Mobilization of Voters, satu istilah besar yang saya pelajari ketika menuntut di UIAM dahulu. Ketika hangat Reformasi dilaung sana sini, saya menuntut ilmu Sains Politik dengan En. Fuzi Omar, sudah bergelar Doktor barangkali pensyarah saya ini.
Maksud mudah kepada istilah Mobilization of Voters ini ialah menggerakkan pengundi. Apa maksud menggerakkan? Goyang - goyang? Bangun - duduk? Tidur - baring? Menggerakkan di sini bermaksud memberi kesedaran, mengajak, mengheret, memaksa, memberi pencerahan atau apa saja yang boleh membuatkan seseorang yang layak mengundi pergi ke pusat mengundi dan menjalankan tanggungjawabnya.
Dan pastinya mempengaruhi untuk mengundi parti mereka adalah matlamat terbesar mereka.
Atas sebab ini, peratusan keluar mengundi akan mencerminkan mandat sebenar! Maka adakah mantan PM ke 6 mendapat mandat sebagai PM? Jawapannya tidak sebab beliau mengalaminya melalui peralihan kuasa. Oleh yang demikian PRU 13 ini sangat penting untuk membuktikan beliau selayaknya menjadi PM dan bukan atas peralihan kuasa semata - mata.
Usaha menggerakkan pengundi ini memerlukan satu usaha besar. Penyokong tegar parti pastinya tidak sukar untuk digerakkan. Rakyat yang lebih suka berdiam diri, bersifat atas pagar, tidak ambil peduli atau tidak mahu mengundi atas pelbagai sebab tersendiri ini memerlukan gerakan dari parti untuk menyedarkan mereka keluar mengundi.
Disebut berkali - kali, diulang iklan di sana sini mengenai kepentingan mengundi malah tidak kurang juga lagu - lagu nyanyian artis tempatan yang mengajak rakyat mengundi diulang beratus kali agar rakyat tergerak untuk mengundi. Persoalannya..berjayakah kaedah sedemikian? Apakah yang perlu dilakukan dan apakah yang sudah pun dilakukan?
Di sini, parti politik memerlukan kebijaksanaan dalam mempengaruhi masyarakat massa. Segala ilmu psikologi, sosiologi, antropologi dan sains politik perlu dipraktik. Behaviorisme pada hemat saya lebih mudah di aplikasikan pada PRU 13 ini. Kenapa?
Pertamanya kerana ledakan era digital membolehkan masyarakat massa mendapatkan maklumat dari pelbagai sumber. Sama ada yang pro BN atau pro PR, maklumat ini sering kali membingungkan mereka yang berada jauh dari lingkaran parti. Maka perkara termudah untuk meyakinkan apa yang di dengar, di baca atau di tonton ialah dengan menyaksikan sendiri tingkahlaku seseorang itu. Oleh yang demikian sekiranya ada pihak mengeluarkan video lucah insan tertentu maka sukar masyarakat menghadamnya kerana ia bertentangan dengan pemahaman mereka mengenai tindak tanduk seseorang itu.
Kepada pembaca yang pernah mengikuti kursus atau program saya, sila ingat semula Model Kulit Bawang yang saya pernah kongsikan untuk memahami perkara di atas.
Pendekatan Pakatan Rakyat dilihat mudah mempengaruhi masyarakat kerana mereka memberikan tumpuan kepada isu semasa, keperluan dan kehendak rakyat. Isu seperti kadar inflasi, Urustadbir Baik (Good Governance), penurunan harga minyak, tol dan pemberian percuma pelajaran dan pelbagai lagi dalam manifesto lebih dekat dihati. Ini dapat difahami mudah apabila manifesto yang sekian lama dicanang oleh Pakatan Rakyat ini di ciplak oleh Barisan Nasional. Kenapa perlu ciplak?
Kerana BN tiada perkara baru yang sesuai untuk ditawarkan pada ketika ini selain isu semasa yang dibawakan. Malah kegagalan menghasilkan sesuatu yang setara hanya akan membogelkan segala salah urustadbir yang bukan rahsia lagi.
Sebab itu, pada hemat saya, pendekatan BN untuk menggerakkan pengundi dengan mencanang segala keburukan peribadi individu dalam PR hanya memakan diri dan memualkan kerana ia bukan cerminan apa yang boleh dilakukan oleh BN. BN perlu lebih agresif dalam menampilkan akhlak baik, merendah diri dan membuang protokol yang tidak perlu. BN harus ingat bahawa kelajuan internet yang lembab juga antara benda yang dibenci oleh rakyat. Ini bukan kerana teknologi internet laju masih belum wujud..tetapi terjadi kerana dasar monopoli yang dijalankan oleh pemerintahan BN sejak dulu.
Kedua, manusia belajar secara efektif dengan cara meniru. Pengundi muda yang berpelajaran melihat tingkahlaku pemimpin BN mahupun ahli atau ahli keluarganya tidak selari dengan apa yang dilaungkan. Memperjuangkan ISLAM katanya, tetapi secara konsisten menolak HUDUD. Menjulang ISLAM katanya tapi anak - anak pembesar mabuk dan hidup dalam kemungkaran. Mendokong ISLAM katanya namun isteri - isteri pemimpin ramai yang jambul tersembul.
Oleh yang demikian, mobilisasi pengundi kepada kumpulan sasar sebegini biasanya mudah dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Dan janganlupa, mereka adalah jumlah yang besar dan pengaruh mereka hebat kerana generasi Y ini sangat mahir menyebarkan maklumat.
Itu adalah sebahagian dari pemahaman yang perlu kita ada dalam menggerakkan pengundi. Insyallah saya akan cuba berkongsi lagi pandangan terhadap perkara ini. Wallahu A'lam.
No comments:
Post a Comment