Dengan apa yang berlaku dalam perkembangan semasa,
penggunaan media sosial kini juga tidak lari dari menjadi satu alat propaganda
hebat yang mana salah satu yang sering dituliskan / dimuatnaikkan / dikongsikan
ialah perkara berkaitan AIB.
Aib ialah satu sisi diri kita yang mana ia melibatkan
perkara yang buruk, memalukan atau menyebabkan reputasi diri jatuh pada
persepsi orang lain. Dalam perihal pendedahan aib ini, tiada siapa pun yang
terkecuali di mana selagi orang disekelilingnya mempunyai akses kepada media
sosial, risiko di aibkan ini bermula dari sekecil – kecil anak hinggalah kepada
sebesar – besar pemimpin.
Malah, guru saya pernah berpesan bahawa kita jangan lekas
bangga dengan pencapaian diri kerana apa yang berlaku sebenarnya Allah telah
menutupi aib kita dari pengetahuan orang lain. Apabila aib kita diketahui
orang, apa jua pencapaian sudah tidak membawa makna lagi.
Senario politik Malaysia hari ini juga kebanyakannya
berkisar tentang pendedahan aib. Kisah buruk silam, dibongkar – sama ada ia
berkait dengan keadaan sekarang atau tidak ia menjadi perkara kedua atau
ketiga. Terkini, Perdana Menteri Najib
Razak turut menerima kesannya. Persepsi umum kepada beliau jatuh merudum
apabila satu demi satu pendedahan dibuat berkaitan korupsi oleh pelbagai pihak
dan nampaknya, sekuat mana pun dia menafikan ia tetap gagal memadamkan keraguan
rakyat. Lihat sahaja status beliau di laman sosial, walau mengenai apa yang
ditulis pasti komen negatif beribu – ribu akan masuk. Natijahnya, Najib Razak
mungkin kini orang yang paling tidak nyenyak tidur di Malaysia hati ini.
Baiklah, apa yang kita perlu lakukan dalam menjaga aib kita?
Saya petik dari buku besar Ihya Ulumuddin karya Imam Al – Ghazali atas kupasan
mendalam oleh Sa’id Hawwa mengenai cara mengetahui aib sendiri. Amat penting
mengetahui aib sendiri kerana ia akan memudahkan kita mengambil langkah segera
sebelum ianya tersebar dan menjatuhkan maruah kita. Imam Al-Ghazali mencadangkan bahawa adalah
perlu seseorang hamba Allah itu memiliki Basirah (penglihatan dalam mata hati)
yang tajam. Kerana ia kana membantu kita melihat aib diri sendiri.
Ada 4 kaedahnya.
1. Duduk di hadapan orang alim / sheikh yang
mengetahui berbagai aib jiwa dan peka terhadap kecacatan yang tersembunyi.
Sheikh / orang alim ini akan memberitahu kita mengenai aib diri kita dan
bagaimana memperbaikinya. Bagaimana mencari sheikh sebegini? Pastinya kita
perlu mendekati majlis ilmu terutamanya di rumah Allah. Sebagai contoh, Sultan
Muhammad Al Fatih yang hebat mempunyai Sheikh Aaq Syamsuddin yang menjadi
sumber rujukan beliau dalam membina sahsiah diri.
2. Imam Al – Ghazali menyarankan kita untuk mencari seorang teman yang jujur, sangat mengetahui dan kuat beragama serta mampu menjadi ‘pengawas’ diri agar selalu memerhatikan akhlak kita. Andai ada akhlak kita yang tercela, maka sahabat inilah yang akan mula – mula sekali menegur kita. Pemimpin – pemimpin besar khususnya perlu mempunyai sahabat sebegini. Pemimpin jika hanya ramai sahabat yang fikirannya bersandarkan dunia, keseronokan, harta, maka amat mudah pemimpin ini hanyut dan lalai. Dalam hal ini, ayuh lihat senarai orang yang menjadi sahabat kita, bagaimana agaknya mereka? Adakah mereka mempunyai kekuatan menegur kita atau hanya seronok – seronok sahaja?
3. Hendaklah kita memanfaatkan lisan para musuh
yang mengetahui aib diri kita. Pastinya kita akan dapat lebih manfaat dari
seseorang yang mengetahui aib kita dari sekumpulan kawan yang hanya tahu memuji
– memuja kita melambung – lambung. Dalam hal ini, pemimpin perlu lebih bersedia
mendegar kritikan dan bukannya menyekat kritikan itu sampai kepadanya. Malang
sekali ramai ahli parlimen yang ponteng tugas, tidak mahu membaca maklumbalas
malah ramai saja yang buat – buat tidak dengar kritikan apatah lagi rintihan
rakyat.
4. Berusahalah berhubung dengan masyarakat
sekeliling. Jangan hanya suka buat hal sendiri. Sebagaimana kita biasa
mendengar kata – kata ‘Seorang Mukmin bagaikan cermin bagi Mukmin yang lain” –
akhlak masyarakat juga adalah cerminan aib diri kita. Setiap keburukan yang
dilakukan oleh masyarakatnya perlulah dibersihkan terlebih dahulu dari dirinya.
Lihatlah sahaja hari ini masyarakat bagaikan berbangga mendedahkan aib sendiri
dilaman sosial : foto, video, status Facebook yang sangat peribad dan
sebagainya. Maka setelah melihat ini semua, kita perlu berusaha membaiki diri
terlebih dahulu untuk tidak melakukan perkara yang sama.
Semua yang tertulis di atas ini adalah perkaitan dalam
perihal penyucian jiwa. Jiwa yang suci akan menzahirkan akhlak yang terpuji.
Akhlak yang baik akan mampu menutupi aib diri yang tercela. Berdoalah kepada
Allah agar aib kita dilindungi bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat
kelak. Wallahu A’lam.