Total Pageviews

Showing posts with label Sepaktakraw. Show all posts
Showing posts with label Sepaktakraw. Show all posts

Di mana saya bermula dengan sepaktakraw?


Foto di atas adalah pemandangan dari tingkat 3 asrama Tun Dr. Ismail Kajang High School (Sekolah Menengah Tinggi Kajang) Foto ini saya terima dari Whatsapp Group alumni kerana dirakamkan ketika salah seorang dari kami menghantar anaknya mendaftar di asrama.

Sekonyong, terkenang saya pemandangan dari sudut ini. Ia sebenarnya satu perjalanan panjang untuk saya dalam dunia sepaktakraw sehingga kini.

Segalanya bermula pada satu pagi 1992, satu sesi pemilihan pemain sepaktakraw sekolah dijalankan di kawasan parkir yang and lihat dalam foto itu. Saya yang sepatutnya pagi itu berada di bilik belajar untuk 'prep pagi' mengambil keputusan menyarung kasut dan turun ke pemilihan sedangkan saya tak pandai pun main sepaktakraw. Kenapa saya sanggup pergi sedangkan tak pandai pun? kerana saya nak ponteng 'prep pagi'!

Cikgu Razak, guru bolasepak sekolah kami bertanggungjawab menjalankan pemilihan pagi itu. Dia mengenali saya kerana saya turut tersenarai dalam satu program bolasepak pada tahun yang sama. Ketika giliran saya dihadapannya, dia menyuruh saya menimang bola takraw. Setiap kali menimang saya hanya mampu menyepak sekadar 2 - 3 kali sahaja. Saya di marahi beliau.."Kalau tak reti main toksah datang pemilihan lah!"

Saya terus diketepikan dari proses itu malah, tidak layak diuji di atas gelanggang sekali pun. Sedih, kecil hati dan dendam ..itu yang saya rasa. Kesannya, saya langsung berhenti bermain bola sepak dari saat itu dan mula nekad belajar bermain sepaktakraw.

Gelanggang di dalam foto itu adalah saksinya. Saya adalah orang pertama yang akan turun ke gelanggang saban hari.. menimang bola dengan dinding hujan atau panas. Hasilnya, saya terpilih mewakili sekolah pada tahun 1993 di posisi tekong. 

Selepas MSSD 1993, saya mula berminat bermain diposisi apit kanan. Saya mula meniru gaya pemain -  pemain senior dari segi teknik pukulan malah berpakaian. Krengkrai Mutalai adalah killer idola saya ketika itu.


Lokasi dalam bulatan merah itu adalah tempat wajib saya setiap petang 1993 dan 1994. Selepas solat asar, saya adalah orang pertama yang akan turun ke gelanggang dan kerana terlalu obses sehingg terbawa - bawa main sepaktakraw di bilik, saya pernah didenda bermain sepaktakraw berkaki ayam dari 6.30 petang sehingga 8 malam. Saya digelakkan satu asrama ketika itu. Malu tapi berbaloi.

Bukit kecil itu adalah saaran saya melibas setiap hari, Dari teknik pukulan "maniam" / backstroke, libas pari, handstand sampai lah ke gulung saya cuba. Tangan dan kaki ini sakit serta bengkak berkali - kali. Waktu outing hujung minggu juga saya akan pastikan saya pulang ke asrama sebelum Solat Asar.

Hasilnya? Ya..panjang lagi kisahnya..tapi nostalgia ini terlalu manis buat saya...




Sekolah Sukan - adakah pendekatannya masih relevan?


Sebagai penggiat sukan di negara ini, saya selalu memantau, mencari dan meneroka peluang dan potensi baru dalam penghasilan bakat berkaitan sukan khususnya sepaktakraw di negara ini. Menerusi pelbagai program yang saya kendalikan membuatkan pemahaman saya terhadap proses penghasilan bakat di negara ini semakin meyakinkan saya bahawa Malaysia sebenarnya tidak ketandusan bakat. Antara penyebab yang menyumbang kearah merudumnya sukan negara ialah seperti berikut;

1. Campur tangan politik yang hanya memburukkan keadaan
2. Kegagalan memasukkan sukan dalam kitaran ekonomi
3. Program penghasilan atlit yang tidak bersepadu.
4. Pendekatan yang kurang holistik dalam mendidik dan membentuk atlit.

Berikut ialah pautan Sekolah Sukan yang anda boleh rujuk

Program Sekolah Sukan yang sudah berjalan sejak lama dulu tidak dinafikan banyak membuahkan hasil terutamanya dari sukan seperti Bolasepak, hoki, sepaktakraw dan sebagainya. Namun, apabila tiba ke peringkat yang lebih tinggi, output dari sekolah sukan ini dilihat tenggelam kerana banyak faktor yang sukar dikawal. Antaranya;

1. Atlit lepasan Sekolah Sukan sudah hilang minat kerana sukan yang disertai kurang kejohanan kompetetif atau tidak berpeluang menyertai kejohanan peringkat tinggi.
2. Persatuan sukan yang hidup segan mati tak mahu atau sudah tidak memiliki orang yang kompiten untuk mengendalikan persatuan.
3. Atlit lepasan sekolah sukan melanjutkan pelajaran ke IPTA / IPTS dan mula menumpukan pelajaran atau bidang baru.
4. Bakat - bakat dari luar Sekolah Sukan menenggelamkan atlit dari Sekolah Sukan di kejohanan pelbagai peringkat.
5. Kecederaan dan kecacatan yang dialami atlit membantutkan mereka meneruskan bidang yang diceburi.

Sejauh manakah kitaran ini akan berulang? Apakah langkah yang sepatutnya di ambil bagi menangani masalah ini?

Saya dan beberapa rakan sedang dalam perancangan satu konsep baru Sekolah Sukan. Kami ingin menyatukan elemen sukan dan rohani. Sekolah Sukan Berteraskan Islam. Bayangkan satu hari nanti, kebanyakan atlit negara kita yang beragama Islam bukan saja cemerlang di gelanggang, tetapi dalam masa yang sama mereka juga adalah golongan Huffaz! 



E - Temubual saya bersama Malaysia.my berkaitan sepaktakraw

Terimakasih kepada salah seorang penasihat ICT saya iaitu Maestro Rusdy Ahmad kerana menghalakan temubual secara online ini kepada saya di mana temubual Malaysia.my ini sepatutnya dijawab oleh beliau. Saya perlu menjawab soalan - soalan ini dalam jumlah 100 hingga 150 perkataan sahaja. Saya titipkan jawapan dalam Bahasa Melayu meskipun yang akan muncul nanti dalam Bahasa Inggeris.



1. Tell us about your connection with the sport. How did it all start, how did u get into it... 


Saya bermula ketika berusia 14 tahun. Hanya kerana ingin mengelak waktu prep pagi di asrama, saya mencuba nasib untuk pemilihan pemain mewakili Sekolah Menengah Tinggi Kajang. Walaupun saya tidak tahu bermain sepaktakraw saya gagahi juga. Akibatnya, saya dimarahi guru yang memilih pemain kerana hanya membuang masanya. Saya jadi geram dan mula berhenti bermain bolasepak dan berazam mempelajari sepaktakraw dan hasilnya, saya berjaya mewakili sekolah pada tahun berikutnya dan berjaya muncul naib juara di peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah Hulu Langat dengan bermain diposisi Tekong. Selepas itu saya mula dibimbing oleh En. Hanafiah di Muar sebagai apit kanan dan bermulalah kegilaan saya kepada sepaktakraw. Bolarotan.com bermula hampir 3 tahun lalu adalah satu projek mempopularkan sepaktakraw selepas saya menyaksikan merudumnya prestasi pasukan negara dan kegagalan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) ketika itu dalam membangunkan sukan ini.

2. How was Sepak Takraw then and how is it now? What has time brought to it? 

Dahulunya sepaktakraw merupakan sukan popular di mana orang sanggup berasak – asak menonton kejohanan ini walaupun terpaksa membayar tiket. Kejohanan pelbagai peringkat dan Malaysia adalah nama gah dan pertembungan dengan seteru utama ketika itu – Thailand adalah satu perkara yang amat dinantikan. Sepaktakraw dimainkan di mana – mana saja. Malah kategori Bukan Melayu juga wujud dalam kejohanan peringkat sekolah. Ia sukan yang diminati kerana kemahiran, seni, adab dan juga ketangkasannya. Rally panjang berbalas libasan adalah penarik utama. Hampir 15 tahun lalu, ia merudum kerana corak permainan sudah berubah. Servis Kuda membunuh seni sukan ini. Tiada lagi rally panjang, yang ada hanyalah kelajuan saja.

3. How is the younger generation reacting to Sepak Takraw?


Sejak kebelakangan ini ia kembali popular. Sejak adanya ledakan internet, sepaktakraw bagai bernyawa semula. Buktinya ramai bakat baru dikesan diperingkat sekolah rendah lagi. Kejohanan diperingkat Kementerian Pelajaran juga membantu dalam hal ini. Usaha oleh pelbagai pihak termasuk Bolarotan.com dalam menganjurkan pelbagai klinik dan program Outreach nampaknya semakin membuahkan hasil. Guru – guru pula semakin mendekati kami untuk berkongsi maklumat pelajar mereka dan semakin ramai pemain muda berbakat berani menyertai kejohanan peringkat tinggi.

4. What challenges does the sport face to be more globally recognised?


Sukan baru dan lebih ‘hype’ seperti Futsal, Dodgeball , permotoran dan sebagainya muncul dengan pakej komersil yang lebih baik. Ini sangat mudah menarik penaja besar dalam mempromosikan sukan ini. Sukan ini juga didominasi oleh Thailand dalam segenap segi menyebabkan negara lain mula berasa ia satu pelaburan yang agak kurang menguntungkan. Pulangannya (ROI) agak lambat kerana proses membentuk pemain kelas tingginya memakan masa yang panjang. Menggabungkan beberapa elemen berlainan dalam mempromosi sukan ini adalah perlu sebagai contoh makanan popular, syarikat penerbangan terkenal ataupun TELCO akan mempercepatkan proses ini. Sentimen budaya perlu dikecilkan seperti mana bolasepak moden bukan lagi milik orang Inggeris.

5. Your thoughts on the future of Sepak Takraw as a sport and cultural significance to Malaysians.



Sepaktakraw adalah sukan yang sangat berpotensi untuk diketengahkan. Gabungan elemen yang pelbagai sebenarnya satu bentuk USP (Unique Selling Proposition) yang boleh dikembangkan. Usaha pelbagai pihak perlu dalam mempopularkan lagi sukan ini. Malaysia masih boleh terus berharap sepaktakraw sebagai penyumbang pingat bagi Sukan Asia, Sukan SEA dan sebagainya malah ia mampu menjulang nama Malaysia di mata dunia kerana sukan ini semakin diminati. Dalam bentuk budaya pula, agensi yang terlibat perlu lebih proaktif dalam mengangkat sejarah sukan ini kerana secara sejarahnya sukan ini bermula dengan sepakraga dan dimainkan di mana – mana sahaja. Malah secara tidak langsung mampu membantu industri  kraf khususnya rotan kerana bola yang asal diperbuat dari rotan. Demonstrasi pembuatan bola rotan, jualan produk berkaitan, demonstrasi dan perlawanan pertunjukan mampu menjadi tarikan pelancong. Saya sendiri pernah bermain sepakraga di dalam KL Hilton Hotel untuk menghiburkan tetamu di Grand Ballroom mereka yang mana tetamu asing begitu teruja dengannya. Siapa kata orang asing tidak minat dengan budaya kita kan?

Bolarotan.com - satu pencapaian luar dugaan

Ketika saya menyertai seminar Irfankhairi - Rahsia Internet beberapa tahun lalu atas cadangan sahabat baik saya; Shahrul Faizal, saya memiliki keazaman untuk mengetengahkan sukan sepaktakraw melalui media baru ini. Di dalam sesi itu, Irfan bertanyakan mengenai idea peserta seramai 40 orang ini tentang apa yang ingin dilakukan dalam perniagaan online ini. Maka pelbagai reaksi dari peserta - dari insurans sehingga kedai makan. Tetapi mata peserta program mula menoleh kearah saya apabila saya menyebut Sepak Takraw.

Saya dan Shahrul di Singgah Selalu Danga Bay baru - baru ini

Ketika itu, www.sepaktakraw.com menjadi sasaran saya. Namun domain itu telah pun dimiliki oleh entah siapa. Maka saya mula berfikir dan mencari apa yang sesuai. Setelah lebih 6 bulan selepas saya ke program Irfan Khairi itu, terhasil Bolarotan.blogspot.com. Saya tidak membeli domain ketika itu kerana saya sendiri tidak pasti sejauh mana kemampuan blog sukan yang bersifat niche ini.

Hasil idea teman saya - Fairus yang melonjankkan nama Bolarotan.com

Ada yang menyokong, ada yang kagum, ada yang pelik, ada yang sinis malah ada juga yang mempertikai. Itu adalah sebahagian asam garam yang saya lalui semasa membangunkan laman itu. Soalan yang paling kerap saya terima ialah - "Siapa yang sponsor blog tu?" "Mana kau dapat duit nak bangunkan blog tu?" "Kau dapat apa?"

Saya percaya kepada beberapa prinsip. Pertama - Kesempitan adalah asas kreativiti. Kedua - Minat dan kesungguhan mendahului, duit akan datang kemudian. Setelah hampir setahun lebih, dari blogspot kepada .com Bolarotan kini mencecah hampir 55000 bacaan. Ya, bukan 55000 orang yang membaca tetapi bacaan. Dengan purata 100 pembaca unik setiap hari dari pelbagai negara, Bolarotan.com kini menjadi rujukan utama mengenai perkembangan sukan sepaktakraw di Malaysia ini.

Adakah saya mendapat keuntungan? Dari segi nilaian wang ringgit, saya menerima wang masuk dan ia masih belum menjadikan saya kaya raya. Kerana bukan kaya raya yang saya cari. Keuntungan jaringan persahabatan, idea dan pengetahuan adalah keuntungan paling besar yang dapat saya raih setakat setakat ini. Terlibat dalam kejohanan besar sebagai pengendali data tajaan KFC - Utusan adalah pencapaian terbesar setakat ini. Bermain sepakraga di Hotel Hilton Kuala Lumpur untuk majlis berbuka puasa adalah pencapaian yang sangat pelik tetapi membanggakan.



Ketika di Johor baru - baru ini, T-Shirt bolarotan.com mendapat sambutan. Menariknya ialah pada malam kejohanan beberapa pembeli datang menonton sambil menyarung T-Shirt Bolarotan.com... kembang hidung saya di buatnya.

Peminat sepaktakraw Johor menyarung T-Shirt Bolarotan sewaktu menonton

Walaubagaimanapun, perjalanan masih terlalu jauh. Banyak lagi yang perlu diusahakan. Banyak bantuan dan sokongan dari semua pihak diperlukan. Kritikan membina juga amat ditagih.

Apa yang paling mengharukan saya ialah, ramai yang menghubungi saya sama ada menerusi telefon, email, ruang bual atau sembang kedai kopi meminta Bolarotan.com menjadi pemangkin sukan ini . Malah mereka mendorong kepada satu revolusi besar dalam sukan tradisi ini. 

Persoalannya - mampukah sebuah laman kecil ini memberi kesan mendalam pada negara?