Total Pageviews

Kebapaan...ya,,kebapaan

Salam

Selepas memandikan anak saya, saya terus memakaikan lampin pakai buang dan baju di ruang dapur.
Salah seorang dari rakan ibu mertua saya pun bersuara
"Suami - suami zaman la ni (sekarang ni) lain no..Siapkan anak, buat susu pakai lampin..tak macam kita dulu"
Sampuk seorang lagi
"Zaman la ni suami isteri kerja..kongsi tanggungjawab"
"Untung dapat suami Mithali..hehehe" kata makcik tu sambil tergelak kecil..
Saya membalas
"Dapat suami Mithali takpa makcik..jangan suami MENYESALI"

Sejujurnya saya tidak pasti bagaimana keadaan rumah tangga orang lain dalam pengurusan keluarga. Tetapi saya positif mengatakan yang ramai bapa muda hari ini tiada masalah dalam berkongsi tanggungjawab menguruskan rumah tangga dan anak - anak.
Tugas membancuh susu, cuci berak, tukar lampin, mandikan anak malah memasak juga saya rasa adalah perkara yang mudah dilakukan oleh lelaki yang bergelar suami dan bapa.

Ada juga yang saya dengar senario suami yang jarang - jarang membantu isteri menukar lampin dan sebagainya tetapi saya percaya peratusan itu agak rendah. Saya mungkin silap seperti yang saya katakan tadi bahawa saya tidak pasti kerana tiada data untuk saya berikan. Tetapi saya membuat kesimpulan itu kerana bapa - bapa muda kini lebih terdedah kepada ilmu kebapaan dari pembacaan, media massa dan sebagainya. Malahan majoriti pasangan muda kini keduanya bekerja maka andainya tugasan mencari nafkah boleh dikongsi, masakan tidak berkongsi tugasan di rumah.

Semenjak menjadi AYAH, satu perkara yang saya perasan mengenai perubahan diri saya ialah - saya gemar memasak. Tidak lah sedap mana pun tetapi saya kini lebih enjoy untuk ke bahagian barang dapur kalau membeli belah dan Asia Food Channel menjadi saluran kegemaran saya kini. Malah, timbul pula perasaan untuk membuka kedai makan sendiri..(berangan lah tu). Dan membuatkan saya lebih seronok bila anak saya suka bertanya - "Hari ni ayah nak masak apa?"

Sejak mula mencuba membuat daging burger sendiri, saya tidak lagi membeli daging burger siap keluaran Ramly atau mana - mana jenama kerana saya berasa lebih puas membuatnya sendiri. Mungkinkah ada burger jenama Mohsen selepas ini?

Meneroka peluang perniagaan di Venezuela - Bahagian 2 - Protokol Perniagaan

Salam.
Maaf kerana mengambil masa yang agak lama untuk menyambung tajuk ini. Baiklah, saya akan tuliskan beberapa perkara berkaitan Protokol Perniagaan yang diterima pakai di Venezuela. Maklumat ini diberikan oleh wakil Kedutaan Venezuela untuk rujukan kita bersama.


1. Temujanji / Mesyuarat
Mereka menjangkakan ketepatan masa dalam berjanji meskipun keadaan lalulintas di bandar utama agak teruk, oleh itu anda harus bersedia lebih awal dengan merancang perjalanan atau tempat yang mudah diakses. Barangkali sama seperti Kuala Lumpur.


2. Perniagaan atau waktu pejabat adalah dari 8 pagi hingga 5 petang. Hari beroperasi pula adalah dari Isnin hingga Jumaat. Waktu rehat tengahari sekurang - kurangnya 1 jam. Namun ada juga yang rehat makan tengahari sehingga 2 jam.


3. Anda perlu mengelak dari merancang sebarang pertemuan atau mesyuarat 2 - 3 hari sebelum cuti umum.


4. Kedai - kedai mula beroperasi dari jam 9 pagi hingga 12 tengahari lalu ditutup untuk rehat makan tengahari. Perniagaan disambung semula pada jam 2 atau 3 petang sehingga jam 6 petang. Pusat membeli belah dibuka hingga jam 9 malam.


5. Dari sudut pemakaian ketika urusan perniagaan, lelaki seharusnya memakai kemeja bertali leher dan kot / jacket / blazer dengan rona gelap.


6. Wanita Venezuela secara umumnya lebih teliti mengenai cara mereka berpenampilan dan lebih terarah dengan gaya Eropah. Gaya elegan diutamakan dengan penggunaan aksesori yang bersesuaian, make-up, kasut tumit tinggi dan barang kemas.


Bersambung...

Bengkel Gamelan Yayasan Selangor

Salam.


April sudah menghampiri ke penghujungnya tetapi baru hari ini saya dapat meluangkan masa untuk memulakan sesi bengkel gamelan bersaam pelajar - pelajar ATPN - Asrama Toh Puan Nurasyikin Yayasan Selangor. Ini merupakan tahun ke 8 seingat saya bersama mereka. Namun isunya tetap sama - setiap tahun saya akan kendalikan pelajar baru - walaupun pelajar lepas masih belajar disitu. Ini berlaku kerana polisi Yayasan Selangor yang tidak membenarkan pelajar SPM untuk menyertai aktiviti sebegini - perlu memberi tumpuan kepada pelajaran. Sedikit sedih kerana Muzik juga merupakan salah satu bentuk kebijaksanaan!

Memberi tunjuk ajar asas kepada pelajar

Untuk sesi pertama ini hanya seramai 8 orang sahaja yang muncul kerana ramai pelajar yang perlu Stay Back di sekolah. Nampaknya saya perlu mengubah jadual pada tahun ini. Agak menarik kerana batch tahun ini terdiri dari tingkatan 1 hingga 4 - maka saya berharap mereka mampu mengekalkan semangat untuk terus mempelajari bidang seni ini.

Lebih gambar di facebook saya; cari Mohsen Amdan

Mohsen Amdan berkata: Saya tidak berpeluang belajar muzik sejak kecil...barangkali kerana itu pada usia sebegini saya sangat menghargainya

Persatuan Belia Gemilang Bukit Bintang Kuala Lumpur - Mesyuarat Agung

Salam
20 April 2010

Saf kepimpinan baru PBGBBKL
Dari kiri duduk : Zue (Bendahari) Mohsen (Presiden) Zamzuri (Timb. Presiden) Azeli (SUA)
Dari kiri berdiri: Khairy, Salwa, Miju (AJK)

Mesyuarat Agung PBGBBKL telah diadakan dengan jayanya di SNS Training & Development Centre Bangi. Berlangsung kira - kira 2 jam dan menghasilkan lantikan jawatan kuasa baru yang bakal mengemudi pelbagai aktivit berteraskan pembangunan masyarakat. Kepada yang berminat untuk mengetahui lanjut atau menyertai kami, sila email kepada saya.

Mohsen Amdan berkata: Orang muda harus mengukuhkan jaringan bagi memantapkan diri dan komuniti

1/3 dari Askar Wanita US Dirogol Semasa Berkhidmat

Salam
Dipetik dari http://newsjunkiepost.com/2010/01/26/13rd-of-women-in-us-military-raped/


According to NPR, “In 2003, a survey of female veterans found that 30 percent said they were raped in the military. A 2004 study of veterans who were seeking help for post-traumatic stress disorder found that 71 percent of the women said they were sexually assaulted or raped while serving. And a 1995 study of female veterans of the Gulf and earlier wars, found that 90 percent had been sexually harassed.”


Baca selanjutnya..sememangya mengejutkan

Meneroka peluang perniagaan di Venezuela - Bahagian 1

Salam
16 April 2010
Hotel Prince Kuala Lumpur

Taklimat dari Mr. Demetrio Marotta

Saya menerima jemputan dari Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpu untuk satu sesi taklimat dan meja bulat dengan wakil dagang dari negara sosialis - Venezuela. Sebelum ini kerap juga saya menerima undangan untuk bertemu dengan wakil negara - negara lain tetapi tidak berkesempatan. Sebenarnya untuk kali ni juga saya agak keberatan untuk pergi kerana usai Solat Jumaat saya perlu bergegas ke Mentakab kerana urusan pernikahan adik ipar saya.

Saya membalas surat jemputan dengan memikirkan untuk bertemu wakil TELCO Venezuela dan terbayang dikepala untuk membawa sekali 2 teman baik saya iaitu rakan niaga saya Fairus (Flipsio) dan Asri (4th Screen). Dengan kepakaran mereka berdua ini ditambah kebolehan saya dalam PR, saya percaya pertemuan kami ini mampu membuahkan sesuatu. 

Saya tiba selepas majlis perasmian oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri iaitu Datuk Mukhriz Mahathir kerana takdirnya isteri saya kurang sihat pagi itu. Syukur saya tidak terlepas sesi meja bulat  dan setibanya saya di sana sesi taklimat dari En. Demetrio Marotta, Timbalan Presiden Jabatan Eksport dan Promosi Bank of Foreign Trade. Beliau bertutur dalam bahasa tempatan dan diterjemah oleh wakilnya. Sesi  menjadi sedikit membosankan kerana apa yang dituturkan terpapar di layar maka hadirin lebih selesa membacanya.

Bersama Mr. Gerardo

Selesai taklimat kami memulakan sesi meja bulat dengan Presiden merangkap CEO MARATEL iaitu Dr. Eduardo E. Espina Castillo. MARATEL merupakan antara pemain utama industri TELCO di sana mereka merupakan penyedia infrastrukutur, software dan hardware. Dr. Eduardo sendiri merupakan lapisan pertama yang berkhidmat dengan MOTOROLA berpuluh tahun dahulu. Sebagai orang yang memiliki pengetahuan luas dalam 3 perkara yang sangat berbeza, Dr. Eduardo sangat memahami apa yang kami inginkan dan nampak potensi produk yang ingin kami bawakan. 

Sesi kedua pula berlangsung dengan CEO Iguana Hosting yang juga merupakan pemain utama dalam industri hosting di Venezuela. En. Gerardo Sandoval yang kelihatan dalam lingkungan pertengahan 30an murah dengan senyuman dan berkongsi banyak perkara mengenai industri internet dan mobile di sana. Kami sangat teruja dengan pelbagai peluang yang menanti dan kami tak sabar melakukan sesuatu bagi meneroka pasaran Venezuela. Nantikan entri bahagian 2 mengenai Bisnes di Venezuela

Mohsen Amdan berkata: Hampir 22 juta rakyat Venezuela menggunakan telefon bimbit dan 25% darinya menggunakan Blackberry

Pemerhati, Pembaca dan Penulis


Salam.
Tengahari tadi saya melakukan satu perkara yang sudah agak lama saya tidak lakukan - menaiki LRT. Bukan kerana saya terlalu selesa memandu sendiri tetapi kerana sejak kebelakangan ini saya amat jarang memasuki ibukota maka laluan saya sebelum ini tiada kemudahan LRT. Sambil membawa sebuah buku dan sebatang pen, seluar lusuh dan T-Shirt saya membeli tiket dan menanti. Tiba - tiba sahabat baik saya iaitu Tok Ijal menghantar SMS memberitahu yang dia sedang bersedia memasuki satu mesyuarat penting di Putrajaya. Maka saya membalas dan mengucap selamat kepadanya sambil memberitahunya yang saya menaiki LRT hari ini. 

Dia membalas dengan mengatakan pastinya ada sesuatu bakal terhasil dan tercatat dalam blog ini apabila saya menaiki LRT - maklumlah semangat kewartawanan katanya. Sejujurnya ketika itu saya masih belum ada apa - apa ilham kerana lebih bertindak sebagai PEMERHATI - melihat dan menilai pelbagai gelagat dan ragam manusia; pelajar bersama taulan bergerak ke sekolah, yang bekerja dan sebagainya. 




Kemudian beliau membalas sms dengan ayat berikut 
"PENULIS yang tulen itu ialah mereka yang merakam dan bercerita akan degup jantung rentak hidup masyarakat sekelilingnya. Hasil tulisannya kelak bakal ditafsir oleh mereka yang MEMBACA dan mengerti apa yang disampaikan PENULIS itu."

Wow..sungguh dalam sms beliau ini. Membuatkan saya rasa kerdil dan kecil dalam dunia penulisan ini. Ya..saya tidak pernah mendapat didikan formal dalam teknik dan gaya tulisan kewartawanan selain belajar di sekolah dan universiti dahulu. Lantas membuatkan saya berasa perlu lebih menghayati setiap apa yang saya PERHATI kan kerana nikmat melihat yang Allah SWT kurniakan kepada kita ini terlalu besar rahmatnya.

Beliau menyambung
"Lebih besar daripada itu, Sang pemerintah akan terusik akan tulisannya itu dan berusaha membaiki arus hidup marhaen yang dipimpinnya..itulah tugas besar penulis..."

Saya mengangguk sendirian kerana bersetuju dengan pandangannya itu. Pemerintah yang beliau maksudkan mungkin bukan saja dari kalangan politikus tetapi penjawat awam saya rasa. Ini kuat kebenarannya kerana kebelakangan ini saya perhatikan maklum balas di dinding Facebook saya sangat aktif. Rakan - rakan mahupun mereka yang kurang saya kenali rajin memberi pandangan, kritikan dan cadangan. Kadang - kadang rasa seperti satu forum pula.

Berbalik kepada tajuk di atas, pada hemat saya bukan mudah menjadi seorang PEMERHATI yang baik kerana ia apa saja yang diperhatikan perlu ada ilmu di dalamnya. Begitu juga sebagai PEMBACA, kita perlu memiliki ilmu untuk menguasai apa yang dibaca, untuk dianalisa, di debat dan sebagainya. Tidak kurang juga pentingnya ilmu untuk kita menjadi PENULIS kerana menulis perlu digilap dan dilatih supaya dapat memberi kesan kepada pembacanya. 

Tok Ijal mengakhiri smsnya dengan memetik kata - kata Pak Samad 
"Senja sunyi, lorong sepi, saya sendiri"..dalam maknanya tu..

Maka..janganlah kita mengambil mudah apa saja yang kita perhatikan disekeliling. Kuatkan semangat untuk membaca dan cubalah menulis kerana kata Saidina Ali, Ilmu yang tidak ditulis itu adalah sia - sia.

Mohsen Amdan berkata : Tok Ijal atau Mohd Rizal Mohd Rosli merupakan Pegawai Tadbir dan Diplomatik di sebuah Kementerian. Merupakan bekas eksekutif pemasaran syarikat penerbitan buku prolifik negara iaitu PTS Publication.

Psikojuscologi / Psychojuscology



Salam..

6 April 2010 merupakan Jusco Card Day dan buatmereka yang tidak tahu apakah itu.., Jusco Card Day merupakan hari yang dinanti - nanti oleh penggemar membeli belah di gedung Jusco kerana ia merupakan hari jualan murah yang mengakibatkan ramai orang sanggup ponteng kerja, kerja separuh hari mahupun mengambil MC semata - mata tidak mahu terlepas peluang hebat ini. Seumur hidup saya, tidak pernah sekali pun saya terfikir mahu ke acara ini kerana saya tidak gemar bersesak namun, atas nama belajar dan penulisan, saya gagahkan diri dan mengajak isteri saya ke acara ini.

Selepas menghantar anak ke sekolah, saya tiba di Jusco seawal jam 9. Namun, terbeliak biji mata saya apabila melihat kereta telah pun bersesak ke ruang parkir dan saya boleh katakan ianya telah pun merangkumi hampir 80% kawasan parkir dan jam baru 9 pagi!

Keadaan ketika jam 9 pagi
(Imej kurang bagus kerana foto dirakam menggunakan telefon cap ayam)

Syukur berjaya mendapat tempat letak kereta yang selesa dan kami terus bersarapan sambil memerhati gelagat pengunjung yang sanggup berbaris panjang bersama troli untuk membeli biskut, sabun pencuci dan lampin...memang hebat!

Dalam entri kali ini , apa yang ingin saya kupas ialah idea kepada istilah yang saya ciptakan kesan dari JCard Day ini iaitu PsycoJuscology..iaitu Kegilaan yang diciptakan oleh Jusco untuk menarik minat orang ramai datang membeli belah. Idea ini timbul apabila saya melihat strategi pemasaran Jusco yang sangat berjaya sekaligus menjadikan mereka sebagai satu jenama pusat membeli belah yang kukuh.

Bermula dengan idea JCard yang mana pemegangnya mendapat diskaun meletakkan kereta dan diskaun beberapa barangan pada hari - hari biasa. Diberi pula voucer yang pelbagai tatkala menjelangnya sambutan hari lahir ahlinya. Idea Jusco mencipta kegilaan wajar ditiru oleh peniaga runcit khususnya.

PsychoJuscology - ini pengamatan saya
1. Letak kereta percuma
2. Dibuka seawal 8 pagi sehingga tengah malam
3.Kaunter bayaran yang banyak dan tersusun disediakan
4. Kaunter penebusan voucer yang banyak dan teratur
5. Sticker berwarna diletakkan pada barangan untuk memudahkan pelanggan mengetahui nilai diskaun
6. Vaucer bernilai diberikan kepada setiap pembelian bernilai RM100 dalam satu resit. Resit ini pula boleh dikumpulkan dengan syarat menggunakan nombor ID kad yang sama
7. Vaucer yang diterima hanya boleh digunapakai bermula tarikh esoknya. Satu strategi bijak menggalakkan orang terus datang untuk menikmati keuntungan ketika berbelanja
8. Barangan dijual terus oleh pembekal kepada pembeli dengan harga lelongan yang sangat murah. Ini merupakan kaedah yang bagus untuk menarik jumlah kehadiran yang tinggi
9. Barangan yang dijual bukan dari stok lama sahaja..tetapi kebanyakkannya dari stok baru dari gudang mereka. Dan menurut pekerja di sana, barang yang tidak habis dihantar semula ke gudang
10. Penyewa di Jusco juga mengambil kesempatan dengan menawarkan diskaun pada hari tersebut.








Mohsen Amdan berkata: Antara dialog menarik yang saya terdengar ketika JCard Day
"Saya di pejabat ni ..ya..ya..ok nanti saya periksa stok tu"
" Saya tak sihat la hari ni..mc..mc"
"├ľk bang..jap..jap..sikit lagi..dah nak bayar dah"

Dasar Keluarga Negara




Salam.
Saya telah diundang oleh LPPKN untuk menyertai forum mengenai Draf Dasar Keluarga Negara yang bertempat di Dewan besar LPPKN. Pada awalnya saya diundang atas tiket Persatuan Belia Gemilang Bukit Bintang, tetapi saya juga dalam masa yang sama diundang atas tiket MAPIM. Untuk pengetahuan semua, setakat ini negara kita masih belum mempunyai Dasar Keluarga dan ini merupakan usaha kesekian kali untuk mengadakan DKN ini kerana usaha sebelum ini menemui jalan buntu. Menurut Dr. Anjli, Timbalan Pengarah Dasar LPPKN. usaha sebelum ini terbantut kerana masalah - masalah yang sukar diluahkan (bersifat dalaman) kerana apabila draf disediakan, ianya akan ditolak atas pelbagai alasan. Namun, pujian harus diberikan kepada LPPKN yang terus memperjuangkan dasar ini.

Slide ini memang menarik minat saya

Setiba saya di sana, ramai yang telah pun sampai walaupun hujan lebat mula membasahi Kuala Lumpur. Diperhatikan dari senarai jemputan, pelbagai NGO dipanggil tetapi sesuatu yang menarik perhatian saya ialah, orang muda yang mewakili generasi X dan Y tidak ramai dan boleh saya katakan hampir 70 - 80 peratus terdirI dari Baby Boomers. Walhal dari surat jemputan, forum ini meletakkan fokus Draf DKN dari kacamata generasi X dan Y. hmm....

Wakil LPPKN memberi penerangan di kawasan pameran

LPPKN turut menyediakan pelbagai pameran berkaitan pembangunan keluarga dan saya juga berpeluang ketemu dengan bekas peserta kursus saya dan syukur mereka masih mesra dengan saya. Cuma mereka keliru kehadiran saya disitu adakah sebagai jemputan atau sebagai wartawan kerana saya sengaja berpakaian kasual

Dari kiri: Datuk Dr. Zaleha, Dr. Farah Nini, En. Benny

Menjelang jam 3 petang, sesi forum dimulakan dengan majlis perasmian dari Pengerusi LPPKN Dato' Dr. Alex Matthews yang berkongsi beberapa pengalaman beliau ketika berkhidmat diluar negara dan membandingkan dengan senario kekeluargaan di Malaysia hari ini. Usai ucapan beliau, forum dimulakan dengan pembentangan dari Dr. Anjli mengenai Draf DKN. Forum ini dipengerusikan oleh Prof Datuk Dr. Zaleha Kamarudin dari UIAM. Turut sama ialah Dr. Farah Nini Dusuki dari Universiti Malaya dan En. Benny Kong dari NGO yang menggelarkan diri mereka Focus On The Family.

Dato Alex Matthew

Sepanjang pembentangan ahli panel, saya menjadi agak keliru dengan tujuan forum ini sebenarnya. Adakah forum ini bertujuan membahaskan DKN atau seminar mengenai apa itu Generasi X dan Y dan apakah cabaran mereka? Ini kerana apabila selesai Dr. Anjli membentangkan draf DKN, Dr. Farah Nini menyambungnya dengan perkara berkaitan isu semasa bersangkutan dengan keluarga. Memburukkan keadaan lagi ialah, beliau memulakan ucapan dengan "Saya pun tak tahu kenapa saya dijemput ke forum ini" Berdasarkan pengalaman saya sebagai penceramah..ayat seperti ini merupakan ayat - ayat yang perlu dielakkan. Saya faham kenapa beliau secara spontan melafazkan ayat sebegini kerana sejujurnya pada pendapat saya, beliau tidak berkaitan secara langsung dengan forum ini kecuali beliau memberi pandangan sebagai generasi X itu sendiri.

Ruangan cadangan turut disediakan

Benny Kong berjaya mencuri tumpuan dengan penyampaiannya yang bersahaja. Namun, ia lebih memberi kefahaman apa itu generasi X sahaja. Masih tidak memenuhi keperluan forum ini. Apabila keadaaan sebegini berlaku, maka sesi soal jawab pastinya tidak memiliki titik fokus yang jelas.

Sebagaimana saya nyatakan sedari awal hanya segelintir jemputan terdiri dari generasi X dan Y, maka sesi soal jawab didominasi oleh Baby Boomers. Pelbagai perkara yang dilontarkan tidak menepati matlamat forum ini sebaliknya menjadi sesi meluah rasa dan menunjuk pandai. Saya juga mengambil peluang menanyakan tentang sejauh mana DKN ini nanti mampu mempengaruhi perlaksanaan agensi kerajaan yang lain contohnya 'sensorship' dalam kandungan media yang sangat berkesan mempengaruhi generasi X dan Y ini.

Antara Baby Boomers yang bertanyakan soalan

Kesimpulan yang boleh saya buat ialah, sememangnya proses pembuatan dasar dan polisi bukanlah satu perkara mudah; apatah lagi melaksanakannya. Ia memerlukan kesungguhan mereka yang berada disekelilingnya dan perlu mengambil kira pelbagai aspek terutamanya apa dasar itu akan memberi kesan kepada generasi akan datang

Mohsen Amdan berkata: Ada yang mencadangkan diadakan kursus Kedatukkan dan kenenekkan