Total Pageviews

Di mana saya bermula dengan sepaktakraw?


Foto di atas adalah pemandangan dari tingkat 3 asrama Tun Dr. Ismail Kajang High School (Sekolah Menengah Tinggi Kajang) Foto ini saya terima dari Whatsapp Group alumni kerana dirakamkan ketika salah seorang dari kami menghantar anaknya mendaftar di asrama.

Sekonyong, terkenang saya pemandangan dari sudut ini. Ia sebenarnya satu perjalanan panjang untuk saya dalam dunia sepaktakraw sehingga kini.

Segalanya bermula pada satu pagi 1992, satu sesi pemilihan pemain sepaktakraw sekolah dijalankan di kawasan parkir yang and lihat dalam foto itu. Saya yang sepatutnya pagi itu berada di bilik belajar untuk 'prep pagi' mengambil keputusan menyarung kasut dan turun ke pemilihan sedangkan saya tak pandai pun main sepaktakraw. Kenapa saya sanggup pergi sedangkan tak pandai pun? kerana saya nak ponteng 'prep pagi'!

Cikgu Razak, guru bolasepak sekolah kami bertanggungjawab menjalankan pemilihan pagi itu. Dia mengenali saya kerana saya turut tersenarai dalam satu program bolasepak pada tahun yang sama. Ketika giliran saya dihadapannya, dia menyuruh saya menimang bola takraw. Setiap kali menimang saya hanya mampu menyepak sekadar 2 - 3 kali sahaja. Saya di marahi beliau.."Kalau tak reti main toksah datang pemilihan lah!"

Saya terus diketepikan dari proses itu malah, tidak layak diuji di atas gelanggang sekali pun. Sedih, kecil hati dan dendam ..itu yang saya rasa. Kesannya, saya langsung berhenti bermain bola sepak dari saat itu dan mula nekad belajar bermain sepaktakraw.

Gelanggang di dalam foto itu adalah saksinya. Saya adalah orang pertama yang akan turun ke gelanggang saban hari.. menimang bola dengan dinding hujan atau panas. Hasilnya, saya terpilih mewakili sekolah pada tahun 1993 di posisi tekong. 

Selepas MSSD 1993, saya mula berminat bermain diposisi apit kanan. Saya mula meniru gaya pemain -  pemain senior dari segi teknik pukulan malah berpakaian. Krengkrai Mutalai adalah killer idola saya ketika itu.


Lokasi dalam bulatan merah itu adalah tempat wajib saya setiap petang 1993 dan 1994. Selepas solat asar, saya adalah orang pertama yang akan turun ke gelanggang dan kerana terlalu obses sehingg terbawa - bawa main sepaktakraw di bilik, saya pernah didenda bermain sepaktakraw berkaki ayam dari 6.30 petang sehingga 8 malam. Saya digelakkan satu asrama ketika itu. Malu tapi berbaloi.

Bukit kecil itu adalah saaran saya melibas setiap hari, Dari teknik pukulan "maniam" / backstroke, libas pari, handstand sampai lah ke gulung saya cuba. Tangan dan kaki ini sakit serta bengkak berkali - kali. Waktu outing hujung minggu juga saya akan pastikan saya pulang ke asrama sebelum Solat Asar.

Hasilnya? Ya..panjang lagi kisahnya..tapi nostalgia ini terlalu manis buat saya...