Total Pageviews

Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Ramadhan - Medan Latihan Terbaik

Ramadhan Karim! Bersyukur kita ke hadrat Allah kerana dipertemukan lagi dengan Ramadhan ini. Bertemu dengan Ramadhan belum juga tentu kita sihat untuk menjalaninya dengan baik. Ada yang uzur, ada yang sakit tenat maka mereka melalui Ramadhan ini dalam keadaan tidak seperti kita yang dikurniakan kesihatan. Maka marilah kita sama - sama mengucapkan Alhamdullillah sebagai tanda syukur di beri kekuatan mengamalkan ibadah puasa tahun ini.


Masjid Sultan Mizan Putrajaya

Tahun ini, saya dan isteri mengharungi Ramadhan dengan 3 anak yang mana Muhammad Evan Miqael kini sudah melebihi 1 tahun setengah usianya beserta 2 kakaknya iaitu Batrisya dan Basyira. Dan saya kira usia seperti ini perlu mula diberi pendedahan mengenai suasana Ramadhan itu sendiri dalam skala yang kami sekelurga tidak pernah lakukan. Mengambil kekuatan Ramadhan sebagai medan latihan terbaik, saya dan isteri berazam membawa keluarga kami ke Masjid setiap hari untuk berbuka , solat Maghrib dan Isya' serta Tarawih dan Witir. Tahun ini kami memilih Masjid Sultan Mizan atau dikenali sebagai Masjid Besi Putrajaya sebagai pusat latihan kami.

Basyira, Evan dan Batrisya

Satu perkara yang dapat saya perhatikan ialah jemaah di Masjid ini tidak banyak yang berusia tua. Rasanya yang paling tua pun sekitar 50 an. Ini mungkin disebabkan jemaah yang hadir rata - ratanya mereka yang bekerja di Putrajaya. Apa yang menarik pada pandangan saya ialah senario yang mana dahulunya satu perkara janggal di Malaysia kini di kira biasa iaitu bersolat sambil mengendalikan anak - anak kecil. Suasana lazim di tanah haram, ibu atau ayah mengendong anak sambil solat atau menepuk - nepuk anaknya supaya tidur.Seingat saya sering menjadi bualan jemaah haji yang baru pulang dari Tanah Suci akan menceritakan bagaimana mereka melihat ibu atau ayah dari bangsa Arab mengendalikan anak ketika mereka sendiri sedang bersolat.



Senario itu kini saya lihat sudah makin menjadi kebiasaan di sini. Di Masjid Besi ini begitu ramai ibu - bapa muda membawa anak kecil untuk sama - sama bersolat dan Iftar. Pada hemat saya, ledakan maklumat menerusi dunia digital membolehkan ramai ibu bapa muda mengetahui kaedah pengendalian anak ketika solat. Dahulu, anak - anak kecil sering saja terpisah dari saf dan menjadi mangsa marah dan herdikan Tok Siak kerana bermain - main ketika solat. Kini nampaknya sudah mula ada perubahan ketara.


Mengapa kita harus membawa anak - anak ke lokasi begini? Fahamilah bahawa kaedah belajar manusia yang paling berkesan ialah dengan cara meniru. Apabila anak - anak melihat apa yang berlaku disekelilingnya, maka kecenderungan untuk meniru apa yang dilihat lebih tinggi. 


Jika ke masjid atau surau, pastinya yang lebih banyak di lihat ialah orang menutup aurat, bersopan santu, merendahkan suara, berkongsi makanan, berwuduk dan macam - macam lagi. Bandingkan jika mereka di usung ke pasar juadah. Bagaimana agaknya perkara yang mungkin mereka perhatikan? Bukanlah bermaksud saya katakan pasar juadah sebagai tempat maksiat. Tetapi menanam ruh Ramadhan itu seharusnya lari dari perkara harian iaitu membeli belah kerana ia turut dilakukan pada bulan selain Ramadhan.


Insyallah, saya berazam untuk menjadikan Ramadhan ini yang terbaik dalam hidup saya, kerana saya tidak pasti adakah Ramadhan akan datang buat saya kelak. Ayuh sahabat..mari bersama meningkatkan amalan di Ramadhan ini!

Salam Ramadhan - Perniagaan vs Puasa

Ramadhan muncul sekali lagi. Umpama tetamu hebat yang datang, seharusnya Ramadhan kita sambut dengan penuh keceriaan, kesyukuran, keazaman dan ketaqwaan. Ramadhan sebagai sekolah rohani dan jasmani mendidik kita mengawal nafsu, pemikiran serta penjadualan hidup serta perniagaan bagi sesetengah kita. Tulisan saya kali ini ialah mengenai Perniagaan vs Puasa


Antara sektor yang agak sedikit terjejas dengan kehadiran Ramadhan ialah perhotelan dan penginapan, hiburan, pengendalian kursus / latihan, penyediaan makanan khususnya sarapan dan makan tengahari, nombor ekor juga sektor perkhidmatan awam.

Perhotelan dan penginapan sebagai contoh, terjejas kerana pelanggan - pelanggan muslim yang menjadi majoriti rakyat di negara ini menurun jumlahnya kerana mereka tidak bercuti di hujung minggu. Sebaliknya, sektor ini meraih pulangan maksimum di Tanah Suci Makkah dan Madinah. Malahan kos menunaikan umrah juga meningkat di waktu sebegini kerana permintaan yang sangat tinggi. Pengalaman saya sendiri lebih 15 tahun lalu musim Ramadhan merasai bagaimana bilik yang sangat kecil dan beralas tilam mencecah 100 Riyal sehari.

Maka senario di atas mendorong pengendali hotel mencari jalan keluar - antaranya menawarkan buffet yang bermula serendah RM35 sehingga RM150++.  Langkah ini turut membantu industri hiburan hidup - artis dan kumpulan muzik mula mendapat tempahan bagi menghiburkan pelanggan yang datang berbuka puasa. Maka ramailah pemain - pemain muzik khususnya yang cekap dengan muzik tradisional Melayu mula medapat tempahan. Tahun lalu, pemain keyboard  /Akordian kumpulan saya mendapat tempahan penuh 30 hari di 3 lokasi berbeza sepanjang Ramadhan. Tahun ini Kuintet Teranchang tidak akan mengambil apa - apa tempahan untuk Ramadhan - kerana saya mahu sedikit tenang di Ramadhan kali ini.


Sebagaimana biasa, makanan adalah satu bentuk pesta di negara kita. Keseronokan menjamu selera, menjamu orang lain dan berkumpul mengikut kumpulan - kumpulan ; kerja, sosial, politik dan sebagainya berlaku dalam menjamu orang berbuka puasa. Maka lokasi seperti hotel dan restoran besar sering menjadi pilihan. 

Maka, Ramadhan yang salah satu fungsinya ialah mendidik kita merasai pengalaman orang yang susah, fakir dan miskin menahan lapar dan dahaga nampaknya gagal. Mana mungkin si miskin menjamu selera di tempat begitu kecuali mereka di taja. Oh ya, ada juga yang menganjurkan majlis berbuka puasa sambil menjemput anak - anak yatim dan orang miskin menjamu selera. Namun bila ia diadakan di hotel dan restoran mewah maka ia dilihat hanya sebagai tajaan perniagaan sahaja. Bagi saya - Innamal A'malu Binniyat. Sukar bagi kita menentukan niat seseorang bukan? Tepuk dada tanya poket atau iman? 

Walau apapun niat penganjur, bagi saya terbukti bahawa entiti perniagaan berjaya mempengaruhi kebanyakan kita dalam berpuasa khususnya mereka yang berada di bandar - bandar besar. Walaupun disediakan ruang solat, jarang sekali ruang solat itu cukup besar untuk menampung ramai jemaah dalam satu - satu masa. Maka kekuatan yang cuba di cari ketika Ramadhan itu tidak ditemui. Berbanding di Tanah Suci, berbuka hanya dengan kurma, air zam - zam, Laban (yogurt) secara berjemaah adalah rawatan hati yang cukup baik. Tiada beza si kaya dan si miskin. Kiranya ada pun, si kaya membawa bakul makanan sendiri yang berisi kurma yang berkualiti tinggi dan potongan roti - juga mereka mengalu - alukan sesiapa sahaja menyertai mereka untuk berbuka puasa! Apabila makanan mencukupi, pastinya tiada siapa berebut bukan?

Di ikuti dengan solat berjemaah dengan jumah yang ramai, ukhwah semakin terjalin baik di bulan Ramadhan. 

Perniagaan bersifat pesta dan bermusim juga meraih keuntungan berganda di bulan ini. Dari penjual kain ke penjual mercun, semuanya memperoleh laba yang dihajati. Malangnya, ramai saja yang terpaksa melepaskan peluang meraih laba pahala Ramadhan kerana ingin meraih laba dunia. Manakan tidak, tempahan yang diterima sehingga tidak cukup tangan untuk disudahi pastinya mengganggu peluang bertarawikh, bertadarus serta membaca Al - Quran sebanyak - banyaknya.

Saya juga berharap diri saya dapat memanfaatkan Ramadhan kali ini sebaik mungkin. Kerana, kita sendiri tidak pasti adakah Ramadhan buat kita di tahun mendatang. WallahuA'lam. Ramadhan Karim!