Total Pageviews

Sukan sepanjang tahun bebankan sekolah, pelajar.


Usai Olimpik London 2012, negara menyambut kepulangan 2 pingat menerusi badminton dan terjun platform. Dengan skim pencen dan habuan yang diberikan oleh kerajaan kepada Dato Lee Chong Weindan Pandalela, seharusnya ia membuka mata ramai anak muda untuk menceburi dunia sukan sebagai kerjaya dan mata pencarian. Namun, anjakan paradigma  bahawa bidang sukan tidak mampu menjanjikan masa depan yang baik di Malaysia bukanlah  mudah

Pelbagai idea dilontar, wacana di kupas dan simposium serta seminar diadakan bagi memartabatkan sukan sebagai salah satu industri besar negara nampaknya masih menunjukkan jalan buntu. Kesedaran masyarakat mengenai hal ini masih amat rendah malah dilihat membebankan pula. Di bawah saya titipkan satu tulisan dari Utusan Malaysia mengenai pandangan konsep 1 Murid 1 Sukan yang dilihat lebih menyusahkan. Apa komen anda dalam hal ini?

GURU WARIS
Ke mana hala tuju pendidikan negara? Persoalan ini ada kaitan dengan kecelaruan sistem pendidikan yang sehingga kini masih dalam kajian khususnya yang melibatkan Dialog Pendidikan Nasional bagi mengumpul pandangan orang ramai bagi memantapkan sistem pendidikan negara.

Terpanggil dengan keadaan semasa yang berlaku di sekolah sekarang, sebagai guru dan waris saya ingin mengemukakan isu yang kini membelenggu pengurusan sekolah. Ia banyak berkaitan dengan dasar 1 Sukan 1 Murid dan Sukan Sepanjang Tahun khususnya di sekolah menengah seluruh negara.
Menyedari kepentingan sukan dan permainan yang menjadi minat dan kesukaan pelajar, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengorak langkah melaksanakan dasar tersebut. Ia amat baik dalam usaha penggabungan nilai JERI yang cuba diterapkan secara bersepadu dalam aktiviti ini.

Perlu diakui bukan semua murid yang berminat itu adalah murid berbakat dan berpotensi. Ada yang sekadar suka-suka dan langsung tidak serius kerana menyedari kelemahan dan ketidakmampuan mereka. Keadaan ini boleh diumpamakan dengan ungkapan, 'kita boleh membawa kuda ke pinggir air, tetapi kita tidak boleh memaksa kuda untuk minum air'.
Namun bagi merealisasikan dasar ini, sepanjang 2012 saya mendapati banyak program dan jadual sekolah terjejas. Dasar ini memberikan impak yang amat-amat mengganggu keseluruhan jadual dan perancangan pihak sekolah dan menjejaskan banyak perkara lain. Jika dahulu perancangan sukan dan aktiviti kokurikulum akan berlangsung dari awal tahun dan akan berakhir sekitar bulan April tetapi kini jadual sukan atau merentas desa adalah dari awal tahun hingga bulan Jun atau Julai.

Kesannya banyak perancangan lain tidak dapat disusun dengan teratur dan semakin menimbulkan kebosanan kerana jadual padat dan panjang bagi menghadapi acara berkenaan. Mengambil contoh beberapa kes di sekolah, terdapat pelajar yang sudah bosan menjalani latihan rumah sukan, latihan merentas desa yang berbulan-bulan. Ramai pelajar mula ponteng dan ada yang langsung tidak hadir semasa sukan tahunan. Mereka memberikan alasan tidak berminat menyertai sukan kerana masa yang panjang, panas, menjejaskan kulit dan sebagainya. Malah ada juga ibu bapa yang tidak menyokong kerana kos yang perlu dikeluarkan akibat tempoh panjang bagi sesi latihan rumah sukan.

Di kalangan pentadbir sekolah dan guru juga, ramai yang merungut dengan perubahan ini. Program ini menjejaskan fokus utama guru-guru tertentu. Sebagai contoh banyak sekolah melalui situasi sukar untuk memilih tarikh sukan tahunan dan acara merentas desa kerana kepadatan aktiviti sekitar bulan Mei, Jun dan Julai. Malah boleh dibuktikan bahawa terdapat sekolah yang mengajurkan aktiviti ini pada cuti peristiwa kerana kekangan masa. Faktor cuaca iaitu musim hujan juga turut menjejaskan aktiviti dan ini juga perlu diambil kira oleh KPM.

Apa yang dikesalkan ialah banyak acara peringkat daerah, negeri dan kebangsaan seperti pertandingan kawad kaki, perkhemahan, forum dan pertandingan lain berlangsung sekitar bulan Jun, Julai, dan selepas hari raya hingga September.