Total Pageviews

Muhasabah dan Pengukuhan Jatidiri

Salam
Sewaktu saya tiba di Cyberview Lodge Resort untuk pertunjukan Gamelan bersama Gema Simfoni sempena majlis berbuka puasa oleh Hewlett Packard, saya ditemukan oleh penganjur dengan pengacara majlis - seorang gadis berbangsa Cina. DIa menyapa - "So you are the teacher?" 
Saya mengangguk sambil menambah " I'm also one of the performer". Dia terbeliak..
Saya menarik kerusi dan duduk untuk berbincang mengenai aturcara majlis
Dia bertanya lagi
"Why are you playing Gamelan?"
Saya menjawab dengan soalan..
"If I'm not playing this..then who will?"
Dia terdiam..

Saya terus membuka bicara mengenai majlis itu. Sambil fikiran saya berputar ligat mengenai jawapan saya tadi. Adakah saya mengguris hatinya sehingga dia terdiam atau dia diam tanda setuju atau terfikir mengenai jawapan saya itu.

Itulah realiti dalam pembentukan jatidiri dunia hari ini. Budaya baru lebih mudah meresap dari budaya sedia ada. Proses sosialisasi yang sangat terbuka pada hari ini ditambah elemen 'Cool' yang perlu ada dalam segenap perkara, menyebabkan orang muda lebih seronok dengan perkara terkini dari luar berbanding meneroka apa yang ada di dalam.

Gambar dari asiancorrespondent.com

Dalam kita bersedia menyambut kemerdekaan yang ke 53, orang muda kebanyakkan masih keliru mengenai jatidiri dan kepentingannya. Ya, bermain gamelan tidak menjadikan saya sangat patriotik, malahan gamelan juga bukan berasal dari semenanjung ini. Namun, sekurang - kurangnya ia sangat hampir dengan budaya bangsa kita. Perhatikan sahaja pencapai Rythm In Bronze, sebuah kumpulan gamelan yang hanya terdiri dari beberapa orang Melayu dan selebihnya berbangsa lain.

Baru - baru ini ketika membuat pertunjukan sepakraga di Hilton KL, sebuah kumpulan gamelan mengiringi pertunjukan kami. Mereka yang terdiri dari penjawat awam dan swasta, masih berusaha mencari ruang dan peluang untuk dekat dengan sentuhan budaya bangsa - dan hebatnya mereka mengeluarkan duit poket sendiri untuk membeli peralatan gamelan yang harganya tidak kurang dari RM20,000.

Berbalik kepada persoalan pokok, kenapa ramai anak muda yang dilabelkan tidak atau kurang mempunyai jatidiri? Saya sendiri tiada jawapan tepat untuk itu. Tetapi saya ada satu persoalan yang mungkin boleh dibincangkan iaitu kita mencapai kemerdekaan ini mengenai apa dan siapa sebenarnya?


Ditulis dalam buku - buku sejarah yang kita mendapat kemerdekaan dari British. Tetapi kenapakah di layar perak hanya ditunjuk perjuangan kita menentang komunis dan tentera Jepun? Tidak pula ditayangkan bagaimana kita berjuang menentang British (sekiranya kita menentang) atau bagaimana kemerdekaan itu dilalui prosesnya? Orang muda hanya sekadar membayangkan merdeka itu ialah laungan Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka dan kepayahan di gasak oleh tentera Jepun dan perjuangan melawan komunisme,

Inilah masalahnya apabila sejarah ditulis sekerat - sekerat dan mengakibatkan sukar bagi mereka yang tidak melalui zaman itu menelan dan menghadamkannya. Maka memburukkan keadaan, penjelasan dari orang yang lebih berumur seolah - olah memperlekehkan anak - anak muda ini. Dialog - dialog seperti "Korang tak rasa zaman susah ni" atau "Korang untung la..celik - celik dah macam ni..Pak cik dulu..bla..bla..bla.."

Apa yang cuba disembunyikan sebenarnya? Apa yang perlu dikaji semula oleh orang muda? Adakah sejarah yang di ajar di sekolah mampu membentuk jatidiri generasi kini? Tahukah orang muda bahawa Tunku Abdul Rahman ada kena mengena dengan keturunan Siam?

Orang muda..bangkitlah..Mulakan dengan membaca seperti wahyu pertama yang turun kepada junjungan kita..Muhammad SAW. Tanyakan diri kita - merdeka kah kita?

WaallahuA'lam

2 comments:

budakpauh said...

citer tentang merdeka, semalam aku pi esaimen kat penjara sg petani. penjara ni khas utk banduan muda umur 21 thn kebawah. biler citer ttg merdeka jelaslah cukup ramai anak muda kita yg x merdeka. x merdeka sebab duk dalam penjara n x merdeka sebab di usia muda mereka dah terlibat jenayah. tu yg berjaya tangkap n masuk dalam tp yg masih bebas kat luar tu kita x tau berapa ramai kan.

Mohsen Amdan said...

Setuju sangat Azeli..
itulah realitinya