16 November 2011 menjadi catatan sejarah buat diri sendiri apabila saya mengendalikan sidang media yang memerlukan saya sendiri membaca kenyataan medianya!. Semua berlaku dalam masa kurang dari 24 jam apabila kekalahan skuad sukan sepaktakraw Malaysia kepada Indonesia mengundang reaksi negatif dari kebanyakan peminat tanah air dan pastinya salah satu lagi laman blog saya iaitu Bolarotan,com menjadi rujukan kebanyakan pihak. Malah Facebook Masyarakat Bolarotan memerlukan saya mengadapnya hampir 10 jam sehari dalam tempoh 2 hari berturut - turut menyebabkan saya merasakan sesuatu harus dilakukan.
Presiden GPMS iaitu En. Jais yang berada di Palembang ketika ini menyaksikan sendiri kekalahan skuad Malaysia di tangan Indonesia. Melalui Facebook beliau menghubungi saya dan melepaskan kegeramannya dan terlintas difikiran saya akan sidang media. Pada mulanya saya ingin menyusun satu sidang media untuk En. Jais tetapi beliau hanya akan pulang selepas Sukan SEA berakhir.
Maka, pada hemat saya tindakan segera ini memerlukan saya dan pengikut Bolarotan serta ahli - ahli Gabungan Penggiat Sepaktakraw Nasional (GPSN) tampil memberikan pandangan mengenai isu ini. Tanpa berlengah segala pengalaman yang saya miliki dan ilmu yang saya ajarkan dalam kursus - kursus saya sebelum ini cuba dipraktikkan. Sememangnya sedikit kelam kabut tetapi mujur jaringan yang saya miliki membantu proses penyediaannya.
Akhirnya tadi ditemani hujan lebat di Lembah Kelang, sidang media yang dihadiri oleh RTM, Utusan dan Sinar Harian telah berlangsung dengan jayanya di pejabat saya. Walaupun ruang mesyuarat pejabat saya tidaklah besar sangat tetapi dapat memenuhi objektif.
Wartawan Utusan, Abdul Hafiz Ahmad banyak membantu saya dalam penyediaan teks dan kenyataan media. Gabungan tulisan saya dan beliau menjadi satu kenyataan penuh untuk hari ini.
Gementar, risau, bimbang adalah antara perasaan yang bermain di dalam diri. Alhamdullillah semuanya berjalan lancar telah pun diterbitkan di Berita RTM 1 malam tadi. Semoga esok ia bakal muncul di dada akhbar pula.
Terimakasih kepada semua yang membantu..Allah sahaja yang dapat membalasnya!