'Follow your passion' - Ini yang di katakan oleh mendiang Steve Jobs dalam kebanyakan pidatonya. Ia menjadi inspirasi kepada ramai manusia yang khususnya mencari jalan keluar dari tugasan rutin seperti di pejabat, kilang mahupun tempat kerja makan gaji yang lain.
Menjadikan hobi sebagai sumber pendapatan juga telah terbukti sebagai satu langkah bijak dalam meransang diri membina kerjaya. Bill Gates, Mark Zuckerberg, Oprah Winfrey adalah sekadar beberapa nama besar selain pemain - pemain On-line Games di Korea Selatan sebagai contoh kerjaya yang terbina dengan hobi.
Adakah anda mempunyai hobi? Atau anda sendiri bingung apa yang anda suka lakukan sebenarnya diwaktu lapang? Atau anda langsung tidak mempunyai waktu lapang?
Adakah merempit satu hobi? Bolehkah ia dikomersilkan?
Saya pada satu ketika juga tercari - cari apakah yang bersesuaian untuk saya jadikan kerjaya. Lulusan Psikologi di Malaysia tidak mudah mencari kerjaya bersesuaian ketika saya tamat pengajian dahulu. Maka dalam mencari diri sendiri, saya juga mengharungi pelbagai dugaan sebelum berjumpa dengan 'True Passion' saya. Menariknya, perkara yang saya lakukan kini sebagai kerjaya sebenarnya ialah minat saya sejak dahulu yang tidak saya terfikir untuk dikomersilkan.
Tetapi sesuatu yang ramai tidak sedari ialah, apabila anda memilih untuk mejadikan hobi sebagai kerjaya, contohnya minat kepada kamera membawa anda kepada dunia perniagaan fotografi. Tatkala ia menjadi perniagaan ia tidak lagi boleh dilayan seperti hobi. Ia harus diuruskan seperti perniagaan. Faham perbezaannya?
Begini, hobi merakamkan imej dahulunya hanya bergantung kepada lokasi dan masa yang anda ingin merakamkan imej. Tetapi bila ia menjadi perniagaan, anda secara langsung berurusan dengan keperluan dan kehendak pelanggan. Lokasi, masa, jenis penggambaran dan pelbagai perkara lagi harus diurus seperti perniagaan yang lain. Dalam kata lain ia tidak boleh dijalankan mengikut sesuka hati anda sahaja. Bezanya ialah anda melakukan dengan penuh minat dan bukan sesuatu yang anda tidak gemari.
Jadi, sambil duduk dan termenung fikirkanlah apa yang dekat di hati anda, suka anda lakukan dan anda akan lakukan ia walaupun tidak dibayar dengan setimpal - maka ia mungkin hobi yang anda cari - cari untuk dijadikan satu kerjaya profesional! Selamat berfikir!
No comments:
Post a Comment