Total Pageviews

Bagaimana menjadi orang yang mudah didekati?

Selalu juga saya ditanya orang dengan soalan sebegini -
"Senang je nampak tuan ni bergaul dengan macam - macam orang..apa rahsianya?"
"Siapa tu? Tuan kenal ke? Macam mana tuan boleh kenal orang macam tu?"
"Tuan ni dengan semua orang boleh 'masuk' ya..best betul..apa caranya ya?"

Semua persoalan di atas ini membawa kita kepada peranan sebagai PENGHUBUNG. Apabila anda mencapai status PENGHUBUNG, anda akan mudah didekati orang tidak kira apa jua latarnya atau anda sering menjadi orang rujukan..waima untuk bertanyakan soalan remeh sekalipun. Kenapa begini? Kerana anda dilihat selesa untuk didekati, mudah memberi respon yang menyenangkan dan dilihat fleksibel.

Baiklah, apakah caranya? Saya kongsikan sedikit pengalaman saya ya...



1. Senyum lah!
Sekiranya anda pernah hadir ke program saya, selalunya saya tekankan mengenai Model Kulit Bawang yang mana manusia lebih mudah mempengaruhi orang lain menerusi lapisan luar kulit itu iaitu TINGKAHLAKU. Senyuman adalah satu bentuk tingkahlaku yang paling mudah, berkesan dan murah untuk anda gunakan sebagai alat bagi mempengaruhi orang lain. Malah ia bukan sahaja berkesan ketika anda berdepan dengan orang secara fizikal, ia juga berkesan ketika anda menjawab panggilan telefon. Senyumlah ketika berbual menerusi telefon..anda akan rasa perbezaannya.

2. Mudah berkawan
Jadilah orang yang mudah berkawan. Mulakan dengan menyapa orang lain dan berbual - bualah dengan topik yang ringan dan utamakan pengkisahan orang itu dari kisah anda sendiri. Gunakan 'empathy' sebagai senjata dengan cuba memahami kisah orang itu.

3. Berikan tumpuan
Ketika berbual dengan orang itu, berikan tumpuan. Berikan respon yang mengujakan bersesuaian dengan situasi. Contohnya bila dia berkata "Saya asal dari Pontian" maka anda responlah dengan "Pontian! wow..saya teringin betul nak kesana" dan bukannya "Ooo..Pontian..." Fokus pada apa yang diceritakan bagi memudahkan anda memberikan respon yang berkualiti.

4. Lihatlah mereka sebagai kawan...bukan orang asing
Saya selalu didekati sebegini - "Eh..bro..kau ada di sini juga rupanya..lama tak jumpa,," Dan saya akan respon seperti memang kami dah lama tak jumpa dan saya sangat mengenali mereka walaupun saya tak langsung cam wajah mereka. Dapatkan sedikit maklumat mengenai latar mereka dengan bertanya soalan yang betul agar anda dapat menyesuaikan diri dengan cepat. Sekiranya anda melihat mereka sebagai kawan, pastinya soalan anda akan menjurus kepada perkara yang menarik sahaja bukan?

5. Terbuka dalam perbualan
Jangan hadkan perbualan anda kepada perkara tertentu atas kecenderungan anda sahaja. Contohnya anda penyokong parti politik A, jangan terus menegakkan kewibawaan parti anda hanya kerana dia menyokong parti B. harus diingat bahawa matlamat anda adalah mempengaruhi mereka, bukannya menunjukkan anda lebih berkuasa atau lebih betul dari dia.