Total Pageviews

Showing posts with label Psikologi. Show all posts
Showing posts with label Psikologi. Show all posts

5 ELEMEN TARIKAN SEBAGAI PEMIMPIN

           


Pemimpin perlulah menjadi orang yang menarik kumpulan yang ingin diterajuinya. Ini adalah kerana daya tarikan yang beliau miliki akan membolehkan dia menjadi berpengaruh dan memudahkan proses komunikasi di antara mereka. 5 ciri yang membuat seseorang itu sebagai pemimpin yang menarik ialah:
1. Kebijaksanaan
Kebijaksanaan tidaklah merujuk kepada tahap pendidikan formal seseorang.
Dilihat bijaksana adalah amat penting untuk mempengaruhi kumpulan sasar. Orang yang dilihat bijak mudah menjadi orang rujukan oleh ramai orang. Orang yang bijak tahu menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan, topik perbualan dan perbincangan malah mudah memberi respon yang bersesuaian. Oleh kerana kumpulan yang dikendalikan memiliki kecenderungan terhadap perkara yang berbeza – beza, maka pemimpin yang dilihat bijak tahu pelbagai disiplin ilmu dan mempunyai sudut pandang yang luas.
Sebagai contoh, Tun Mahathir disegani oleh pengikut mahupun musuhnya kerana dilhat bijak menangani isu, menjawab pelbagai persoalan dan mempunyai rancangan serta gerak kerja yang dilihat amat bijak. Proton , Putrajaya dan KLCC adalah antara perkara yang boleh dikaitkan dengan ciri kebijaksanaan ini.

2. Kemahiran
Pemimpin dengan kemahiran yang tinggi khususnya yang berkaitan dengan melibatkan kumpulan sasarnya adalah individu yang amat menarik perhatian. Kemahiran ini boleh dikaitkan dengan pelbagai perkara sama ada berkait secara langsung atau tidak. Ketua pasukan bolasepak sebagai contoh selalunya dikaitkan dengan kemahiran bermain yang tinggi. Pemimpin dengan pelbagai disiplin kemahiran sememangnya mudah membezakan diri mereka dengan individu yang lain.
Kemahiran membolehkan pemimpin menguasai gerak kerja, ruang perbincangan dan penyelesaian masalah. Hanya orang yang mahir tahu menggunakan apa saja yang ada disekelilingnya untuk melunaskan tugasan yang diberikan.
Pemimpin yang mahir dengan sesuatu perkara akan selalu menjadi pakar rujuk kumpulan yang dipimpinnya. Ini memudahkan proses mempengaruhi kumpulan sasar kerana apa yang dikatakan atau ditunjukkan olehnya akan menjadi model ikutan semua.
Sebagai contoh, ketua pasukan silat selalunya ialah orang yang paling hebat kemahiran bersilatnya.

3. Penampilan
Pemimpin yang menarik mempunyai penampilan yang istimewa dan menyebabkan orang lain mudah meletakkan pemimpinnya dalam kelompoknya yang tersendiri. Imej yang terbentuk dari penampilan amat memainkan peranan untuk menjadi daya tarikan kepada kumpulan sasar.
Pakaian, aksesori, solekan, penyesuaian tatacara berpakaian adalah antara komponen yang menjadi tarikan dari aspek penampilan ini. Penampilan yang bersesuaian dengan masa dan tempat akan memberikan kesan yang besar kepada kumpulan sasar. Sebagai contoh, pemimpin yang berpakaian seperti orang kebanyakan di tempat yang betul akan membuatkan mereka dikagumi rakyat dan ini telah dibuktikan oleh Yang Dipertuan Agong Sultan Muhammad 2.
Kereta mewah antara aksesori yang sering digunakan untuk menunjukkan kehebatan seorang pemimpin. Hal ini telah diguna dengan sangat meluas sehinggakan ramai yang telah menjadi mangsa penipuan pelbagai skim cepat kaya.

4. Jawatan
Jawatan dan gelaran adalah komponen yang menyebabkan ramai tertarik dengan seorang pemimpin. Pemimpin dilihat perlu memiliki gelaran dan jawatan yang hebat bagi menunjukkan pencapaian mereka. Ini adalah kerana sifat manusia yang suka mengaitkan diri mereka dengan orang yang berpengaruh. Jalan pintas untuk mendapatkan pengaruh ialah dengan jawatan dan gelaran yang hebat.
Pengerusi , Yang Di Pertua , Presiden , Datuk, Datin dan sebagainya meletakkan seseorang di hirarki yang mana mudah menunjukkan kemampuan seseorang pemimpin itu membuat atau mempengaruhi proses sesuatu keputusan. Jawatan juga memberikan autoriti terhadap sesuatu proses kerja. Ini akan memberikan kelebihan kepada sesiapa yang rapat dengan punca kuasa ini.
Jawatan berdasarkan profesion turut mempengaruhi proses kepimpinan. Doktor, Profesor, Chef, IGP dan sebagainya juga terbabit dalam hal ini. Ini mampu merujuk kepada tahap kemahiran seseorang dengan nama jawatannya, sekaligus membuatkan orang yang memiliki jawatan sebegini amat bernilai di mata mereka.

5. Jantina
Setiap jantina mempunyai kekuatan dan kelemahan yang unik. Ini adalah kerana setiap jantina mempunyai peranan yang spesifik. Dalam dunia kepimpinan, jantina turut memiliki tarikannya yang tersendiri.
Pemimpin lelaki dilihat dominan terhadap perkara – perkara melibatkan politik dan perniagaan. Pemimpin wanita pula dilihat menguasai pergerakan berlandaskan kepentingan kumpulan yang diwakilinya terutama berkaitan perjuangan hak, kelestarian sesuatu dan yang tidak melibatkan perebutan sumber.
Pemimpin lelaki sesuai kepada perkara yang berkaitan konflik, penetapan dasar dan polisi. Pemimpin lelaki dilihat sesuai mempengaruhi kumpulan sasar yang terdiri dari pelbagai jantina. Pemimpin wanita pula lebih mudah berada di dalam kelompok bercampur sekiranya ia berasaskan lantikan jawatan kerja.

Pemimpin lelaki lebih cekap dalam penggunaan istilah, kata – kata teknikal dan frasa yang rumit berbanding pemimpin wanita yang lebih hebat dalam menyampaikan rasa melalui mesej – mesej mereka. Mesej perasaan ini mudah meresap masuk kepada kumpulan yang meletakkan perjuangan hak, kumpulan minat dan sebagainya.

Salam Aidiladha - Pengorbanan dan Padang Mahsyar

Keadaan dalam foto ini mungkin hanya 1/1000000 dari keadaan di Padang Mahsyar kelak. Manusia bersesak - sesak dalam keadaan hati yang gundah gulana takut akan dihisab oleh Allah dengan mizannya.
 
 

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim sebagaimana diceritakan oleh Abu Hurairah r.a yang mendengar dari Rasullullah SAW mengenai 3 golongan yang pertama sekali yang akan ke neraka.

Mereka bukanlah dari kalangan pendosa besar seperti penzina, pembunuh dan sebagainya.

Sebaliknya 3 golongan yang selalu dilihat berkorban tetapi pengorbanan mereka sia - sia.

Golongan pertama : Mereka yang mati syahid di jalan Allah. Kenapa pula mereka dilempar ke neraka sedangkan mereka ini berkorban mempertahan agama?
Kerana mereka ini berbuat demikian agar dikatakan orang yang mereka ini gagah dan berani.

Golongan kedua : Orang yang mempelajari dan mengajarkan orang mengenai Al Quran.
Kenapa pula mereka ini masuk neraka sedangkan mereka berusaha dan mengembangkan ilmu Al Quran?

Kerana mereka ini menuntut ilmu AlQuran supaya dikatakan sebagai alim dan pandai oleh orang lain.
Membaca Al Quran dengan baik kerana mahu disebut orang sebagai qari / pembaca yang hebat, sedap dan lunak suaranya.
Menggunakan Al Quran untuk berdebat mempertahan hujah mereka dan diangkat sebagai orang hebat.

Golongan ketiga : Mereka yang hidup kaya raya.

Kenapa pula mereka ini? Bukankah mereka ini berkorban harta benda?

Kerana mereka mahu dipanggil orang sebagai dermawan. Meski mereka memberi infaq kepada orang lain tetapi dihatinya adalah tentang dilihat hebat oleh orang lain.

Sahabat semua...
Pengorbanan bukan untuk disebut - sebut.
Pengorbanan bukan untuk dirai dan dicanang orang.

Tiga kelompok di atas ini menerima peluang berbuat baik. Malangnya hati mereka tidak tulus, ikhlas dan ihsan.
Mudah sangat manusia terjebak ke lembah hina hanya kerana masalah qalbu yang tidak salim.

Sedangkan 3 golongan yang dilihat baik ini juga berkemungkinan dihumban ke neraka, bagaimana pula kita yang baca Al Quran pun malas, berjihad pun tak mahu atau bakhil dan kikir?

Semoga kita menghayati Aidiladha ini sebaik - baiknya agar kita menjiwai erti pengorbanan sebenar.

Wallahu A'lam

Analogi - Kasut dan Ahli Politik

Pada hemat saya...

 
Ahli politik sewajarnya seperti kasut.
Kasut perlu praktikal.
Kasut perlu mempunyai tujuan spesifik dan ciri spesifik.
Kasut sepatutnya melindungi kaki, dan membawa kita ke lokasi yang sepatutnya dia sesuai digunakan.

Bila beli kasut yang mahal, kesudahannya kita yang sibuk jaga kasut walhal kasutlah yang sepatutnya melindungi kita.
Bukan semua orang tahu berapa harga kasut kita.
Ramai saja yang tak peduli kasut jenis apa kita pakai.
Kita yang rasa seronok sendiri dengan kasut yang kita beli
.
Bila kasut mahal, ia jadi memeningkan apabila ia mula rosak. Nak dibuang sayang, nak baiki rasa tak berbaloi. Sudahnya hanya simpan menyemakkan mata.
Selipar jepun dan terompah meski tidaklah cantik dan mahal, tetapi berdaya tahan. Meski tak sesuai dibawa ke majlis rasmi tetapi kebanyakan masa, ia sangat membantu.
Lagi pun, bukan sepanjang masa kita di majlis rasmi.

Jika terpijak duri, kasutlah yang harus merasainya dulu..
Jika terpijak najis, kasut jugalah yang menekannya dulu..
 
Apabila pemimpin politik seperti kasut yang praktikal, kita tak rasa susah melepaskan jawatan.
Kita tak rasa gusar menukar ganti.
Kita tidak pening menguruskan dia kerana sepatutnya, dia menguruskan kita.
Semahal mana pun kasut, ia tetap di bawah..bukan di kepala

Kenapa perlu berbuat baik?

Selalu juga saya ditanya...
 
"Bro.. kenapa kena tulis yang tulus mulus dan baik - baik aje ye?"
"Wa..dah kurang tulis yang padu , tajam dan sinis nampak..dah insaf ke?"
 
Benar..tulisan saya semakin kurang yang pedas dan pedih..

Pantun Melayu ada menyebut..

Pulau Pandan jauh ketengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang jua

 
Kenapa perlu berbuat baik?
 
Berkata Ibnu Abbas - "Empat perkara apabila dimemilikinya, maka beruntunglah dia : Jujur, Malu , Perangai yang baik dan Bersyukur"
 
Hidup kita ini ada dua umur.
Umur pertama adalah semasa hayat kita ini.
Umur kedua lebih panjang iaitu selepas kita mati.

Selepas kita mati, mayat kita ditanam, ..maka sepulang saja orang yang hadir ke kubur kita pastinya akan mula bercerita mengenai kita. Di saat itu, umur kedua kita bermula.

Jika baik perbuatan kita semasa hayat baik dan tulus, maka selamanya akan disebut orang akan kebaikan kita.
Bayangkan kalau kita tidak baik..selamanya keburukan, aib dan kelemahan kita akan terus menerus disebut orang.

Imam As Syafie contohnya, sehingga kini masih disebut orang akan kebaikan, kehebatan dan sumbangan beliau kepada dunia Islam.

Firaun , Namrud, Qarun dan ramai lagi pula sebaliknya disebut - sebut mengenai kejahatan mereka sehingga hari ini.

Maka, kalaulah kita mati kelak, orang pula scroll dan melihat semula catatan kita di FB, blog, twitter dan segala macam medium yang ada ini, agaknya banyak benda baik atau buruk yang kita tuliskan semasa hayat kita?

Wallahu A'lam

Koleksi Ihya Ramadhan 2016 (17 Jun 2016)

Ihya Ramadhan (17 Jun 2016)

"Bro! Sertai kami!! Jangan risau bro! Setahun je mesti dapat beli punya kereta tu! Mesti boleh dapat punya banglo tu.."
Biasa dengar kan?

 
Sahabat..
Yang perlu kita mohon pada Allah ialah dicukupkan keperluan kita, bukan diberikan sebanyak - banyaknya.
Banyak belum tentu cukup... Sikit belum bererti kesempitan.

Orang yang kaya itu ialah orang yang merasa cukup... Bukan selalu saja terbayang apa lagi yang ingin dimilikinya.

Usah di cari kekaguman manusia.
Yang di cari ialah redha Allah


"Aahhh ... Kau ni cakap macam tak payah usaha apa - apa je kat dunia ni! Kufur nikmat tu.."

Sahabat...
 

Tiadalah dilarang merasai nikmat dunia.
Belilah apa saja yang kita mahu selagi mana mampu.
Tidak salah dalam membeli atau memiliki sesuatu nikmat dunia ini.
Cumanya, bila nikmat dunia sering dijadikan motivasi itu yang sering mengundang mudarat.
 

Lebih malang, bila meraih nikmat itu yang diangkat dan dijulang adalah syarikatnya dulu, produknya dulu, pemimpinnya dulu atau sistemnya dulu.
Walhal rezeki sudah disusun oleh tuhan.


Wallahu A'lam

Koleksi catatan Ihya Ramadhan 2016 (29 Jun 2016)

Ihya Ramadhan (29 Jun 2016)

Jika kita lihat dalam keadaan sekarang, Islam diserang dari pelbagai penjuru. Sejarah pula menunjukkan ketika Islam masih belum ramai penganutnya, Islam amat disegani malah ditakuti oleh musuh - musuhnya meskipun mereka adalah empayar besar seperti Rom dan Parsi.

Kenapa pula bila Islam makin ramai pengikutnya tetapi Islam kelihatan seperti di luar kawalan penganutnya?

Dalam hadith berkaitan penyakit Wahn, disebutkan oleh Rasullullah SAW bahawa penyakit Wahn itu ialah
1. Cintakan dunia
2. Takut Mati


Bila kita renungkan semula, di zaman Islam masih belum besar pengaruhnya, penyakit Wahn ini tidak menular. Ini jelas kita lihat dengan pengorbanan para sahabat melalui apa saja yang mereka mampu berikan jiwa dan raga. Keadaan sekarang adalah sebaliknya - maka ia sangat bertepatan dengan hadith Nabi SAW berkenaan penyakit Wahn ini (sila rujuk hadith riwayat Abu Daud nombor 4297)


حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ إِبْرَاهِيمَ الدِّمَشْقِيُّ، حَدَّثَنَا بِشْرُ بْنُ بَكْرٍ، حَدَّثَنَا ابْنُ جَابِرٍ، حَدَّثَنِي أَبُو عَبْدِ السَّلاَمِ، عَنْ ثَوْبَانَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ يُوشِكُ الأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا ‏"‏ ‏.‏ فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ ‏"‏ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزِعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهَنَ ‏"‏ ‏.‏ فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهَنُ قَالَ ‏"‏ حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ ‏"‏ ‏.‏
حكم: صحيح (الألباني)
 
Sedikit menyentuh mengenai 2 ciri penyakit Wahn ini, mudah kita perhatikan ia subur dikalangan kita. Saban hari manusia kini teruja mengejar cita - cita dunia dengan berusaha sehabis mungkin untuk memiliki perkara mewah dan hebat di mata mereka.

Bagaimana pula dengan ciri kedua iaitu Takut Mati?

Dibahaskan oleh ramai ulama, takut mati bukan saja merujuk kepada hari kematian kita.
Ia memiliki konteks yang lebih besar dalam dunia akhir zaman ini iaitu TAKUT MENGAMBIL RISIKO BERBUAT BAIK.

Ramai yang terjebak dalam hal ini.

Perkara yang salah di depan mata didiamkan. Tak mahu ditegur atau dibetulkan atas kebimbangan hilang jawatan, pengaruh, pendapatan atau keistimewaan lain.

Takut mati jika disesuaikan dengan perkara di atas, maka kita dapat lihat ia sangat berkait dengan ciri pertama iaitu Cinta Dunia.

Takut nak menyatakan kebenaran kerana takut diambil tindakan.

Takut menegur pemimpin kerana bimbang ditukarkan tempat kerja atau diturunkan pangkat

Dan bermacam lagi perkara yang secocok dengannya.

Allahu Akbar.
Inilah cabaran kita dizaman ini.
Semoga kita mendapat keredhaan Allah atas setiap apa yang kita pertahankan

Wallahu A'lam

Analogi Kepimpinan - Kapcai vs Superbike

Melihat kepada pelbagai krisis kepimpinan mutakhir ini di Malaysia yang melibatkan kesemua parti politik dalam pelbagai bentuk, antaranya;

1. UMNO - Tun Mahathir semakin lantang mempersoalkan kewibawaan Najib
2. Tuan Guru Haji Hadi yang dibelasah teruk oleh pelbagai pihak dan lapisan ahli PAS
3. MIC yang bercakaran pucuk pimpinannya
4. Gerakan pemimpin muda yang semakin agresif dalam MCA dan membawa haluan baru
5. DAP yang dilihat tidak tetap pendirian di dalam Pakatan Rakyat
6. PKR yang masih terperangkap dengan bentuk kepimpinan DSAI dan semakin kurang menyengat apabila DSAI ke Sungai Buloh dan hanya Rafizi di lihat kedepan.

Dan macam - macam lagi....

Analogi yang ingin saya bawakan di sini ialah berkisar dengan salah satu perkara kegemaran saya iaitu motorsikal.

Perasan atau tidak, banyak kemalangan melibatkan motorsikal berkuasa tinggi atau superbike berlaku di selekoh? Jika berlaku di laluan tegak biasanya ia adalah perkara diluar kawalan penunggang sendiri seperti kenderaan lain tiba - tiba berhenti atau ada kenderaan lain melintas secara tiba - tiba. Tetapi kemalangan di selekoh adalah selalunya atas kelemahan penunggang sendiri kecuali - jalan berminyak dan mereka tidak menyedarinya. Kemalangan di selekoh selalunya berlaku dalam keadaan superbike ini tidak berjaya melepasi selekoh itu dengan baik dan kadang - kadang terus tegak menghentam tembok! Mengapa begini sedangkan mereka adalah penunggang kapcai yang baik?

Begini..

Kuasa motorsikal kapcai yang kecil (maksimum 150cc) adalah lebih mudah dikawal dan ini dibantu dengan saiz kapcai yang kecil. Maka untuk mencelah, mencilok dan mengambil selekoh adalah mudah kerana handle kapcai yang lebih luas sudut pusingannya (lebih kurang sama macam basikal) membolehkan penunggang menyesuaikan keadaan dengan mudah. Maka untuk segera cekap dengan kapcai tidaklah memakan masa yang lama terutama buat mereka yang sudah cekap dengan basikal. 
Jelas sekali asas pengendalian kapcai ialah basikal.

Berbanding superbike, daya kekuatan yang jauh lebih besar, saiz dan berat yang berganda dan sudut handle yang lebih kecil memerlukan bentuk latihan yang berbeza. Kedudukan badan yang betul membantu mengurangkan kelenguhan malah daya agakan perlu lebih sensitif. Untuk melayan 'corner' dengan baik penunggang perlu tahu bagaimana menggunakan berat badan untuk membolehkan badan superbike turut turun bersama meleper di jalanraya.

Nah..mari bandingkan kedua - duanya : Motorsikal dan Kuasa kepimpinan


Kuasa motorsikal umpama kuasa kepimpinan. Makin besar kuasa motorsikal maka makin berpengaruhlah seseorang pemimpin. Penunggang superbike lebih diperhati orang berbanding penunggang kapcai kan? Makin kecil kuasa kapcai makin selalu tertinggal di belakang. Makin kecil kuasanya makin kurang menarik perhatian. Maka cara kapcai menarik perhatian antaranya ialah dengan memasang ekzos yang lebih bising. Meski tidaklah meningkatkan kelajuan sangat tetapi bisingnya menarik perhatian! Faham sekarang kenapa ada sesetengah pemimpin kecil cuba menonjolkan diri dengan berbuat 'bising' meski yang dibisingkan itu tidak relevan?



Dengan kuasa yang kecil, lebih mudah mengawal motorsikalnya. Nak 'brake' pun mudah atau nak mengimbangkan pada laluan sempit pun mudah. Begitulah dengan kuasa, semakin besar kuasa semakin sukar mengendalikannya. Kalau orang berkuasa besar tersilap langkah maka kesannya juga lebih buruk. Mengimbangi kuasa yang besar tidak mudah kerana lebih besar kelompok yang perlu dijaga maka kemahuan mereka juga lebih bervariasi.

Untuk melayan 'corner' dengan kapcai lebih senang, tanpa perlu merendahkan badan motor sudah boleh meleper. Superbike perlu merendahkan badan untuk motor turut sama meleper. Pemimpin tinggi perlu membawa diri lebih rendah untuk dihormati; semakin merendah diri makin disayangi rakyat bukan?

Penunggang superbike mestilah bermula perlahan, Kuasa yang besar pada motor itu perlu dikuasai sedikit demi sedikit. Jika tidak alamatnya ke temboklah mereka. Begitulah pemimpin, fahami kuasa yang dimiliki dan gunakannya sedikit demi sedikit. Jangan main belasah sahaja.

Nah...perhatikan setiap motorsikal yang lalu di mata anda dan buat sendiri perbandingan antara motorsikal dan kuasa! Pastinya ada banyak lagi yang boleh dipelajari dari itu.

Siri Motivasi - Teori Hierarchy Of Needs oleh Abraham Maslow (Bahagian 1)

Antara teori berkaitan motivasi yang sering disebut dalam pelbagai program motivasi oleh beribu - ribu motivator ialah Theory Hierarchy Of Needs oleh Abraham Maslow. Teori yang sangat dominan ini sering menjadi rujukan dan tak kurang juga menerima kritikan. 


Untuk berkongsi dengan anda, saya akan bawakan pencerahan mengenai teori ini dalam format video dan juga tulisan di blog ini. Setiap video akan saya rakamkan dalam durasi kurang dari 3 minit setengah bagi mengelakkan anda bosan menontonnya. Tapi kenapa pula perlu maklumat sebegini?

Pertamanya kerana dunia semakin mencabar. Dengan perlaksanaan GST sebagai contoh ramai yang mengalami tekanan dan kesannya. Ramai sekali bercerita mengenai apa yang mereka alami tetapi sedikit saja yang memikirkan apa yang perlu mereka lakukan bagi menangani hal ini. Dalam kata lain - kita perlu mencari rangsangan untuk bangkit dan memperkemaskan gerak kerja agar lebih berhasil.

Keduanya, ramai orang yang ingin berusaha, tetapi tidak pasti di mana dia harus bermula. Dengan dorongan yang betul, pelaburannya akan berbaloi. Tetapi bila terjumpa orang yang salah, graf MOTIVASI nya pasti akan menurun. Ada rezeki ia akan melambung semula, kalau tidak..dia akan hanyut.

MOTIVASI adalah perkataan yang besar : ada yang sudah bosan, ada pula yang tercari - cari.

Memahami teori Maslow setidaknya akan memberikan kefahaman yang lebih dengan apa yang sepatutnya mendorong kita. Saksikan edisi sulung ini.


Kemahiran? Kemahiran apa?

Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar, dengan pelbagai berita mengenai ketidakstabilan syarikat besar, mata wang menyusut dan GST yang memeningkan ramai orang, ramai yang cuba mencari jalan keluar dari belenggu kewangan yang mencengkam. Senario ini turut menggalakan pelbagai skim ponzi sama ada dalam atau luar negara berleluasa. Tidak kurang juga pelbagai jenis perniagaan atas talian dari ubat seks sampailah ke emas semakin kerap muncul bersilih ganti.

Ada juga rakan - rakan yang bertanya, apa yang dibuat sekarang? Syarikat yang dulunya stabil sudah mula desas - desus ingin mengecilkan saiz operasi malah tak kurang juga mula mengambil langkah penjimatan dan malangnya ia termasuklah kebajikan kakitangan.

Ketika ini, orang yang berkemahiran dilihat / dikatakan akan mempunyai kelebihan untuk terus kekal berjuang melawan arus cabaran ekonomi. Ini boleh difahami dengan secara tiba - tiba graduan universiti semakin teruk bersaing dengan pelajar Politeknik yang dilihat lebih berkemahiran. 

Rakan - rakan yang bekerja juga sering menanyakan soalan yang sama - apa yang perlu dibuat? Maka bila ditanyakan kembali mengenai kemahiran mereka, jawapan yang sama sering diberikan kepada saya iaitu : "Kemahiran? Kemahiran apa?"

Apakah yang dimaksudkan dengan kemahiran? Atau lebih berat lagi adakah dengan kemahiran kita boleh kekal bersaing?

Sebelum menjawab apa itu kemahiran, mari saya beratkan lagi fikiran saudara semua dengan perkataan ini : KECEKAPAN

Bayangkan anda ialah majikan. Anda mahu kakitangan yang cekap bukan? Maka apakah yang dimaksudkan dengan KECEKAPAN itu?

Memahami KECEKAPAN tidaklah susah. Formulanya begini;
KECEKAPAN = KEMAHIRAN + ILMU

Anda faham ILMU? Jika faham maka anda hanya perlu faham apakah KEMAHIRAN bagi melengkapkan formula KECEKAPAN.

Apakah KEMAHIRAN? Saya definisikan KEMAHIRAN sebagai berikut ;
Kebolehan melakukan sesuatu dengan tepat dan jitu secara berulang - ulang bila dan di mana saja ia diperlukan.


Kemahiran bukan seperti berjudi : ikut nasib. Kemahiran memerlukan proses pembelajaran dan pengulangan secara praktikal bagi menajamkan agar tepat tindakannya serta membolehkan penyesuaian berlaku walau apapun keadaannya. Orang yang mahir menjual barangan akan mudah saja mengendalikan apa juga jenis produk dan profil pelanggan yang berbeza. Pemain bolasepak berkemahiran tinggi bisa saja menyesuaikan diri dengan mana - mana pasukan dan bermain menentang siapa saja, stadium berbeza atau cuaca berbeza sekalipun.

Nah...duduk sebentar, tenangkan fikiran dan tarik nafas dalam - dalam.
Fahami diri sendiri, renungkan apakah bentuk kemahiran yang anda miliki dan bagaimana kemahiran itu boleh ditukar dengan wang. 
Anda mahir membuat kertas kerja, bertukang, menjahit, mengacarakan majlis atau apa saja yang boleh dimuatkan dengan definisi KEMAHIRAN itu tadi...maka ia pasti boleh ditukarkan dengan wang. Apabila sudah dikenalpasti, langkah seterusnya ialah BAGAIMANA MEMASARKAN DAN MENJUAL KEMAHIRAN ITU?

Adakah GEN Y kurang kreatif?

Antara perkara yang selalu ditanyakan kepada saya berhubung isu kepelbagaian generasi dalam penjawatan ialah - KENAPA BUDAK SEKARANG MACAM TAK KREATIF?


Jawapan saya;
Harus difahami bahawa masalah kurangnya kreativiti ini bukan saja menular dikalangan orang muda (Gen Y) malah merebak ke Baby Boomers sekalipun.
Kreativiti bukan hanya mengenai Multimedia!
Ramai yang terbayangkan kreativiti itu mesti bersifat hipsters, terkini dan trendy.
Malah terlalu mengikut trend seringkali menyebabkan kita menjadi tidak kreatif. Kenapa begitu?

Semakin kita meningkat usianya, masa lapang kita semakin terarah kepada apa yang dilakukan oleh orang lain. Pengaruh sosialisasi menyebabkan kita lebih gemar buat apa yang orang lain buat. 

Contoh :

1. Whatsapp menjadi medium penting kepada perkongsian segala macam hal dari urusan pejabat hingga ke persatuan penduduk. Malah gambar, video dan info viral jauh lebih mudah tersebar menerusi Whatsapp kerana penggunaan smartphone yang jauh lebih praktikal dari komputer. Hanya perlu tekan copy dan paste saja atau tekan Save Image / Printscreen dan kongsikan saja! Maka setipa masa lapang kita perlu refresh, refresh dan refresh Whatsapp kita..bukan?

2. Bercuti bersama keluarga hari ini lebih terarah ke hotel dan resort percutian dan jadual percutian setiap keluarga semakin ketara persamaannya : 

Check in
Makan
Kolam mandi
Makan
Karaoke / Libur malam
Sarapan pagi
Kolam mandi
Check out

3,. Makan aiskrim dalam pasu! Pastinya rasa pasu itu tidak mempengaruhi rasa aiskrim bukan? Apa lagi selepas ini? Aiskrim tayar? Aiskrim dalam mentol?



Itu adalah sebahagian dari senario perubahan bagaimana masa lapang terisi di zaman ini. Apabila kita lebih mengisi kekosongan ini dengan apa yang orang lain lakukan disekeliling kita, maka perilaku berangan - angan, berimiginasi dan membayang - bayangkan sesuatu makin kurang berlaku. Tanpa kehadiran angan - angan, berimaginasi maka kreativiti akan mudah tersekat.

Lebih memburukkan keadaan apabila sistem pembelajaran dari peringkat rendah ke tinggi lebih menekankan kita belajar dan menghafal apa yang telah diteroka oleh bijak pandai yang terdahulu tanpa menggalakkan mereka membaiki atau mengolah semula apa yang mereka belajar. Terkini sebagai contoh, jawapan peperiksaan mata pelajaran Sains anak sulong saya ditolak guru dan dipangkah salah kerana jawapan anak saya menjelaskan jawapan secara panjang lebar (ruang jawapannya banyak, maka anak saya menjawab secara soalan subjektif) walhal cikgu hanya mahu jawapan YA atau Tidak (tanpa arahan jelas yang guru mahukan jawapan sebegitu).

Kita lebih terarah untuk fokus kepada apa yang sudah diciptakan untuk kita. Facebook sudah dicipta, gunakan sajalah! Bukankah begitu?

Maka, adakah ini masalah Gen Y sahaja? Nampaknya tidak..apabila kita sudah kurang mencuba, maka kreativtii akan terjejas. Jadi, apakah jalan merangsang kreativiti? 

Ada banyak jalan ..mulakan dengan memahami ini :

KESEMPITAN ADALAH ASAS KEPADA KREATVITI

Seasonal Affective Disorder (SAD) - Adakah ia wujud di Malaysia juga?

Semasa melakukan tugasan dalam kelas matapelajaran Abnormal Psychology dulu, saya membentangkan Seasonal Affective Disorder (SAD) yang menjadi sebahagian besar punca penghasilan band - band dengan genre Black Metal / Death Metal dari wilayah Scandinavia.

Kemurungan kerana perubahan cuaca yang panjang mengakibatkan orang muda menjadi pasif, tertekan dan perubahan tingkahlaku yang nyata terutama apabila menerima gelap yang panjang atau musim dingin yang lama.

Oleh itu muzik agresif membantu mereka keluar dari kebosanan dan tema - tema 'gelap' disesuaikan. Viking, Satanic, Paganisme dan pelbagai lagi tema seram dan menggerunkan menjadi pilihan mereka atas asbab budaya sebegitu amat dekat dengan masyarakat mereka.


Antara band - band popular sekitar 90an



Meskipun akan / pasti wujud pertentangan dengan idea saya berkaitan tercetusnya muzik yang dilihat penuh dengan elemen ganas, seram dan anti kristian ini, ia tetap perlukan satu sudut pandang psikologikal kenapa genre muzik sebegini terhasil dan apa yang mendorong kepada tingkahlaku sedemikian. Setiap bangsa punya ciri muzuk tersendiri dan proses sosialisasi dan pembangunan masyarakat amat berkait rapat dengan penghasilan budaya dan sub-budaya masyarakat berkenaan.

Baca lanjut mengenai Black Metal di sini

Perkaitan perkara di atas saya lihat mempunyai ciri hampir sama yang sedang berlaku di Malaysia hari ini. Cuaca yang sedang berubah kepada hujan sepanjang hari di merata Malaysia turut menyebabkan ramai menjadi pasif dan bentuk aktiviti serta komunikasi berubah. 

Hujung tahun yang mana ia adalah waktu cuti sekolah menjadi sedikit suram apabila ramai ibu bapa Generasi X terutamanya menjadi bingung apa yang perlu di isi pada cuti hujung tahun ini kerana hujan menyebabkan aktiviti luar seperti berkelah, percutian di taman tema dan sebagainya menjadi terbantut. Kesudahannya, terperap di rumah atau hanya ke pusat membeli belah dan aktiviti dalaman sahaja dapat dibuat bersama.

Dengan adanya internet, setidaknya ia membantu manusia mengekalkan interaksi berbanding 20-30 tahun dahulu yang mana ekspresi tingkahlaku lebih kuat berbanding ekspresi emosi.
Apa maksudnya?

Ekspresi tingkahlaku di era sebelum internet membuatkan masyarakat menggerakkan tubuh badan dengan lebih banyak untuk mengimbangi suasana muram. Masyarakat Malaysia sebelum internet memanfaatkan musim tengkujuh dengan pelbagai aktiviti berkaitan air dana perikanan seperti menangkap ikan di kawasan banjir dan membaiki peralatan menangkap ikan. Maka dengan adanya aktiviti sebegini, ia mengurangkan risiko SAD dikalangan masyarakat ketika itu.

Dalam suasana sekarang, ekspresi bersifat emosi lebih banyak berlaku berbanding tingkahlaku. Media sosial memberikan sokongan emosi di mana perkongsian status, perbincangan dan perbualan santai, foto dan video yang banyak turut membantu masyarakat Malaysia untuk kurang terdedah kepada SAD. Meskipun kebergantungan kepada internet bukanlah satu perkara yang sangat baik namun ia setidaknya membantu.

Cuma, keadaan cuaca sekarang ini juga kerap menimbulkan rasa bosan terutamanya jika kita tidak kreatif dalam menanganinya. Adakah anda mengalami simptom ini?
1. Pengambilan makanan berlebihan - Makan adalah antara aktiviti popular ketika bosan..setuju?
2. Perubahan mood yang kerap - Teruja merancang sesuatu tetapi ia terbantut kerana cuaca tidak menyebelahi kita.
3. Berasa kurang bertenaga - Rasa letih dan lesu serta tidak bermaya. Ia adalah kesan kepada pergerakan fizikal yang kurang aktif.
4. Masalah tidur - Jam biologi anda mengalami masalah dan akibatnya, waktu tidur anda menjadi tidak menentu. 
5. Sukar untuk fokus - Otak menggunakan 40% dari keseluruhan fungsinya untuk ketangkasan. Apabila anda lebih banyak berada dalam keadaan Dormant , maka ketangkasan menurun dan ia menyebabkan anda sukar untuk fokus terhadap sesuatu.

Jika anda mengalami simptom di atas? Hubungi saya menerusi mohsenamdan@gmail.com

Masa sebagai modal kehidupan di dunia

Sejak kebelakangan ini saya kerap menekankan aspek waktu sebagai elemen penting dalam kehidupan. Malah hampir dalam setiap program saya, pasti saya akan kongsikan mengenai perihal waktu vs wang.
Kenapa masa / waktu itu penting?
Kerana masa / waktu itu umpama modal yang diberikan Allah kepada kita bagi menjalani kehidupan di dunia ini. Orang yang beruntung dalam 'perniagaan' di dunia ini pastinya orang yang berjaya menguruskan modalnya dengan baik - dalam kata lain, manusia yang berjaya menguruskan masanya dengan baik maka dialah yang paling beruntung. 
Bagaimana menggunakan modal masa ini bagi mendapatkan keuntungan maksimum? 

Pertamanya setiap dari kita wajar sedar bahawa setiap orang memiliki modal harian yang sama banyak iaitu 24 jam sehari. Maka memaksimumkan 24jam ini dengan perkara kebaikan pastinya akan menguntungkan kerana hanya perkara kebaikan saja yang mampu membuahkan hasil untuk dibawa ke akhirat kelak.

Kedua, melipatgandakan keuntungan pelaburan modal masa seperti mana dalam perniagaan manusia dengan pelbagai teknik menggandakan wang, 
Alangkah untungnya dengan sekali ibadah dan keuntungannya berganda. Bukankah banyak bentuk ibadah yang berganda kebaikannya?
Kalau dalam perniagaan kita beriya - iya belajar cara menggandakan keuntungan, pergi berkursus dan seminar di sana sini untuk belajar menjadi jutawan, kenapa tidak kita belajar dan mencari ilmu bagaimana boleh kita gandakan pahala kebaikan yang kita laksanakan?

Kuatkanlah hati, manfaaatkanlah masa yang ada sebagai modal kita, Kalau kita bimbang kadar faedah bank naik turun akan menjejaskan kewangan kita, maka kita lebih wajib risau dengan pinjaman Allah kepada kita kerana, kita tidak pernah tahu bila tempoh pinjaman kita akan tamat.
Secara tiba - tiba Allah mengambil nyawa kita, dan apabila saat itu tiba, hanya pelaburan yang baik sahaja akan mampu menyelamatkan kita dari pembalasan Allah.
Allahu Akbar! 

VDO Terbaru - Kenapa Pantai Mendamaikan

Insya Allah, bermula 2015 nanti Blog Mohsen Amdan Berkata (MAB) ini akan dipisahkan dari Mohsen Amdan Consultancy Sdn. Bhd. Bermaksud MAC akan memiliki lamannya sendiri. Dan di dalam blog MAB akan wujud segmen khas iaitu VDO Terbaru - koleksi video idea dan pandangan saya mengenai isu semasa, psikologi, moitvasi dan analisis perkara seputar negara.

Untuk yang pertama ini, saksikan rakaman VDO Terbaru edisi sulung yang berlokasi di Tanjung Leman Johor.


Apa yang mendorong perubahan?

Perubahan adalah perkara yang berlaku setiap saat di dalam diri dan disekeliling kita sama ada kita sedar atau tidak. Terbaru, kerajaan negeri Selangor mengalami pertukaran Menteri Besar dengan suasana penuh kontroversi, polemik dan kekeliruan. Namun perubahan ini tetap berlaku dengan Menteri Besar terbaru yang menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim ialah YB Azmin Ali. Kalau di lihat dari dalam diri, perubahan sememangnya berlaku setidaknya pada sel - sel kita. Maka terbukti perubahan sememangnya berlaku.

Namun, satu persoalan penting yang harus ditanyakan ialah - Adakah kita hanya mengikut arus perubahan ini tanpa kita sendiri tidak mampu merubah apa - apa? Ramai yang takut untuk berubah kerana bimbang dilabel menongkah arus, tetapi jelas sekali ramai juga hanya cakap belakang apabila tidak berpuashati tentang sesuatu namun bila disuruh bertindak - masing - masing enggan mengambil peranan.

Maka, bolehkah kita menjadi agen perubahan? Jawabnya - PASTINYA BOLEH!
Oh ya..bukan sekadar omong kosong yang saya tawarkan dalam penulisan ini malah saya sendiri sudah melakukannya! Ohh..bukan untuk saya mendabik dada..tetapi sekadar berkongsi ilmu. Malah perubahan walau apapun tetap ditentukan oleh Allah SWT juga kerana atas kuasa dan kehendak Allah SWT jualah sesuatu perubahan berlaku. Jadi...apakah jalannya?

Sebelum kita mengetahui apakah jalannya melakukan perubahan itu, perlu kita tahu apakah yang memungkinkan perubahan berlaku. Berdasarkan pengalaman dan sedikit ilmu yang ada, berikut ialah perkaranya

1. Teknologi baru : Saya perhatikan ini adalah kunci besar kepada perubahan dalam dunia hari ini. Betapa syarikat gergasi dunia kebanyakkannya dikuasai oleh pemain industri teknologi. Apple, Samsung, Google, Microsoft, Facebook, Alibaba, Amazon adalah pemain besar dan mereka membina kekayaan mega tanpa menanti sehingga 100 tahun pun. Malah ramai yang mendapat manfaat dari perkara teknologi ini. Kempen politik, pengumpulan dana, berita dan sebagainya sangat mudah mempengaruhi manusia dan menggerakkan manusia kepada perubahan. Siapalah Psy satu ketika dulu tanpa Youtube? K-Pop kegilaan dunia dan mengakibatkan perubahan fesyen dan muzik dengan drastik. Wak Doyok adalah antara contoh hebat di Malaysia. 


Bagaimana saya memanfaatkan teknologi baru dalam mempengaruhi manusia kepada perubahan? Secara spesifiknya saya merujuk kepada www.bolarotan.com pastinya. Senario sepaktakraw Malaysia mengalami perubahan drastik dengan projek Bolarotan dan Facebook Masyarakat Bolarotan. Sebelum ini berita berkaitan sepaktakraw sangat terhad, video dan foto yang sangat sedikit, pendaftaran kejohanan masih manual, telefon dan faks tetapi kini ia telah berubah, Malah berani saya katakan siapa yang menggelar diri mereka pencinta sepaktakraw tetapi tidak mengenali Bolarotan.com bermaksud dia mungkin jarang akses kepada internet atau jarang bermain sepaktakraw secara serius! Sekali lagi, ini bukan pernyataan masuk bakul angkat sendiri tetapi realiti yang harus ditelan.

Dengan adanya teknologi baru, banyak proses kerja yang akan mengalami perubahan. Mesin faks sudah tidak relevan sama anda setuju atau tidak. Tidak mahir dengan telefon pintar atau komputer bermaksud anda adalah orang buta huruf di era ini. Semakin banyak sistem baru diperkenal dan ini memaksa masyarakat mengalami perubahan ini tanpa mereka sedar. Transaksi kewangan adalah antara contoh terbesar hari ini. Anda masih beli tiket kapalterbang dengan beratur ke kaunter?

2. Pendidikan : Semakin tinggi atau luas maklumat sampai kepada masyarakat melalui pendidikan sama ada secara formal atau tidak, ia menghasilkan kakitangan, pelangggan atau masyarakat yang lebih 'demanding' kerana mereka terlebih dahulu mendapat maklumat awalan mengenai sesuatu perkara. Contohnya, sebelum pergi bercuti, kita sudah pun mencari maklumat pelbagai perkara menegnai lokasi percutian. Maka natijahnya kita mengharapkan itu dan ini berdasarkan maklumat yang kita perolehi. Dan apabila apa yang dijangkakan itu tidak berlaku, maka senario pelanggan cerewet, meminta itu ini dan sebagainya terjadi. Ini adalah kerana mereka sudah pun menjangkakan itu. 

Dahulu orang tidak mudah bertanyakan pelbagai soalan kepada PM, tetapi kini pelbagai soalan, permintaan malah kritikan perlu dihadapi oleh PM kerana tahap pendidikan semakin tinggi. Adakah ia satu ancaman memiliki rakyat yang terpelajar?

Dahulunya susah untuk kita mencari orang yang dapat melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Tetapi kini ianya sudah terbalik. Semakin tinggi bentuk pendidikan yang ditawarkan, perubahan menjadi lebih cepat. Bandingkan bentuk pembelajaran 50 tahun dahulu dengan sekarang. 50 tahun dahulu menuju ke awal 90an bentuk pembelajannya tidak banyak banyak berubah, tetapi apabila teknologi semakin meningkat dan akses pendidikan menjadi lebih meluas dengan tertubuhnya berpuluh IPT, perubahan menjadi lebih pantas. Dulu untuk menggerakkan rakyat bagi satu - satu isu nasional memerlukan usaha berat manipulasi media dan menyempitkan saluran berita tetapi kini, dengan pantas masyarakat memberi respon kerana kebanyakkannya sudah terdidik untuk memproses maklumat dan berita.

3. Permintaan Pasaran : Ini tidak hanya merujuk kepada transaksi jual beli. Dalam politik sebagai contoh, pasaran kini rata - ratanya mahukan wajah baru dan segar. Maka pendekatan berbeza perlu dibawa bagi mendekati pengundi. YB Khairy Jamaluddin sebagai contoh memberikan gambaran bahawa dia tidak terlalu menekankan sentimen parti tetapi lebih kepada keterbukaan, tidak terlalu berprotokol dan mudah didekati. Ini membuatkan pasaran bergerak dan permintaan sebegini semakin banyak maka semalam muncul viral di internet wajah Selfie YB Hishamudin Hussein Onn pula menaiki kapal terbang kelas ekonomi dan ramai yang memuji. Jadi untuk mana - mana ahli politik yang sedang cuba membina laluan kerjaya ke peringkat tinggi atau cuba mempertahankan kerusi yang ada, mereka perlu memenuhi permintaan pelanggan ini - dan dalam konteks ini pelanggan ialah rakyat.


Power bank adalah antara contoh 'Market Demand' ini. dulunya pengguna tidak mempedulikan isu bateri sangat seperti sekarang, Tetapi oleh kerana penggunaan 'smartphone' semakin meluas dan kebergantungan kepada apps semakin tinggi, maka permintaan pelanggan kepada 'tenaga tambahan / sokongan' menjadi besar dan beribu jenis power bank terjual. Dan kesudahnnya, bentuk power bank mula mempengaruhi tabiat membeli kerana ia melibatkan aksesori lain seperti kable, penggulung kabel. kepala wayar pengecas, beg mengisi power bank dan sebagainya. Malah kalau dahulu perokok dengan selamba minta pinjam pemetik api atau mancis dari orang yang tidak dikenalinya, kini keadaan yang sama berlaku apabila kehabisan bateri telefon..selamba tanya orang lain ada tak power bank yang boleh dipinjam sekejap walaupun tidak mengenali mereka itu.

Ada dua lagi punca kepada perkara ini iaitu faktor PERSAINGAN dan satu lagi ialah ASPIRASI. Insya Allah kalau sempat saya tuliskan dilain masa.