Total Pageviews

Isu pendidikan, apa masalah yang lebih rumit?

Sudah beberapa ‘take’ saya buat untuk rakaman video saya mengenai isu pendidikan yang sedang hangat diperkatakan..
Tapi setiap kali rakaman, masuk minit ke 3 saya padamkan.. sebab saya rasa tak padu..

Saya rasa panjang sangat...
Dan saya tak rasa ramai yang nak menonton video pandangan saya mengenai isu ini melebihi 3 minit.

Pada hemat saya... perbalahan mengenai hal ini ialah banyak menjurus kepada sejauh mana seseorang itu terlibat dalam hal pendidikan ini.

Seorang guru, ada sisi tersendiri... ia berkaitan pula dengan pelajar yang bagaimana dia kendalikan.

Seorang ahli PIBG aktif pula ada sudut pandang berbeza... adalah ahli PIBG juga semua mahir dalam pelajaran dan pembelajaran? Itu juga perlu dirungkaikan.

Pembuat dasar dan pelaksana juga ada KPI, ada kerangka dan arahan yang perlu dipatuhi dan dilaksanakan. Mereka dibayar gaji dan berusaha kuat ke arah yang telah disusun oleh kepimpinan mereka.

Ibu bapa , kelompok ini yang paling tercabar. Bagi ibu bapa yang cakna, maka banyaklah input yang mereka miliki. Bagi ibubapa yang kurang ruang dan tak berapa ambil tahu maka biasanya akan ikut saja apa yang disarankan. Namun mudah saja kelompok ini tertekan jika mereka tidak punya banyak pilihan dan ia pula sering berkait dengan kemampuan ekonomi membiayai pendidikan anak - anak.

Apa yang membimbangkan ibu bapa sebenarnya?
Bagi saya - isu paling besar yang secara sedar atau tidak ibu bapa hadapi ialah KEBIMBANGAN.
Bimbang apa?
BIMBANG AKAN TERCICIR...

Mereka bimbang jika anak - anak mereka tercicir dari apa juga pelan yang dirangka.
Mereka bimbang anak mereka tercicir dari jalan - jalan kejayaan..
Mereka bimbang anak mereka tercicir dari kelompok terbaik.

Maka perebutan ke sekolah hebat - hebat menjadi amat dasyat!
Asrama bukan lagi mengenai kelompok yang kekurangan kemudahan untuk dibantu.. tapi tentang siapa kelompok terbaik dan siapa kenal siapa.

Sahabat...

Barangkali, masalah kita dalam pendidikan bukan lagi mengenai ‘streaming’ atau tidak...

Mungkin saja yang kita sedang hadapi ini ialah masalah memperbaiki persepsi...

Apakah masuk sekolah biasa itu satu bentuk kegagalan dan sekolah asrama penuh itu tiket - tiket kejayaan hidup?

Belajar di universiti menyebabkan seseorang lebih elit dari pelajar kolej komuniti?

Adakah tidak boleh membaca pada usia 7 tahun akan menyebabkan rakan sekelasnya juga terpalit dan mempelahankan pembelajaran di dalam kelas?

Benarkah dengan membezakan kelas menyebabkan bangsa semakin maju?

Lupakah kita, kapasiti otak manusia lebih besar digunakan untuk ketangkasan, bukannya untuk ruang memori.
Sedangkan tangkas membaca itu cumalah salah satu dari berpuluh jenis ketangkasan lain.

Emotional Quotient adalah lebih besar pengaruhnya berbanding Intelligent Quotient... adalah kita sedar tentang hal ini?

Pelajar - pelajar cemerlang universiti, di manakah mereka sekarang?
Siapa yang memacu ekonomi negara? Adakah kelompok ini?
Yang korup dipenjara, adakah mereka yang dulunya kelas paling belakang dalam darjahnya?

Dan macam - macam lagi....

Silakan berbeda pandangan terhadap tulisan saya ini.
Cumanya, bila anda berbeza pandangan.. mohon lakukan ini dulu sebelum menulis komen...

1. Tarik nafas dalam - dalam
2. Istigfar dengan nada perlahan
3. Baca tulisan saya ini secara perlahan - lahan, perenggan demi perenggan
4. Fahami dan renung sejenak apa yang saya tulis.
5. Berlapang dada dulu... kerana komen anda kemudiannya pasti mengundang pula komen yang lain.

*Foto yang saya titipkan ialah sebuah meriam berbentuk naga.
Kita belajar bahawa naga ialah sejenis mitos dan tiada siapa ‘benar - benar’ pernah bersemuka dengan naga.
Tetapi, kenapa bentuk naga tidak kira dalam apa juga bentuk penghasilan - lukisan atau objek adalah sama seperti yang digambarkan dan mudah saja kita tahu bahawa itu adalah naga...?
Sahabat semua; itu adalah satu contoh hasil PENDIDIKAN.