Total Pageviews

Showing posts with label Usahawan. Show all posts
Showing posts with label Usahawan. Show all posts

Sebelum Berhenti Kerja dan Memulakan Perniagaan

2013 menyaksikan saya ditemukan dengan agak ramai teman - teman seusia yang sudah mula ingin berubah angin - dari makan gaji kepada menceburkan diri ke alam perniagaan. Malah, mereka ini bukan calang - calang orang ketika di organisasi mereka bekerja. Ada yang pegawai kerajaan tinggi, ada yang eksekutif kanan, ada yang pengurus cawangan dan tidak kurang juga pensyarah dan guru. Saya merasakan mereka dan saya diketemukan atas kehendak Allah SWT supaya saling mendapat  manfaat, meskipun bukan semuanya berkesudahan terus melompat berniaga, ada juga yang semakin bingung selepas bertemu dan bersembang mengenai hal berniaga dengan saya.


Ya...saya bukan jutawan, saya juga belum sangat berjaya dalam berniaga. Namun saya sudah mampu berdiri sendiri selama 12 tahun.. dan ia tidak mudah. Banyak yang saya sudah tempuh, banyak juga kena tipu. Banyak kali naik dan turun, banyak kali kecewa dan murung. Banyak kali buka syarikat dan banyak kali juga saya tutup syarikat. Tapi..saya ada sebab sendiri kenapa saya Istiqamah dalam hal berniaga ini. 

Apabila berada diusia seperti saya kini, banyak perkara akan mula mencabar diri dan ego terutama lelaki. Di usia menghampiri 40 tahun, anda akan mula memerhati sekeliling dan membuat perbandingan secara tidak sengaja. Anda mula melihat pelbagai perkara yang dimiliki oleh orang lain dan berbanding dengan apa yang anda miliki. Bilangan isteri, anak, jenis kenderaan yang dipandu atau tunggang, jenis rumah yang dimiliki, bilangan hartanah, lokasi percutian, aktiviti waktu senggang dan 1001 macam lagi benda yang mula membuatkan anda rasa resah dan mula memikirkan langkah yang ada bagi mencapai perkara yang orang lain mampu nikmati. 


Saya juga tidak terlepas dari itu. Teringin memiliki motorsikal kuasa besar, rumah selesa, kereta mewah dan lebih perit bila rakan - rakan pula dengan selesa dan mudah sahaja memiliki itu semua. Wasatiyah adalah jalan bagi menangkis semua ini. Namun sebagai insan lemah, saya juga kadang - kadang cemburu. Ada juga yang inginkan kebebasan pada usia sebegini. Tidak lagi mahu berada dalam hierarki kerja. Tidak lagi mahu sekadar menerima arahan meskipun gajinya lumayan. Ada juga yang mula rasakan ingin mencuba nasib dengan segala pengalaman yang ada..ini adalah sebahagian dari alasan mereka apabila saya tanyakan kenapa mereka ingin berhenti bekerja dan mula berniaga.

Atas apa yang telah berlaku, saya kongsikan beberapa persoalan yang WAJIB ditanyakan kepada diri sendiri sebelum anda membuat keputusan berhenti kerja dan mula berniaga. 


1. KENAPA ANDA INGIN MEMULAKAN PERNIAGAAN?
Ini adalah soalah cepu emas pertama yang perlu dijawab oleh sesiapa sahaja yang berhajat berhenti kerja dan mula berniaga.  Soalan ini sangat kritikal kerana terkadang, apabila 3 bulan pertama berlalu, anda mula kecewa kerana hasil kurang memuaskan atau rasa menyesal berhenti kerja..
Tanyakan diri anda, apa yang sebenarnya ingin anda capai dengan berniaga? Ingin jadi kaya raya? Ingin mengumpul wang berjuta - juta? Ingin lakukan kerana kepuasan diri? Atau ingin berniaga kerana apa yang bakal anda lakukan adalah satu bentuk langkah HEROIK yang mana sekiranya anda jalankan perniagaan itu ia mampu menyelesaikan salah satu masalah umat?
Ada yang pernah bertemu dengan saya meminta khidmat perundingan dengan kertas kerja / kertas konsep yang tebal dan rumit. Namun, setelah saya tanyakan soalan - soalan asas di atas, mereka berlalu pergi dengan langkah longlai..bukan kerana saya meremehkan kertas kerja mereka atau idea bombastik itu, tetapi mereka sendiri akhirnya gagal mengenalpasti kenapa mereka ingin berniaga dengan ideanya itu.
Kenapa persoalan ini berat, kerana anda sebenarnya ada 3 pilihan untuk menjana wang berjuta sekiranya itu adalah matlamat anda.
a. Perniagaan - Ini tidak semestinya berlaku dengan anda membuka syarikat sendiri. Bekerja makan gaji juga adalah satu bentuk perniagaan - anda memperdagangkan tenaga dan masa untuk dibayar gaji. Orang berniaga sendiri juga melakukan perkara yang sama bukan?
b. Kertas - Sebarang bentuk perniagaan yang menggunakan kertas sebagai medium, contohnya Wasiat, Bon, Saham Amanah, Insurans dan sebagainya. Anda tidak perlukan modal besar untuk ini dan saya kenal ramai yang sudah pun berjaya dengan kaedah ini.
c. Hartanah (Real - Estates) - Jual beli atau sewaan hartanah mampu memberikann pulangan lumayan. Malah stok emas dan perak juga sudah boleh dianggap termasuk dalam kategori ini.
Maka dengan 3 pilihan di atas, yang mana satu sesuai dengan diri anda?

2. Rakan Niaga / Kongsi
Siapa yang sepatutnya anda ajak / jemput / undang / pelawa untuk menjadi rakan kongsi? Geng tempat kerja? Rakan se Universiti? Kawan sekolah lama? Jiran? Adik beradik?
Apakah sumbangan dan peranan mereka? Adakah mereka juga akan berhenti kerja dan sama - sama turun padang atau mereka hanya menyuntik modal? Saya selalu ketawa sendiri bila saya tanyakan soalan "Apa peranan kamu dalam perniagaan ini?" dan jawapan mereka ialah "Saya bahagian Management"..dan saya akan terburai ketawa kerana saya tahu yang dia pun tak tahu apa yang dia cakap.
Jangan mempelawa terlalu ramai orang untuk memulakan perniagaan anda. Ia bakal memeningkan kepala, dan menyebabkan anda menternak ular sawa yang tak menyumbang apa - apa dan menyusahkan saja. Paling ramai pun 3 orang sudah memadai. Lagipun anda baru bermula kan? Kenapa perlu ramai macam kenduri?

Ada beberapa persoalan lain untuk dicernakan..nantikan sambungan coretan ini. Moga bermanfaat untuk semua...Bi Iznillah

Kereta kawalan jauh - Remote Control kini berlumba dalam bangunan



Permainan kereta kawalan jauh (Remote Control / RC) kini juga mengalami proses evolusi sama seperti bolasepak. Apa yang saya maksudkan ialah bolasepak yang dulunya hanya dimainkan di padang lapang telah mula dimainkan di dewan tertutup dengan format Futsal. RC yang terkenal dimainkan dikawasan lapang juga kini mula dimainkan dilokasi baru - rumah kedai!


Kemas dan menarik


Bermula subur di lembah klang seperti Cheras, Kajang, Damansara dan beberapa tempat lain, kini di Kulim pula. Hafiz atau lebih dikenali sebagai Apit berusia26 tahun telah membuka gelanggangnya sendiri. Mendapat ilham dari gelanggang - gelanggang di Kuala Lumpur, anak muda ini nekad menyewa tingkat satu premis kedai di Kulim berhampiran TESCO Kulim. 


Apit menunjukkan kemahirannya kepada pelanggan

Toyota AE46 milik Apit

Unit - unit yang telah rosak menjadi perhiasan


Bermula dengan minat terhadap RC trak, bot dan helikopter, kini anak muda ini mula menjadi tarikan setempat. Dengan yuran serendah RM5 untuk sehari dan RM70 untuk sebulan, pelumba - pelumba RC bebas bermain selama mana yang mereka mahu di atas trek karpet yang mampu menguji kemampuan anda melakukan aksi Drift! Sekiranya ingin maklumat lanjut hubungi beliau di 014 240 4218 atau email ke apitbd85@gmail.com

Sejarah terus tercipta!

Secara sinikal, saya sering di sindir mengenai tulisan saya berkaitan sepaktakraw di Bolarotan.com. Kebanyakannya mempertikaikan apa lah yang boleh blog kecil saya tu sumbangkan. Siapalah yang nak baca sangat? Atau tulis macam - macam mengenai kelemahan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) ni mereka bukan ambil peduli pun!

Bersama Rizal Hashim Loose Cannon

Namun, saya keras kan hati. Fokus pada perjuangan serta mengenepikan agenda peribadi. Saya percaya dengan dunia media baru ini seperti Facebook dan blog, maklumat boleh disebar luas dengan lebih baik. Kini jumlah bacaan Bolarotan.com mencecah 80000 kali. Jumlah ini bermula setahun yang lalu. Tidak lah begitu membanggakan berbanding blog hiburan atau politik. Tetapi kesannya, saya diundang ke salah satu rancangan bual bicara mengenai sukan yang berpengaruh di tanah air - Kafe Sukan Astro Arena. 

Bersama blogger sukan yang lebih dahulu menempa nama - Rizal Hashim, saya juga di iringi oleh Abdul Hafiz Ahmad wartawan sukan Utusan yang sangat kasih pada sukan ini walaupun beliau sendiri tidak cekap bermain sepaktakraw.

Isu yang dibincangkan mengenai pencapaian skuad negara di Kejohanan ISTAF Piala Dunia baru - baru ini, butir bicara saya banyak bersandarkan luahan rasa dan pendapat peminat sukan ini di Facebook Masyarakat Bolarotan. Kenapa saya katakan sejarah terus tercipta, kerana akhirnya tulisan - tulisan di dinding Facebook dan blog kini boleh mendapat tempat di media berarus besar. Selama ini pandangan yang hanya berakhir di internet, kini tersiar di TV. 

Hampir 2 tahun berusaha, Allah semakin memudahkan laluan. Saya berharap semakin ramai orang yang sedar bahawa usaha - usaha kecil yang dilakukan secara Istiqamah, pasti akan menemui kejayaan.

Restoran Chim Chum

Saifudin Samsi - pengurus kepada Ziqzul Corporation merupakan salah seorang teman baik saya - walaupun kami saling kutuk mengutuk demi Barcelona dan Real Madrid tetapi kenalan saya yang seorang ini memiliki kehebatan luar biasa. 

Udin menyiapkan hidangan

Lulusan dari Jordan ini selain sibuk menguruskan Ziqzul Corporation yang semakin gah kini meneroka bidang baru iaitu membuka sebuah restoran. Kenapa saya katakan dia hebat kerana restorannya ini yang diberi nama Restoran Chim Chum agak lain dari biasa. 

Ditengah - tengah itu ialah lemak ayam - digunakan untuk mengekalkan api dan meminyakkan bahagian BBQ

Chim Chum menurutnya ialah konsep makanan BBQ dan Steamboat dalam satu periuk. Saya biasa makan steamboat tetapi tidak pernah pula BBQ di dapur yang sama. Menambah tarikan restoran milik Udin ini ialah api yang memanaskan periuk ini menggunakan arang sebagai bahan bakar. Maka sebagaimana yang kita tahu, arang dalam nyalaan untuk memasak memberikan bau yang sedap kepada makanan.


Menggunakan pendekatan buffet, RM19.90 bagi dewasa dan RM9.90 untuk kanak - kanak amatlah berbaloi. Selain steamboat dan BBQ, pelanggan juga boleh merasai bubur, nasi goreng, mee goreng, ais krim pelbagai rasa dan kordial sebagai penghilang dahaga.


Terletak di Seksyen 7 Shah Alam, restoran ini dibuka setiap hari dari jam 5 petang hingga 12 tengah malam. Kalau anda merancang datang dalam kumpulan, eloklah dibuat tempahan terlebih dahulu dengan menghubungi Saifuddin di talian 016 - 986 7258