Salam
4 September 2010
Rumah Siti Khadijah Batu 9 Gombak
Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Selangor di bawah pimpinan Datin Seri Ismalina telah menganjurkan program Sentuhan Ramadhan di mana satu majlis ramah mesra dan berbuka puasa bersama anak - anak yatim Rumah Siti Khadijah yang terletak di Gombak Batu 9. Saya selaku ahli MAPIM Selangor turut serta dalam program ini bersama isteri dan anak - anak.
Sebahagian dari penghuni rumah ini
Rumah ini terletak di kawasan yang dikelilingi oleh kejiranan Melayu yang sudah agak lama tinggal di daerah ini. Dengan hampir 45 orang penghuni berusia seawal 2 tahun sehingga 18 tahun, rumah ini menyediakan perlindungan sewajarnya kepada mereka yang kurang bernasib baik ini. Namun pada hemat saya, andainya ada pihak yang bermurah hati ingin membantu menambah baik rumah ini dari aspek fizikal, saya rasa ia amatlah membantu keselesaan mereka.
Saya diminta oleh YDP untuk mengendalikan sesi ringkas bersama anak - anak berusia 13 ke atas dan pada mulanya saya menjangkakan mereka semuanya masih bersekolah namun meleset sama sekali - hanya separuh dari mereka sahaja yang masih dibangku sekolah. Selebihnya dikatakan tidak berminat untuk belajar. Setibanya saya di sana, mereka menanti diruang belajar dan solat dan apabila saya menyapa dengan lafaz Assalamualaikum mereka menjawab "Waalaikumsalam Ayah!!!"...
Saya terkedu, ya mungkin mereka telah di latih sedemikian rupa namun persoalan yang bermain dibenak saya ialah - Adakah saya ini kelihatan tua??(tak sedar diri..hehe) atau mereka mengulang perkara yang sama seperti yang diajar atas dasar keseragaman.
Sesi perkongsian bersama penghuni
Saya mula bertaaruf dan kejutan bertambah bila ada dikalangan mereka yang datang dari Pahang, Perak dan Melaka. Tidaklah saya bertanya mengapa mereka di sana namun saya cuba menyelami rasa mereka dan meneliti bentuk pemikiran mereka. Ada dikalangan mereka yang adik - beradik dan ada juga sebatang kara.
Dalam masa yang sama, YDP bersama ahli MAPIM yang lain sedang mengendalikan kanak - kanak bawah 12 tahun dengan sesi bercerita. Mereka turut mengadakan majlis sambutan ulang tahun dan keceriaan jelas tergambar apabila masing - masing mendapat peluang meniup lilin dan beg hadiah - termasuklah anak - anak saya.
Kami berhenti untuk berbuka puasa dan cukup dengan sedikit kuih dan air, anak - anak ini terus berwuduk dan menunaikan solat Maghrib berimamkan saya sendiri. Isteri saya pula berjamaah dengan anak - anak yatim perempuan di ruangan belakang. Selesai solat anak - anak ini meneruskan berbuka puasa dan hujan rintik mengiringi kami ketika itu menambah nostalgik majlis ini.
Beberapa orang anak - anak lelaki rumah ini mula mengambil tempat dan alat muzik masing - masing. Lengkap dengan drum, gitar, gitar bass dan amplifire, mereka menghiburkan semua yang hadir dengan beberapa buah lagu. Saya yang ketika itu rancak berbual dengan tetap memasang telinga meneliti mutu permainan mereka - boleh tahan juga mereka ni.
Seterusnya, anak - anak ini mula berbaris dan pastinya saat yang paling dinanti kebanyakan mereka - penyampaian duit raya. Wakil dari Walton Group turut sama bermurah hati menyampaikan duit raya kepada anak - anak ini.
Saya dan keluarga berasa gembira kerana dapat sekurang - kurangnya meluang masa bersama mereka ini. Tetapi kami bukan sahaja pulang dengan rasa gembira malah dengan pelbagai pertanyaan sama ada dari benak kami sendiri atau dari anak saya - Batrisya.
Basyira dan Batrisya turut seronok memperoleh 'Goodie Bag'
Antara persoalan besar di benak saya ialah, sedangkan mereka yang mempunyai ayah dan ibu pun malas untuk belajar atau berusaha keras, bagaimana pula nasib anak - anak yatim yang tidak punyai keduanya dan tiada siapa pula akan mendesak mereka berusaha keras selain diri mereka sendiri. Justeru, bagaimana harus kita memainkan peranan sebagai masyarakat bagi membantu hal ini?
Anda ada jawabnya? Sila kongsikan bersama saya diruangan komen
1 comment:
banyak rumah anak yatim ditibuhkan oleh individu prihatin atas dasar ingin membantu dan berbakti kepada anak2 ini. tp mungkin ada yg hanya mampu membela mereka tanpa dapat memberikan pendidikan yang sempurna. di penang pun ada rumah anak yatim yg hanya bg pelajaran menjahit sahaja utk anak2 penghuni di situ tanpa mereka dihantar ke sekolah. masa depan mereka hanya dengan menjahit tanpa ada kelulusan akademik
Post a Comment