Total Pageviews

Showing posts with label Isu semasa / politik. Show all posts
Showing posts with label Isu semasa / politik. Show all posts

Isu pendidikan, apa masalah yang lebih rumit?

Sudah beberapa ‘take’ saya buat untuk rakaman video saya mengenai isu pendidikan yang sedang hangat diperkatakan..
Tapi setiap kali rakaman, masuk minit ke 3 saya padamkan.. sebab saya rasa tak padu..

Saya rasa panjang sangat...
Dan saya tak rasa ramai yang nak menonton video pandangan saya mengenai isu ini melebihi 3 minit.

Pada hemat saya... perbalahan mengenai hal ini ialah banyak menjurus kepada sejauh mana seseorang itu terlibat dalam hal pendidikan ini.

Seorang guru, ada sisi tersendiri... ia berkaitan pula dengan pelajar yang bagaimana dia kendalikan.

Seorang ahli PIBG aktif pula ada sudut pandang berbeza... adalah ahli PIBG juga semua mahir dalam pelajaran dan pembelajaran? Itu juga perlu dirungkaikan.

Pembuat dasar dan pelaksana juga ada KPI, ada kerangka dan arahan yang perlu dipatuhi dan dilaksanakan. Mereka dibayar gaji dan berusaha kuat ke arah yang telah disusun oleh kepimpinan mereka.

Ibu bapa , kelompok ini yang paling tercabar. Bagi ibu bapa yang cakna, maka banyaklah input yang mereka miliki. Bagi ibubapa yang kurang ruang dan tak berapa ambil tahu maka biasanya akan ikut saja apa yang disarankan. Namun mudah saja kelompok ini tertekan jika mereka tidak punya banyak pilihan dan ia pula sering berkait dengan kemampuan ekonomi membiayai pendidikan anak - anak.

Apa yang membimbangkan ibu bapa sebenarnya?
Bagi saya - isu paling besar yang secara sedar atau tidak ibu bapa hadapi ialah KEBIMBANGAN.
Bimbang apa?
BIMBANG AKAN TERCICIR...

Mereka bimbang jika anak - anak mereka tercicir dari apa juga pelan yang dirangka.
Mereka bimbang anak mereka tercicir dari jalan - jalan kejayaan..
Mereka bimbang anak mereka tercicir dari kelompok terbaik.

Maka perebutan ke sekolah hebat - hebat menjadi amat dasyat!
Asrama bukan lagi mengenai kelompok yang kekurangan kemudahan untuk dibantu.. tapi tentang siapa kelompok terbaik dan siapa kenal siapa.

Sahabat...

Barangkali, masalah kita dalam pendidikan bukan lagi mengenai ‘streaming’ atau tidak...

Mungkin saja yang kita sedang hadapi ini ialah masalah memperbaiki persepsi...

Apakah masuk sekolah biasa itu satu bentuk kegagalan dan sekolah asrama penuh itu tiket - tiket kejayaan hidup?

Belajar di universiti menyebabkan seseorang lebih elit dari pelajar kolej komuniti?

Adakah tidak boleh membaca pada usia 7 tahun akan menyebabkan rakan sekelasnya juga terpalit dan mempelahankan pembelajaran di dalam kelas?

Benarkah dengan membezakan kelas menyebabkan bangsa semakin maju?

Lupakah kita, kapasiti otak manusia lebih besar digunakan untuk ketangkasan, bukannya untuk ruang memori.
Sedangkan tangkas membaca itu cumalah salah satu dari berpuluh jenis ketangkasan lain.

Emotional Quotient adalah lebih besar pengaruhnya berbanding Intelligent Quotient... adalah kita sedar tentang hal ini?

Pelajar - pelajar cemerlang universiti, di manakah mereka sekarang?
Siapa yang memacu ekonomi negara? Adakah kelompok ini?
Yang korup dipenjara, adakah mereka yang dulunya kelas paling belakang dalam darjahnya?

Dan macam - macam lagi....

Silakan berbeda pandangan terhadap tulisan saya ini.
Cumanya, bila anda berbeza pandangan.. mohon lakukan ini dulu sebelum menulis komen...

1. Tarik nafas dalam - dalam
2. Istigfar dengan nada perlahan
3. Baca tulisan saya ini secara perlahan - lahan, perenggan demi perenggan
4. Fahami dan renung sejenak apa yang saya tulis.
5. Berlapang dada dulu... kerana komen anda kemudiannya pasti mengundang pula komen yang lain.

*Foto yang saya titipkan ialah sebuah meriam berbentuk naga.
Kita belajar bahawa naga ialah sejenis mitos dan tiada siapa ‘benar - benar’ pernah bersemuka dengan naga.
Tetapi, kenapa bentuk naga tidak kira dalam apa juga bentuk penghasilan - lukisan atau objek adalah sama seperti yang digambarkan dan mudah saja kita tahu bahawa itu adalah naga...?
Sahabat semua; itu adalah satu contoh hasil PENDIDIKAN.

Ihya Ramadhan - Teladan dari sebuah bangunan yang kukuh.

Asas kepada bangunan yang kukuh bermula dari meraikan perbezaan bahannya.
Bangunan yang kukuh dibuat dari pelbagai bahan - bukan satu jenis sahaja serta alatan yang pelbagai.
Ada batu, simen, pasir, paku, besi dan sebagainya.
Atas memahami perbezaan ini, maka bangunan dapat didirikan dengan pelbagai peralatan yang berubah - ubah untuk tujuan yang masih sama sejak dahulu - iaitu memberikan perlindungan.



Dengan meraikan perbezaan, perkara besar dan hebat dilahirkan.
Analogi mudah, kita menjadi hebat hari ini kerana dilahirkan dari perbezaan : Ibu+Bapa, bukannya Bapa+Bapa atau Ibu+Ibu.

Maka dilihat dalam kemelut politik negara kita kini, masalah besarnya bukan kerana perbezaan - PAS v PAN , UMNO v PKR dan sebagainya, tetapi masalah besar terletak kepada kegagalan menjadi bijak dalam perbezaan.

Sering difahami oleh kelompok ini ialah bila berbeza bermaksud perlu menjadi lawan.
Walhal sepatutnya perbezaan boleh memberikan tenaga yang besar!

Apa jalannya?

Dalam meraikan perbezaan, memahami kedua - dua pihak akan memberikan satu dimensi yang lebih baik. Dengan memahami pihak yang satu lagi, kita akan mudah mencari titik persamaan yang wujud diantara perbezaan itu.

Contohnya:

Simen dan Batu bata - keduanya berbeza dari segi sifat, fungsi dan keutamaan.
Namun titik persamaan yang wujud ialah jika batu di susun dan diliputi simen, maka kedua - duanya boleh membentuk struktur yang lebih kukuh.
Tidak timbul siapa di luar siapa di dalam.

Namun, akan sentiasa ada orang yang jahat pemikirannya dan cuba meracuni pemikiran simen dan batu.

Maka dicucuk api kebencian dengan menyatakan kepada simen - "Jika kau diluar melindungi batu, maka kau yang akan teruk terkena hujan.. Kau akan rosak dulu!"
Kemudian si jahat akan mengatakan perihal sama pada di batu - "orang hanya nampak simen dan bukannya kau.. Rugilah kau berdiri kuat tapi simen yang terkenal!"

Biasa dengar cerita begini?

Maka, dalam mengharungi Pilihanraya Kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar di dalam kemuliaan Ramadhan ini, saya dengan rendah hati meminta sahabat dari mana - mana parti yang terlibat, renungi dan hayatilah prinsip bangunan.

Hidup ini bukan tentang berapa harta paling banyak yang boleh direbut.
Ke akhirat esok bukan tentang parti mana yang menang.
Tetapi sejauh mana amalan kita di muka bumi ini menjadi bekalan untuk kita.

Apalah ertinya menang pilihanraya jika caranya jijik dan hina.
Apa guna berkuasa jika tiada kebaikan di bawa kepada rakyat jelata.
Lebih malang lagi, 'kebaikan' yang sedikit diciptakan untuk melindungi kekotoran dan kejahatan yang lebih besar.

Wallahu A'lam.

Selamat menjalani ibadah puasa kepada semua. 

Cara Mengetahui Aib Sendiri dari Imam Al-Ghazali menerusi karyanya Ihya Ulumuddin

Dengan apa yang berlaku dalam perkembangan semasa, penggunaan media sosial kini juga tidak lari dari menjadi satu alat propaganda hebat yang mana salah satu yang sering dituliskan / dimuatnaikkan / dikongsikan ialah perkara berkaitan AIB. 


Aib ialah satu sisi diri kita yang mana ia melibatkan perkara yang buruk, memalukan atau menyebabkan reputasi diri jatuh pada persepsi orang lain. Dalam perihal pendedahan aib ini, tiada siapa pun yang terkecuali di mana selagi orang disekelilingnya mempunyai akses kepada media sosial, risiko di aibkan ini bermula dari sekecil – kecil anak hinggalah kepada sebesar – besar pemimpin.

Malah, guru saya pernah berpesan bahawa kita jangan lekas bangga dengan pencapaian diri kerana apa yang berlaku sebenarnya Allah telah menutupi aib kita dari pengetahuan orang lain. Apabila aib kita diketahui orang, apa jua pencapaian sudah tidak membawa makna lagi.

Senario politik Malaysia hari ini juga kebanyakannya berkisar tentang pendedahan aib. Kisah buruk silam, dibongkar – sama ada ia berkait dengan keadaan sekarang atau tidak ia menjadi perkara kedua atau ketiga. Terkini, Perdana Menteri  Najib Razak turut menerima kesannya. Persepsi umum kepada beliau jatuh merudum apabila satu demi satu pendedahan dibuat berkaitan korupsi oleh pelbagai pihak dan nampaknya, sekuat mana pun dia menafikan ia tetap gagal memadamkan keraguan rakyat. Lihat sahaja status beliau di laman sosial, walau mengenai apa yang ditulis pasti komen negatif beribu – ribu akan masuk. Natijahnya, Najib Razak mungkin kini orang yang paling tidak nyenyak tidur di Malaysia hati ini.

Baiklah, apa yang kita perlu lakukan dalam menjaga aib kita? Saya petik dari buku besar Ihya Ulumuddin karya Imam Al – Ghazali atas kupasan mendalam oleh Sa’id Hawwa mengenai cara mengetahui aib sendiri. Amat penting mengetahui aib sendiri kerana ia akan memudahkan kita mengambil langkah segera sebelum ianya tersebar dan menjatuhkan maruah kita.  Imam Al-Ghazali mencadangkan bahawa adalah perlu seseorang hamba Allah itu memiliki Basirah (penglihatan dalam mata hati) yang tajam. Kerana ia kana membantu kita melihat aib diri sendiri.

Ada 4 kaedahnya.

    1.    Duduk di hadapan orang alim / sheikh yang mengetahui berbagai aib jiwa dan peka terhadap kecacatan yang tersembunyi. Sheikh / orang alim ini akan memberitahu kita mengenai aib diri kita dan bagaimana memperbaikinya. Bagaimana mencari sheikh sebegini? Pastinya kita perlu mendekati majlis ilmu terutamanya di rumah Allah. Sebagai contoh, Sultan Muhammad Al Fatih yang hebat mempunyai Sheikh Aaq Syamsuddin yang menjadi sumber rujukan beliau dalam membina sahsiah diri.

     2.   Imam Al – Ghazali menyarankan kita untuk mencari seorang teman yang jujur, sangat mengetahui dan kuat beragama serta mampu menjadi ‘pengawas’ diri agar selalu memerhatikan akhlak kita. Andai ada akhlak kita yang tercela, maka sahabat inilah yang akan mula – mula sekali menegur kita. Pemimpin – pemimpin besar khususnya perlu mempunyai sahabat sebegini. Pemimpin jika hanya ramai sahabat yang fikirannya bersandarkan dunia, keseronokan, harta, maka amat mudah pemimpin ini hanyut dan lalai. Dalam hal ini, ayuh lihat senarai orang yang menjadi sahabat kita, bagaimana agaknya mereka? Adakah mereka mempunyai kekuatan menegur kita atau hanya seronok – seronok sahaja?

    3.   Hendaklah kita memanfaatkan lisan para musuh yang mengetahui aib diri kita. Pastinya kita akan dapat lebih manfaat dari seseorang yang mengetahui aib kita dari sekumpulan kawan yang hanya tahu memuji – memuja kita melambung – lambung. Dalam hal ini, pemimpin perlu lebih bersedia mendegar kritikan dan bukannya menyekat kritikan itu sampai kepadanya. Malang sekali ramai ahli parlimen yang ponteng tugas, tidak mahu membaca maklumbalas malah ramai saja yang buat – buat tidak dengar kritikan apatah lagi rintihan rakyat.

    4.   Berusahalah berhubung dengan masyarakat sekeliling. Jangan hanya suka buat hal sendiri. Sebagaimana kita biasa mendengar kata – kata ‘Seorang Mukmin bagaikan cermin bagi Mukmin yang lain” – akhlak masyarakat juga adalah cerminan aib diri kita. Setiap keburukan yang dilakukan oleh masyarakatnya perlulah dibersihkan terlebih dahulu dari dirinya. Lihatlah sahaja hari ini masyarakat bagaikan berbangga mendedahkan aib sendiri dilaman sosial : foto, video, status Facebook yang sangat peribad dan sebagainya. Maka setelah melihat ini semua, kita perlu berusaha membaiki diri terlebih dahulu untuk tidak melakukan perkara yang sama.

Semua yang tertulis di atas ini adalah perkaitan dalam perihal penyucian jiwa. Jiwa yang suci akan menzahirkan akhlak yang terpuji. Akhlak yang baik akan mampu menutupi aib diri yang tercela. Berdoalah kepada Allah agar aib kita dilindungi bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat kelak. Wallahu A’lam.

Analogi Kepimpinan - Kapcai vs Superbike

Melihat kepada pelbagai krisis kepimpinan mutakhir ini di Malaysia yang melibatkan kesemua parti politik dalam pelbagai bentuk, antaranya;

1. UMNO - Tun Mahathir semakin lantang mempersoalkan kewibawaan Najib
2. Tuan Guru Haji Hadi yang dibelasah teruk oleh pelbagai pihak dan lapisan ahli PAS
3. MIC yang bercakaran pucuk pimpinannya
4. Gerakan pemimpin muda yang semakin agresif dalam MCA dan membawa haluan baru
5. DAP yang dilihat tidak tetap pendirian di dalam Pakatan Rakyat
6. PKR yang masih terperangkap dengan bentuk kepimpinan DSAI dan semakin kurang menyengat apabila DSAI ke Sungai Buloh dan hanya Rafizi di lihat kedepan.

Dan macam - macam lagi....

Analogi yang ingin saya bawakan di sini ialah berkisar dengan salah satu perkara kegemaran saya iaitu motorsikal.

Perasan atau tidak, banyak kemalangan melibatkan motorsikal berkuasa tinggi atau superbike berlaku di selekoh? Jika berlaku di laluan tegak biasanya ia adalah perkara diluar kawalan penunggang sendiri seperti kenderaan lain tiba - tiba berhenti atau ada kenderaan lain melintas secara tiba - tiba. Tetapi kemalangan di selekoh adalah selalunya atas kelemahan penunggang sendiri kecuali - jalan berminyak dan mereka tidak menyedarinya. Kemalangan di selekoh selalunya berlaku dalam keadaan superbike ini tidak berjaya melepasi selekoh itu dengan baik dan kadang - kadang terus tegak menghentam tembok! Mengapa begini sedangkan mereka adalah penunggang kapcai yang baik?

Begini..

Kuasa motorsikal kapcai yang kecil (maksimum 150cc) adalah lebih mudah dikawal dan ini dibantu dengan saiz kapcai yang kecil. Maka untuk mencelah, mencilok dan mengambil selekoh adalah mudah kerana handle kapcai yang lebih luas sudut pusingannya (lebih kurang sama macam basikal) membolehkan penunggang menyesuaikan keadaan dengan mudah. Maka untuk segera cekap dengan kapcai tidaklah memakan masa yang lama terutama buat mereka yang sudah cekap dengan basikal. 
Jelas sekali asas pengendalian kapcai ialah basikal.

Berbanding superbike, daya kekuatan yang jauh lebih besar, saiz dan berat yang berganda dan sudut handle yang lebih kecil memerlukan bentuk latihan yang berbeza. Kedudukan badan yang betul membantu mengurangkan kelenguhan malah daya agakan perlu lebih sensitif. Untuk melayan 'corner' dengan baik penunggang perlu tahu bagaimana menggunakan berat badan untuk membolehkan badan superbike turut turun bersama meleper di jalanraya.

Nah..mari bandingkan kedua - duanya : Motorsikal dan Kuasa kepimpinan


Kuasa motorsikal umpama kuasa kepimpinan. Makin besar kuasa motorsikal maka makin berpengaruhlah seseorang pemimpin. Penunggang superbike lebih diperhati orang berbanding penunggang kapcai kan? Makin kecil kuasa kapcai makin selalu tertinggal di belakang. Makin kecil kuasanya makin kurang menarik perhatian. Maka cara kapcai menarik perhatian antaranya ialah dengan memasang ekzos yang lebih bising. Meski tidaklah meningkatkan kelajuan sangat tetapi bisingnya menarik perhatian! Faham sekarang kenapa ada sesetengah pemimpin kecil cuba menonjolkan diri dengan berbuat 'bising' meski yang dibisingkan itu tidak relevan?



Dengan kuasa yang kecil, lebih mudah mengawal motorsikalnya. Nak 'brake' pun mudah atau nak mengimbangkan pada laluan sempit pun mudah. Begitulah dengan kuasa, semakin besar kuasa semakin sukar mengendalikannya. Kalau orang berkuasa besar tersilap langkah maka kesannya juga lebih buruk. Mengimbangi kuasa yang besar tidak mudah kerana lebih besar kelompok yang perlu dijaga maka kemahuan mereka juga lebih bervariasi.

Untuk melayan 'corner' dengan kapcai lebih senang, tanpa perlu merendahkan badan motor sudah boleh meleper. Superbike perlu merendahkan badan untuk motor turut sama meleper. Pemimpin tinggi perlu membawa diri lebih rendah untuk dihormati; semakin merendah diri makin disayangi rakyat bukan?

Penunggang superbike mestilah bermula perlahan, Kuasa yang besar pada motor itu perlu dikuasai sedikit demi sedikit. Jika tidak alamatnya ke temboklah mereka. Begitulah pemimpin, fahami kuasa yang dimiliki dan gunakannya sedikit demi sedikit. Jangan main belasah sahaja.

Nah...perhatikan setiap motorsikal yang lalu di mata anda dan buat sendiri perbandingan antara motorsikal dan kuasa! Pastinya ada banyak lagi yang boleh dipelajari dari itu.

Adakah GEN Y kurang kreatif?

Antara perkara yang selalu ditanyakan kepada saya berhubung isu kepelbagaian generasi dalam penjawatan ialah - KENAPA BUDAK SEKARANG MACAM TAK KREATIF?


Jawapan saya;
Harus difahami bahawa masalah kurangnya kreativiti ini bukan saja menular dikalangan orang muda (Gen Y) malah merebak ke Baby Boomers sekalipun.
Kreativiti bukan hanya mengenai Multimedia!
Ramai yang terbayangkan kreativiti itu mesti bersifat hipsters, terkini dan trendy.
Malah terlalu mengikut trend seringkali menyebabkan kita menjadi tidak kreatif. Kenapa begitu?

Semakin kita meningkat usianya, masa lapang kita semakin terarah kepada apa yang dilakukan oleh orang lain. Pengaruh sosialisasi menyebabkan kita lebih gemar buat apa yang orang lain buat. 

Contoh :

1. Whatsapp menjadi medium penting kepada perkongsian segala macam hal dari urusan pejabat hingga ke persatuan penduduk. Malah gambar, video dan info viral jauh lebih mudah tersebar menerusi Whatsapp kerana penggunaan smartphone yang jauh lebih praktikal dari komputer. Hanya perlu tekan copy dan paste saja atau tekan Save Image / Printscreen dan kongsikan saja! Maka setipa masa lapang kita perlu refresh, refresh dan refresh Whatsapp kita..bukan?

2. Bercuti bersama keluarga hari ini lebih terarah ke hotel dan resort percutian dan jadual percutian setiap keluarga semakin ketara persamaannya : 

Check in
Makan
Kolam mandi
Makan
Karaoke / Libur malam
Sarapan pagi
Kolam mandi
Check out

3,. Makan aiskrim dalam pasu! Pastinya rasa pasu itu tidak mempengaruhi rasa aiskrim bukan? Apa lagi selepas ini? Aiskrim tayar? Aiskrim dalam mentol?



Itu adalah sebahagian dari senario perubahan bagaimana masa lapang terisi di zaman ini. Apabila kita lebih mengisi kekosongan ini dengan apa yang orang lain lakukan disekeliling kita, maka perilaku berangan - angan, berimiginasi dan membayang - bayangkan sesuatu makin kurang berlaku. Tanpa kehadiran angan - angan, berimaginasi maka kreativiti akan mudah tersekat.

Lebih memburukkan keadaan apabila sistem pembelajaran dari peringkat rendah ke tinggi lebih menekankan kita belajar dan menghafal apa yang telah diteroka oleh bijak pandai yang terdahulu tanpa menggalakkan mereka membaiki atau mengolah semula apa yang mereka belajar. Terkini sebagai contoh, jawapan peperiksaan mata pelajaran Sains anak sulong saya ditolak guru dan dipangkah salah kerana jawapan anak saya menjelaskan jawapan secara panjang lebar (ruang jawapannya banyak, maka anak saya menjawab secara soalan subjektif) walhal cikgu hanya mahu jawapan YA atau Tidak (tanpa arahan jelas yang guru mahukan jawapan sebegitu).

Kita lebih terarah untuk fokus kepada apa yang sudah diciptakan untuk kita. Facebook sudah dicipta, gunakan sajalah! Bukankah begitu?

Maka, adakah ini masalah Gen Y sahaja? Nampaknya tidak..apabila kita sudah kurang mencuba, maka kreativtii akan terjejas. Jadi, apakah jalan merangsang kreativiti? 

Ada banyak jalan ..mulakan dengan memahami ini :

KESEMPITAN ADALAH ASAS KEPADA KREATVITI

Masa sebagai modal kehidupan di dunia

Sejak kebelakangan ini saya kerap menekankan aspek waktu sebagai elemen penting dalam kehidupan. Malah hampir dalam setiap program saya, pasti saya akan kongsikan mengenai perihal waktu vs wang.
Kenapa masa / waktu itu penting?
Kerana masa / waktu itu umpama modal yang diberikan Allah kepada kita bagi menjalani kehidupan di dunia ini. Orang yang beruntung dalam 'perniagaan' di dunia ini pastinya orang yang berjaya menguruskan modalnya dengan baik - dalam kata lain, manusia yang berjaya menguruskan masanya dengan baik maka dialah yang paling beruntung. 
Bagaimana menggunakan modal masa ini bagi mendapatkan keuntungan maksimum? 

Pertamanya setiap dari kita wajar sedar bahawa setiap orang memiliki modal harian yang sama banyak iaitu 24 jam sehari. Maka memaksimumkan 24jam ini dengan perkara kebaikan pastinya akan menguntungkan kerana hanya perkara kebaikan saja yang mampu membuahkan hasil untuk dibawa ke akhirat kelak.

Kedua, melipatgandakan keuntungan pelaburan modal masa seperti mana dalam perniagaan manusia dengan pelbagai teknik menggandakan wang, 
Alangkah untungnya dengan sekali ibadah dan keuntungannya berganda. Bukankah banyak bentuk ibadah yang berganda kebaikannya?
Kalau dalam perniagaan kita beriya - iya belajar cara menggandakan keuntungan, pergi berkursus dan seminar di sana sini untuk belajar menjadi jutawan, kenapa tidak kita belajar dan mencari ilmu bagaimana boleh kita gandakan pahala kebaikan yang kita laksanakan?

Kuatkanlah hati, manfaaatkanlah masa yang ada sebagai modal kita, Kalau kita bimbang kadar faedah bank naik turun akan menjejaskan kewangan kita, maka kita lebih wajib risau dengan pinjaman Allah kepada kita kerana, kita tidak pernah tahu bila tempoh pinjaman kita akan tamat.
Secara tiba - tiba Allah mengambil nyawa kita, dan apabila saat itu tiba, hanya pelaburan yang baik sahaja akan mampu menyelamatkan kita dari pembalasan Allah.
Allahu Akbar! 

Ciri - ciri orang yang bertawakkal - Refleksi diri dengan misteri MH370


Dengan kejadian misteri membabitkan kehilangan pesawat MH370, ramai yang memberikan respon pelbagai di media sosial sama ada dalam bentuk baik, sinikal mahupun mengeji. Namun syukur sekali ramai yang bertindak positif dan ini turut dituruti oleh media arus perdana seperti radio yang kerap mengulangi mesej positif serta doa yang tidak putus - putus.

Segala usaha sedang dikerah oleh pihak berkuasa dengan penglibatan banyak agensi lain yang turut melibatkan usaha negara jiran. 
Seruan berdoa dan tawakkal sering sekali diberikan oleh ramai orang dipelbagai medium bagi meredakan perasaan mereka yang terlibat seara langsung atau tidak mahupun sebagai rakyat, kita mahukan yang penyelesaian terbaik dari insiden ini.
Menyebut mengenai Tawakkal, saya teringat pesan salah seorang guru saya iaitu Kiyai Abdullah Gymnastiar mengenai tatacara bertawakkal. Menurutnya, ada 5 ciri orang yang benar - benar bertawakkal dan huraian ini adalah dari perspektif saya;

1. Hati harus tulus - Hati yang tulus dan ikhlas membantu kita melakukan sesuatu tanpa balasan dari makhluk tetapi hanya dari Allah sahaja. Maka buat mereka yang terlibat dalam semua usaha mencari MH370 ini perlulah meletakkan Hati Yang Tulus dalam usaha ini. Ingatan ini juga diberikan buat 'orang - orang' besar yang muncul di sidang media. Tuluskan hati anda..jangan mengambil peluang hadir ke sidang media untuk mendapatkan habuan publisiti walhal apa yang anda sebutkan tidak langsung membawa makna. Begitu juga dengan media dan penulis di laman sosial. Niatkan laporan anda adalah semata - mata untuk membantu menyampaikan berita dan bukannya menaikkan 'rating' atau melariskan media anda mahupun menarik trafik online kepada page / blog / wall anda dengan berita kurang sahih.

2. Ibadah mestilah bagus - Amal ibadat insan yang benar bertawakkal kepada Allah ini terjaga, tertib dan menuju kepada sempurna dalam amalannya. Bukan cincai - cincai. Maka lihatlah diri kita bagaimana. Layakkah kita berserah kepada Allah andai kita sambil lewa dalam ibadat kepada Allah. Analoginya ialah kita tidak menyiapkan kerja rumah atau 'assignment' yang ditugaskan kepada kita dengan baik, cincai boncai dan hentam keromo, maka layakkah kita bertawakkal untuk mendapatkan markah maksimum? Maka ayuhlah kita perbanyakkan Solat Hajat di serata negara bagi mendoakan petunjuk Allah agar MH370 dapat ditemui.

3. Hidup harus lurus - Menjalani kehidupan dengan lurus mengikut lunas Islam. Tidak ingkar, tidak menyimpang dan sesuai dengan anjuran Al-Quran dan Sunnah. Jika kita menjalani hidup sebegini, maka layaklah kita berserah kepada Allah kerana kita sebagai hamba mencuba sebaik mungkin patuh kepada Pemilik kita. Sukar untuk bertawakkal andai gaya hidup yang diamalkan songsang dan ingkar serta melanggari arahan Allah SWT. 

4. Ikhtiar mestilah serius - Usaha yang dibuat perlu secara serius - bukan ala kadar dan main - main. Ia bermula dengan perancangan yang teliti, pelaksanaan mengikut perancangan dan barulah boleh bertawakkal. Barulah mudah untuk bertawakkal kerana apa yang kita rancang itu mengambil kira semua faktor yang membawa kepada kejayaan dan perlaksanaan pula mengikut perancangan. Analogi mudah ialah dengan mengambil contoh memasak. Sekiranya perancangan untuk memasak itu lengkap, resipinya lengkap, bahannya lengkap dan peralatannya lengkap. Maka kita akan memasak dengan hati tenang dan mudah dijangka hasilnya seperti yang dirancang.

5. Taubat mestilah terus menerus - Taubat mestilah dilakukan secara konsisten meskipun dengan hanya beristigfar. Ini membantu kita merendahkan hati kepada Allah dan membuatkan kita sedar bahwa kita ini hanyalah hamba Allah SWT dan Dia jugalah yang menentukan segalanya. Dengan berusaha melakukan taubat, kita akan sentiasa cuba melihat usaha kita dan bermuhasabah atas setiap apa yang dilakukan. Maka apabila berbuat dosa walau sekecil apapun, berusahalah untuk taubat kerana ia membawa jalan ke arah Taqwa.

Wallahu A'lam.

Sibu, Sarikei dan Bintangor

Salah satu sebab kenapa saya sangat mencintai kerja saya ialah, ia membawa saya ke tempat - tempat yang saya tidak pernah terokai dan ia memberikan pengalaman baru setiap kali. Apabila di maklumkan projek sepaktakraw Trio Impian yang pasukan saya usahakan di arahkan ke Bintangor Sarawak - kami cuba mencarinya menerusi Google pastinya. Dan bila nama tempat itu dimaklumkan kepada kami, masing - masing berpandangan tanpa sesiapa dikalangan kami tahu mengenainya.

Kami sempat menginap di Sibu selepas selesai tugas di Bintangor. Berikut ialah beberapa foto yang dapat saya rakamkan untuk tatapan semua.

Foo Chow Clan - Sangat berkuasa di Sibu


Bangunan ini di bina atas tanah yang di tambak dan kini menjadi salah satu mercu tanda Sibu

Dataran Sibu


Pesta sebegini kerap diadakan bagi menarik kunjungan pelancong domestik khususnya









Salah satu perkara yang menarik perhatian saya ialah kewujudan pelbagai jenis pegangan Kristian di Sibu yang meraikan kepelbagaian dalam beragama. Malah, tidak kira usia muda dan tua saling rajin ke gereja dan disambut dimuka pintu dengan wajah ceria orang muda.


Pasar malam di Sibu

Buku dan poster pelbagai agama dijual oleh peniaga yang sama

Makanan istimewa ada di sini.


Pasar Sibu yang sangat besar dengan tempat letak kereta setinggi 6 tingkat






Kemudahan gelanggang badminton yang sangat elok membuatkan saya cemburu kerana tiada satu yang serupa dengannya bagi sepaktakraw di Malaysia ini

Pemandangan dari bumbung pasar Sibu






Heritage Centre yang merupakan salah satu projek gajah putih. Lokasi dan infranya bagus, tapi tiada isi di dalamnya

Provokasi Semasa Berkempen - Perlukah?

Sepanjang tempoh berkempen ini, saya perhatikan begitu banyak perubahan yang berlaku di sekeliling saya. Topik perbualan pelbagai lapisan masyarakat mula menjurus kepada calon, gosip politik, ceramah politik dan termasuk elaun pasang bendera serta kain rentang. Pengguna Facebook, Twitter dan blog pula semakin sibuk dengan urusan kemaskini dan membalas komen malah tidak kurang juga yang terlebih emosi menyebabkan pertelingkahan, pergeseran dan pergaduhan. Ini mengakibatkan emosi tidak stabil walaupun hanya dengan membaca status atau komen yang mengakibatkan lebih banyak masa diluangkan melayani perasaan sebegitu.

Pemain bolasepak yang baik seperti Zinadene Zidane juga menjadi mangsa PROVOKASI


Muncul di status Facebook atau Twitter yang berbunyi begini - "Tidak bolehkah berkempen secara profesional? Tidak perlu buruk - burukkan orang lain?" atau "Come on lah..perlu ke provoke - provoke ni?"

Maka persoalannya - PERLUKAH PROVOKASI DALAM BERKEMPEN?

Jawapannya - YA! PERLU!

Kenapa perlu? - Kerana PROVOKASI ADALAH BERTUJUAN MEMPENGARUHI

Pembaca budiman, membawa satu perubahan besar dalam apa juga usaha memerlukan daya penarik atau penolak yang besar. Motivasinya perlu besar, objektifnya perlu besar dan proses mempengaruhi pemahaman semua ini memerlukan usaha besar. Dengan masa yang singkat untuk berkempen, maka PROVOKASI adalah jalan pintas. Tidak mengira mana parti sekalipun, PROVOKASI adalah jalan pintasnya. Analoginya begini;

Anda sudah biasa menjamu selera di sebuah restoran kegemaran anda. Kebetulan ada satu restoran baru dibuka berhampiran. Apa yang membuatkan anda bakal beralih selera? Restoran baru itu perlu mempromosi menu, perkhidmatan, harga dan sebagainya dan ia belum tentu menggerakkan anda ke restoran baru itu. Maka apa jalan pintas yang ada? Harga bukan sekadar dipromosi malah provokasi perbandingan harga antara kedai yang anda biasa pergi dengan kedai baru ini berlaku. McDonalds dan KFC kedua - duanya memiliki menu sarapan, bagaimana mereka bersaing? Harga di banding - banding akan menggerakkan anda ke restoran mereka. Bagaimana mereka membandingkan harga? Iklan digunakan dan harga murah mereka diulang - ulang. Itu juga adalah salah satu bentuk provokasi. Namun ia tidak terlalu ekstrem. 

Dunia perniagaan TELCO lebih ekstrem provokasinya. Ingat semula iklan Digi, Maxis dan Celcom bersaing. Begitu juga P1 dengan tagline POTONG!

Parti - parti politik menggunakan pelbagai gimik, fakta, data, analisis dan membanding - bandingkan manifesto sebagai provokasi bagi mengerakkan pengundi. Keadaan menjadi lebih ekstrem apabila sentimen agama, bangsa, fahaman dan keturunan mula dicanang sebagai langkah provokasi. Akhirnya, pembaca atau audien yang menerima maklumat sebegini akan terpengaruh di sudut - sudut berbeza berdasarkan fahaman masing - masing. 

Agen Provokasi perhimpunan sebegini selalunya terdiri dari Special Branch PDRM atau FRU sendiri

Inilah yang dikatakan PENGURUSAN PERUBAHAN atau CHANGE MANAGEMENT. Dalam melakukan apa juga perubahan, perkara pertama yang perlu ada dalam mempengaruhi audien kepada proses ini ialah KONFLIK. Konflik perlu hadir dalam menggerakkan kumpulan sasar kepada perubahan. Sebagai contoh mudah, kenapa perlu berpindah rumah? Oh..kerana kawasan ini selalu dilanda banjir. Kenapa perlu ditukar langsir ini? Bukankah ia masih baik? Jawapannya kerana sudah 3 kali hari raya kita guna langsir sama jawab isterinya.

Konflik perlu hadir dalam situasi ini. Malah, sekiranya tiada konflik sekali pun, ia perlu direka, dicipta atau di ada - adakan. Sekiranya tiada punca atau penyebab, maka perubahan sukar untuk berlaku. Dan justifikasi kepada perubahan ini perlu dilakukan dengan penyebaran maklumat semasa berkempen. Disinilah datangnya keperluan PROVOKASI! Ia berguna sebagai pencetus kepada kesedaran mengenai KONFLIK sedia ada. Sebagai contoh, Selangor di tekan dengan isu air, bekalan selalu terputus. Konflik diwujudkan bagi menampakkan kerajaan Selangor tidak cekap mengurus air walhal, ia sebenarnya berpunca dari SYABAS. 

Maka, isu air dijadikan bahan kempen dan provokasi isu air berlaku di merata tempat.

Oleh yang demikian, pembaca semua, dalam menangani provokasi ini, kita perlulah bijak menilai berita dan maklumat yang sampai ke telinga atau mata kita. Carilah maklumat secukupnya agar kalian tidak terjebak kepada silap membuat keputusan dan mempengaruhi undian anda pada PRU 13 ini..INI KALILAH!