Total Pageviews

Showing posts with label Ihya Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ihya Ramadhan. Show all posts

Koleksi Ihya Ramadhan 2016 (17 Jun 2016)

Ihya Ramadhan (17 Jun 2016)

"Bro! Sertai kami!! Jangan risau bro! Setahun je mesti dapat beli punya kereta tu! Mesti boleh dapat punya banglo tu.."
Biasa dengar kan?

 
Sahabat..
Yang perlu kita mohon pada Allah ialah dicukupkan keperluan kita, bukan diberikan sebanyak - banyaknya.
Banyak belum tentu cukup... Sikit belum bererti kesempitan.

Orang yang kaya itu ialah orang yang merasa cukup... Bukan selalu saja terbayang apa lagi yang ingin dimilikinya.

Usah di cari kekaguman manusia.
Yang di cari ialah redha Allah


"Aahhh ... Kau ni cakap macam tak payah usaha apa - apa je kat dunia ni! Kufur nikmat tu.."

Sahabat...
 

Tiadalah dilarang merasai nikmat dunia.
Belilah apa saja yang kita mahu selagi mana mampu.
Tidak salah dalam membeli atau memiliki sesuatu nikmat dunia ini.
Cumanya, bila nikmat dunia sering dijadikan motivasi itu yang sering mengundang mudarat.
 

Lebih malang, bila meraih nikmat itu yang diangkat dan dijulang adalah syarikatnya dulu, produknya dulu, pemimpinnya dulu atau sistemnya dulu.
Walhal rezeki sudah disusun oleh tuhan.


Wallahu A'lam

Ihya Ramadhan - Teladan dari sebuah bangunan yang kukuh.

Asas kepada bangunan yang kukuh bermula dari meraikan perbezaan bahannya.
Bangunan yang kukuh dibuat dari pelbagai bahan - bukan satu jenis sahaja serta alatan yang pelbagai.
Ada batu, simen, pasir, paku, besi dan sebagainya.
Atas memahami perbezaan ini, maka bangunan dapat didirikan dengan pelbagai peralatan yang berubah - ubah untuk tujuan yang masih sama sejak dahulu - iaitu memberikan perlindungan.



Dengan meraikan perbezaan, perkara besar dan hebat dilahirkan.
Analogi mudah, kita menjadi hebat hari ini kerana dilahirkan dari perbezaan : Ibu+Bapa, bukannya Bapa+Bapa atau Ibu+Ibu.

Maka dilihat dalam kemelut politik negara kita kini, masalah besarnya bukan kerana perbezaan - PAS v PAN , UMNO v PKR dan sebagainya, tetapi masalah besar terletak kepada kegagalan menjadi bijak dalam perbezaan.

Sering difahami oleh kelompok ini ialah bila berbeza bermaksud perlu menjadi lawan.
Walhal sepatutnya perbezaan boleh memberikan tenaga yang besar!

Apa jalannya?

Dalam meraikan perbezaan, memahami kedua - dua pihak akan memberikan satu dimensi yang lebih baik. Dengan memahami pihak yang satu lagi, kita akan mudah mencari titik persamaan yang wujud diantara perbezaan itu.

Contohnya:

Simen dan Batu bata - keduanya berbeza dari segi sifat, fungsi dan keutamaan.
Namun titik persamaan yang wujud ialah jika batu di susun dan diliputi simen, maka kedua - duanya boleh membentuk struktur yang lebih kukuh.
Tidak timbul siapa di luar siapa di dalam.

Namun, akan sentiasa ada orang yang jahat pemikirannya dan cuba meracuni pemikiran simen dan batu.

Maka dicucuk api kebencian dengan menyatakan kepada simen - "Jika kau diluar melindungi batu, maka kau yang akan teruk terkena hujan.. Kau akan rosak dulu!"
Kemudian si jahat akan mengatakan perihal sama pada di batu - "orang hanya nampak simen dan bukannya kau.. Rugilah kau berdiri kuat tapi simen yang terkenal!"

Biasa dengar cerita begini?

Maka, dalam mengharungi Pilihanraya Kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar di dalam kemuliaan Ramadhan ini, saya dengan rendah hati meminta sahabat dari mana - mana parti yang terlibat, renungi dan hayatilah prinsip bangunan.

Hidup ini bukan tentang berapa harta paling banyak yang boleh direbut.
Ke akhirat esok bukan tentang parti mana yang menang.
Tetapi sejauh mana amalan kita di muka bumi ini menjadi bekalan untuk kita.

Apalah ertinya menang pilihanraya jika caranya jijik dan hina.
Apa guna berkuasa jika tiada kebaikan di bawa kepada rakyat jelata.
Lebih malang lagi, 'kebaikan' yang sedikit diciptakan untuk melindungi kekotoran dan kejahatan yang lebih besar.

Wallahu A'lam.

Selamat menjalani ibadah puasa kepada semua. 

Ihya Ramadhan 2015 - Kereta idaman semua...

Alhamdulillah...
Ramadhan muncul lagi.
Andai kita berpeluang melalui Ramadhan 2015 ini maka bersyukurlah.
Bukan semua orang yang kenali berpeluang merasai pengalaman ini.
Namun, ini juga mungkin Ramadhan terakhir kita.
Maka, kita perlu memanfaatkannya sebaik mungkin.

Sahabat semua...

Manusia hari ini ramai sekali yang memandu kereta.
Jualan kereta juga bertambah dari tahun ke tahun, lihat sahaja betapa pantas nombor plat bertukar di jalanraya.
Selera manusia terhadap kereta juga pelbagai.
Amat sukar kita menentukan apakah jenama kereta terbaik di dunia. Kalau jenama pun susah, apatah lagi jenis model keretanya.
Baru sahaja kita pasang angan - angan mahu memiliki model kereta yang itu, masuk pula model terbaru. 
Baru sahaja kita kembang hidung memandu kereta baru kita..
Esok ada pula yang memandu yang lebih baru.

Obsesnya kita terhadap kereta ini sehinggakan ramai menjadi pakar kereta tanpa perlu ke universiti.
Bermacam - macam tajuk majalah berkaitan kereta dari dalam dan luar negara yang menjadi rujukan kita.
Sebut sahaja satu perkara, sudah kita tahu buatan dan modelnya.
Sebut sahaja satu kerosakannya, sudah kita tahu apa puncanya.
Hebat sekali...
Sampaikan kita pergi mencuba pandu model - model baru..meski tidak berhajat memilikinya.
Kerana apa?
Kerana ingin tahu dan merasa...
Nah, itulah motivasi diri yang kuat terhadap kereta...ingin tahu dan merasa.

Bangga sekali kita jadi rujukan orang apabila ditanyakan perihal kereta.
Seronok jiwanya apabila dipuji cantik dan hebatnya kereta kita.

Buat manusia penggila kereta;
Ada yang mahu sound system padu,
Ada yang mahu rim kilat berkilau
Ada yang mahu ekzos sebesar longkang
Ada yang mahu enjin mengaum deras
Ada yang mahu kerusinya selesa
Ada yang mahu ia cukup luas

Apa sahaja mahumu mengenai kereta...pastikan jangan terlupa
Ada satu kereta yang punyai ciri hebat...

Kereta ini tersedia pemandunya
Kereta ini luas ruangnya
Kereta ini memainkan CD tanpa diminta
Kereta ini mengalu - alukan kita.

Nama kereta ini ialah KERETA JENAZAH


Sahabatku yang mulia...

Sehebat mana pun kereta kita gunakan sehari- hari..
Akan tiba satu masa kita akan menaiki KERETA JENAZAH ini.
Namun bergantung jua bagaimana nasib kita.
Ada yang tidak berpeluang meskipun punya harta
Ada yang tidak sempat kerana jaraknya...
Ada yang tidak layak pun menaiki kereta ini...

Sahabatku semua,
belilah apa saja kereta yang kau mahu.
bukanlah aku menghalangnya
Namun, dalam setiap pembelianmu itu ada tanggungjawabnya.

Sahabatku yang dikasihi
Ayuhlah kita gunakan Ramadhan 2015 ini sebagai lokasi mengumpul dana
Bagi memastikan ketika kita naik KERETA JENAZAH itu nanti kita dalam keadaan yang bersedia
Dalam menuju tempat abadi, bekalannya harus mencukupi.
Usah risau mengenai minyak dan petrol untuk di isi
Kerana ketika itu sudah ada yang membayarnya
Beruntunglah naik kereta idaman secara percuma!

Ihya Ramadhan - Iftar di Masjid


Assalamualaikum wbt. Ramadhan mula memasuki hari kedua untuk edisi 2013 ini dan rasanya masih belum terlewat untuk saya ucapkan kepada pembaca semua Ramadhan Kareem dan Selamat menjalani ibadah Puasa.

Tahun lalu, saya dan keluarga berjaya belajar mendisplinkan diri kami dengan 1/3 Ramadhan kami gunakan untuk mendekati Masjid , secara spesifiknya Masjid Sultan Zainal Abidin (Masjid Besi) Putrajaya di mana kami cuba hadir awal untuk bertahlil, Iftar, Maghrib dan Isya' dan seterusnya solat sunat Tarawikh dan Witir. Benar, tiada apa yang ingin dibanggakan di sini cuma sekadar ingin berkongsi pengalaman dan usaha kami memperbaiki diri dengan harapan ada dikalangan pembaca yang mungkin mendapat inspirasi dari tulisan ini. Untuk makluman, jarak rumah kami dan Masjid Besi bukanlah dekat sangat di mana saya tinggal di Kajang. Namun, bagai digerakkan hati ini untuk mendekati rumah Allah membuatkan jarak bukan lagi isunya. Kesan dari usaha kecil kami tahun lalu, membolehkan setiap hari Khamis, kami akan ke sana untuk berjemaah dan bacaan Yaasin sekiranya saya tidak berada diluar kawasan.

Maka tahun ini kami sekeluarga berazam untuk memperbaiki lagi usaha kami tahun lalu dengan cuba menghadirkan diri ke Masjid sepanjang Ramadhan ini. Moga Allah memudahkan urusan kami.

Tujuan saya menulis artikel ini adalah sebagai cuba menjawab beberapa pertanyaan mengenai apa yang saya dan kebanyakan orang lain lakukan iaitu, apa rasanya berbuka atau Iftar di Masjid ketika Ramadhan? Jawapan yang bakal saya tuliskan ini bukanlah dari mana - mana guru agama tetapi semata - mata dari pemerhatian insan kerdil seperti saya sahaja.

Pada pengamatan saya, Iftar di Masjid khususnya di bulan Ramadhan ini memiliki terlalu banyak kelebihan yang mana satu ketika dulu, saya juga tidak ambil pusing. Barangkali kerana kematangan fikiran bertambah dan Allah memberi ruang fikir yang baik, maka saya semakin jelas mengenai kelebihan - kelebihan ini.

Pertama, sebagaimana yang kita tahu bahawa Ramadhan ialah bulan pendidikan. Maka salah satu kelebihan besar yang saya perolehi ketika Ramadhan ini ialah DISIPLIN DIRI. Oleh kerana jarak rumah yang agak jauh dari Masjid, kami sekeluarga perlu bersiap awal dan hadir awal ke Masjid. Ini bermaksud persediaan pakaian, perjalanan dan tugasan berlaku lebih teratur.


Kedua, Iftar di Masjid mendidik kami sekeluarga dengan rasa SYUKUR dan MERENDAH DIRI. Walau sehebat atau kaya bagaimana sekalipun seseorang itu, di Masjid makanan yang terhidang adalah sama untuk semua orang. Sedap atau tidak bukan lagi isunya. Kita redha sahaja dengan rezeki yang diberikan Allah pada hari itu. Banyak atau sikit bukan lagi perkara pokok. Malah beberapa biji kurma dan air segelas sudah pun memadai untuk bingkas bangkit menunaikan Solat Maghrib. Usai Maghrib, kita berbaris beramai - ramai mendapatkan makanan yang lebih berat untuk mengalas perut. Ia mendidik rasa SABAR dan MENYERAH DIRI kepada Allah kerana kita juga tidak tahu masihkah ada makanan untuk kita walaupun kita berbaris panjang.

Ketiga, Iftar di Masjid juga mendidik kita untuk lebih menjadi SENSITIF dengan sekeliling. Ada yang membawa juadah sendiri dari rumah atau dari belian di Bazaar Ramadhan. Ketika duduk beramai - ramai untuk Iftar, ada yang mengeluarkan juadah yang agak mahal atau lebih lazat dari orang lain yang akibatnya mereka sendiri jadi serba salah untuk makan kerana orang disekeliling hanya menjamah makanan biasa sahaja. Ini lebih jelas bila makanan yang dibawa dalam kuantiti sedikit dan sukar untuk dikongsikan dengan orang lain. Kesannya ialah esok orang sebegini akan mula menjamah apa yang ada saja sama seperti orang lain.

Keempat ialah mengenai MENYEGERAKAN SOLAT. Sejak kecil, berbuka dirumah pastinya menyeronokkan dengan juadah yang terhidang. Air pelbagai rasa yang sejuk dan sedap pastinya mengundang beberapa gelas ke mulut dan selalunya akan membuatkan perut penuh dan mula timbul rasa kurang selesa. Maka sedikit masa di ambil untuk meredakan keadaan sebelum boleh bingkas bangun untuk solat. Itu belum lagi mengambil kira jumlah makanan yang masuk ke perut. Tersandar kekenyangan selalunya membuatkan kita tidak terus bangun bersolat. 

Kelima ialah TIMBUL KEINGINAN BERIBADAT DENGAN LEBIH - Mereka yang pernah hadir ke program kendalian saya biasanya tahu mengenai MODEL KULIT BAWANG. Tingkahlaku kita di Masjid lebih mudah dipengaruhi oleh persekitaran. Apabila orang lain bangkit menunaikan solat sunat, kita juga biasanya tergerak untuk bangkit sama meskipun bukan kebiasaan kita. Ini selalunya timbul atas rasa malu - apabila orang lain buat maka kita juga buat atau atas rasa mengisi kekosongan diantara Azan dan Iqamah.
Berbanding dirumah, godaan lebih banyak kerana ada pelbagai perkara menarik perhatian kita, mengemas dapur, mencuci pinggan mangkuk, membuang sampah, menonton televisyen dan macam - macam lagi.

Ini adalah sebahagian saja dari kebaikan yang saya lihat dan banyak lagi yang saya rasa pembaca juga dapat perhatikan. Sila kongsikan pandangan anda mengenai hal ini di ruangan komen. Semoga Ramadhan kali ini dapat kita penuhi dengan amalan baik dan meningkatkan mutu ibadat kita serta dapat diteruskan di bulan - bulan akan datang Insya Allah.