun dan teratur dalam pengendalian program dan acara - barangkalai kerana mereka memiliki pekerja yang dibayar gaji dan bukan jentera parti semata - mata
2. PASTI kelihatan sedikit D.I.Y tetapi menampakkan kesungguhan dengan keadaan yang agak serba kekurangan
3. KEMAS dilihat lebih banyak digerakkan oleh wanita
4. PASTI memiliki wanita sebagai tenaga pengajar, namun dalam progam dan acara, lebih ramai lelaki terlibat dan ini mencerminkan keahlian yang jitu dan semangat gotong royong tinggi walaupun tiada gaji khusus diberikan
5. PASTI memerlukan lebih pendedahan dalam mengurus acara dan sumber agar lebih berkesan
6. KEMAS perlu menarik lebih ramai lelaki untuk turut serta agar tidak kelihatan yang lelaki yang menyokong kerajaan BN ini hanya pandai mengarah dan berpolitik saja.


Mohsen Amdan berkata  : Perlu ada matapelajaran patriotisma bagi pra sekolah barang kali?

Kebapaan...ya,,kebapaan

Salam

Selepas memandikan anak saya, saya terus memakaikan lampin pakai buang dan baju di ruang dapur.
Salah seorang dari rakan ibu mertua saya pun bersuara
"Suami - suami zaman la ni (sekarang ni) lain no..Siapkan anak, buat susu pakai lampin..tak macam kita dulu"
Sampuk seorang lagi
"Zaman la ni suami isteri kerja..kongsi tanggungjawab"
"Untung dapat suami Mithali..hehehe" kata makcik tu sambil tergelak kecil..
Saya membalas
"Dapat suami Mithali takpa makcik..jangan suami MENYESALI"

Sejujurnya saya tidak pasti bagaimana keadaan rumah tangga orang lain dalam pengurusan keluarga. Tetapi saya positif mengatakan yang ramai bapa muda hari ini tiada masalah dalam berkongsi tanggungjawab menguruskan rumah tangga dan anak - anak.
Tugas membancuh susu, cuci berak, tukar lampin, mandikan anak malah memasak juga saya rasa adalah perkara yang mudah dilakukan oleh lelaki yang bergelar suami dan bapa.

Ada juga yang saya dengar senario suami yang jarang - jarang membantu isteri menukar lampin dan sebagainya tetapi saya percaya peratusan itu agak rendah. Saya mungkin silap seperti yang saya katakan tadi bahawa saya tidak pasti kerana tiada data untuk saya berikan. Tetapi saya membuat kesimpulan itu kerana bapa - bapa muda kini lebih terdedah kepada ilmu kebapaan dari pembacaan, media massa dan sebagainya. Malahan majoriti pasangan muda kini keduanya bekerja maka andainya tugasan mencari nafkah boleh dikongsi, masakan tidak berkongsi tugasan di rumah.

Semenjak menjadi AYAH, satu perkara yang saya perasan mengenai perubahan diri saya ialah - saya gemar memasak. Tidak lah sedap mana pun tetapi saya kini lebih enjoy untuk ke bahagian barang dapur kalau membeli belah dan Asia Food Channel menjadi saluran kegemaran saya kini. Malah, timbul pula perasaan untuk membuka kedai makan sendiri..(berangan lah tu). Dan membuatkan saya lebih seronok bila anak saya suka bertanya - "Hari ni ayah nak masak apa?"

Sejak mula mencuba membuat daging burger sendiri, saya tidak lagi membeli daging burger siap keluaran Ramly atau mana - mana jenama kerana saya berasa lebih puas membuatnya sendiri. Mungkinkah ada burger jenama Mohsen selepas ini?