Total Pageviews

Kehidupan nelayan sebagai inspirasi

Semalam saya sempat singgah ke pantai Kampung Sungai Ular Cherating, bersebelahan Sanctuary Resorts yang mana merupaka salah satu lokasi yang saya suka pemandangnya. Walaupun tidak pernah menginap di resort ini, kawasan sekitarnya amat saya sukai dan menggamit rasa. Pemandangan damai tatkala bot - bot nelayan kecil keluar dan masuk, airnya yang biru kehijauan sangat membuatkan rasa hati ini tenteram.


"Nak apa lagi kalau dah begini suasananya?" Tanya saya kepada Lukman dan Hanif, yang turut bersama saya ke Cherating untuk mengendalikan satu program Teambuilding. Mereka masing - masing hanya mampu berkata "Huaaaaa!!!" apabila melihat keindahan ciptaan Allah ini.

Bot - bot nelayan yang baru pulang dari mencari rezeki

Melihat nelayan yang keluar dan masuk dari muara kecil ini, saya mula terfikir tentang cabaran yang dihadapi saban hari oleh nelayan. Berbanding dengan kebanyakan kita yang hanay perlu menunggu hujung bulan untuk meluru ke mesin ATM dan dengan sekeping kad istmewa, wang bakal terjulur keluar untuk dibelanjakan. Mereka, nelayan - nelayan ini perlu melalui proses berbeza. Menyiapkan segala kelengkapan ke laut dan setiap perjalanannya belum menjanjikan apa - apa, Mungkin hujan ditengah jalan maka pulanglah mereka dengan tangan kosong. Mungkin juga lubuk kurang menjadi maka tiada apa untuk dijadikan habuan hari itu.


Melihat kepada apa yang berlaku kepada mereka, saya berkata kepada Lukman dan Hanif - "Nampaknya saya juga tidak jauh bezanya dari nelayan - setiap hari yang mendatang belum menjanjikan apa - apa sebagai habuan". Mereka bersetuju dengan apa yang saya katakan.

Nelayan juga adalah satu bentuk keusahawanan. Segala perancangan, strategi dan peralatan boleh diatur. Namun Allah jua tempat disandarkan jumlah rezeki dan habuan yang diterima. Pergi dan balik tanpa kepastian. Namun perlu sentiasa cekal dan yakin bahawa Allah penentu segalanya.