Total Pageviews

Kemahiran? Kemahiran apa?

Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar, dengan pelbagai berita mengenai ketidakstabilan syarikat besar, mata wang menyusut dan GST yang memeningkan ramai orang, ramai yang cuba mencari jalan keluar dari belenggu kewangan yang mencengkam. Senario ini turut menggalakan pelbagai skim ponzi sama ada dalam atau luar negara berleluasa. Tidak kurang juga pelbagai jenis perniagaan atas talian dari ubat seks sampailah ke emas semakin kerap muncul bersilih ganti.

Ada juga rakan - rakan yang bertanya, apa yang dibuat sekarang? Syarikat yang dulunya stabil sudah mula desas - desus ingin mengecilkan saiz operasi malah tak kurang juga mula mengambil langkah penjimatan dan malangnya ia termasuklah kebajikan kakitangan.

Ketika ini, orang yang berkemahiran dilihat / dikatakan akan mempunyai kelebihan untuk terus kekal berjuang melawan arus cabaran ekonomi. Ini boleh difahami dengan secara tiba - tiba graduan universiti semakin teruk bersaing dengan pelajar Politeknik yang dilihat lebih berkemahiran. 

Rakan - rakan yang bekerja juga sering menanyakan soalan yang sama - apa yang perlu dibuat? Maka bila ditanyakan kembali mengenai kemahiran mereka, jawapan yang sama sering diberikan kepada saya iaitu : "Kemahiran? Kemahiran apa?"

Apakah yang dimaksudkan dengan kemahiran? Atau lebih berat lagi adakah dengan kemahiran kita boleh kekal bersaing?

Sebelum menjawab apa itu kemahiran, mari saya beratkan lagi fikiran saudara semua dengan perkataan ini : KECEKAPAN

Bayangkan anda ialah majikan. Anda mahu kakitangan yang cekap bukan? Maka apakah yang dimaksudkan dengan KECEKAPAN itu?

Memahami KECEKAPAN tidaklah susah. Formulanya begini;
KECEKAPAN = KEMAHIRAN + ILMU

Anda faham ILMU? Jika faham maka anda hanya perlu faham apakah KEMAHIRAN bagi melengkapkan formula KECEKAPAN.

Apakah KEMAHIRAN? Saya definisikan KEMAHIRAN sebagai berikut ;
Kebolehan melakukan sesuatu dengan tepat dan jitu secara berulang - ulang bila dan di mana saja ia diperlukan.


Kemahiran bukan seperti berjudi : ikut nasib. Kemahiran memerlukan proses pembelajaran dan pengulangan secara praktikal bagi menajamkan agar tepat tindakannya serta membolehkan penyesuaian berlaku walau apapun keadaannya. Orang yang mahir menjual barangan akan mudah saja mengendalikan apa juga jenis produk dan profil pelanggan yang berbeza. Pemain bolasepak berkemahiran tinggi bisa saja menyesuaikan diri dengan mana - mana pasukan dan bermain menentang siapa saja, stadium berbeza atau cuaca berbeza sekalipun.

Nah...duduk sebentar, tenangkan fikiran dan tarik nafas dalam - dalam.
Fahami diri sendiri, renungkan apakah bentuk kemahiran yang anda miliki dan bagaimana kemahiran itu boleh ditukar dengan wang. 
Anda mahir membuat kertas kerja, bertukang, menjahit, mengacarakan majlis atau apa saja yang boleh dimuatkan dengan definisi KEMAHIRAN itu tadi...maka ia pasti boleh ditukarkan dengan wang. Apabila sudah dikenalpasti, langkah seterusnya ialah BAGAIMANA MEMASARKAN DAN MENJUAL KEMAHIRAN ITU?

No comments: