Total Pageviews

Showing posts with label pengalaman hidup. Show all posts
Showing posts with label pengalaman hidup. Show all posts

Kundasang - Genting - Cameron

3 program saya yang terakhir berlangsung di 3 kawasan tanah tinggi yang berbeza : Kundasang Sabah, Genting Highland dan Cameron Highland. Rezeki membawa saya ke 3 lokasi ini dalam masa singkat dan saya mengalami 3 pengalaman yang berbeza.




Ketika berprogram di Kundasang bersama JPPH sebelum ini, itu merupakan kali pertama saya ke sana seumur hidup. Genting Highland juga telah agak lama saya tidak menjejakkan kaki ke lokasi perjudian popular ini. Seingat saya kali terakhir adalah ketika mengendalikan program bersama PERHILITAN kira - kira 5 tahun lalu. Manakala Cameron Highland pula saya hanya pernah 2 kali ke sana sebelum ini iaitu ketika usia saya 12 tahun usai UPSR dan kali kedua ketika bekerja di McDonalds pada tahun 1995.

3 kawasan sejuk dengan 3 senario berbeza.

Di Kundasang, anda yang dari semenanjung pastinya teruja dengan pelbagai perkara sepanjang perjalanan ke puncak mahupun ketika sudah berada di atasnya. Kehijauan di kiri kanan disulami dengan bau hutan segar serta kabus dan awan berselang seli. Sangat menyegarkan dan pemandangan kampung masyarakat tempatan tanpa banyak sentuhan moden membuatkan anda terlupa seketika hiruk pikuk bandar. Tetapi, harga sayuran dan buahan di kedai - kedai di kaki Kundasang sedikit mencacatkan perasaan apabila harga di Kundasang lebih mahal dari Kota Kinabalu.

Genting Highland yang kini sedang membaik pulih kereta kabelnya pula di hangatkan oleh pasangan bercinta tak mengira bangsa dan juga si pemakai baju batik yang ingin berjudi. Memakai batik untuk berjudi? Ya..Muslim  tidak dibenarkan masuk ke pusat perjudian kecuali dengan perkenan VVVIP. Suasana Genting juga agak suram nampaknya dengan kehadiran pelancong yang lebih menjurus kepada acara yang di anjurkan seperti pementasan dan konsert. Taman Tema Genting juga adalah usaha menarik pelancong bergembira sambil bersejuk sejukan.

Cameron Highland pula saya perhatikan semakin pasrah di tarah untuk pelbagai tanaman. Namun rasa sejuk masih menggamit pelancong. Jagung organik dan buah strawberri adalah ole - ole wajib dari kawasan bersempadan Pahang - Perak ini. Jelas juga ramai warga Indonesia bekerja di puncak ini dengan pelbagai sifat tugasan. 

Malaysia pada hemat saya sememangnya mempunyai banyak tarikan yang boleh dijual kepada pelancong. Maka ia harus di bungkus dengan baik dan menarik supaya persaingan Singapura, Thailand dan Indonesia sebagai destinasi percutian dapat di imbangi.

Roda kehidupan

Assalamualaikum wbt


Kali terakhir saya menulis di blog ini ialah pada 7 Mac 2012 yang lalu. Sehingga saat ini , lebih dari sebulan saya tidak mengemaskini apa - apa di sini kerana saya melalui fasa kehidupan pusingan roda di bawah. 11 Mac 2012 sepatutnya menjadi hari yang menggembirakan kami sekeluarga tetapi berakhir dengan tragedi di mana kami terlibat dalam satu kemalangan maut yang disiarkan di semua suratkhabar Malaysia dan Singapura juga di RTM dan TV3.

Dalam kejadian yang mengerikan itu, saya sehingga hari ini masih trauma dan imbasan - imbasan kejadian masih menghantui saya. Sukar digambarkan apa yang saya alami ini tetapi pastinya ia antara pengalaman buruk hidup saya.

Tidak sampai sebulan, saya sekali lagi di timpa kemalangan teruk berhampiran laluan ke Pelabuhan Kuantan di mana kereta pengurus saya, Lukman Mohd Yusop hancur apabila bertembung dengan Perodua Viva. Saya kali ini di tempat duduk penumpang hadapan mengalami kesakitan yang teruk dibahagian dada. Trauma yang pertama masih belum reda di tambah pula dengan yang baru.

Ada beberapa lagi insiden dan perkara yang membuatkan saya agak lemah semangat dalam Mac serta April ini. Kadangkala terasa seperti begitu lemah dan kecewa. Namun, saya pasrah dan redha dengan ketentuan Ilahi. Mungkin ini adalah penghapus dosa - dosa lampau saya.

Sekiranya kitaran roda kehidupan saya kini di bawah, saya berdoa agar Allah membantu saya dalam mengharungi semua ini dengan tabah. Moga roda saya akan mula bergerak ke atas dalam sedikit masa lagi..segalanya dengan keizinanNYA jua..Allah Maha Besar

Menjadikan hobi sebagai sumber pendapatan

'Follow your passion' - Ini yang di katakan oleh mendiang Steve Jobs dalam kebanyakan pidatonya. Ia menjadi inspirasi kepada ramai manusia yang khususnya mencari jalan keluar dari tugasan rutin seperti di pejabat, kilang mahupun tempat kerja makan gaji yang lain.


Menjadikan hobi sebagai sumber pendapatan juga telah terbukti sebagai satu langkah bijak dalam meransang diri membina kerjaya. Bill Gates, Mark Zuckerberg, Oprah Winfrey adalah sekadar beberapa nama besar selain pemain - pemain On-line Games di Korea Selatan sebagai contoh kerjaya yang terbina dengan hobi.

Adakah anda mempunyai hobi? Atau anda sendiri bingung apa yang anda suka lakukan sebenarnya diwaktu lapang? Atau anda langsung tidak mempunyai waktu lapang?

Adakah merempit satu hobi? Bolehkah ia dikomersilkan?

Saya pada satu ketika juga tercari - cari apakah yang bersesuaian untuk saya jadikan kerjaya. Lulusan Psikologi di Malaysia tidak mudah mencari kerjaya bersesuaian ketika saya tamat pengajian dahulu. Maka dalam mencari diri sendiri, saya juga mengharungi pelbagai dugaan sebelum berjumpa dengan 'True Passion' saya. Menariknya, perkara yang saya lakukan kini sebagai kerjaya sebenarnya ialah minat saya sejak dahulu yang tidak saya terfikir untuk dikomersilkan.

Tetapi sesuatu yang ramai tidak sedari ialah, apabila anda memilih untuk mejadikan hobi sebagai kerjaya, contohnya minat kepada kamera membawa anda kepada dunia perniagaan fotografi. Tatkala ia menjadi perniagaan ia tidak lagi boleh dilayan seperti hobi. Ia harus diuruskan seperti perniagaan. Faham perbezaannya?

Begini, hobi merakamkan imej dahulunya hanya bergantung kepada lokasi dan masa yang anda ingin merakamkan imej. Tetapi bila ia menjadi perniagaan, anda secara langsung berurusan dengan keperluan dan kehendak pelanggan. Lokasi, masa, jenis penggambaran dan pelbagai perkara lagi harus diurus seperti perniagaan yang lain. Dalam kata lain ia tidak boleh dijalankan mengikut sesuka hati anda sahaja. Bezanya ialah anda melakukan dengan penuh minat dan bukan sesuatu yang anda tidak gemari.

Jadi, sambil duduk dan termenung fikirkanlah apa yang dekat di hati anda, suka anda lakukan dan anda akan lakukan ia walaupun tidak dibayar dengan setimpal - maka ia mungkin hobi yang anda cari - cari untuk dijadikan satu kerjaya profesional! Selamat berfikir!

Pengendalian Sidang Media - Kali pertama untuk diri sendiri

16 November 2011 menjadi catatan sejarah buat diri sendiri apabila  saya mengendalikan sidang media yang memerlukan saya sendiri membaca kenyataan medianya!. Semua berlaku dalam masa kurang dari 24 jam apabila kekalahan skuad sukan sepaktakraw Malaysia kepada Indonesia mengundang reaksi negatif dari kebanyakan peminat tanah air dan pastinya salah satu lagi laman blog saya iaitu Bolarotan,com menjadi rujukan kebanyakan pihak. Malah Facebook Masyarakat Bolarotan memerlukan saya mengadapnya hampir 10 jam sehari dalam tempoh 2 hari berturut - turut menyebabkan saya merasakan sesuatu harus dilakukan.


Presiden GPMS iaitu En. Jais yang berada di Palembang ketika ini menyaksikan sendiri kekalahan skuad Malaysia di tangan Indonesia. Melalui Facebook beliau menghubungi saya dan melepaskan kegeramannya dan terlintas difikiran saya akan sidang media. Pada mulanya saya ingin menyusun satu sidang media untuk En. Jais tetapi beliau hanya akan pulang selepas Sukan SEA berakhir.

Maka, pada hemat saya tindakan segera ini memerlukan saya dan pengikut Bolarotan serta ahli - ahli Gabungan Penggiat Sepaktakraw Nasional (GPSN) tampil memberikan pandangan mengenai isu ini. Tanpa berlengah segala pengalaman yang saya miliki dan ilmu yang saya ajarkan dalam kursus - kursus saya sebelum ini cuba dipraktikkan. Sememangnya sedikit kelam kabut tetapi mujur jaringan yang saya miliki membantu proses penyediaannya.

Akhirnya tadi ditemani hujan lebat di Lembah Kelang, sidang media yang dihadiri oleh RTM, Utusan dan Sinar Harian telah berlangsung dengan jayanya di pejabat saya. Walaupun ruang mesyuarat pejabat saya tidaklah besar sangat tetapi dapat memenuhi objektif. 

Wartawan Utusan, Abdul Hafiz Ahmad banyak membantu saya dalam penyediaan teks dan kenyataan media. Gabungan tulisan saya dan beliau menjadi satu kenyataan penuh untuk hari ini.

Gementar, risau, bimbang adalah antara perasaan yang bermain di dalam diri. Alhamdullillah semuanya berjalan lancar telah pun diterbitkan di Berita RTM 1 malam tadi. Semoga esok ia bakal muncul di dada akhbar pula.

Terimakasih kepada semua yang membantu..Allah sahaja yang dapat membalasnya!

Untuk menonton sidang media itu, sila klik di sini dan untuk kenyataan penuhnya di sini

Ramadhan 5 tahun dahulu...

Salam

Disaat ini saya terkenang dengan apa yang pernah saya lalui 5 tahun dahulu. Ketika itu Ramadhan menjelma dan saya menghadapi ujian berat dari Allah Ta'ala. Perniagaan yang dibangunkan oleh Allahyarham abang saya - Dr. Yusuff ketika itu tidak mampu saya jalankan dengan baik kerana kekurangan pengetahuan dalam menjalankannya. Dengan pemergian Allahyarham ayah kerana menderita sakit serta Allahyarham abang yang ketika itu merana kerana aniaya ilmu hitam, hidup saya ketika itu cukup mencabar. Anak sulung saya yang baru berusia beberapa bulan ketika itu dibesarkan dengan apa yang ada sahaja oleh isteri dan saya. Berbekalkan JBN 7753 - Proton Saga uzur peninggalan arwah saya dan isteri mencuba apa saja yang mampu bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Pada Ramadhan itu, saya dan isteri diberi cadangan oleh Allahyarham bapa mentua supaya berniaga. Berbekal duit yang tinggal tidak seberapa, saya dan isteri di bawa oleh ayah mentua ke kilang jeruk buah di Pulau Pinang. Kami pun memenuhkan bonet kereta dan berangkat pulang ke Kuala Lumpur dengan harapan usaha kami berjaya. Kami membungkus semula jeruk - jeruk ini kedalam botol dan plastik. Kami cuba iklankan melalui internet - malangnya tidak berhasil. Barangkali saya kekurangan ilmu perniagaan menerusi medium baru ini ketika itu.

Maka kami mengambil langkah lain - menjaja jeruk di bazar Ramadhan. Hendak menyewa tapak di bazar besar kami tidak mampu. Maka sekadar menyelit dicelah peniaga di bazar perumahan saya, kami meletak meja tanpa berpayung. Dengan berpanas, Batrisya ketika itu baru beberapa bulan terpaksa kami bawa bersama dan meletakkan dia didalam kereta sorong. Ya Allah..sedih sungguh apabila mengenangkan saat itu.

Dek kerana kasihankan kami, peniaga disebelah kami membeli jeruk kami kerana tiada pelanggan yang membeli pada hari itu, Hari berganti hari..setiap hari saya dan isteri tidak putus asa membuka meja lipat kami bagi menjaja. Ada satu ketika kami mencuba nasib di Flea Market di South City Plaza - hasilnya juga tidak seberapa.

Apabila tiba penghujung Ramadhan, kami berjaya mengumpul duit untuk pulang beraya di Kulim. Namun ia sekadar mencukupi untuk perjalanan sehala. Pulang ke Kuala Lumpur belum tahu lagi bagaimana nasibnya......

Kenangan AIdilfitri 2005