Total Pageviews

Ihya Ramadhan - Menyuci Diri serta Mengelak Ujub, Ria' dan Membazir

Ramadhan kini berbaki hanya beberapa hari sahaja lagi sebelum ia meninggalkan kita sekali lagi. Entah ketemu lagi atau tidak dengan Ramadhan edisi akan datang tiada siapa yang tahu. Lagu dan video viral bertema kesedihan dan kepiluan mengenai sambutan Aidilfitri sudah mula menguasai corong radio dan media sosial. Gedung membeli belah makin sesak, tiket bas dan keretapi sudah kehabisan dan motivasi ditempat kerja semakin merosot terutamanya industri yang pasif di Ramadhan ini. 

Sebagaimana biasa, berpakaian indah dan baru di pagi Aidilfitri adalah amalan sunnah yang dituntut bagi meraikan Hari Kemenangan setelah berpuasa sebulan dan ia perlu dirai dengan gembira..ya gembira. Malah laungan takbir juga sepatutnya berbunyi lantang serta bersemangat dan bukan bersuara bass dan nada sedih. 

Berbalik kepada tajuk menyuci diri, Ramadhan menyediakan kita dengan platform yang cukup luas bagi mencapai perkara ini. Meski itu bukan semata - mata tujuan berpuasa di bulan Ramadhan, tetapi saya ingin memberi pandangan dalam sudut ini.

Dengan ruang doa mustajab yang banyak diberikan Allah, dengan peluang Lailatul Qadar, dengan gandaan pahala yang cukup banyak bagi setiap amal sehinggakan tidur orang yang berpuasa juga dikira ibadah, maka amatlah bertepatan peluang menyuci diri dan menghapus dosa ini sangat terbuka luas di Ramadhan setiap tahun.

Pada pemerhatian saya, banyak perkara yang berlaku di dalam Ramadhan yang boleh kita kaitkan dengan penyucian diri dan kembali kepada fitrah ini. Malah, ramai yang melakukan perkara sedemikian saban tahun dan jika di hayati, itulah contoh penyucian diri dan mengangkat motivasi diri positif apabila Ramadhan berlalu dan kita menjadi insan suci bagai baru dilahirkan.  Berikut adalah contohnya:

1. Menghias rumah dengan pembelian pelbagai benda baru - Langsir, cadar, kabinet dapur, pagar, lampu dan 1001 benda yang anda boleh masukkan dalam senarai

2. Menukar kenderaan baru / membeli aksesori baru untuk kenderaan seperti sistem audio, cat baru, tayar dan sport rim baru. Malah menggilap kenderaan sehingga kelihatan seperti baru keluar kedai juga!

3. Membeli pakaian dan aksesori baru - baju raya, jam raya, cermin mata raya...pendek kata semuanya raya!

Persoalan pokok - bagaimana 3 contoh di atas memberikan rasa kembali kepada fitrah? Rasa suci dari dosa? Apakah relevannya dengan sambutan kemenangan? 

Apa saja yang kita lakukan seperti contoh di atas, pastikan buang dulu : Ujub - Ria' - Membazir.
Sekiranya 3 perkara itu hadir, maka matlamat penyucian diri susah untuk tercapai.

Pergi beraya dengan kereta baru pastinya lebih seronok kerana perjalanan lebih selesa dan lancar. Tapi jika yang hadir selepas itu rasa bangga kerana kereta kita paling baru, hebat dan bergaya, audio lebih padu dan sport rim kita paling besar berbanding saudara mara yang hadir berziarah..maka kita jauh menyimpang dari suci diri.

Jika kita berasa tudung kita paling vogue berbanding orang lain di pagi Syawal..Ujub sudah mula menguasai diri..awas.

Bila bermegah kerana hiasan rumah kita dipuji melambung - melambung oleh tetamu..awas..kita ditebing berbahaya.

Jadi salahkah beli benda baru menyambut Syawal? Tidak..nyatanya tidak salah asalkan tidak menerbitkan Ujub, Riya' dan Membazir.

Maka, bagaimana benda - benda baru ini mampu meningkatkan motivasi diri pasca Ramadhan dan memberikan rasa suci diri? Proses kita melakukan 'pembaharuan' ini perlu dihayati terlebih dahulu..jika tidak amat mudah kita terjerumus kepada Ujub, Ria' dan Membazir.

Saya gunakan analogi mengecat pagar rumah agar memudahkan pemahaman kita. Bayangkan pagar rumah kita yang sudah mula diselaputi karat dan warna pudar. Samakan keadaaan pagar itu dengan diri kita sebelum Ramadhan : berkarat dan pudar kerana terdedah kepada panas dan hujan. Diri kita pula berkarat dan pudar kerana terdedah kepada maksiat dan dosa.

Apa langkah kita dalam mengendalikan pagar berkarat ini? Bolehkah terus cat saja dengan cat baru? 
Apa langkah kita dalam mengendalikan diri berdosa ini? Bolehkah terus tukar saja dengan baju baru agar nampak lebih muslim / muslimah?

KIKIS


Pagar itu perlu dikikis dahulu..karatnya perlu dibuang terlebih dahulu. Begitu juga kita, dosa - dosa sedia ada itu perlu dikikis dahulu. Caranya? Mulakan dengan berazam Taubat dan melakukan taubat. Tinggalkan segala kejahatan dan maksiat yang kita lakukan sebelum ini. Di bulan lain kita mungkin tidak segan melakukan maksiat - buka aurat, menghisap rokok, meninggalkan solat dan sebagainya. Maka di bulan Ramadhan kita berusaha berhenti melakukan perkara tersebut bukan? Mula bertudung atas alasan cliche MENGHORMATI RAMADHAN - jangan lagi beri jawapan sebegini. Bukankah yang perlu dihormati itu ialah Allah dan bukannya Ramadhan? Kita mengurangkan menonton perkara tidak senonoh dan bercakap mengenai perkara Laghah. Kita merubah perbuatan maksiat dengan mula membuang perbuatan itu dulu. Maka pagar itu pun dikikis..berteraburlah cat lama dilantai dan karat - karat pun terbang ditiup angin. Begitulah gugurnya dosa kita apabila kita mula mengikis amalan maksiat kita dan memohon keampunan dari Allah Yang Maha Pengampun.

CAT ASAS


Setelah pagar dikikis, kita mengecatnya pula dengan warna asas. Putih atau Hitam adalah pilihan selamat ramai orang supaya warna yang dipilih sebagai warna sebenar mudah melekat rata dan cantik.
Dalam proses mengecat asas ini, kita kan mula nampak di mana sudut pagar yang banyak karat, yang mana mula kemek, senget dan segala macam kekurangan pada pagar itu. Ia akan sangat nyata di mata kita kerana kita akan mula memerhati setiap inci pagar tersebut. Begitu juga diri kita. Asas diperkukuh di bulan Ramadhan. Waktu solat mula dijaga dengan baik. Kita lebih cakna dengan masuknya waktu solat. Mula rajin memegang Al - Quran. Peluang berjemaah pula dimanfaat sebaik mungkin. Pengisian agama dengan pelbagai sumber semakin dekat dengan kita. Solat Terawih di masjid dan surau semakin mendekatkan kita dengan asas ummah iaitu hidup berjamaah. Solat berjamaah mengukuhkan hati kita sebagai muslim. Seperti pagar yang diperhati setiap inci, diri kita juga akan mula kita perhatikan setiap sudut asasnya kerana banyak perbandingan wujud disekitar. Bila kita berjemaah, kita mula perhatikan orang lain dan ia memberikan refleksi kepada diri sendiri. Melihat orang rajin solat sunat, kita yang jarang solat sunat akan mula ingin baiki diri. Indah bukan?

CAT HIASAN
Setelah selesai dengan cat asas, kita mula memilih warna cat untuk dijadikan warna hiasannya. Bergantung kepada selera, cat luar ini sememangnya akan menambat hati sekiranya pilihan warnanya sesuai. Jika tidak, maka membuang karat dan cat asas akan jadi sia - sia. Malah akan ada komen dan sindiran yang bakal diterima apabila warna tidak sesuai. 
Begitu juga diri kita, akhlak adalah cat hiasan diri. Apa saja perbuatan kita akan jadi nilaian orang lain terhadap kita. Akhlak yang baik semasa Ramadhan perlu diamalkan - berbuat baik kepada orang lain, sedekah, kata - kata yang baik, serta pelbagai lagi Akhlak terpuji yang mana ia perlu selaras dengan asas agama yang diterapkan dalam proses terdahulu. Menutup aurat tapi tak solat.. tak selari bukan? Tutup aurat tapi merepek meraban di bulan Ramadhan..pastinya tidak secocok.

PELINDUNG LUAR
Setelah selesai mengecat dengan warna pilihan, ia perlu dilindungi dengan pelindung luar. Cecair tanpa warna (syelek) perlu disapukan dikeseluruhan pagar bagi melindungi dari sinaran matahari dan kekotoran. Ini membolehkan cat baru kekal lebih lama dan pagar lambat rosak.
Maka diri kita juga perlu dilindungi dengan pelindung agar iman dan akhlak kita terjaga. Bagaimana kita melindungi diri dari ancaman maksiat dan dosa?

Kita mengekalkan momentum ibadah di bulan Ramadhan. Kekal menutup aurat, kekal solat berjemaah, meneruskan bacaan Al-Quran, terus berusaha mendalami ilmu agama dan mendekatkan diri kita dengan orang yang baik - baik, bersedekah dan macam - macam lagi.
Istiqamah dengan contoh di atas akan membantu kita melindungi diri dari mengulangi kesilapan lampau. Ini mampu mengekalkan iman dan akhlak baik sepanjang Ramadhan yang kita lakukan bagi tempoh yang lebih panjang.

Ramai yang berbuat baik bagai tuhan hanya wujud dalam Ramadhan. Ini pendekatan yang tidak betul. Kalau di bulan Ramadhan kita boleh berhenti merokok, apa alasan kita untuk kembali merokok bila tibanya Syawal?

Setelah selesai proses mengecat pagar, apakah yang kita rasa? Pastinya kita rasa seronok melihat perubahan pada pagar kita. Kita rasa lebih suka memerhati pagar setiap kali kita membuka dan menutupnya. Kita akan mula perhatikan kalau - kalau ada silap dalam mengecat, terkupas atau tercalar bukan?

Begitulah pada diri kita. Dengan diri kita yang baru selepas Ramadhan, kita akan lebih mengambil berat dengan diri kita. Dan ini hanya akan berlaku apabila kita menghayati proses perubahan itu.

Dengan baju baru di pagi Syawal, kita rasa lebih bersemangat untuk keluar solat dan berhari raya. Baju baru akan buat kita gembira. Jadi kenapa perlu bersedih pilu di pagi raya?

Dengan kereta baru kita akan lebih bersemangat berziarah. Bukan kerana kereta kita lebih hebat dari kereta orang lain tetapi kerana perjalanannya lebih lancar dan kita menyambut hari gembira dengan suasana baru. Ingat..kereta baru mampu memberikan suasana baru..bukannya untuk berlagak kereta kita lebih hebat.

Langsir dan hiasan rumah baru juga sebegitu sifatnya. Memberikan kita rasa baru. Bagai mendapat rumah baru, diri kita juga rasa baru kerana proses penyucian diri telah berlaku sepanjang Ramadhan. BARU akan membuat rasa gembira..jadi mengapa perlu bersedih di pagi Syawal?

Ayuh bangkit dengan semangat baru...hari esok kita masih lagi suci untuk kita jalani dengan penuh bermakna!

Proses menjadi MARAH - Wanita Peugeot dan Pengunci Steering

Sejak semalam..video viral yang berlegar di media sosial mengenai seorang wanita mengamuk dengan pengunci steering kereta akibat dari pelanggaran kecil di antara 2 buah kereta. Malas saya mahu titipkan video itu di sini kerana saya tidak mahu memperbesarkan lagi perkara itu. Malah troll yang dasyat sedang berlegar kereta ini meski ia kelihatan lucu, tapi ia adalah sebahagian dari kenyataan yang kita perlu telan hari ini - iaitu, ramai saja yang sangat rajin berusaha melakukan suntingan itu dan ini bagi menarik minat pembaca dunia maya dan langsung menjadi troll panjang,


Entah apa nasib wanita itu kini, saya pasti dia dan keluarganya pasti sangat terkesan. Namun itulah hukum dunia, buat baik di balas baik ...buat jahat anda akan kena troll.

Saya lebih suka mengupas mengenai apa yang berlaku dari sudut psikologi tingkahlaku utama dalam video itu iaitu mengenai MARAH.

Tiada manusia yang akan secara tiba - tiba jadi MARAH. Anda tidak akan mungkin tiba - tiba bangun dari tidur dan terus MARAH tanpa sebab dan sekiranya ia berlaku, pastinya anda mengalami masalah mental.

Marah juga memiliki prosesnya..perhatikan foto di bawah;


Marah akan bermula apabila seseorang sakit hati. Sebab itu, banyak status di Facebook ketika musim pilihanraya, musim bola dan sebagainya digunakan dengan menulis status sinikal, menyindir atau mengutuk. Ia bertujuan membuatkan pembaca yang ditujukan status itu sakit hati. Kenapa perlu membuatkan orang itu sakit hati? Kerana ia akan mengundang respon yang setimpal. Komunikasi adalah perkara yang perlu dipuaskan, maka selagi pihak yang satu lagi tidak respon, orang yang ingin membuatkan pihak satu lagi sakit hati akan terus berusaha menulis sesuatu yang pada hatinya bakal mengundang rasa sakit hati pembacanya.

Maka, apa yang kita boleh perhatikan dalam bentuk tingkahlaku ialah, sesuatu pertengkaran atau pergaduhan itu perlu memiliki elemen menyakitkan hati terlebih dahulu. Aksi wanita dalam video itu menggunakan pengunci steering untuk memukul kereta lelaki berkenaan, meninggikan suara, menggugut dengan menyebut status kereta baru; ini semua adalah tingkahlaku cuba menimbulkan rasa sakit hati. Kenapa? Kerana dia sendiri sudah sakit hati keretanya di langgar dan dia turut mahu lelaki itu merasai apa yang dia rasa..iaitu sakit hati. Jadi , apa yang membuatkan wanita itu sakit hati pada awalnya sehingga dia bertindak demikian?

Ada banyak teori yang anda boleh kemukakan...antaranya
1. Dia sudah kelewatan untuk ke suatu lokasi dan dia mungkin sedang di marah kerana kelewatannya itu
2. Dia mungkin memandu kereta yang bukan miliknya dan dia bimbang untuk dipertanggungjawabkan.
3. Keadaan yang kurang selesa dialaminya - sakit / kepanasan / mental tidak stabil atas pelbagai masalah peribadi
Dan pelbagai teori lagi yang anda sendiri boleh kemukakan.

Apabila wanita itu sakit hati, apa yang berlaku dalam proses seterusnya ialah dai jadi MERADANG. MERADANG adalah keadaan di mana nada suara menjadi tinggi dan menjerit - jerit. Pergerakan mundar mandir yang kerap dan hayunan tangan melebihi paras dagu untuk mengukuhkan mesejnya. Fasa ini sekiranya tidak diuruskan dengan baik akan mengakibatkan proses ini memasuki fasa seterusnya iaitu BERANG. Maka apa yang anda saksikan tingkahlaku memukul kereta itu dengan pengunci steering itu sebenarnya bukan dalam fasa MERADANG tetapi BERANG.

Degupan jantung pantas mengakibatkan darah dipam ke seluruh anggota badan dengan kuat. Ini menghasilkan tenaga dan seperti hukum fizik yang anda pelajari - Tenaga tidak boleh hilang begitu saja tetapi ia akan bertukar bentuk. Dari degupan pantas ke aliran darah laju, tenaga perlu dilepaskan maka tangan adalah anggota paling mudah bergerak dalam keadaan ini. Hayunan pengunci steering itu adalah fasa BERANG maka proses MARAH itu menjadi lengkap.

Oleh itu, sekiranya anda merasai HATI DISAKITI - uruskanlah segera agar tidak memasuki fasa seterusnya. Apabila tidak terkawal dan anda menjadi BERANG..segalanya akan terlambat dan bersedialah untuk dimalukan secara TROLL!

Bila bersedeqah juga menjadi kesalahan...



Pengumuman Tengku Adnan baru - baru ini mengenai satu pendekatan baru akan diambil bagi memastikan kesejahteraan Wilayah Persekutuan ialah dengan mengawal pengemis dan pemberi sedeqah dengan mengenakan tindakan undang - undang serta denda kepada kedua - duanya. Respon awam terutamanya media sosial dilihat sangat menghentam tindakan ini dan dilihat kejam, tidak toleran dan zalim. Malah Tengku Adnan sendiri dalam responnya terhadap hal ini turut mengakui dia bakal menerima kecaman dan dia rela.

Persoalannya - adakah tindakan ini tidak wajar?

Sentiasa ada 2 bahagian dalam setiap sesuatu - ada baik..ada  buruknya. Mendahulukan apa yang baik pada pandangan kita belum tentu baik di mata orang lain. Seperti konduktor sebuah orkerstra, dia perlu membelakangkan penonton bagi menghibur mereka bukan? Adakah saya bersetuju dengan tindakan Tengku Adnan ini?

Saya rasa masalah utama dalam isu ini ialah PEMAHAMAN ORANG AWAM

1. Istilah Tindakan Undang - undang kepada PEMBERI SEDEKAH sangat mudah disalah erti. Sebagaimana maklum, Sedekah /Sadaqah adalah istilah yang lebih kuat menjurus kepada nilai Islam malah istilah itu merujuk kepada pemberian atas tujuan kebaikan yang digunakan oleh Islam sahaja. Agama lain tidak menggunakan istilah Sedekah malah kalau ada sekalipun ia adalah istilah yang dipinjamkan. Maka sebagaimana biasa tahap sensitiviti umat Islam di Malaysia ini amatlah tinggi dan apabila di umumkan sedemikian rupa pada Ramadhan Al - Mubarak yang mana amalan Sadaqah amatlah digalakkan, maka pastinya ia bagai mencurah petrol ke dalam bara. Malah tindakan mengarahkan Soup Kitchen berpindah juga dilihat amatlah zalim. 

2. Pemahaman orang awam tentang penerima sedekah , pengemis dan gelandangan amatlah terhad. Penerima sedekah ini cukup luas malah bayangkan kalau kita bertindak lebih ekstrim dengan mengambil tafisran secara literal bahawa Senyum adalah sedekah, adakah orang yang senyum kepada orang lain juga akan didakwa? Pastinya ia tidak se ekstrim itu tetapi jika budaya 'troll' diambil kira, maka Tengku Adnan perlu bersedia melayani kutukan seperti itu. 

3. Definisi Pemberi Sedekah dan penerima perlu diperjelas. Andai ia merujuk kepada orang yang memberi kepada pengemis kaki lima, pengemis berlakon buta di gerai makan maka saya juga sokong kerana ini adalah sebahagian besar sindiket yang meraih keuntungan atas rasa kasih rakyat Malaysia yang sangat gemar membantu orang susah dan bersimpati kepada orang lain. Sindiket sebegini meraih beribu ringgit dan mengakibatkan suasana bandaraya jadi selekeh, hilang keselesaan ketika makan di gerai dan menyebabkan orang luar melihat Malaysia sebagai negara yang sangat teruk (Persepsi buruk turut diterima India dan Indonesia dengan jumlah pengemis yang ramai)

4. Tindakan kepada NGO - Ini juga perlu diperhalusi. Persatuan Bulan Sabit Merah diberi amanah memasak untuk gelandangan yang menginap di Anjung Singgah yang terletak ditengah - tengah bandaraya Kuala Lumpur?. Adakah mereka ini juga akan tersabit dengan undang - undang itu? 

Persoalan utama untuk dihadamkan dalam hal ini sebelum kita menjatuhkan hukum:

1. Kenapa wujudnya kelompok pengemis / penerima sedekah / gelandangan ini di bandaraya?
2. Siapa mereka dan dari mana datangnya?
3. Kenapa NGO lebih suka tertumpu ke bandaraya untuk berbakti?
4. Apa usaha kerajaan membantu orang miskin dari hidup melarat?
5. Kenapa semakin ramai orang miskin?