Terimakasih kepada salah seorang penasihat ICT saya iaitu Maestro Rusdy Ahmad kerana menghalakan temubual secara online ini kepada saya di mana temubual Malaysia.my ini sepatutnya dijawab oleh beliau. Saya perlu menjawab soalan - soalan ini dalam jumlah 100 hingga 150 perkataan sahaja. Saya titipkan jawapan dalam Bahasa Melayu meskipun yang akan muncul nanti dalam Bahasa Inggeris.
1. Tell us about your connection with the sport. How did it all
start, how did u get into it...
Saya bermula ketika berusia 14 tahun. Hanya kerana ingin
mengelak waktu prep pagi di asrama, saya mencuba nasib untuk pemilihan pemain
mewakili Sekolah Menengah Tinggi Kajang. Walaupun saya tidak tahu bermain
sepaktakraw saya gagahi juga. Akibatnya, saya dimarahi guru yang memilih pemain
kerana hanya membuang masanya. Saya jadi geram dan mula berhenti bermain
bolasepak dan berazam mempelajari sepaktakraw dan hasilnya, saya berjaya
mewakili sekolah pada tahun berikutnya dan berjaya muncul naib juara di
peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah Hulu Langat dengan bermain diposisi
Tekong. Selepas itu saya mula dibimbing oleh En. Hanafiah di Muar sebagai apit
kanan dan bermulalah kegilaan saya kepada sepaktakraw. Bolarotan.com bermula
hampir 3 tahun lalu adalah satu projek mempopularkan sepaktakraw selepas saya
menyaksikan merudumnya prestasi pasukan negara dan kegagalan Persatuan
Sepaktakraw Malaysia (PSM) ketika itu dalam membangunkan sukan ini.
2. How was Sepak Takraw then and how is it now? What has time
brought to it?
Dahulunya sepaktakraw merupakan sukan popular di mana orang
sanggup berasak – asak menonton kejohanan ini walaupun terpaksa membayar tiket.
Kejohanan pelbagai peringkat dan Malaysia adalah nama gah dan pertembungan
dengan seteru utama ketika itu – Thailand adalah satu perkara yang amat
dinantikan. Sepaktakraw dimainkan di mana – mana saja. Malah kategori Bukan
Melayu juga wujud dalam kejohanan peringkat sekolah. Ia sukan yang diminati
kerana kemahiran, seni, adab dan juga ketangkasannya. Rally panjang berbalas
libasan adalah penarik utama. Hampir 15 tahun lalu, ia merudum kerana corak
permainan sudah berubah. Servis Kuda membunuh seni sukan ini. Tiada lagi rally
panjang, yang ada hanyalah kelajuan saja.
3. How is the younger generation reacting to Sepak Takraw?
Sejak kebelakangan ini ia kembali popular. Sejak adanya ledakan
internet, sepaktakraw bagai bernyawa semula. Buktinya ramai bakat baru dikesan
diperingkat sekolah rendah lagi. Kejohanan diperingkat Kementerian Pelajaran
juga membantu dalam hal ini. Usaha oleh pelbagai pihak termasuk Bolarotan.com
dalam menganjurkan pelbagai klinik dan program Outreach nampaknya semakin
membuahkan hasil. Guru – guru pula semakin mendekati kami untuk berkongsi
maklumat pelajar mereka dan semakin ramai pemain muda berbakat berani menyertai
kejohanan peringkat tinggi.
4. What challenges does the sport face to be more globally
recognised?
Sukan baru dan lebih ‘hype’ seperti Futsal, Dodgeball ,
permotoran dan sebagainya muncul dengan pakej komersil yang lebih baik. Ini
sangat mudah menarik penaja besar dalam mempromosikan sukan ini. Sukan ini juga
didominasi oleh Thailand dalam segenap segi menyebabkan negara lain mula berasa
ia satu pelaburan yang agak kurang menguntungkan. Pulangannya (ROI) agak lambat
kerana proses membentuk pemain kelas tingginya memakan masa yang panjang.
Menggabungkan beberapa elemen berlainan dalam mempromosi sukan ini adalah perlu
sebagai contoh makanan popular, syarikat penerbangan terkenal ataupun TELCO
akan mempercepatkan proses ini. Sentimen budaya perlu dikecilkan seperti mana
bolasepak moden bukan lagi milik orang Inggeris.
5. Your thoughts on the future of Sepak Takraw as a sport and
cultural significance to Malaysians.
Sepaktakraw adalah sukan yang sangat berpotensi untuk
diketengahkan. Gabungan elemen yang pelbagai sebenarnya satu bentuk USP (Unique
Selling Proposition) yang boleh dikembangkan. Usaha pelbagai pihak perlu dalam
mempopularkan lagi sukan ini. Malaysia masih boleh terus berharap sepaktakraw
sebagai penyumbang pingat bagi Sukan Asia, Sukan SEA dan sebagainya malah ia
mampu menjulang nama Malaysia di mata dunia kerana sukan ini semakin diminati.
Dalam bentuk budaya pula, agensi yang terlibat perlu lebih proaktif dalam mengangkat
sejarah sukan ini kerana secara sejarahnya sukan ini bermula dengan sepakraga
dan dimainkan di mana – mana sahaja. Malah secara tidak langsung mampu membantu
industri kraf khususnya rotan kerana
bola yang asal diperbuat dari rotan. Demonstrasi pembuatan bola rotan, jualan
produk berkaitan, demonstrasi dan perlawanan pertunjukan mampu menjadi tarikan
pelancong. Saya sendiri pernah bermain sepakraga di dalam KL Hilton Hotel untuk
menghiburkan tetamu di Grand Ballroom mereka yang mana tetamu asing begitu
teruja dengannya. Siapa kata orang asing tidak minat dengan budaya kita kan?
1 comment:
Satu pandangan yg amat baik. Harap mereka dapat terjemahkan ia dengan betul ke dalam Bahasa Inggeris. Weel done bro! :D
Post a Comment