Total Pageviews

Membentuk azam tahun baru yang berkesan dari perspektif psikologi sosial

1 Januari datang lagi! Kebanyakan stesen TV dan Radio pastinya akan membawa tajuk azam baru sebagai pengisian bahan bicara untuk hari ini. Walaupun topik 'Azam Tahun Baru' ini agak klise, namun ia adalah satu perkara penting. 



Kenapa ia penting? Kerana hidup tanpa keazaman umpama memiliki kunci kereta tanpa tahu ke mana hendak dituju, akhirnya masa berlalu sia - sia. 


Kenapa pula perlu ada azam baru di tahun baru?


Sebenarnya bukan tarikh atau tahun baru yang menjadi isu besar. Kita hanya memerlukan tarikh atau tahun baru itu sebagai titik tolak saja. Sebagaimana kehidupan biasa, manusia memerlukan kesedaran di titik mana dia berada sebelum bergerak ke titik seterusnya.


Proses penetapan azam tahun baru bukanlah sekadar menyusun impian, kehendak atau cita - cita sahaja, tetapi merupakan sebuah perjalanan menuju pertumbuhan dan kejayaan peribadi. 


Berikut adalah langkah-langkah berkesan menurut perspektif psikologi sosial:

  • Muhasabah diri - Merenung apa yang berlaku tahun lalu:
    • Menilai pencapaian dan pengalaman dalam tahun sebelumnya sama ada baik atau buruk. setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya!
    • Mengenali kekuatan dan kelemahan untuk membentuk asas penetapan azam. Ini penting kerana kita perlu berpijak di bumi yang nyata.
  • Matlamat yang jelas dan realistik:
    • Menetapkan matlamat spesifik, boleh diukur, dan realistik. Ia amat perlu kerana anda hanya punyai 366 hari saja untuk 2024!
    • Hindari matlamat yang terlalu umum atau tidak dapat diukur dengan jelas kerana ia hanya akan bersifat angan - angan sementara dan anda kurang bersemangat menuju kearahnya.
  • Senarai keinginan dan impian:
    • Tuliskan senarai keinginan atau impian untuk memberi gambaran menyeluruh tentang aspirasi diri pada 2024. Bayangkan apa yang anda harapkan berlaku pada diri anda dipenghujung 2024 dan undurkan garis masanya untuk anda lihat bagaimana ia bakal berlaku, apa yang melengkapkan pencapaian itu dan apa perkara yang perlu ada sebelum tiba detik itu.
  • Bina azam anda dengan ungkapan positif:
    • Menyatakan azam dalam bentuk positif dan membina, seperti "Saya akan meningkatkan tahap kesihatan saya" berbanding "Saya tidak akan makan makanan tidak sihat."
  • Perancangan strategi pelaksanaan:
    • Membuat perancangan langkah demi langkah untuk mencapai azam. Ini akan membina imej mental yang lebih jelas dan mendorong 'Reticular Activating System' anda.
    • Menentukan tindakan yang perlu diambil setiap tempoh masa yang jelas seperti mingguan, bulanan atau sukuan.
  • Sokongan sosial:
    • Berkongsi azam dengan keluarga, rakan sekerja, atau rakan-rakan untuk mendapatkan sokongan dan kepercayaan. Ini juga penting kerana manusia akan lebih terdorong apabila menerima sokongan positif dari orang sekeliling.
  • Penilaian berkala:
    • Menilai kemajuan secara berkala dan membuat penyesuaian jika perlu. Mungkin saja ada elemen yang perlu berubah dalam usaha anda mencapai azam yang ditetapkan.
    • Merayakan kejayaan kecil sepanjang perjalanan. Media sosial adalah antara tempat yang bagus untuk anda kongsikan kejayaan kecil, tetapi setiap hantaran (posting) berkaitannya perlu diolah dengan baik agar tidak menyebabkan orang lain merasakan ia tidak relevan.

Dengan pendekatan ini, penetapan azam bukan sekadar matlamat, tetapi proses berterusan untuk pertumbuhan dan kejayaan peribadi yang mantap. Selamat menyambut tahun baru 2024 buat sahabat semua! Semoga tahun ini memberikan perkembangan hebat penuh transformasi buat anda!