Total Pageviews

Peranan ibu bapa dalam membina atlet hebat di masa hadapan!

Lama saya tak menulis  di blog ini. Kebetulan, MSSM bagi acara sepaktakraw baru sahaja tamat dan ramai yang mengikuti saya di BolarotanTV pasti tahu anak lelaki saya, Evan beraksi untuk negeri Selangor dan Alhamdulilah, Evan dapat menyumbang tenaga bagi pencapaian Selangor sebagai juara keseluruhan MSSM 2023.



Antara perbualan yang kerap saya lalui sepanjang di temasya MSSM yang lalu ialah peranan ibu bapa dalam membantu Pembangunan anak - anak untuk muncul sebagai seorang atlet yang berjaya. Ia merupakan satu topik yang menarik untuk dikongsikan.


https://youtu.be/dSXlIKdEIyk?si=YkwfHKJzOJoxgwE5


Sebagai ibu bapa, menjadi penyokong utama dalam usaha anak muncul sebagai seorang atlet hebat di masa depan adalah satu tanggungjawab yang amat penting. Dalam dunia sukan yang semakin kompetitif, sokongan dan bimbingan dari ibu bapa boleh menjadi faktor penentu dalam pencapaian kecemerlangan seorang atlet muda. 


Dalam artikel ini, saya akan menghuraikan 5 langkah penting yang dapat diambil oleh ibu bapa untuk membantu anak - anak mencapai potensi maksimum mereka dalam arena sukan.


1. Memahami Impian dan Minat Anak


Pertama sekali, langkah yang paling asas adalah memahami dengan mendalam impian dan minat anak dalam bidang sukan. Adakah mereka tertarik dalam bola sepak, gimnastik, renang, atau sukan lain? Pengetahuan ini akan membantu ibu bapa dalam mengenal pasti bidang sukan yang sesuai untuk dikembangkan. Saya dan isteri sendiri mengalaminya apabila Evan juga cenderung ke sukan catur selain sepaktakraw. Takdirnya, dua sukan ini bertembung tarikh latihan dan kejohanan untuk MSSM dan MSS Selangor. Jadi keputusan berat perlu diambil memilih salah satu dan saya serahkan keputusan itu kepada Evan sendiri. Dia memilih sepaktakraw dan Alhamdulillah, Selangor juara!


Dengan memahami minat anak, ibu bapa dapat mengambil langkah berikutnya untuk mencari peluang yang sesuai dan berkembang dalam bidang sukan yang diminati. Ini akan memberi anak dorongan positif untuk terus berusaha dan berlatih.


2. Mencari Jurulatih dan Mentor yang Berkualiti


Langkah seterusnya adalah mencari jurulatih atau mentor yang berkualiti dalam bidang sukan yang dipilih oleh anak. Seorang jurulatih yang berkualiti adalah aset berharga dalam perkembangan atlet muda. Jurulatih yang mahir dapat membantu anak mengasah kemahiran mereka dan memberikan panduan yang tepat.


Untuk sukan catur, anak - anak saya termasuk Evan memiliki jurulatih khusus dan untuk sepaktakraw, Evan mendapat bimbingan dari saya sendiri dan rakan - rakan saya di Taman Mesra Kajang. Terdapat 2 bekas pemain kebangsaan di Taman Mesra serta ramai pemain berpengalaman yang sudi membantu Evan belajar dengan cepat.


Apabila memilih jurulatih atau mentor, pastikan mereka mempunyai pengalaman dan kebolehan yang diperlukan. Mereka juga harus mampu memberikan dorongan positif dan motivasi kepada anak anda.


3. Menyediakan Peralatan dan Sokongan Kewangan


Kejayaan dalam bidang sukan sering kali memerlukan peralatan khusus dan latihan yang intensif. Oleh itu, sebagai ibu bapa, penting untuk menyediakan sokongan kewangan yang mencukupi untuk memastikan anak mempunyai segala yang diperlukan.


Ini mungkin termasuk pembelian peralatan sukan yang berkualiti tinggi, pembayaran yuran latihan, penyertaan dalam pertandingan, dan pengurusan perbelanjaan yang berkaitan dengan perjalanan untuk pertandingan di peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Pastikan bahawa aspek kewangan tidak menjadi halangan dalam usaha anak untuk mencapai kejayaan.


Bagi sukan yang lebih banyak menggunakan fizikal, pastinya perbelanjaan ini turut meliputi makanan yang sesuai khasiatnya. Ini merupakan antara pelaburan penting dari ibubapa. Peralatan berkualiti tinggi bagi sesetengah sukan juga mungkin mencecah puluhan ribu ringgit. Bayangkan atlet bagi acara berbasikal, memanah, perahu layar, permotoran dan seumpamanya. Maka usaha mencari penaja adalah perkara yang turut sama perlu difikirkan.


Kos jurulatih persendirian juga tidak murah. Maka perancangan kewangan ibu bapa amat penting dalam proses ini.


4. Mendorong Disiplin dan Komitmen


Kunci kejayaan dalam sukan adalah disiplin dan komitmen yang tinggi. Anak anda perlu memahami bahawa pencapaian matlamat mereka memerlukan usaha keras dan pengorbanan yang besar. Mereka perlu belajar menguruskan masa dengan baik antara latihan, pelajaran, dan rehat.


Sebagai ibu bapa, anda mempunyai peranan penting dalam membentuk disiplin anak. Berikan sokongan moral, dorongan, dan nasihat yang berterusan. Pastikan mereka mempunyai jadual yang teratur untuk latihan dan pertandingan, dan ingatkan mereka tentang kepentingan kecekalan dalam menjalani latihan.


5. Menggalakkan Keseimbangan Antara Sukan dan Pendidikan


Walaupun kejayaan dalam sukan adalah impian yang mulia, penting untuk menggalakkan keseimbangan antara sukan dan pendidikan. Pastikan anak anda memberi tumpuan kepada pendidikan mereka dan mencapai prestasi akademik yang baik.


Keseimbangan ini penting kerana pendidikan adalah asas yang kukuh untuk masa depan yang berjaya. Anak perlu menyedari bahawa pendidikan memberi mereka peluang yang lebih luas dalam hidup, sambil terus mengembangkan kemahiran sukan yang mereka cintai.


Secara kesimpulannya, atlet muda perlu melalui ekosistem yang baik bagi membantu prestasi mereka dibangunkan. Sebagaimana pelaburan dalam perniagaan, tiada jaminan pulangan keuntungan dapat dinoktahkan oleh manusia. Kita hanya berusaha sebaik mungkin dan sebagai ibu bapa, Melihat anak - anak berjaya dalam apa saja yang diusahakan itu adalah salah satu rasa bahagia yang ingin dikecapi kita selagi hayat dikandung badan…kan?