Total Pageviews

Peniaga mengeluh kerugian di bazar Ramadhan dan Aidilfitri

Jika diteliti perkongsian ramai mengenai peniaga bazar Ramadhan dan Aidilfitri mengeluh bahawa mereka kerugian, tak balik modal malah kecewa rasa ditipu penganjur bazar; sebenarnya ia amat memilukan kita. Sekiranya anda juga berniaga, pasti anda tahu apa rasanya duduk ditempat mereka.

Benar, bukan semua yang berniaga di musim Ramadhan dan Aidilfitri kali ini rugi. Ramai juga yang untung.

Mereka yang untung pastinya tidak akan menghebahkan berapa banyak untung mereka. Jika ada pun kita hanya faham dalam bentuk lain contohnya melihat mereka berkongsi rezeki dengan kakitangan sendiri atau masyarakat sekeliling.

Kita yakin ramai yang rugi kerana melihat dari jumlah perkongsian di media sosial, banyak peniaga mengeluh hal berikut:

a. Bazar Ramadhan / Aidilfitri lengang.

b. Pengunjung ada, tapi tidak membeli sebagaimana biasa.

c. Agen / Reseller jenama yang sama terlalu banyak di lokasi yang sama.

d. Kuasa membeli dirasakan merosot kerana jumlah pembelian tidak lagi sama.



Adakah ini hanya disebabkan kenaikan harga bahan mentah?

Pada hemat saya, bukan itu faktor utamanya. Faktor utamanya ialah sewaan yang terlalu mahal. lebih mahal dari menyewa bangunan rumah kedai. 

Duit modal awalan sudah menjadi begitu besar untuk peniaga, sewaan, modal bahan jualan, tenaga kerja, pengangkutan dan sebagainya. Dari modal - modal ini, yang paling memilukan adalah sewaan yang melampau.

Perhatikan, kebanyakan bazar besar terpaksa mengatur acara melibatkan cabutan bertuah, kehadiran selebriti, influencer dengan harapan orang ramai akan turut berpusu - pusu ke sana. Adakah kehadiran mereka ini percuma? Pastinya tidak.

Di tahun 2023 ini, saya tak rasa ia masih relevan.

Kenapa ia tidak lagi relevan? Kerana ia sudah pun tidak menuju ke arah objektif kewujudan perniagaan iaitu 'TO SERVE PUBLIC INTEREST'.

Public interest bukan lagi hari ini mahu menonton tarian bagai sotong di atas pentas, dan selepas melihat tarian mereka membeli sebanyak - banyaknya.

Dunia berubah.

Ramai yang ke bazar hanya untuk melihat - lihat, mahukan kepada suasana dan sudahnya membeli dalam talian kerana ia ada tarikan lain iaitu DISKAUN.

Maka ia menjadi pengajaran pada semua.

Harga sewaan tapak niaga sempena Ramadhan yang melampau - lampau mahalnya kini sudah sampai ke kemuncaknya.

Kesannya harga barangan jadi merepek, margin jadi nipis, volume jualan terpaksa dipertingkat untuk mencapai kos lepas tetapi kuasa membeli dan jumlah prospek tidaklah sebesar mana.

Dulu hanya satu bazar besar di sesebuah bandar. Kini bazar bersepah - sepah.

Sedarilah bahawa harga sewaan yang mengarut ini adalah satu bentuk penganiayaan, penindasan dan kekejaman.

Tamak manusia ini tidak bertepi. 

Dengan niat niaga sebulan untung setahun sebenarnya membawa kita kepada kurangnya pemahaman terhadap keperluan perniagaan itu sendiri.

Berniaga memang untuk meraih untung.

Namun tujuan utama perniagaan itu perlu wujud adalah untuk memenuhi ‘public interest’. Bukannya memenuhi ego dihati.

Hayatilah Surah Al Mutaffifin…

Elakkan kita dihumban ke neraka Sijjin!

No comments: