Total Pageviews

Showing posts with label Suci. Show all posts
Showing posts with label Suci. Show all posts

Cara Mengetahui Aib Sendiri dari Imam Al-Ghazali menerusi karyanya Ihya Ulumuddin

Dengan apa yang berlaku dalam perkembangan semasa, penggunaan media sosial kini juga tidak lari dari menjadi satu alat propaganda hebat yang mana salah satu yang sering dituliskan / dimuatnaikkan / dikongsikan ialah perkara berkaitan AIB. 


Aib ialah satu sisi diri kita yang mana ia melibatkan perkara yang buruk, memalukan atau menyebabkan reputasi diri jatuh pada persepsi orang lain. Dalam perihal pendedahan aib ini, tiada siapa pun yang terkecuali di mana selagi orang disekelilingnya mempunyai akses kepada media sosial, risiko di aibkan ini bermula dari sekecil – kecil anak hinggalah kepada sebesar – besar pemimpin.

Malah, guru saya pernah berpesan bahawa kita jangan lekas bangga dengan pencapaian diri kerana apa yang berlaku sebenarnya Allah telah menutupi aib kita dari pengetahuan orang lain. Apabila aib kita diketahui orang, apa jua pencapaian sudah tidak membawa makna lagi.

Senario politik Malaysia hari ini juga kebanyakannya berkisar tentang pendedahan aib. Kisah buruk silam, dibongkar – sama ada ia berkait dengan keadaan sekarang atau tidak ia menjadi perkara kedua atau ketiga. Terkini, Perdana Menteri  Najib Razak turut menerima kesannya. Persepsi umum kepada beliau jatuh merudum apabila satu demi satu pendedahan dibuat berkaitan korupsi oleh pelbagai pihak dan nampaknya, sekuat mana pun dia menafikan ia tetap gagal memadamkan keraguan rakyat. Lihat sahaja status beliau di laman sosial, walau mengenai apa yang ditulis pasti komen negatif beribu – ribu akan masuk. Natijahnya, Najib Razak mungkin kini orang yang paling tidak nyenyak tidur di Malaysia hati ini.

Baiklah, apa yang kita perlu lakukan dalam menjaga aib kita? Saya petik dari buku besar Ihya Ulumuddin karya Imam Al – Ghazali atas kupasan mendalam oleh Sa’id Hawwa mengenai cara mengetahui aib sendiri. Amat penting mengetahui aib sendiri kerana ia akan memudahkan kita mengambil langkah segera sebelum ianya tersebar dan menjatuhkan maruah kita.  Imam Al-Ghazali mencadangkan bahawa adalah perlu seseorang hamba Allah itu memiliki Basirah (penglihatan dalam mata hati) yang tajam. Kerana ia kana membantu kita melihat aib diri sendiri.

Ada 4 kaedahnya.

    1.    Duduk di hadapan orang alim / sheikh yang mengetahui berbagai aib jiwa dan peka terhadap kecacatan yang tersembunyi. Sheikh / orang alim ini akan memberitahu kita mengenai aib diri kita dan bagaimana memperbaikinya. Bagaimana mencari sheikh sebegini? Pastinya kita perlu mendekati majlis ilmu terutamanya di rumah Allah. Sebagai contoh, Sultan Muhammad Al Fatih yang hebat mempunyai Sheikh Aaq Syamsuddin yang menjadi sumber rujukan beliau dalam membina sahsiah diri.

     2.   Imam Al – Ghazali menyarankan kita untuk mencari seorang teman yang jujur, sangat mengetahui dan kuat beragama serta mampu menjadi ‘pengawas’ diri agar selalu memerhatikan akhlak kita. Andai ada akhlak kita yang tercela, maka sahabat inilah yang akan mula – mula sekali menegur kita. Pemimpin – pemimpin besar khususnya perlu mempunyai sahabat sebegini. Pemimpin jika hanya ramai sahabat yang fikirannya bersandarkan dunia, keseronokan, harta, maka amat mudah pemimpin ini hanyut dan lalai. Dalam hal ini, ayuh lihat senarai orang yang menjadi sahabat kita, bagaimana agaknya mereka? Adakah mereka mempunyai kekuatan menegur kita atau hanya seronok – seronok sahaja?

    3.   Hendaklah kita memanfaatkan lisan para musuh yang mengetahui aib diri kita. Pastinya kita akan dapat lebih manfaat dari seseorang yang mengetahui aib kita dari sekumpulan kawan yang hanya tahu memuji – memuja kita melambung – lambung. Dalam hal ini, pemimpin perlu lebih bersedia mendegar kritikan dan bukannya menyekat kritikan itu sampai kepadanya. Malang sekali ramai ahli parlimen yang ponteng tugas, tidak mahu membaca maklumbalas malah ramai saja yang buat – buat tidak dengar kritikan apatah lagi rintihan rakyat.

    4.   Berusahalah berhubung dengan masyarakat sekeliling. Jangan hanya suka buat hal sendiri. Sebagaimana kita biasa mendengar kata – kata ‘Seorang Mukmin bagaikan cermin bagi Mukmin yang lain” – akhlak masyarakat juga adalah cerminan aib diri kita. Setiap keburukan yang dilakukan oleh masyarakatnya perlulah dibersihkan terlebih dahulu dari dirinya. Lihatlah sahaja hari ini masyarakat bagaikan berbangga mendedahkan aib sendiri dilaman sosial : foto, video, status Facebook yang sangat peribad dan sebagainya. Maka setelah melihat ini semua, kita perlu berusaha membaiki diri terlebih dahulu untuk tidak melakukan perkara yang sama.

Semua yang tertulis di atas ini adalah perkaitan dalam perihal penyucian jiwa. Jiwa yang suci akan menzahirkan akhlak yang terpuji. Akhlak yang baik akan mampu menutupi aib diri yang tercela. Berdoalah kepada Allah agar aib kita dilindungi bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat kelak. Wallahu A’lam.

Hidung Kembang


Hidung yang kembang...
Ia ada kaitan dengan keturunan.
Dilahirkan dengan hidung kembang besar bukanlah satu kesalahan.

Ada pula yang berubah saiz lubang hidungnya mengikut situasi.
Perubahan saiz lubang hidung berlaku apabila kita menarik nafas panjang.
Nafas panjang biasanya akan berkait dengan perasaan..
Bila kita lega, kita menarik nafas panjang.
Bila kita cuba menenangkan hati juga kita tarik nafas panjang.

Namun ada kalanya saiz lubang hidung bertambah besar bukan kerana 2 faktor di atas.

Lubang hidung menjadi besar kerana riak, ujib dan bongkak.
Ini harus dijaga.
Kita wajar berhati - hati.
Ia kerap berlaku tanpa disedari.
Ia sering terjadi apabila berkait dengan pencapaian.
KEJAYAAN.

Awas!!
Tidak salah memperoleh kejayaan.
Malah Islam menyeru kita memburu kejayaan!
Haiya Alal Falah!

Tetapi yang sering salah ialah cara kita menyikapi atau memahami kejayaan itu.
Bila berjaya kita rasa diri kita hebat..
Hingga terlupa ia adalah ketetapan rezeki dari Allah
Kembang hidungnya bila dipuji orang

"Wah!! Awaklah penceramah terhebat saya pernah jumpa!"
"Tahniah tuan! Tuanlah group leader paling power saya pernah ada!"
"Cayalah bro! Kereta kaulah paling meletop kat Malaysia ni"
"Fuyooo!! Dasatnya make up! Cantik betul awak ni"
Dan seribu macam pujian lagi.

Al - Fatihah Ayat 1
"Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir seluruh alam"

Usah di cari pujian manusia. Ia melalaikan malah mudah mengheret kita ke lembah hina

Renungi diri.

Kita cuci dan polish kereta untuk apa?
Untuk menjaga kereta atau untuk menunjukkan kereta kita lebih berkilat dari orang lain?

Kita berhias untuk apa?
Untuk menjaga kebersihan dan kesucian diri atau untuk diperhati dan dipuji orang?

Kita membina otot untuk apa?
Untuk mudah bagi kerja berat atau untuk menunjuk badan sasa bagi menarik jelingan mata?

Ada banyak lagi,..

Ini semua bisa membuatkan hidung kita kembang...

Awas sahabat semua..

Tidak salah dipuji orang
Tidak juga salah jika kita memuji orang lain

Terimalah pujian itu dengan baik dan sandarkan pujian itu kepada Allah.
"Terimakasih atas pujian tuan tetapi ini semua atas kehendak Allah jua.." sebagai contoh.

Hidung yang kembang ini kelak hanya akan disumbat dengan kapas ketika kita dikapankan..

Ketika itu, semua pujian sudah tidak berguna lagi.

Beristigfarlah...
Sandarkan semuanya kepada Allah