Total Pageviews

Salam Ramadhan - Perniagaan vs Puasa

Ramadhan muncul sekali lagi. Umpama tetamu hebat yang datang, seharusnya Ramadhan kita sambut dengan penuh keceriaan, kesyukuran, keazaman dan ketaqwaan. Ramadhan sebagai sekolah rohani dan jasmani mendidik kita mengawal nafsu, pemikiran serta penjadualan hidup serta perniagaan bagi sesetengah kita. Tulisan saya kali ini ialah mengenai Perniagaan vs Puasa


Antara sektor yang agak sedikit terjejas dengan kehadiran Ramadhan ialah perhotelan dan penginapan, hiburan, pengendalian kursus / latihan, penyediaan makanan khususnya sarapan dan makan tengahari, nombor ekor juga sektor perkhidmatan awam.

Perhotelan dan penginapan sebagai contoh, terjejas kerana pelanggan - pelanggan muslim yang menjadi majoriti rakyat di negara ini menurun jumlahnya kerana mereka tidak bercuti di hujung minggu. Sebaliknya, sektor ini meraih pulangan maksimum di Tanah Suci Makkah dan Madinah. Malahan kos menunaikan umrah juga meningkat di waktu sebegini kerana permintaan yang sangat tinggi. Pengalaman saya sendiri lebih 15 tahun lalu musim Ramadhan merasai bagaimana bilik yang sangat kecil dan beralas tilam mencecah 100 Riyal sehari.

Maka senario di atas mendorong pengendali hotel mencari jalan keluar - antaranya menawarkan buffet yang bermula serendah RM35 sehingga RM150++.  Langkah ini turut membantu industri hiburan hidup - artis dan kumpulan muzik mula mendapat tempahan bagi menghiburkan pelanggan yang datang berbuka puasa. Maka ramailah pemain - pemain muzik khususnya yang cekap dengan muzik tradisional Melayu mula medapat tempahan. Tahun lalu, pemain keyboard  /Akordian kumpulan saya mendapat tempahan penuh 30 hari di 3 lokasi berbeza sepanjang Ramadhan. Tahun ini Kuintet Teranchang tidak akan mengambil apa - apa tempahan untuk Ramadhan - kerana saya mahu sedikit tenang di Ramadhan kali ini.


Sebagaimana biasa, makanan adalah satu bentuk pesta di negara kita. Keseronokan menjamu selera, menjamu orang lain dan berkumpul mengikut kumpulan - kumpulan ; kerja, sosial, politik dan sebagainya berlaku dalam menjamu orang berbuka puasa. Maka lokasi seperti hotel dan restoran besar sering menjadi pilihan. 

Maka, Ramadhan yang salah satu fungsinya ialah mendidik kita merasai pengalaman orang yang susah, fakir dan miskin menahan lapar dan dahaga nampaknya gagal. Mana mungkin si miskin menjamu selera di tempat begitu kecuali mereka di taja. Oh ya, ada juga yang menganjurkan majlis berbuka puasa sambil menjemput anak - anak yatim dan orang miskin menjamu selera. Namun bila ia diadakan di hotel dan restoran mewah maka ia dilihat hanya sebagai tajaan perniagaan sahaja. Bagi saya - Innamal A'malu Binniyat. Sukar bagi kita menentukan niat seseorang bukan? Tepuk dada tanya poket atau iman? 

Walau apapun niat penganjur, bagi saya terbukti bahawa entiti perniagaan berjaya mempengaruhi kebanyakan kita dalam berpuasa khususnya mereka yang berada di bandar - bandar besar. Walaupun disediakan ruang solat, jarang sekali ruang solat itu cukup besar untuk menampung ramai jemaah dalam satu - satu masa. Maka kekuatan yang cuba di cari ketika Ramadhan itu tidak ditemui. Berbanding di Tanah Suci, berbuka hanya dengan kurma, air zam - zam, Laban (yogurt) secara berjemaah adalah rawatan hati yang cukup baik. Tiada beza si kaya dan si miskin. Kiranya ada pun, si kaya membawa bakul makanan sendiri yang berisi kurma yang berkualiti tinggi dan potongan roti - juga mereka mengalu - alukan sesiapa sahaja menyertai mereka untuk berbuka puasa! Apabila makanan mencukupi, pastinya tiada siapa berebut bukan?

Di ikuti dengan solat berjemaah dengan jumah yang ramai, ukhwah semakin terjalin baik di bulan Ramadhan. 

Perniagaan bersifat pesta dan bermusim juga meraih keuntungan berganda di bulan ini. Dari penjual kain ke penjual mercun, semuanya memperoleh laba yang dihajati. Malangnya, ramai saja yang terpaksa melepaskan peluang meraih laba pahala Ramadhan kerana ingin meraih laba dunia. Manakan tidak, tempahan yang diterima sehingga tidak cukup tangan untuk disudahi pastinya mengganggu peluang bertarawikh, bertadarus serta membaca Al - Quran sebanyak - banyaknya.

Saya juga berharap diri saya dapat memanfaatkan Ramadhan kali ini sebaik mungkin. Kerana, kita sendiri tidak pasti adakah Ramadhan buat kita di tahun mendatang. WallahuA'lam. Ramadhan Karim!





No comments: