Total Pageviews

Penggunaan Tenaga Nuklear - Dilema Malaysia

Dengan kejadian bencana terkini yang menimpa Jepun, saya percaya tahap kesedaran rakyat mengenai nuklear semakin meningkat. Sebelum ini barangkali ramai yang tidak sedar akan kewujudan MINT, tetapi nampaknya MINT semakin terkenal. - Malaysia Institute of Nuclear Technology di Bangi merupakan agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengenai nuklear di negara kita.


Apabila saya bertanyakan kepada ramai orang mengenai nuklear bagi menguji persepsi mereka, sangat sedikit sekali yang memberi maklumbalas dengan mengaitkan nuklear memberi kebaikan kepada kita. Malah ramai saja yang dengan pantas menolak tenaga ini dengan pelbagai alasan yang mengaitkan nuklear dengan bencana, radiasi, senjata dan macam - macam lagi.

Khabarnya Malaysia bakal melaksanakan usaha menghasil dan menggunakan tenaga nuklear ini bermula 2015 - kira - kira 4 tahun dari sekarang. Arang batu yang digunapakai bagi menjana eletrik selama ini selain kaedah hidro tidak mampu menjanjikan kita dengan bekalan yang mencukupi lagi. Australia yang merupakan antara pembekal utama arang batu ke negara kita sudah pun hampir tamat kontrak bekalannya. Malah isu Bakun yang tak kunjung selesai juga menambah buruk masalah bekalan tenaga di negara ini.


Adakah saya tidak bersetuju dengan penggunaan nuklear sebagai penjana tenaga? Saya terpaksa bersetuju atas dasar memahami bahan api fosil yang semakin merosot jumlahnya. Namun, saya sangat merasakan yang Malaysia masih tidak bersedia. Kenapa saya berkata demikian? 

1. Sindrom projek Gajah Putih di negara ini bukan perkara baru. Kelemahan urustadbir yang sangat ketara dalam pelbagai peringkat pengurusan sangat menakutkan saya untuk membiarkan risiko nuklear diuruskan oleh mereka yang sudah terkenal dengan kelemahan urustadbir

2. Kekurangan tenaga pakar, tenaga kerja mahir dan separuh mahir dalam bidang ini mestilah diakui. Ini kerana hanya MINT sahaja yang diketahui menguasai perkara ini. Tiada mana - mana universiti di negara ini yang kelihatan menonjol dalam ilmu nuklear. Malah, dengan tiada satu pun universiti di Malaysia tersenarai dalam 100 universiti terbaik dunia lebih memburukkan keadaan.

3. Dalam tempoh tidak sampai 10 tahun, di mana tenaga kerja yang saya nyatakan di atas akan dilatih? TNB yang mengepalai projek ini juga pun baru sahaja menghantar kakitangan mereka berkursus mengenai perkara ini. Malah, kredibiliti TNB juga tidaklah begitu membanggakan.

4. Francis Yeoh - pemilik YTL iaitu salah satu konglomerat negara yang menjadi pemain industri tenaga ini sendiri pun menolak penggunaan nuklear ini atas alasan yang sama dengan apa yang saya fikirkan iaitu - Sisa buangan toksik nuklear ini, kemana akan dibuang? Siapa yang mengendalikannya? Sedangkan sistem sungai yang ada di negara ini pun tak dapat ditangani, inikan pula mahu menguruskan sisa nuklear?

Bukan saya tidak percaya kepada kemampuan negara kita. Saya tahu kita hebat, Malaysia Boleh! (huuhuhhu) Tetapi saya sangat yakin yang perkara di atas masih belum memiliki jawapan yang meyakinkan buat kita semua.

Apa pandangan anda?

No comments: