Total Pageviews

Apa yang mendorong perubahan?

Perubahan adalah perkara yang berlaku setiap saat di dalam diri dan disekeliling kita sama ada kita sedar atau tidak. Terbaru, kerajaan negeri Selangor mengalami pertukaran Menteri Besar dengan suasana penuh kontroversi, polemik dan kekeliruan. Namun perubahan ini tetap berlaku dengan Menteri Besar terbaru yang menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim ialah YB Azmin Ali. Kalau di lihat dari dalam diri, perubahan sememangnya berlaku setidaknya pada sel - sel kita. Maka terbukti perubahan sememangnya berlaku.

Namun, satu persoalan penting yang harus ditanyakan ialah - Adakah kita hanya mengikut arus perubahan ini tanpa kita sendiri tidak mampu merubah apa - apa? Ramai yang takut untuk berubah kerana bimbang dilabel menongkah arus, tetapi jelas sekali ramai juga hanya cakap belakang apabila tidak berpuashati tentang sesuatu namun bila disuruh bertindak - masing - masing enggan mengambil peranan.

Maka, bolehkah kita menjadi agen perubahan? Jawabnya - PASTINYA BOLEH!
Oh ya..bukan sekadar omong kosong yang saya tawarkan dalam penulisan ini malah saya sendiri sudah melakukannya! Ohh..bukan untuk saya mendabik dada..tetapi sekadar berkongsi ilmu. Malah perubahan walau apapun tetap ditentukan oleh Allah SWT juga kerana atas kuasa dan kehendak Allah SWT jualah sesuatu perubahan berlaku. Jadi...apakah jalannya?

Sebelum kita mengetahui apakah jalannya melakukan perubahan itu, perlu kita tahu apakah yang memungkinkan perubahan berlaku. Berdasarkan pengalaman dan sedikit ilmu yang ada, berikut ialah perkaranya

1. Teknologi baru : Saya perhatikan ini adalah kunci besar kepada perubahan dalam dunia hari ini. Betapa syarikat gergasi dunia kebanyakkannya dikuasai oleh pemain industri teknologi. Apple, Samsung, Google, Microsoft, Facebook, Alibaba, Amazon adalah pemain besar dan mereka membina kekayaan mega tanpa menanti sehingga 100 tahun pun. Malah ramai yang mendapat manfaat dari perkara teknologi ini. Kempen politik, pengumpulan dana, berita dan sebagainya sangat mudah mempengaruhi manusia dan menggerakkan manusia kepada perubahan. Siapalah Psy satu ketika dulu tanpa Youtube? K-Pop kegilaan dunia dan mengakibatkan perubahan fesyen dan muzik dengan drastik. Wak Doyok adalah antara contoh hebat di Malaysia. 


Bagaimana saya memanfaatkan teknologi baru dalam mempengaruhi manusia kepada perubahan? Secara spesifiknya saya merujuk kepada www.bolarotan.com pastinya. Senario sepaktakraw Malaysia mengalami perubahan drastik dengan projek Bolarotan dan Facebook Masyarakat Bolarotan. Sebelum ini berita berkaitan sepaktakraw sangat terhad, video dan foto yang sangat sedikit, pendaftaran kejohanan masih manual, telefon dan faks tetapi kini ia telah berubah, Malah berani saya katakan siapa yang menggelar diri mereka pencinta sepaktakraw tetapi tidak mengenali Bolarotan.com bermaksud dia mungkin jarang akses kepada internet atau jarang bermain sepaktakraw secara serius! Sekali lagi, ini bukan pernyataan masuk bakul angkat sendiri tetapi realiti yang harus ditelan.

Dengan adanya teknologi baru, banyak proses kerja yang akan mengalami perubahan. Mesin faks sudah tidak relevan sama anda setuju atau tidak. Tidak mahir dengan telefon pintar atau komputer bermaksud anda adalah orang buta huruf di era ini. Semakin banyak sistem baru diperkenal dan ini memaksa masyarakat mengalami perubahan ini tanpa mereka sedar. Transaksi kewangan adalah antara contoh terbesar hari ini. Anda masih beli tiket kapalterbang dengan beratur ke kaunter?

2. Pendidikan : Semakin tinggi atau luas maklumat sampai kepada masyarakat melalui pendidikan sama ada secara formal atau tidak, ia menghasilkan kakitangan, pelangggan atau masyarakat yang lebih 'demanding' kerana mereka terlebih dahulu mendapat maklumat awalan mengenai sesuatu perkara. Contohnya, sebelum pergi bercuti, kita sudah pun mencari maklumat pelbagai perkara menegnai lokasi percutian. Maka natijahnya kita mengharapkan itu dan ini berdasarkan maklumat yang kita perolehi. Dan apabila apa yang dijangkakan itu tidak berlaku, maka senario pelanggan cerewet, meminta itu ini dan sebagainya terjadi. Ini adalah kerana mereka sudah pun menjangkakan itu. 

Dahulu orang tidak mudah bertanyakan pelbagai soalan kepada PM, tetapi kini pelbagai soalan, permintaan malah kritikan perlu dihadapi oleh PM kerana tahap pendidikan semakin tinggi. Adakah ia satu ancaman memiliki rakyat yang terpelajar?

Dahulunya susah untuk kita mencari orang yang dapat melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Tetapi kini ianya sudah terbalik. Semakin tinggi bentuk pendidikan yang ditawarkan, perubahan menjadi lebih cepat. Bandingkan bentuk pembelajaran 50 tahun dahulu dengan sekarang. 50 tahun dahulu menuju ke awal 90an bentuk pembelajannya tidak banyak banyak berubah, tetapi apabila teknologi semakin meningkat dan akses pendidikan menjadi lebih meluas dengan tertubuhnya berpuluh IPT, perubahan menjadi lebih pantas. Dulu untuk menggerakkan rakyat bagi satu - satu isu nasional memerlukan usaha berat manipulasi media dan menyempitkan saluran berita tetapi kini, dengan pantas masyarakat memberi respon kerana kebanyakkannya sudah terdidik untuk memproses maklumat dan berita.

3. Permintaan Pasaran : Ini tidak hanya merujuk kepada transaksi jual beli. Dalam politik sebagai contoh, pasaran kini rata - ratanya mahukan wajah baru dan segar. Maka pendekatan berbeza perlu dibawa bagi mendekati pengundi. YB Khairy Jamaluddin sebagai contoh memberikan gambaran bahawa dia tidak terlalu menekankan sentimen parti tetapi lebih kepada keterbukaan, tidak terlalu berprotokol dan mudah didekati. Ini membuatkan pasaran bergerak dan permintaan sebegini semakin banyak maka semalam muncul viral di internet wajah Selfie YB Hishamudin Hussein Onn pula menaiki kapal terbang kelas ekonomi dan ramai yang memuji. Jadi untuk mana - mana ahli politik yang sedang cuba membina laluan kerjaya ke peringkat tinggi atau cuba mempertahankan kerusi yang ada, mereka perlu memenuhi permintaan pelanggan ini - dan dalam konteks ini pelanggan ialah rakyat.


Power bank adalah antara contoh 'Market Demand' ini. dulunya pengguna tidak mempedulikan isu bateri sangat seperti sekarang, Tetapi oleh kerana penggunaan 'smartphone' semakin meluas dan kebergantungan kepada apps semakin tinggi, maka permintaan pelanggan kepada 'tenaga tambahan / sokongan' menjadi besar dan beribu jenis power bank terjual. Dan kesudahnnya, bentuk power bank mula mempengaruhi tabiat membeli kerana ia melibatkan aksesori lain seperti kable, penggulung kabel. kepala wayar pengecas, beg mengisi power bank dan sebagainya. Malah kalau dahulu perokok dengan selamba minta pinjam pemetik api atau mancis dari orang yang tidak dikenalinya, kini keadaan yang sama berlaku apabila kehabisan bateri telefon..selamba tanya orang lain ada tak power bank yang boleh dipinjam sekejap walaupun tidak mengenali mereka itu.

Ada dua lagi punca kepada perkara ini iaitu faktor PERSAINGAN dan satu lagi ialah ASPIRASI. Insya Allah kalau sempat saya tuliskan dilain masa.