Total Pageviews

Showing posts with label Government / Current Issues. Show all posts
Showing posts with label Government / Current Issues. Show all posts

Apa akan berlaku semasa kemelesetan ekonomi 2015?

Saya pernah menjalankan perniagaan sewaan sistem bunyi di kala ekonomi merudum

Ekonomi meleset sedang menanti gerbang 2015.
Apa akan berlaku? Adakah semua orang akan menerima kesannya?
Ya.. Memang semua terkesan.
Tapi bukan semuanya buruk.
Apabila ekonomi meleset, perbelanjaan isi rumah akan paling terkesan.
Nilai belian akan merudum kerana masing - masing mengikat perut menjerut kocek.
Maka apa kesan kepada industri?
Pemain industri akan segera mencari jalan keluar.
Sama ada langkah jangka pendek atau panjang, mereka perlu lakukan sesuatu.
1. Langkah penjimatan kos operasi : Ini adalah yang paling popular untuk dilakukan dengan cara mengurangkan kos perbelanjaan keraian, kos sampingan dan yang paling berkemungkinan ialah pemberhentian pekerja. Ini adalah kerana gaji dan apa saja yang bersangkut paut dengan sumber manusia biasanya akan memerlukan lebih 50% dari kos keseluruhan operasi.
2. Industri akan mula mencari jalan mempengaruhi pembeli dengan bentuk bungkusan baru, rupa produk yang baru, jualan murah penghabisan stok dan mungkin pengenalan produk baru yang lebih menarik minat pembeli yang sedang sangat berkira - kira untum berbelanja.
3. Perubahan kepada penggunaan bahan mentah oleh industri akan berlaku. Industri perlu bertindak kreatif dalam menghasilkan produk kerana pilihan bahan mentah yang lebih murah akan dapat mengurangkan kos mereka dengan drastik. Ini selanjutnya akan mewujudkan iklim inovasi industri yang lebih baik.
4. Kewujudan ramai freelancer; oleh kerana ramai yang sedang akan mengambil pelbagai skim pemberhentian secara sukarela dengan pampasan maka ia akan membuatkan pasaran freelance membesar. Ramai yang dengan kepakaran khusus akan menawarkan tenaga mereka dengan harga yang kompetetif. Industri juga akan lebih berminat dengan freelancer kerana mereka lebih mudah mengawal kos.
5. Aktiviti pemasaran akan meningkat. Dengan keadaan pembeli yang lebih memilih, industri perlu berusaha lebih untuk mempengaruhi pembeli. Ini akan membuatkan lebih banyak kempen akan muncul dan kreativiti dalam berkempen akan makin terserlah. Tambahan pula dengan adanya media sosial, ia akan semakin rancak. Ini juga waktu yang sesuai untuk melobi penajaan!
Oleh yang demikian, bersedialah mengalami suasana ini. Rancang kerjaya dan perbelajaan anda dengan baik. Lihatlah kemungkinan - kemungkinan yang ada. Sudah tiba masanya untuk kita memaksimumkan kebolehan yang sedia ada. Ekonomi pasti ada naik dan turun sebagaimana kita hidup dalam kitaran bahagia dan ujian dariNya. Maka kekalkan daya positif anda.
Seperti yang selalu saya katakan;
KESEMPITAN ADALAH ASAS KEPADA KREATIVITI

Sebelum Berhenti Kerja dan Memulakan Perniagaan

2013 menyaksikan saya ditemukan dengan agak ramai teman - teman seusia yang sudah mula ingin berubah angin - dari makan gaji kepada menceburkan diri ke alam perniagaan. Malah, mereka ini bukan calang - calang orang ketika di organisasi mereka bekerja. Ada yang pegawai kerajaan tinggi, ada yang eksekutif kanan, ada yang pengurus cawangan dan tidak kurang juga pensyarah dan guru. Saya merasakan mereka dan saya diketemukan atas kehendak Allah SWT supaya saling mendapat  manfaat, meskipun bukan semuanya berkesudahan terus melompat berniaga, ada juga yang semakin bingung selepas bertemu dan bersembang mengenai hal berniaga dengan saya.


Ya...saya bukan jutawan, saya juga belum sangat berjaya dalam berniaga. Namun saya sudah mampu berdiri sendiri selama 12 tahun.. dan ia tidak mudah. Banyak yang saya sudah tempuh, banyak juga kena tipu. Banyak kali naik dan turun, banyak kali kecewa dan murung. Banyak kali buka syarikat dan banyak kali juga saya tutup syarikat. Tapi..saya ada sebab sendiri kenapa saya Istiqamah dalam hal berniaga ini. 

Apabila berada diusia seperti saya kini, banyak perkara akan mula mencabar diri dan ego terutama lelaki. Di usia menghampiri 40 tahun, anda akan mula memerhati sekeliling dan membuat perbandingan secara tidak sengaja. Anda mula melihat pelbagai perkara yang dimiliki oleh orang lain dan berbanding dengan apa yang anda miliki. Bilangan isteri, anak, jenis kenderaan yang dipandu atau tunggang, jenis rumah yang dimiliki, bilangan hartanah, lokasi percutian, aktiviti waktu senggang dan 1001 macam lagi benda yang mula membuatkan anda rasa resah dan mula memikirkan langkah yang ada bagi mencapai perkara yang orang lain mampu nikmati. 


Saya juga tidak terlepas dari itu. Teringin memiliki motorsikal kuasa besar, rumah selesa, kereta mewah dan lebih perit bila rakan - rakan pula dengan selesa dan mudah sahaja memiliki itu semua. Wasatiyah adalah jalan bagi menangkis semua ini. Namun sebagai insan lemah, saya juga kadang - kadang cemburu. Ada juga yang inginkan kebebasan pada usia sebegini. Tidak lagi mahu berada dalam hierarki kerja. Tidak lagi mahu sekadar menerima arahan meskipun gajinya lumayan. Ada juga yang mula rasakan ingin mencuba nasib dengan segala pengalaman yang ada..ini adalah sebahagian dari alasan mereka apabila saya tanyakan kenapa mereka ingin berhenti bekerja dan mula berniaga.

Atas apa yang telah berlaku, saya kongsikan beberapa persoalan yang WAJIB ditanyakan kepada diri sendiri sebelum anda membuat keputusan berhenti kerja dan mula berniaga. 


1. KENAPA ANDA INGIN MEMULAKAN PERNIAGAAN?
Ini adalah soalah cepu emas pertama yang perlu dijawab oleh sesiapa sahaja yang berhajat berhenti kerja dan mula berniaga.  Soalan ini sangat kritikal kerana terkadang, apabila 3 bulan pertama berlalu, anda mula kecewa kerana hasil kurang memuaskan atau rasa menyesal berhenti kerja..
Tanyakan diri anda, apa yang sebenarnya ingin anda capai dengan berniaga? Ingin jadi kaya raya? Ingin mengumpul wang berjuta - juta? Ingin lakukan kerana kepuasan diri? Atau ingin berniaga kerana apa yang bakal anda lakukan adalah satu bentuk langkah HEROIK yang mana sekiranya anda jalankan perniagaan itu ia mampu menyelesaikan salah satu masalah umat?
Ada yang pernah bertemu dengan saya meminta khidmat perundingan dengan kertas kerja / kertas konsep yang tebal dan rumit. Namun, setelah saya tanyakan soalan - soalan asas di atas, mereka berlalu pergi dengan langkah longlai..bukan kerana saya meremehkan kertas kerja mereka atau idea bombastik itu, tetapi mereka sendiri akhirnya gagal mengenalpasti kenapa mereka ingin berniaga dengan ideanya itu.
Kenapa persoalan ini berat, kerana anda sebenarnya ada 3 pilihan untuk menjana wang berjuta sekiranya itu adalah matlamat anda.
a. Perniagaan - Ini tidak semestinya berlaku dengan anda membuka syarikat sendiri. Bekerja makan gaji juga adalah satu bentuk perniagaan - anda memperdagangkan tenaga dan masa untuk dibayar gaji. Orang berniaga sendiri juga melakukan perkara yang sama bukan?
b. Kertas - Sebarang bentuk perniagaan yang menggunakan kertas sebagai medium, contohnya Wasiat, Bon, Saham Amanah, Insurans dan sebagainya. Anda tidak perlukan modal besar untuk ini dan saya kenal ramai yang sudah pun berjaya dengan kaedah ini.
c. Hartanah (Real - Estates) - Jual beli atau sewaan hartanah mampu memberikann pulangan lumayan. Malah stok emas dan perak juga sudah boleh dianggap termasuk dalam kategori ini.
Maka dengan 3 pilihan di atas, yang mana satu sesuai dengan diri anda?

2. Rakan Niaga / Kongsi
Siapa yang sepatutnya anda ajak / jemput / undang / pelawa untuk menjadi rakan kongsi? Geng tempat kerja? Rakan se Universiti? Kawan sekolah lama? Jiran? Adik beradik?
Apakah sumbangan dan peranan mereka? Adakah mereka juga akan berhenti kerja dan sama - sama turun padang atau mereka hanya menyuntik modal? Saya selalu ketawa sendiri bila saya tanyakan soalan "Apa peranan kamu dalam perniagaan ini?" dan jawapan mereka ialah "Saya bahagian Management"..dan saya akan terburai ketawa kerana saya tahu yang dia pun tak tahu apa yang dia cakap.
Jangan mempelawa terlalu ramai orang untuk memulakan perniagaan anda. Ia bakal memeningkan kepala, dan menyebabkan anda menternak ular sawa yang tak menyumbang apa - apa dan menyusahkan saja. Paling ramai pun 3 orang sudah memadai. Lagipun anda baru bermula kan? Kenapa perlu ramai macam kenduri?

Ada beberapa persoalan lain untuk dicernakan..nantikan sambungan coretan ini. Moga bermanfaat untuk semua...Bi Iznillah

Artikel Sempena PRU-13 : Menggerakkan Pengundi

Mobilization of Voters, satu istilah besar yang saya pelajari ketika menuntut di UIAM dahulu. Ketika hangat Reformasi dilaung sana sini, saya menuntut ilmu Sains Politik dengan En. Fuzi Omar, sudah bergelar Doktor barangkali pensyarah saya ini.


Maksud mudah kepada istilah Mobilization of Voters ini ialah menggerakkan pengundi. Apa maksud menggerakkan? Goyang - goyang? Bangun - duduk? Tidur - baring? Menggerakkan di sini bermaksud memberi kesedaran, mengajak, mengheret, memaksa, memberi pencerahan atau apa saja yang boleh membuatkan seseorang yang layak mengundi pergi ke pusat mengundi dan menjalankan tanggungjawabnya.
Dan pastinya mempengaruhi untuk mengundi parti mereka adalah matlamat terbesar mereka.

Atas sebab ini, peratusan keluar mengundi akan mencerminkan mandat sebenar! Maka adakah mantan PM ke 6 mendapat mandat sebagai PM? Jawapannya tidak sebab beliau mengalaminya melalui peralihan kuasa. Oleh yang demikian PRU 13 ini sangat penting untuk membuktikan beliau selayaknya menjadi PM dan bukan atas peralihan kuasa semata - mata.

Usaha menggerakkan pengundi ini memerlukan satu usaha besar. Penyokong tegar parti pastinya tidak sukar untuk digerakkan. Rakyat yang lebih suka berdiam diri, bersifat atas pagar, tidak ambil peduli atau tidak mahu mengundi atas pelbagai sebab tersendiri ini memerlukan gerakan dari parti untuk menyedarkan mereka keluar mengundi.

Disebut berkali - kali, diulang iklan di sana sini mengenai kepentingan mengundi malah tidak kurang juga lagu - lagu nyanyian artis tempatan yang mengajak rakyat mengundi diulang beratus kali agar rakyat tergerak untuk mengundi. Persoalannya..berjayakah kaedah sedemikian? Apakah yang perlu dilakukan dan apakah yang sudah pun dilakukan?

Di sini, parti politik memerlukan kebijaksanaan dalam mempengaruhi masyarakat massa. Segala ilmu psikologi, sosiologi, antropologi dan sains politik perlu dipraktik. Behaviorisme pada hemat saya lebih mudah di aplikasikan pada PRU 13 ini. Kenapa?

Pertamanya kerana ledakan era digital membolehkan masyarakat massa mendapatkan maklumat dari pelbagai sumber. Sama ada yang pro BN atau pro PR, maklumat ini sering kali membingungkan mereka yang berada jauh dari lingkaran parti. Maka perkara termudah untuk meyakinkan apa yang di dengar, di baca atau di tonton ialah dengan menyaksikan sendiri tingkahlaku seseorang itu. Oleh yang demikian sekiranya ada pihak mengeluarkan video lucah insan tertentu maka sukar masyarakat menghadamnya kerana ia bertentangan dengan pemahaman mereka mengenai tindak tanduk seseorang itu.

Kepada pembaca yang pernah mengikuti kursus atau program saya, sila ingat semula Model Kulit Bawang yang saya pernah kongsikan untuk memahami perkara di atas.

Pendekatan Pakatan Rakyat dilihat mudah mempengaruhi masyarakat kerana mereka memberikan tumpuan kepada isu semasa, keperluan dan kehendak rakyat. Isu seperti kadar inflasi, Urustadbir Baik (Good Governance), penurunan harga minyak, tol dan pemberian percuma pelajaran dan pelbagai lagi dalam manifesto lebih dekat dihati. Ini dapat difahami mudah apabila manifesto yang sekian lama dicanang oleh Pakatan Rakyat ini di ciplak oleh Barisan Nasional. Kenapa perlu ciplak?

Kerana BN tiada perkara baru yang sesuai untuk ditawarkan pada ketika ini selain isu semasa yang dibawakan. Malah kegagalan menghasilkan sesuatu yang setara hanya akan membogelkan segala salah urustadbir yang bukan rahsia lagi.

Sebab itu, pada hemat saya, pendekatan BN untuk menggerakkan pengundi dengan mencanang segala keburukan peribadi individu dalam PR hanya memakan diri dan memualkan kerana ia bukan cerminan apa yang boleh dilakukan oleh BN. BN perlu lebih agresif dalam menampilkan akhlak baik, merendah diri dan membuang protokol yang tidak perlu. BN harus ingat bahawa kelajuan internet yang lembab juga antara benda yang dibenci oleh rakyat. Ini bukan kerana teknologi internet laju masih belum wujud..tetapi terjadi kerana dasar monopoli yang dijalankan oleh pemerintahan BN sejak dulu.

Kedua, manusia belajar secara efektif dengan cara meniru. Pengundi muda yang berpelajaran melihat tingkahlaku pemimpin BN mahupun ahli atau ahli keluarganya tidak selari dengan apa yang dilaungkan. Memperjuangkan ISLAM katanya, tetapi secara konsisten menolak HUDUD. Menjulang ISLAM katanya tapi anak - anak pembesar mabuk dan hidup dalam kemungkaran. Mendokong ISLAM katanya namun isteri - isteri pemimpin ramai yang jambul tersembul.

Oleh yang demikian, mobilisasi pengundi kepada kumpulan sasar sebegini biasanya mudah dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Dan janganlupa, mereka adalah jumlah yang besar dan pengaruh mereka hebat kerana generasi Y ini sangat mahir menyebarkan maklumat.

Itu adalah sebahagian dari pemahaman yang perlu kita ada dalam menggerakkan pengundi. Insyallah saya akan cuba berkongsi lagi pandangan terhadap perkara ini. Wallahu A'lam.


Memperjuangkan agenda nasional melalui sukan

Sejak kewujudan Bolarotan.com, tumpuan peminat sukan ini mula semakin meningkat di mana laman kecil saya ini dijadikan rujukan dalam pelbagai perkara melibatkan sukan sepaktakraw. Dari jenis kasut yang sesuai sehinggalah kepada program pembangunan latihan. 

Logo Bolarotan.com yang kedua sejak dimulakan hampir dua tahun lalu

Semenjak saya bertindak melalui Gabungan Penggiat Sepaktakraw Malaysia bersama teman - teman di Masyarakat Bolarotan di Facebook, ramai yang mula semakin berani mengkritik Persatuan Sepaktakraw Malaysia secara terbuka. Malahan Utusan Malaysia melalui Abdul Hafiz Ahmad yang satu ketika menjadi satu - satunya wartawan yang menulis mengenai sepaktakraw secara konsisten kini turut dimeriahkan lagi dengan tulisan di Berita Harian dan Harian Metro. Hampir setiap hari sejak 2 minggu ini tulisan mengenai PSM dapat dibaca di ketiga - tiga surat khabar itu.

Dalam masa yang sama, ada pihak - pihak yang mula mempersoalkan siapa Mohsen Amdan ini? Kenapa dia begitu berani tampil mempersoal tindak tanduk PSM walhal Mohsen Amdan ini bukanlah ahli berdaftar PSM. Apatah lagi bukan bekas pemain negara atau jurulatih. Ada pihak yang mulal menyiasat latar belakang saya hingga ke Bukit Aman bagi memastikan siapa dibelakang saya. Adakah politikus yang ingin menjatuhkan Dato Ahmad Ismail atau bekas pemain negara yang ingin membuatkan barisan kepimpinan PSM terduduk cuba menggunakan saya?

Saya tidak dibiayai, ditaja atau menjadi proksi kepada sesiapa! Percayalah!

Saya juga tiada niat untuk menjatuhkan PSM mahupun mana - mana politikus. Ini kerana saya bukan pun ahli PSM yang boleh menyandang jawatan dalam PSM ataupun berminat menyertai mana - mana parti politik untuk bersaing dalam PRU akan datang.

Apa yang saya lakukan ini tidak lain dari gerak kerja seorang rakyat yang merasakan sesuatu harus dilakukan untuk membangunkan sukan negara. Saya benci melihat wang negara dibazirkan melalui pengurusan yang lemah. Selain isu sepaktakraw saya juga sangat benci dan marah isu lembu yang melibatkan Shahrizat Abdul Jalil!. Ketika rakyat disuruh belajar membuat kertas kerja dan mencari cagaran untuk menjalankan perniagaan, mereka yang duduk di kayangan kuasa sesuka hati merembat duit memperkayakan keluarga dan kroni. 
Terimalah laknat saya ini - CELAKALAH KAMU YANG HIDUP MEWAH ATAS KESUSAHAN ORANG LAIN!

Berbalik kepada isu PSM dan sepaktakraw negara, apa yang saya harapkan ialah langkah berani Presiden PSM melakukan rombakan jawatan kuasa. Sekiranya beliau masih ingin ditampuk kuasa, silakanlah, tapi silalah gugurkan Setiausaha, Penolong Setiausaha dan beberapa lagi yang lain. Lantiklah orang baru bagi membantu PSM. Saya percaya ramai ahli PSM berdaftar inginkan perubahan.

Kenapa saya perlu tegaskan perkara ini? Kerana saya bimbang sukan warisan ini akan terkubur. Saya khuatir penaja hilang minat. Saya risau kalau tarian Shuffle dan futsal lebih popular. Dan senarai kebimbangan ini sebenarnya cukup banyak untuk saya tuliskan.

Pengajaran yang boleh kita ambil di sini ialah - Melalui kemodenan yang kita kecapi ini sebenarnya membolehkan kita menyumbang kepada negara dengan lebih baik. Saya telah buktikan kepada kalian bahawa laman kecil sudah boleh menggoncangkan persatuan yang sudah lama bertapak. Saya tunjukkan kepada anda bahawa sesuatu yang kecil bisa menjadi besar sekiranya Istiqamah, kesungguhan dan matlamat yang jelas berpadu. Ini baru satu dari beribu - ribu isu di negara ini yang menjerat tengkuk rakyat. Saya sudah mengambil satu bahagian kecil perjuangan ini, anda bagaimana?

Augmented Reality: Real Life with Toppings

Salam
Saya pernah menyaksikan video di Metacafe satu ketika dulu mengenai teknologi yang digunapakai oleh CISCO sebagai penyelesaian (solution) kepada perniagaan pakaian di mana dengan sistem touch screen - pelanggan tidak perlu lagi menukar dan membawa helaian baju untuk dicuba di fitting room. Dengan hanya menyentuh skrin, anda boleh memilih warna dan corak baju yang bersesuaian dengan anda dan imej anda bersama pilihan anda dipaparkan pada skrin

Terkini dari The Media Psychology Blog, satu entri mengenai teknologi ini dipaparkan dan barulah saya tahu istilah yan diguna pakai bagi teknologi seperti ini ialah Augmented Reality. Teknologi Virtual Reality yang telah pun diguna pakai di merata tempat masih sangat asing di negara kita. Nampaknya kita akan terus ketinggalan andai pemain industri di negara ini tidak berusaha melakukan sesuatu berkaitan perkara ini.

Anda boleh membaca lanjut mengenainya di sini

1/3 dari Askar Wanita US Dirogol Semasa Berkhidmat

Salam
Dipetik dari http://newsjunkiepost.com/2010/01/26/13rd-of-women-in-us-military-raped/


According to NPR, “In 2003, a survey of female veterans found that 30 percent said they were raped in the military. A 2004 study of veterans who were seeking help for post-traumatic stress disorder found that 71 percent of the women said they were sexually assaulted or raped while serving. And a 1995 study of female veterans of the Gulf and earlier wars, found that 90 percent had been sexually harassed.”


Baca selanjutnya..sememangya mengejutkan

Dasar Keluarga Negara




Salam.
Saya telah diundang oleh LPPKN untuk menyertai forum mengenai Draf Dasar Keluarga Negara yang bertempat di Dewan besar LPPKN. Pada awalnya saya diundang atas tiket Persatuan Belia Gemilang Bukit Bintang, tetapi saya juga dalam masa yang sama diundang atas tiket MAPIM. Untuk pengetahuan semua, setakat ini negara kita masih belum mempunyai Dasar Keluarga dan ini merupakan usaha kesekian kali untuk mengadakan DKN ini kerana usaha sebelum ini menemui jalan buntu. Menurut Dr. Anjli, Timbalan Pengarah Dasar LPPKN. usaha sebelum ini terbantut kerana masalah - masalah yang sukar diluahkan (bersifat dalaman) kerana apabila draf disediakan, ianya akan ditolak atas pelbagai alasan. Namun, pujian harus diberikan kepada LPPKN yang terus memperjuangkan dasar ini.

Slide ini memang menarik minat saya

Setiba saya di sana, ramai yang telah pun sampai walaupun hujan lebat mula membasahi Kuala Lumpur. Diperhatikan dari senarai jemputan, pelbagai NGO dipanggil tetapi sesuatu yang menarik perhatian saya ialah, orang muda yang mewakili generasi X dan Y tidak ramai dan boleh saya katakan hampir 70 - 80 peratus terdirI dari Baby Boomers. Walhal dari surat jemputan, forum ini meletakkan fokus Draf DKN dari kacamata generasi X dan Y. hmm....

Wakil LPPKN memberi penerangan di kawasan pameran

LPPKN turut menyediakan pelbagai pameran berkaitan pembangunan keluarga dan saya juga berpeluang ketemu dengan bekas peserta kursus saya dan syukur mereka masih mesra dengan saya. Cuma mereka keliru kehadiran saya disitu adakah sebagai jemputan atau sebagai wartawan kerana saya sengaja berpakaian kasual

Dari kiri: Datuk Dr. Zaleha, Dr. Farah Nini, En. Benny

Menjelang jam 3 petang, sesi forum dimulakan dengan majlis perasmian dari Pengerusi LPPKN Dato' Dr. Alex Matthews yang berkongsi beberapa pengalaman beliau ketika berkhidmat diluar negara dan membandingkan dengan senario kekeluargaan di Malaysia hari ini. Usai ucapan beliau, forum dimulakan dengan pembentangan dari Dr. Anjli mengenai Draf DKN. Forum ini dipengerusikan oleh Prof Datuk Dr. Zaleha Kamarudin dari UIAM. Turut sama ialah Dr. Farah Nini Dusuki dari Universiti Malaya dan En. Benny Kong dari NGO yang menggelarkan diri mereka Focus On The Family.

Dato Alex Matthew

Sepanjang pembentangan ahli panel, saya menjadi agak keliru dengan tujuan forum ini sebenarnya. Adakah forum ini bertujuan membahaskan DKN atau seminar mengenai apa itu Generasi X dan Y dan apakah cabaran mereka? Ini kerana apabila selesai Dr. Anjli membentangkan draf DKN, Dr. Farah Nini menyambungnya dengan perkara berkaitan isu semasa bersangkutan dengan keluarga. Memburukkan keadaan lagi ialah, beliau memulakan ucapan dengan "Saya pun tak tahu kenapa saya dijemput ke forum ini" Berdasarkan pengalaman saya sebagai penceramah..ayat seperti ini merupakan ayat - ayat yang perlu dielakkan. Saya faham kenapa beliau secara spontan melafazkan ayat sebegini kerana sejujurnya pada pendapat saya, beliau tidak berkaitan secara langsung dengan forum ini kecuali beliau memberi pandangan sebagai generasi X itu sendiri.

Ruangan cadangan turut disediakan

Benny Kong berjaya mencuri tumpuan dengan penyampaiannya yang bersahaja. Namun, ia lebih memberi kefahaman apa itu generasi X sahaja. Masih tidak memenuhi keperluan forum ini. Apabila keadaaan sebegini berlaku, maka sesi soal jawab pastinya tidak memiliki titik fokus yang jelas.

Sebagaimana saya nyatakan sedari awal hanya segelintir jemputan terdiri dari generasi X dan Y, maka sesi soal jawab didominasi oleh Baby Boomers. Pelbagai perkara yang dilontarkan tidak menepati matlamat forum ini sebaliknya menjadi sesi meluah rasa dan menunjuk pandai. Saya juga mengambil peluang menanyakan tentang sejauh mana DKN ini nanti mampu mempengaruhi perlaksanaan agensi kerajaan yang lain contohnya 'sensorship' dalam kandungan media yang sangat berkesan mempengaruhi generasi X dan Y ini.

Antara Baby Boomers yang bertanyakan soalan

Kesimpulan yang boleh saya buat ialah, sememangnya proses pembuatan dasar dan polisi bukanlah satu perkara mudah; apatah lagi melaksanakannya. Ia memerlukan kesungguhan mereka yang berada disekelilingnya dan perlu mengambil kira pelbagai aspek terutamanya apa dasar itu akan memberi kesan kepada generasi akan datang

Mohsen Amdan berkata: Ada yang mencadangkan diadakan kursus Kedatukkan dan kenenekkan