Derma Pembinaan Surau

Surau Al - Amin di Taman Bukit Segar Cheras memerlukan sumbangan ikhlas anda. Sila menderma ke akaun berikut:
Surau Al - Amin - 1402-0003137-71-1
Bank Muammalat

Menjadikan hobi sebagai sumber pendapatan

'Follow your passion' - Ini yang di katakan oleh mendiang Steve Jobs dalam kebanyakan pidatonya. Ia menjadi inspirasi kepada ramai manusia yang khususnya mencari jalan keluar dari tugasan rutin seperti di pejabat, kilang mahupun tempat kerja makan gaji yang lain.


Menjadikan hobi sebagai sumber pendapatan juga telah terbukti sebagai satu langkah bijak dalam meransang diri membina kerjaya. Bill Gates, Mark Zuckerberg, Oprah Winfrey adalah sekadar beberapa nama besar selain pemain - pemain On-line Games di Korea Selatan sebagai contoh kerjaya yang terbina dengan hobi.

Adakah anda mempunyai hobi? Atau anda sendiri bingung apa yang anda suka lakukan sebenarnya diwaktu lapang? Atau anda langsung tidak mempunyai waktu lapang?

Adakah merempit satu hobi? Bolehkah ia dikomersilkan?

Saya pada satu ketika juga tercari - cari apakah yang bersesuaian untuk saya jadikan kerjaya. Lulusan Psikologi di Malaysia tidak mudah mencari kerjaya bersesuaian ketika saya tamat pengajian dahulu. Maka dalam mencari diri sendiri, saya juga mengharungi pelbagai dugaan sebelum berjumpa dengan 'True Passion' saya. Menariknya, perkara yang saya lakukan kini sebagai kerjaya sebenarnya ialah minat saya sejak dahulu yang tidak saya terfikir untuk dikomersilkan.

Tetapi sesuatu yang ramai tidak sedari ialah, apabila anda memilih untuk mejadikan hobi sebagai kerjaya, contohnya minat kepada kamera membawa anda kepada dunia perniagaan fotografi. Tatkala ia menjadi perniagaan ia tidak lagi boleh dilayan seperti hobi. Ia harus diuruskan seperti perniagaan. Faham perbezaannya?

Begini, hobi merakamkan imej dahulunya hanya bergantung kepada lokasi dan masa yang anda ingin merakamkan imej. Tetapi bila ia menjadi perniagaan, anda secara langsung berurusan dengan keperluan dan kehendak pelanggan. Lokasi, masa, jenis penggambaran dan pelbagai perkara lagi harus diurus seperti perniagaan yang lain. Dalam kata lain ia tidak boleh dijalankan mengikut sesuka hati anda sahaja. Bezanya ialah anda melakukan dengan penuh minat dan bukan sesuatu yang anda tidak gemari.

Jadi, sambil duduk dan termenung fikirkanlah apa yang dekat di hati anda, suka anda lakukan dan anda akan lakukan ia walaupun tidak dibayar dengan setimpal - maka ia mungkin hobi yang anda cari - cari untuk dijadikan satu kerjaya profesional! Selamat berfikir!

Hidup mesti diteruskan!

Mengambil semangat mercun yang sedang berdentam dentum di persekitaran rumah saya sempena Tahun Baru Cina ini, saya ingin menuliskan apa yang bermain difikiran saya beberapa minggu ini. Ianya mengenai kegagalan dan bangkit semula.

Memasuki fasa usia seperti saya pada 2012 ini, saya semakin hari semakin banyak melihat rencah kehidupan dan kepelbagaian laluan hidup. Dari kes Dato Seri Anwar Ibrahim yang menjalani cubaan hidup yang penuh onar dan duri dan apabila diputuskan oleh mahkamah yang dakwaan Saiful adalah lemah, maka pro UMNO berasa sangat tidak puashati malah dituduh pula mereka berdua melakukannya suka sama suka. Saya hairan tuduhan sebegini pula yang dilontarkan..kalau suka sama suka kenapa pula harus di bawa ke mahkamah?

Kemudian saya juga melihat kepada teman - teman yang dahulunya mengalami kesukaran hidup dengan kerjaya yang tidak menentu sama ada yang berpendidikan universiti mahupun yang hanya tamat SPM sahaja, Pada usia ini saya lihat ramai yang teah mula mencapai kestabilan hidup, bergantunglah kepada ukuran material yang ingin dinilai. Tetapi nyatanya mereka mula mengecapi suasana selesa dalam kewangan walaupun  belum berstatus mewah.

Ada juga yang telah mula mencapai status mewah, khabarnya ada yang memandu Fairlady, BMW 3 dan 5 Series, Mercedes dan bermacam lagi..tak kurang juga dengan motorsikal berkuasa besar. Malah sepengetahuan saya 3 orang kenalan seusia saya sudah pun bergelar Dato'! Wowww!

13 - 17 Februari ini saya bakal mengendalikan satu program untuk masyarakat gelandangan - iaitu mereka yang tidak berumah; sama ada sewa atau beli. Dalam kata lain mereka tidur di mana - mana sahaja. Nama saya disebut dalam satu mesyuarat melibatkan 2 agensi kerajaan baru - baru ini untuk dijemput mengendalikan program membina semula keyakinan, motivasi diri dan matlamat hidup golongan ini. Saya kurang pasti kenapa nama saya dicadangkan tetapi kata wakil agensi ini berdasarkan pengalaman saya terlibat dalam program komuniti dan keusahawanan sebelum ini.

Saya mula termenung bila mendapat tawaran ini dan mula melihat semula laluan kehidupan saya. Ya..saya rasa saya mampu berkongsi ilmu mengenai perkara ini kerana saya sendiri pernah melaluinya sebelum ini. Walaupun tidaklah sehingga saya menjadi gelandangan, tetapi kehidupan penuh kepayahan tatkala perniagaan saya jatuh tergolek sehingga saya terpaksa menjadi pencuci mangkuk tandas. Lihat gamabr di bawah ini, sanggup kah anda menghilangkan kerak - kerak ini dengan menggunakan berus sebagai kerjaya? Ramai yang tidak sanggup bukan?

Sebelum di cuci

Selepas di cuci

Apa yang saya perhatikan ialah keazaman dan keinginan untuk bangkit itu menjadi asasnya. Untuk memiliki 2 perkara ini, matlamat seseorang itu perlu di bina dengan jelas. Untuk membina matlamat ini, seseorang perlu duduk dan memikirkan apa yang diperlukan dan dikehendakkan dalam hidupnya. PERLU dahulu baru KEHENDAK.

Menerusi pendekatan Pemikiran Fraktal, anda mampu melihat matlamat dengan lebih baik. Caranya begini:
1. Fikir dan tulis matlamat anda yang anda rasakan logik untuk dicapai untuk tempoh yang realistik : Beli Porsche Panamera dalam masa 2 bulan ketika anda sedang menjawat jawatan yang gajinya kurang dari RM20,000 agak mustahil bukan?
2. Pecahkan matlamat anda kepada bahagian yang lebih kecil contohnya anda meletakkan matlamat untuk berkahwin dalam tempoh 12 bulan. Anda memerlukan RM20,000 untuk ini. Maka pecahkan RM20,000 kepada 12 bulan. Maka anda perlu menyimpan RM1,666 lebih kurang sahaja sebulan berbanding melihat angka RM20,000 sekaligus! Sekiranya jumlah RM1666 ini besar, bahagikan lagi kepada 30 hari (sebulan) maka anda hanya perlu mencari pendapatan tambahan sebanyak RM55 sahaja sehari.
3. Fikirkan sebanyak mana cara yang ada untuk anda mencapai RM1666 ini dengan melihat dulu diri anda - adakah gaji anda mencukupi untuk menyimpan RM1666 sebulan tanpa perlu mengelak dari membayar ansuran dan belanja harian? Sekiranya tidak cukup, maka anda perlu memikirkan apa yang anda boleh lakukan untuk meraih jumlah itu.
Contoh perkara yang boleh dilakukan bagi meraih RM55 sehari sebagai wang sampingan
a. Gunakan kemahiran anda; Menjahit, Melukis, Menyanyi, Mengacara, Memasak, Menggunting rambut , Membaiki kenderaan dan sebagainya.
b. Menjual produk sedia ada; MLM, Insurans, Saham Amanah, minyak wangi, barang perhiasan, hartanah dan sebagainya
c. Terlibat dalam pendidikan - tusiyen, mengaji, ceramah motivasi dan pelbagai lagi.

Saya percaya pembaca juga memiliki pelbagai idea lain dalam mencari wang tambahan ini. Apa jua cara anda, pastikan ianya halal dan tidak melanggar undang - undang. Juga jangan mudah terpedaya dengan janji - janji palsu menjadi kaya dengan cepat melalui pelbagai skim pelaburan yang tidak diketahui hujung pangkalnya.

Yang penting, apa juga masalah yang anda hadapi, percayalah anda mampu mengatasinya! Hidup mesti diteruskan!

Program Teambuilding LPPKN Melaka

Foto oleh Luqman Mohd Yusop


6 - 8 Januari 2012 yang lalu bertempat di KM Chalet Melaka, Mohsen Amdan Consultancy menerusi sayapnya Lilcent Total Solutions telah di amanahkan oleh LPPKN Melaka untuk mengendalikan program Team Building mereka. LPPKN bukan satu institusi asing buat saya kerana sebelum ini saya sudah beberapa kali terlibat dengan mereka di peringkat pusat.

Saya dibantu oleh Luqman dan Khairul Faiezin telah bersama - sama hampir 25 orang kakitangan LPPKN Melaka dalam program yang santai dan menyeronokkan ini. Berikut adalah sebahagian dari gamabr yang sempat dirakamkan.



Pengarah LPPKN Melaka - En. Dennis


Amzar (kiri sekali) adalah kenalan facebook Bolarotan saya yang kebetulannya peserta program ini






Tarik!!

Xplorace!

Tahun 2012 yang bakal muncul...


2011 hanya tinggal kurang 12 jam sahaja lagi. Pastinya buat semua manusia yang masih hidup dimuka bumi ini mempunyai pelbagai kenangan - suka duka pahit manis sepanjang 2011. Pencapaian, kegagalan, kemenangan dan kekecewaan pastinya bersulam di memori masing - masing.

Buat diri saya seperti anda juga, 2011 memberikan ransangan besar buat saya. Pelbagai perkara baru saya tempuhi, sesuai denagn peningkatan usia saya yang menuntut cabaran lebih besar dalam hidup.

Namun saya suka untuk berkongsi beberapa perkara menjelang 2012 ini. 

Joey Yap, salah seorang pengamal Feng Shui menyatakan 2012 bakal menjadi tahun yang mencabar buat kita terutamanya pada sukuan pertama - Januari hingga Mac. Dalam kalendar Cina, 2012 adalah tahun naga. spesifiknya Naga Air. Pada pembacaan mereka, tahun Naga Air ini melihatkan perkara - perkara berikut.

Joey Yap

1. Banyak bencana berkaitan air akan berlaku. Ini sudah pun kita lihat kebelakangan ini pelbagai bentuk bencana berasaskan air - Hujan lebat di merata - rata tempat, banjir besar, ombak yang sangat kuat dan pelbagai lagi. Perkara ini dijangka berlanjutan hingga bulan Mac

2. Perniagaan berasaskan air dijangka mempunyai prospek yang baik - Makanan dan minuman, hospitaliti, tenaga, perundingan dan penawaran serta yang sewaktu dengannya.

3. Ekonomi Eropah bakal terjejas dan ini sedang pun berlaku. Manakala ekonomi US bakal pulih ketika sukuan kedua (April - Jun)

4. Barisan Nasional memiliki potensi untuk menang berdasarkan bacaan Feng Shui di mana bintang mereka dilihat lebih baik berbanding Pakatan Rakyat.

Bukan tujuan saya mempengaruhi pembaca mengenai Feng Shui dan jangan pula pantas menuduh saya syirik kerana mengungkap Feng Shui. Harus di ingat Metafizik, simbol dan semiotik adalah asas ilmu sejak berkurun lamanya. Malah semalam ketika Maharaja Lawak Mega akhir juga kita saksikan iklan Seminar Potensi Diri Dr. Azizan di tayangkan mengisi ruang sela masa rancangan tumpuan ramai itu. Begitu ramai yang hadir ke program - program beliau untuk melihat potensi diri berasaskan numerologi yang di kongsikan oleh beliau.

Apa pun saya ingin mengucapkan dan mendoakan kepada kita semua agar 2012 akan menjadi tahun yang cemerlang buat kita semua. Semoga kita akan berusaha menjadi insan yang soleh / solehah dan menguatkan usaha menjadi insan yang berjaya dalam apa juga lapangan diceburi!

Sila ke blog teman saya ini untuk membaca perkaitan 2012 dengan bencana berdasarkan kajian Al - Quran

Oley!! Jawapan kepada Sembang Rakyat kunun!

Sembang Rakyat - video pendek di Youtube yang memperlekehkan hudud kini sudah mula berjawab. Inisiatif dari insan - insan yang sedar menjawab semula usaha politik memperlekehkan hukum Allah kini boleh ditonton di Youtube.

Saksikan sendiri..Tabik dari saya kepada anda yang berusaha!

Memperjuangkan agenda nasional melalui sukan

Sejak kewujudan Bolarotan.com, tumpuan peminat sukan ini mula semakin meningkat di mana laman kecil saya ini dijadikan rujukan dalam pelbagai perkara melibatkan sukan sepaktakraw. Dari jenis kasut yang sesuai sehinggalah kepada program pembangunan latihan. 

Logo Bolarotan.com yang kedua sejak dimulakan hampir dua tahun lalu

Semenjak saya bertindak melalui Gabungan Penggiat Sepaktakraw Malaysia bersama teman - teman di Masyarakat Bolarotan di Facebook, ramai yang mula semakin berani mengkritik Persatuan Sepaktakraw Malaysia secara terbuka. Malahan Utusan Malaysia melalui Abdul Hafiz Ahmad yang satu ketika menjadi satu - satunya wartawan yang menulis mengenai sepaktakraw secara konsisten kini turut dimeriahkan lagi dengan tulisan di Berita Harian dan Harian Metro. Hampir setiap hari sejak 2 minggu ini tulisan mengenai PSM dapat dibaca di ketiga - tiga surat khabar itu.

Dalam masa yang sama, ada pihak - pihak yang mula mempersoalkan siapa Mohsen Amdan ini? Kenapa dia begitu berani tampil mempersoal tindak tanduk PSM walhal Mohsen Amdan ini bukanlah ahli berdaftar PSM. Apatah lagi bukan bekas pemain negara atau jurulatih. Ada pihak yang mulal menyiasat latar belakang saya hingga ke Bukit Aman bagi memastikan siapa dibelakang saya. Adakah politikus yang ingin menjatuhkan Dato Ahmad Ismail atau bekas pemain negara yang ingin membuatkan barisan kepimpinan PSM terduduk cuba menggunakan saya?

Saya tidak dibiayai, ditaja atau menjadi proksi kepada sesiapa! Percayalah!

Saya juga tiada niat untuk menjatuhkan PSM mahupun mana - mana politikus. Ini kerana saya bukan pun ahli PSM yang boleh menyandang jawatan dalam PSM ataupun berminat menyertai mana - mana parti politik untuk bersaing dalam PRU akan datang.

Apa yang saya lakukan ini tidak lain dari gerak kerja seorang rakyat yang merasakan sesuatu harus dilakukan untuk membangunkan sukan negara. Saya benci melihat wang negara dibazirkan melalui pengurusan yang lemah. Selain isu sepaktakraw saya juga sangat benci dan marah isu lembu yang melibatkan Shahrizat Abdul Jalil!. Ketika rakyat disuruh belajar membuat kertas kerja dan mencari cagaran untuk menjalankan perniagaan, mereka yang duduk di kayangan kuasa sesuka hati merembat duit memperkayakan keluarga dan kroni. 
Terimalah laknat saya ini - CELAKALAH KAMU YANG HIDUP MEWAH ATAS KESUSAHAN ORANG LAIN!

Berbalik kepada isu PSM dan sepaktakraw negara, apa yang saya harapkan ialah langkah berani Presiden PSM melakukan rombakan jawatan kuasa. Sekiranya beliau masih ingin ditampuk kuasa, silakanlah, tapi silalah gugurkan Setiausaha, Penolong Setiausaha dan beberapa lagi yang lain. Lantiklah orang baru bagi membantu PSM. Saya percaya ramai ahli PSM berdaftar inginkan perubahan.

Kenapa saya perlu tegaskan perkara ini? Kerana saya bimbang sukan warisan ini akan terkubur. Saya khuatir penaja hilang minat. Saya risau kalau tarian Shuffle dan futsal lebih popular. Dan senarai kebimbangan ini sebenarnya cukup banyak untuk saya tuliskan.

Pengajaran yang boleh kita ambil di sini ialah - Melalui kemodenan yang kita kecapi ini sebenarnya membolehkan kita menyumbang kepada negara dengan lebih baik. Saya telah buktikan kepada kalian bahawa laman kecil sudah boleh menggoncangkan persatuan yang sudah lama bertapak. Saya tunjukkan kepada anda bahawa sesuatu yang kecil bisa menjadi besar sekiranya Istiqamah, kesungguhan dan matlamat yang jelas berpadu. Ini baru satu dari beribu - ribu isu di negara ini yang menjerat tengkuk rakyat. Saya sudah mengambil satu bahagian kecil perjuangan ini, anda bagaimana?

Pengendalian Sidang Media - Kali pertama untuk diri sendiri

16 November 2011 menjadi catatan sejarah buat diri sendiri apabila  saya mengendalikan sidang media yang memerlukan saya sendiri membaca kenyataan medianya!. Semua berlaku dalam masa kurang dari 24 jam apabila kekalahan skuad sukan sepaktakraw Malaysia kepada Indonesia mengundang reaksi negatif dari kebanyakan peminat tanah air dan pastinya salah satu lagi laman blog saya iaitu Bolarotan,com menjadi rujukan kebanyakan pihak. Malah Facebook Masyarakat Bolarotan memerlukan saya mengadapnya hampir 10 jam sehari dalam tempoh 2 hari berturut - turut menyebabkan saya merasakan sesuatu harus dilakukan.


Presiden GPMS iaitu En. Jais yang berada di Palembang ketika ini menyaksikan sendiri kekalahan skuad Malaysia di tangan Indonesia. Melalui Facebook beliau menghubungi saya dan melepaskan kegeramannya dan terlintas difikiran saya akan sidang media. Pada mulanya saya ingin menyusun satu sidang media untuk En. Jais tetapi beliau hanya akan pulang selepas Sukan SEA berakhir.

Maka, pada hemat saya tindakan segera ini memerlukan saya dan pengikut Bolarotan serta ahli - ahli Gabungan Penggiat Sepaktakraw Nasional (GPSN) tampil memberikan pandangan mengenai isu ini. Tanpa berlengah segala pengalaman yang saya miliki dan ilmu yang saya ajarkan dalam kursus - kursus saya sebelum ini cuba dipraktikkan. Sememangnya sedikit kelam kabut tetapi mujur jaringan yang saya miliki membantu proses penyediaannya.

Akhirnya tadi ditemani hujan lebat di Lembah Kelang, sidang media yang dihadiri oleh RTM, Utusan dan Sinar Harian telah berlangsung dengan jayanya di pejabat saya. Walaupun ruang mesyuarat pejabat saya tidaklah besar sangat tetapi dapat memenuhi objektif. 

Wartawan Utusan, Abdul Hafiz Ahmad banyak membantu saya dalam penyediaan teks dan kenyataan media. Gabungan tulisan saya dan beliau menjadi satu kenyataan penuh untuk hari ini.

Gementar, risau, bimbang adalah antara perasaan yang bermain di dalam diri. Alhamdullillah semuanya berjalan lancar telah pun diterbitkan di Berita RTM 1 malam tadi. Semoga esok ia bakal muncul di dada akhbar pula.

Terimakasih kepada semua yang membantu..Allah sahaja yang dapat membalasnya!

Untuk menonton sidang media itu, sila klik di sini dan untuk kenyataan penuhnya di sini