Saya berpengalaman bersama konglomerat Jepun sejak 2003 dengan beberapa darinya adalah jenama - jenama besar yang anda sedia maklum seperti YAMAHA, HONDA, PANASONIC dan beberapa yang lain. Apa yang saya perhatikan mereka mempunyai ciri hampir sama iaitu pendiri syarikat sebegini memiliki keazaman dan idea yang bukan berteras keuntungan semata - mata, tetapi jalan - jalan hidup yang perlu menjadi panduan semua kakitangan mereka.
Esok (4 April 2023) saya telah dijadualkan untuk berbincang dengan pihak pengurusan RICOH Malaysia berkenaan program ‘Team Building’ kakitangan mereka yang bakal berlangsung selepas Aidilfitri nanti. Seramai hampir 400 orang akan terlibat untuk tempoh 3 hari di mana setiap satu hari daripadanya, sekitar 135 orang akan bersama dengan saya dan beberapa yang lain dan ia dijangka akan dijalankan di Pulau Pinang.
Sebagai perunding Tingkah Laku Organisasi, saya tertarik dengan konsep "The Spirit of Three Loves" yang dikembangkan oleh Kiyoshi Ichimura, pengasas Ricoh. Falsafah pengurusan ini menekankan kepentingan tiga nilai kunci - Love Your Neighbour, Love Your Country dan Love Your Work. Dalam tulisan ini, saya akan membincangkan implikasi falsafah ini dari perspektif tingkah laku organisasi.
Love Your Neighbour : Cintai Jiran Anda:
Falsafah ini menekankan kepentingan memperlakukan rakan sekerja dengan hormat dan bekerja bersama sebagai satu pasukan untuk mencapai matlamat bersama. Jiran yang dimaksudkan di sini bukan sekadar mereka yang tinggal berdekatan dengan kita, ia turut merujuk kepada rakan sekerja, pelanggan, keluarga dan pihak berkepentingan (stake holders). Ini selaras dengan kajian tingkah laku organisasi yang menunjukkan bahawa kerjasama dan kolaborasi adalah penting untuk pasukan yang cemerlang. Kolaborasi membawa kepada peningkatan komunikasi, peningkatan kepercayaan, dan tahap kepuasan kerja yang lebih tinggi. Apabila pekerja merasa bahawa mereka bekerja bersama untuk mencapai matlamat bersama, mereka lebih cenderung untuk termotivasi dan terlibat dalam kerja mereka. Hidup berjemaah pasti lebih menarik bukan?
Nilai kedua, Love Your Country : Cinta terhadap negara, juga penting dalam falsafah ini. Ichimura percaya bahawa kesetiaan kepada negara adalah penting dalam membina masyarakat yang stabil dan maju. Dalam konteks organisasi, ini bermakna organisasi harus memainkan peranan aktif dalam pembangunan masyarakat dan negara.
Cintai Kerja Anda:
Menurut falsafah ini, adalah penting untuk mempunyai semangat terhadap kerja anda dan berasa bangga dengan apa yang anda lakukan. Ini merupakan aspek asas penglibatan pekerja, yang merupakan pendorong utama kejayaan organisasi. Kajian telah menunjukkan bahawa pekerja yang bersemangat terhadap kerja, mereka akan lebih produktif, kreatif, dan komited terhadap organisasi mereka. Dari perspektif tingkah laku organisasi, ini disebabkan oleh fakta bahawa apabila pekerja merasa bahawa kerja mereka bermakna, ada unsur pencapaian dan menyeronokkan, mereka lebih cenderung untuk terdorong untuk memberikan usaha terbaik.
Secara keseluruhan, falsafah "The Spirit of Three Loves" mendorong manusia untuk berkasih sayang sesama kita. Perniagaan bukan sekadar menjana keuntungan tetapi ia mestilah memenuhi kepentingan masyarakat umum.
Di Malaysia, siapa pendiri perniagaan yang anda kenal mempunyai ideologi yang turut menjadi pegangan syarikat mereka?
No comments:
Post a Comment