Total Pageviews

Kundasang - Genting - Cameron

3 program saya yang terakhir berlangsung di 3 kawasan tanah tinggi yang berbeza : Kundasang Sabah, Genting Highland dan Cameron Highland. Rezeki membawa saya ke 3 lokasi ini dalam masa singkat dan saya mengalami 3 pengalaman yang berbeza.




Ketika berprogram di Kundasang bersama JPPH sebelum ini, itu merupakan kali pertama saya ke sana seumur hidup. Genting Highland juga telah agak lama saya tidak menjejakkan kaki ke lokasi perjudian popular ini. Seingat saya kali terakhir adalah ketika mengendalikan program bersama PERHILITAN kira - kira 5 tahun lalu. Manakala Cameron Highland pula saya hanya pernah 2 kali ke sana sebelum ini iaitu ketika usia saya 12 tahun usai UPSR dan kali kedua ketika bekerja di McDonalds pada tahun 1995.

3 kawasan sejuk dengan 3 senario berbeza.

Di Kundasang, anda yang dari semenanjung pastinya teruja dengan pelbagai perkara sepanjang perjalanan ke puncak mahupun ketika sudah berada di atasnya. Kehijauan di kiri kanan disulami dengan bau hutan segar serta kabus dan awan berselang seli. Sangat menyegarkan dan pemandangan kampung masyarakat tempatan tanpa banyak sentuhan moden membuatkan anda terlupa seketika hiruk pikuk bandar. Tetapi, harga sayuran dan buahan di kedai - kedai di kaki Kundasang sedikit mencacatkan perasaan apabila harga di Kundasang lebih mahal dari Kota Kinabalu.

Genting Highland yang kini sedang membaik pulih kereta kabelnya pula di hangatkan oleh pasangan bercinta tak mengira bangsa dan juga si pemakai baju batik yang ingin berjudi. Memakai batik untuk berjudi? Ya..Muslim  tidak dibenarkan masuk ke pusat perjudian kecuali dengan perkenan VVVIP. Suasana Genting juga agak suram nampaknya dengan kehadiran pelancong yang lebih menjurus kepada acara yang di anjurkan seperti pementasan dan konsert. Taman Tema Genting juga adalah usaha menarik pelancong bergembira sambil bersejuk sejukan.

Cameron Highland pula saya perhatikan semakin pasrah di tarah untuk pelbagai tanaman. Namun rasa sejuk masih menggamit pelancong. Jagung organik dan buah strawberri adalah ole - ole wajib dari kawasan bersempadan Pahang - Perak ini. Jelas juga ramai warga Indonesia bekerja di puncak ini dengan pelbagai sifat tugasan. 

Malaysia pada hemat saya sememangnya mempunyai banyak tarikan yang boleh dijual kepada pelancong. Maka ia harus di bungkus dengan baik dan menarik supaya persaingan Singapura, Thailand dan Indonesia sebagai destinasi percutian dapat di imbangi.