Total Pageviews

Isu semasa; Kemelesetan ekonomi, kenaikan harga dan situasi politik.

Satu persatu kenyataan dari ahli politik negara mengenai keadaan ekonomi Malaysia, kenaikan harga barang dan inflasi memeningkan kepala kita. Dalam dunia pembaca dan pendengar semakin terbuka kepada pelbagai sumber, pemimpin - pemimpin politik seolah - olah menyangka yang rakyat begitu mudah menelan apa saja yang diluahkan. 



Kemenangan di PRK Kerdau dan Merlimau oleh BN bagi saya bukanlah satu terjemahan bahawa segalanya dalam keadaan baik dan dalam kawalan, tetapi lebih kepada rakyat yang tidak mempunyai pilihan serta keliru dengan apa yang sepatutnya dilakukan.

Dengan situasi di Asia Barat yang lebih kepada revolusi dari reformasi, rakyat Malaysia juga pada hemat saya menginginkan perubahan. Lihat saja komen dan kritikan rakyat mengenai pembayaran saman baru - baru ini. Tiada seorang pun yang setakat ini saya jumpa dan berbual mengenainya berfikiran bahawa pembayaran saman dan saman ekor ini perkara baik. Ya..saya setuju bahawa siapa yang bersalah harus dihukum. Tetapi adakah saman ekor jalannya?



Harga barang semakin mahal dan justifikasi pemimpin ianya bersifat global - ya..sekali lagi saya setuju. Tetapi kenaikan bukan berita yang ingin rakyat dengari ketika ini. Bukan juga pengumuman pembelian senjata baru oleh Angkatan Tentera Malaysia dan mempamerkannya pula. Apa yang ingin rakyat tahu ialah, apa langkah menyelesaikan masalah ini.

Pembaca sekalian, sedarkah kita bahawa harga makanan yang kita bayar hari ini sebenarnya lebih kepada kos pengangkutan makanan itu sampai kepada kita? Sepinggan makanan memerlukan pelbagai perbelanjaan pengangkutan sebelum tiba di meja kita. Dari kebun sayur ke pasaraya. Kos ini dipengaruhi oleh harga minyak dunia. Maka apakah penyelesaiannya? Apa khabar polisi pertanian dan tanaman kita? Khabarnya gaji pekerja ladang akan diselaraskan. Persoalannya, mahukah anak tempatan bekerja di ladang? Adakah dengan pengambilan buruh asing penyelesaiannya? Mengapa negara seperti Taiwan, Jepun mahupun Korea Selatan hanya menggunakan tenaga tempatan untuk mengendalikan tanaman? Bagaimana mereka lakukan ini?


Subsidi di lihat sebagai jalan kerajaan mengimbangi perkara ini. Pada hemat saya ia harus diperhatikan dalam pelbagai sudut. Antaranya ialah subsidi sebagai mekanisme kawalan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah. Atas dasar ini, perhatikan kelompok yang bagaimana masih menyokong BN hari ini? Golongan mana pula yang lebih banyak menentang? Fikirkan bersama...





No comments: