Assalamualaikum wbt. Ramadhan mula memasuki hari kedua untuk edisi 2013 ini dan rasanya masih belum terlewat untuk saya ucapkan kepada pembaca semua Ramadhan Kareem dan Selamat menjalani ibadah Puasa.
Tahun lalu, saya dan keluarga berjaya belajar mendisplinkan diri kami dengan 1/3 Ramadhan kami gunakan untuk mendekati Masjid , secara spesifiknya Masjid Sultan Zainal Abidin (Masjid Besi) Putrajaya di mana kami cuba hadir awal untuk bertahlil, Iftar, Maghrib dan Isya' dan seterusnya solat sunat Tarawikh dan Witir. Benar, tiada apa yang ingin dibanggakan di sini cuma sekadar ingin berkongsi pengalaman dan usaha kami memperbaiki diri dengan harapan ada dikalangan pembaca yang mungkin mendapat inspirasi dari tulisan ini. Untuk makluman, jarak rumah kami dan Masjid Besi bukanlah dekat sangat di mana saya tinggal di Kajang. Namun, bagai digerakkan hati ini untuk mendekati rumah Allah membuatkan jarak bukan lagi isunya. Kesan dari usaha kecil kami tahun lalu, membolehkan setiap hari Khamis, kami akan ke sana untuk berjemaah dan bacaan Yaasin sekiranya saya tidak berada diluar kawasan.
Maka tahun ini kami sekeluarga berazam untuk memperbaiki lagi usaha kami tahun lalu dengan cuba menghadirkan diri ke Masjid sepanjang Ramadhan ini. Moga Allah memudahkan urusan kami.
Tujuan saya menulis artikel ini adalah sebagai cuba menjawab beberapa pertanyaan mengenai apa yang saya dan kebanyakan orang lain lakukan iaitu, apa rasanya berbuka atau Iftar di Masjid ketika Ramadhan? Jawapan yang bakal saya tuliskan ini bukanlah dari mana - mana guru agama tetapi semata - mata dari pemerhatian insan kerdil seperti saya sahaja.
Pada pengamatan saya, Iftar di Masjid khususnya di bulan Ramadhan ini memiliki terlalu banyak kelebihan yang mana satu ketika dulu, saya juga tidak ambil pusing. Barangkali kerana kematangan fikiran bertambah dan Allah memberi ruang fikir yang baik, maka saya semakin jelas mengenai kelebihan - kelebihan ini.
Pertama, sebagaimana yang kita tahu bahawa Ramadhan ialah bulan pendidikan. Maka salah satu kelebihan besar yang saya perolehi ketika Ramadhan ini ialah DISIPLIN DIRI. Oleh kerana jarak rumah yang agak jauh dari Masjid, kami sekeluarga perlu bersiap awal dan hadir awal ke Masjid. Ini bermaksud persediaan pakaian, perjalanan dan tugasan berlaku lebih teratur.
Kedua, Iftar di Masjid mendidik kami sekeluarga dengan rasa SYUKUR dan MERENDAH DIRI. Walau sehebat atau kaya bagaimana sekalipun seseorang itu, di Masjid makanan yang terhidang adalah sama untuk semua orang. Sedap atau tidak bukan lagi isunya. Kita redha sahaja dengan rezeki yang diberikan Allah pada hari itu. Banyak atau sikit bukan lagi perkara pokok. Malah beberapa biji kurma dan air segelas sudah pun memadai untuk bingkas bangkit menunaikan Solat Maghrib. Usai Maghrib, kita berbaris beramai - ramai mendapatkan makanan yang lebih berat untuk mengalas perut. Ia mendidik rasa SABAR dan MENYERAH DIRI kepada Allah kerana kita juga tidak tahu masihkah ada makanan untuk kita walaupun kita berbaris panjang.
Ketiga, Iftar di Masjid juga mendidik kita untuk lebih menjadi SENSITIF dengan sekeliling. Ada yang membawa juadah sendiri dari rumah atau dari belian di Bazaar Ramadhan. Ketika duduk beramai - ramai untuk Iftar, ada yang mengeluarkan juadah yang agak mahal atau lebih lazat dari orang lain yang akibatnya mereka sendiri jadi serba salah untuk makan kerana orang disekeliling hanya menjamah makanan biasa sahaja. Ini lebih jelas bila makanan yang dibawa dalam kuantiti sedikit dan sukar untuk dikongsikan dengan orang lain. Kesannya ialah esok orang sebegini akan mula menjamah apa yang ada saja sama seperti orang lain.
Keempat ialah mengenai MENYEGERAKAN SOLAT. Sejak kecil, berbuka dirumah pastinya menyeronokkan dengan juadah yang terhidang. Air pelbagai rasa yang sejuk dan sedap pastinya mengundang beberapa gelas ke mulut dan selalunya akan membuatkan perut penuh dan mula timbul rasa kurang selesa. Maka sedikit masa di ambil untuk meredakan keadaan sebelum boleh bingkas bangun untuk solat. Itu belum lagi mengambil kira jumlah makanan yang masuk ke perut. Tersandar kekenyangan selalunya membuatkan kita tidak terus bangun bersolat.
Kelima ialah TIMBUL KEINGINAN BERIBADAT DENGAN LEBIH - Mereka yang pernah hadir ke program kendalian saya biasanya tahu mengenai MODEL KULIT BAWANG. Tingkahlaku kita di Masjid lebih mudah dipengaruhi oleh persekitaran. Apabila orang lain bangkit menunaikan solat sunat, kita juga biasanya tergerak untuk bangkit sama meskipun bukan kebiasaan kita. Ini selalunya timbul atas rasa malu - apabila orang lain buat maka kita juga buat atau atas rasa mengisi kekosongan diantara Azan dan Iqamah.
Berbanding dirumah, godaan lebih banyak kerana ada pelbagai perkara menarik perhatian kita, mengemas dapur, mencuci pinggan mangkuk, membuang sampah, menonton televisyen dan macam - macam lagi.
Ini adalah sebahagian saja dari kebaikan yang saya lihat dan banyak lagi yang saya rasa pembaca juga dapat perhatikan. Sila kongsikan pandangan anda mengenai hal ini di ruangan komen. Semoga Ramadhan kali ini dapat kita penuhi dengan amalan baik dan meningkatkan mutu ibadat kita serta dapat diteruskan di bulan - bulan akan datang Insya Allah.
2 comments:
Very good observation and point of view. Saya merasa amat kerdil dan insaf bila membacanya. Tahniah bro dapat membimbing keluarga ke jalan mengikuti lunas2 Islam.
Tuan Shahrulmiza
moga penulisan ini dapat memberi manfaat bersama
Post a Comment