Total Pageviews

Memperjuangkan agenda nasional melalui sukan

Sejak kewujudan Bolarotan.com, tumpuan peminat sukan ini mula semakin meningkat di mana laman kecil saya ini dijadikan rujukan dalam pelbagai perkara melibatkan sukan sepaktakraw. Dari jenis kasut yang sesuai sehinggalah kepada program pembangunan latihan. 

Logo Bolarotan.com yang kedua sejak dimulakan hampir dua tahun lalu

Semenjak saya bertindak melalui Gabungan Penggiat Sepaktakraw Malaysia bersama teman - teman di Masyarakat Bolarotan di Facebook, ramai yang mula semakin berani mengkritik Persatuan Sepaktakraw Malaysia secara terbuka. Malahan Utusan Malaysia melalui Abdul Hafiz Ahmad yang satu ketika menjadi satu - satunya wartawan yang menulis mengenai sepaktakraw secara konsisten kini turut dimeriahkan lagi dengan tulisan di Berita Harian dan Harian Metro. Hampir setiap hari sejak 2 minggu ini tulisan mengenai PSM dapat dibaca di ketiga - tiga surat khabar itu.

Dalam masa yang sama, ada pihak - pihak yang mula mempersoalkan siapa Mohsen Amdan ini? Kenapa dia begitu berani tampil mempersoal tindak tanduk PSM walhal Mohsen Amdan ini bukanlah ahli berdaftar PSM. Apatah lagi bukan bekas pemain negara atau jurulatih. Ada pihak yang mulal menyiasat latar belakang saya hingga ke Bukit Aman bagi memastikan siapa dibelakang saya. Adakah politikus yang ingin menjatuhkan Dato Ahmad Ismail atau bekas pemain negara yang ingin membuatkan barisan kepimpinan PSM terduduk cuba menggunakan saya?

Saya tidak dibiayai, ditaja atau menjadi proksi kepada sesiapa! Percayalah!

Saya juga tiada niat untuk menjatuhkan PSM mahupun mana - mana politikus. Ini kerana saya bukan pun ahli PSM yang boleh menyandang jawatan dalam PSM ataupun berminat menyertai mana - mana parti politik untuk bersaing dalam PRU akan datang.

Apa yang saya lakukan ini tidak lain dari gerak kerja seorang rakyat yang merasakan sesuatu harus dilakukan untuk membangunkan sukan negara. Saya benci melihat wang negara dibazirkan melalui pengurusan yang lemah. Selain isu sepaktakraw saya juga sangat benci dan marah isu lembu yang melibatkan Shahrizat Abdul Jalil!. Ketika rakyat disuruh belajar membuat kertas kerja dan mencari cagaran untuk menjalankan perniagaan, mereka yang duduk di kayangan kuasa sesuka hati merembat duit memperkayakan keluarga dan kroni. 
Terimalah laknat saya ini - CELAKALAH KAMU YANG HIDUP MEWAH ATAS KESUSAHAN ORANG LAIN!

Berbalik kepada isu PSM dan sepaktakraw negara, apa yang saya harapkan ialah langkah berani Presiden PSM melakukan rombakan jawatan kuasa. Sekiranya beliau masih ingin ditampuk kuasa, silakanlah, tapi silalah gugurkan Setiausaha, Penolong Setiausaha dan beberapa lagi yang lain. Lantiklah orang baru bagi membantu PSM. Saya percaya ramai ahli PSM berdaftar inginkan perubahan.

Kenapa saya perlu tegaskan perkara ini? Kerana saya bimbang sukan warisan ini akan terkubur. Saya khuatir penaja hilang minat. Saya risau kalau tarian Shuffle dan futsal lebih popular. Dan senarai kebimbangan ini sebenarnya cukup banyak untuk saya tuliskan.

Pengajaran yang boleh kita ambil di sini ialah - Melalui kemodenan yang kita kecapi ini sebenarnya membolehkan kita menyumbang kepada negara dengan lebih baik. Saya telah buktikan kepada kalian bahawa laman kecil sudah boleh menggoncangkan persatuan yang sudah lama bertapak. Saya tunjukkan kepada anda bahawa sesuatu yang kecil bisa menjadi besar sekiranya Istiqamah, kesungguhan dan matlamat yang jelas berpadu. Ini baru satu dari beribu - ribu isu di negara ini yang menjerat tengkuk rakyat. Saya sudah mengambil satu bahagian kecil perjuangan ini, anda bagaimana?

No comments: